Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Saturday 28 August 2010

Bulan Ramadhan semakin melabuhkan tirai

Pembaca yang dirahmati Allah Taala,

Termasuk hari ini, kita telah berada di hari ke 18 Ramadhan. Sesekali sayu rasa hati merenung 'kemampuan beribadah' dan kualitinya yang ada pada diri berbanding para Salafussoleh Sesekali merenung bahawa wacana ilmiah kadang-kadang menjadikan kita hanya orang yang keras hati. Lebih-lebih lagi bila terpaksa bertegang pendapat mengenai pelbagai isu khususnya 'Ahlussunnah vs wahhabi'.

Namun apakan daya, keadaan memaksa saya juga turut terjun dalam wacana yang tidak pernah selesai ini. Dalam berdepan dengan wacana ini, saya sebenarnya mempunyai ramai sahabat-sahabat yang berkecenderungan dengan pemikiran wahhabi tersebut. Namun, saya perlu memperjelaskan isu ini tanpa saya menyerang peribadi-peribadi tersebut. Walaupun saya akui, saya kadang-kadang diserang secara peribadi dalam blog-blog tertentu.

Berkesempatan bulan yang penuh barakah ini, dalam kita berdepan dengan wacana yang memakan masa ini, marilah sama-sama kita menggunakan baki bulan Ramadhan ini untuk lebih melebatkan ibadat kita kepada Allah SWT, samada saudara-saudari bersetuju dengan hujah dan pandangan saya, atau tidak bersetuju.

Semoga Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang paling hebat di dalam hidup kita. Semoga Allah SWT merezekikan kita untuk terus melalui Ramadhan -Ramadhan mendatang.

Wallahu a'lam. Kullu 'am wa antum bi khayr.

Abu al-'Izz

Sunday 22 August 2010

Komen Artikel 'Semangat 1Malaysia dikhianati agensi agama?

Saya tertarik dengan posting Dr Juanda Jaya dalam Harakahdaily pada Ogos 2010 berkaitan dengan artikel Dato' Nakhaei Ahmad mengenai Wahhabi dalam Milenia Muslim, Ogos 2010. Lebih-lebih lagi Dato' Nakhaie ada mengaitkan dengan Negeri Perlis. Secara peribadi, saya mempunyai ramai sahabat-sahabat di Perlis dan Perlis adalah jiran kami di Changlun ini. Jadi, Perlis amat rapat dengan saya. Secara pengamatan, sebenarnya masih ramai masyarakat Islam Perlis yang pengamalannya sebagaimana majoriti umat iaitu bertaklid kepada imam-imam mazhab yang muktabar. Manakala sebahagiannya pula, bertaklid kepada penghuraian Mufti dan ustaz-ustaz yang sealiran dengannya. Selamat membaca artikel di bawah dan komen saya yang berwarna kuning.

SEMANGAT 1MALAYSIA DIKHIANATI AGENSI AGAMA ?
Dr Juanda Jaya


Sewaktu sambutan Ramadan 2010 baru-baru ini, rakyat negeri Perlis digemparkan oleh satu tulisan pada halaman 52-54 Edisi Ogos Majalah Milenia Muslim. Tulisan ini diisi dengan tuduhan palsu dan hasutan ganas untuk menentang negeri Perlis dan cemuhan terhadap amalan Islam di negeri ini.

(Komen Dr Asmadi: Perlis terpaksa membayar harga yang tinggi kerana pernah melantik orang yang berfahaman agak taksub dan membawa perpecahan umat di seluruh Malaysia. Sekarang Dr Juanda terpaksa membetulkannya)
Hal ini timbul setelah sebelumnya suatu Seminar Pemikiran Islam diadakan di sebuah Akademi Pengajian Islam Universiti awam yang turut mempertikaikan amalan Islam di Perlis yang telah dirasmikan oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Seminar yang didakwa sebagai akademik ini ternyata mengulangi tuduhan-tuduhan palsu yang sudah lapuk. Apakah artikel jahat ini adalah kesinambungan daripada seminar yang sebahagian kertas kerjanya memuji Gerakan Ahbash yang telah jelas fatwa kesesatannya oleh al-Azhar dan sebahagian besar ulama dunia Islam.

(Dr Asmadi: Mufti tidak sepatutnya melontarkan fitnah itu terhadap seminar yang dimaksudkan tersebut. Seorang Mufti sepatutnya memeriksa 'perkhabaran' yang didengar dengan lebih berhati-hati. Pastikan berita tu betul ke tidak. Lebih-lebih lagi, sebahagian masyarakat Perlis dah putuskan hubungan dengan imam-imam mazhab, maka Muftilah tempat taklidnya. Kalau mufti tidak cermat, amat membahayakan masyarakat sebab masyarakat akan terima bulat-bulat sebab dikatakan mengikut sunnah.
Saya hadir seminar tersebut dan saya tidak mendengar pun nama Kerajaan Negeri Perlis disebut atau diperkecilkan. Kemudian, bila pula seminar tersebut memuji Gerakan Ahbash? Pembentangnya pun yang membuat kajian pada gerakan Ahbash, mengkritik gerakan tersebut di sudut 'keekstreman' pada sesuatu isu! Pembentang-pembentang yang berfikrah Ahbash, kalau mengikut kata penganjur, bukannya pembentang jemputan tetapi mereka yang menghantar kertas untuk dibentangkan (call for paper) dan datang atas tambang sendiri. Justeru, Mufti kena lebih berhati-hati bila dah sanggup jadi Mufti).

Majalah Milenia dikatakan ada hubungan langsung dengan sebuah agensi dakwah peringkat kebangsaan yang dinaungi oleh kerajaan persekutuan. Majalah ini seolah-olah menjadi media dakwah rasmi agensi kerajaan persekutuan berkenaan dan diedarkan secara percuma ke masjid-masjid, surau-surau, agensi-agensi agama dan sebagainya di seluruh Negara. Tanpa sumber kewangan yang kukuh daripada wang milik kerajaan persekutuan untuk aktiviti dakwah penyebaran Islam, tidak mungkin majalah ini boleh berdiri sendiri. Malangnya kelihatan wang awam milik kerajaan persekutuan itu telah digunakan untuk menghasut bagi menentang sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

(Dr Asmadi: Saya dapat melihat Dr Juanda baru merasa kesan penulisan majalah. Cuma beliau mungkin lupa, beliau juga pernah menulis bersama-sama rakan-rakan sealiran dengannya dalam majalah yang mendokongnya melontarkan tuduhan serupa pada pihak lain. Dan kini, semacam suatu kebangkitan yang dilakukan oleh orang-orang agama untuk menolak 'aliran' yang dibawa oleh Dr Juanda dengan dinyatakan hujah-hujah kebatilan aliran baru ini). 


Perlis adalah sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia. Ia memiliki Raja pemerintahnya yang tersendiri. Raja yang berdaulat ini merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri ini. Hak dan keistimewaan Tuanku Raja dan pengamalan Islam di negeri ini dijamin oleh Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan negeri pada Fasal 5 jelas menyatakan bahawa agama bagi negeri ini ialah agama Islam Ahli Sunnah wal Jamaah. Ia telah termaktub sejak sekian lamanya.


Apa yang menjadi kemusykilan ialah, mengapa penulis artikel ini beriya-iya benar cuba memalitkan negeri yang permai lagi mempesona ini dengan tuduhan yang sering dinafikan sendiri oleh DYMM Tuanku Raja Pemerintah negeri Perlis, Ketua Agama Islam negeri Perlis. Yang terkini ialah titah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sewaktu majlis berbuka puasa Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Jawatankuasa Baitulmal Perlis dan Jawatankuasa Pelaburan Baitulmal Perlis pada 15 Ogos 2010 yang lalu yang menafikan kaitan negeri ini dengan “Wahabi” dan segala tuduhan liar yang menyatakan negeri ini menolak mazhab dan sebagainya. Utusan Malaysia 16 Ogos 2010 turut memetik titah ini kemudiannya.

(Dr Asmadi: Saya bersetuju supaya Perlis tidak dikaitkan dengan Wahhabi. Biarlah penentangan terhadap Wahhabi diteruskan tetapi tidak dikaitkan dengan Perlis).

DYMM Tuanku Raja Perlis sering meminta agar pihak yang keliru dengan pengamalan Islam di Perlis agar datang sendiri ke negeri ini bagi melihat amalan Islam di sini. Bahkan baginda menitahkan agar sesiapa yang meragui amalan di sini untuk membawakan hujah menurut al-Quran dan al-Sunnah bagi membuktikan bahawa amalan ini bertentangan dengan Islam. Namun hingga kini tuduhan liar sahaja yang dilemparkan dan tiada hujah akademik yang konkrit bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah yang dikemukakan.

(Dr Asmadi: Cadangan saya, mungkin Perlis perlu mempelbagaikan ahli Majlis agamanya untuk memastikan mereka benar-benar menepati al-Quran dan Sunnah. Kena panggil balik beberapa tokoh-tokoh agamanya dari negerinya sendiri seperti Dato Dr Haron Din, Dato' Hasan Din al-Hafiz supaya setiap keputusan dapat diperiksa ketepatannya oleh pakar-pakar yang juga mengikut al-Quran dan Sunnah, tetapi mempunyai penghuraian yang berbeza. Mengimport tokoh-tokoh luar yang sealiran, BUKAN JALANnya untuk mendakwa menegakkan al-Sunnah).

Perlis menghormati pandangan semua mazhab. Apa yang diamalkan adalah ia tidak terikat dengan mana-mana mazhab dan bertindak memilih amalan yang didapati menepati kehendak al-Quran dan al-Sunnah serta tafsiran para sahabat dan ulama Salafussoleh. Ini dilakukan kerana ia diyakini lebih hampir kepada kebenaran dan ketepatan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Hal ini sebenarnya turut dipraktikkan di negeri-negeri lain yang dikatakan mengikut mazhab tertentu yang sebenarnya turut sama memilih pandangan mazhab lain dalam banyak hal apabila didapati pandangan mazhab mereka sendiri kurang menepati kesahihan dalil syarak.


Perlis sudah membuktikan ia amat dinamik dan progresif dalam pengalaman Islamnya. Negeri ini sentiasa berusaha mencari solusi menurut al-Quran dan al-Sunnah dalam menawarkan penyelesaian isu-isu agama. Lantaran itulah pandangan agama dari negeri ini sering dijadikan rujukan oleh umat Islam seluruh Negara dan sebahagian besar amalan negeri ini dapat diterima di tempat lain secara meluas. Amalan yang bersandarkan nas al-Quran, al-Sunnah dan amalan para sahabat dan Salafussoleh sudah pasti menjadi tarikan kepada umat Islam mengikutinya kerana ia berasaskan dalil dan fakta yang sahih. Inilah rahmat dan hasil pembangunan pendidikan pada semua peringkat di Negara ini.


Apa yang menyedihkan ialah, pada saat kesatuan Negara semakin diperkukuhkan oleh slogan 1MALAYSIA yang dilaungkan oleh Kerajaan Persekutuan, namun masih wujud beberapa agensi agama di peringkat pusat yang mahu mencetuskan perbalahan isu keagamaan. Sedangkan hak setiap negeri telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Apakah wajar suatu pihak dalam agensi kerajaan mencanangkan seruan dan ajakan untuk menentang sebuah negeri yang berada dalam Persekutuan dan menuduh serta menghasut bahawa tindakan dan amalan keagamaan negeri itu adalah salah dan mesti ditentang? Apakah tindakan seperti ini tidak wajar untuk disiasat menurut Akta Hasutan? Atau apakah ini suatu bentuk Perlembagaan baru yang mahu diwujudkan oleh mereka yang bencikan kedamaian Negara ini?


Saya menyeru kepada pihak berwajib agama di peringkat persekutuan agar mengambil tindakan terhadap suara-suara ganjil yang anti perpaduan ini dan sentiasa mahu menghasut rakyat untuk berpecah belah. Saya juga meminta pihak keselamatan menyiasat dalang di sebalik tulisan jahat dalam majalah yang ada kaitan dengan agensi kerajaan ini memandangkan majalah ini disebarkan secara percuma dan meluas di seluruh Negara terutama di premis-premis berkaitan dengan agama Islam.


Semoga Allah terus memberi petunjuk kepada umat Islam Negara ini agar terus beramal menurut al-Quran dan al-Sunnah dan semoga Allah melimpahkan rahmatnya yang berkekalan untuk Negara ini dan memelihara Negara ini daripada anasir perosak dan pemecah belah kesatuan dan perpaduan rakyat.

Dr Juanda Jaya,
Kangar, 19 Ogos 2010.

(Sumber: http://www.harakahdaily.net/v2/index.phpoption=com_content&view=article&id=28251:semangat-1malaysia-dikhianati-agensi-agama&catid=27:surat-pembaca&Itemid=46)

Thursday 19 August 2010

MEMAHAMI KHUSUSIAT NABI SAW

Artikel yang baik memperkatakan muqaddimah mengenai kelebihan Nabi Besar Muhammad SAW bagi mengelakkan kekeliruan yang dicetuskan berkaitan memberi penghormatan kepada Nabi SAW. Selamat membaca terus dari Utusan Malaysia dengan klik pada tajuk di atas, atau membaca terus dari lampiran di bawah. Selamat membaca.

Memahami khususiat Nabi SAW
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ALHAMDULILLAH, kita sekali lagi dipanjangkan umur untuk bertemu dengan Ramadan kali ini. Semoga ia benar-benar menjadi gerbang ketakwaan bagi kita semua. Dalam ruangan ini, kita masih dalam usaha meluruskan fahaman terhadap kedudukan Nabi SAW yang tetap sebagai makhluk walaupun dikurniakan pelbagai keistimewaan oleh al-Khaliq SWT. Perlu diingat bahawa pengisian ilmu dan kefahaman adalah juga termasuk bentuk ibadah yang utama sama ada di bulan Ramadan atau selainnya.

Ramai manusia yang tersilap dalam memahami beberapa perkara yang menjadi persamaan di antara hak Khaliq dan hak makhluk. Mereka menyangka bahawa dengan menisbahkan atau menyandarkan hak Allah kepada makhluk merupakan perbuatan syirik.

Antara perkara yang menimbulkan permasalahan ini ialah sebahagian daripada khususiat Nabi SAW (Keistimewaan yang Allah kurniakan kepada Rasulullah SAW sahaja) yang tidak difahami dengan sebenar-benarnya.

Mereka menganggap bahawa menyifatkan Nabi SAW dengan sifat-sifat istimewa yang dikurniakan oleh Allah tersebut bermakna menisbahkan Baginda SAW dengan sifat-sifat ketuhanan.
Ini jelas merupakan suatu kejahilan kerana Allah SWT Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berhak memberikan apa saja kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya, tanpa ada yang mewajibkan atau memaksa-Nya. Dia juga berhak mengurniakan dan memuliakan sesiapa sahaja yang hendak diberikan kemuliaan, dinaikkan kedudukan dan dizahirkan kelebihannya atas manusia yang lain. Ini bukan merupakan pencabutan atau pencabulan hak-hak Allah SWT sebagai pentadbir alam dan juga sifat-sifat-Nya sebagai Tuhan Yang disembah. Hak-hak Allah dan sifat-sifat-Nya tersebut tetap terpelihara sesuai dengan maqam-Nya.

Apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya. Bukan dengan kekuatan makhluk ataupun pentadbiran atau perintahnya kerana makhluk itu lemah dan tidak berkuasa memberi manfaat dan menolak kemudaratan daripada dirinya sendiri, begitu juga mematikan atau menghidupkan. Telah berapa banyak keistimewaan yang menunjukkan bahawa ia adalah hak Allah, tetapi Dia berkenan mengurniakan kepada Nabi-Nya, Muhammad SAW dan nabi-nabi yang lain. Dalam pada itu, tidaklah diangkat darjat mereka hingga sampai ke maqam ketuhanan atau menjadi sekutu Allah.

Kesimpulannya, janganlah kita cepat menyalahkan perbuatan menyifatkan Nabi SAW dengan beberapa kelebihan yang tinggi kerana ia tidaklah bererti kita menyamakan atau menyekutukan Allah SWT dengan Nabi SAW. Sesungguhnya bahasa dan istilah perlulah ditunaikan haknya dan difahami dengan betul. Insya-Allah, kita akan menyambung tentang peranan penggunaan bahasa dalam konteks ini di minggu hadapan.