Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Thursday 27 May 2010

BERPOLITIK......

Pada bulan April 2010 yang lepas, saya ada membuat sedikit komen 'kedua-dua calon saya tak minat' ketika saya membuat posting gambar-gambar perjalanan saya ke Timur Tengah. Berkebetulan dekat dengan pilihanraya Hulu Selangor. Ada juga yang menghantar komen mengatakan saya buta politik.

Bukan berhasrat mempertahankan diri, saya tidak bercadang untuk memberi sebarang komen berkaitan dengan 'politik kepartian'. Saya memerhati politik tetapi bukan penganalisis politik. Namun saya mengundi dan menyintai perjuangan Islam... dan seterusnya..... namun tidak semestinya saya menyetujui setiap strategi dan ijtihad sahabat-sahabat kita yang melalui jalan ini...contohnya dalam isu kalimah Allah, saya lebih bersetuju dengan NGO Islam dan Dato' Dr Haron Din yang menentang Gereja Kristian menterjemahkan perkataan 'God' kepada kalimah Allah dalam bible bahasa Melayu..... minta mereka tukar dulu kalimah GOD kepada Allah dalam bible Inggeris di seluruh dunia......baru kita bicara untuk membenarkan pengunaan kalimah Allah..... dan berkenaan politik kepartian, tidak semestinya saya menyetujui calon-calon yang banyak mengguris isu-isu Shariah....walaupun dia seorang Islam...

Lebih menyusahkan untuk saya mempercayai golongan ini, bila keluar negara, walau dulu pemimpinnya pernah dianggap sebagai kader perjuangan Islam dan sekarang ni rapat dengan pemimpin-pemimpin parti Islam....namun kini dia menunjukkan sikap pluralisme agama (nampak sangat dakwah sahabat-sahabat kita dalam parti Islam tak berkesan di jiwanya). Dikatakan pula kolot bagi sesiapa yang hanya mempercayai kebenaran pada 'satu agama'. Saya tidak mempercayai golongan ini akan mendaulatkan agama Allah SWT melalui politik kepartian mereka.... bahkan akan memberi masalah pada suatu hari nanti .........

Sebab itu, mungkin saya lebih cenderung untuk berpolitik dengan cara saya iaitu membahaskan sesuatu isu secara akademik, separa akademik atau suatu perbincangan yang berbentuk 'relaks' di alam maya ini. Ini memberi kebebasan kepada saya untuk menulis dan mengkritik......

Manakala di alam nyata, sesekali membuat pengajian di masjid dan surau, membentang kertas-kertas kerja di seminar dan persidangan. Sesekali menulis di dada akhbar sekiranya mereka sudi menerbitkannya. Mungkin inilah politik saya buat masa ini termasuklah mendidik anak-anak didik saya ke arah keredhaan Allah SWT.

Di masa depan siapa tahu, mana tahu saya boleh berubah.......... cuma yang pastinya, untuk kita berubah ke arah lebih baik... Insya Allah...Wallahu a'lam.

Abu al-'Izz

Friday 21 May 2010

BAHANA TAASUB

Kita dikejutkan dengan laporan Berita Harian semalam 20 Mei 2010, yang mendedahkan kepercayaan baru bekas pengikut al-Arqam iaitu Abuya mereka, Asaari Muhammad 'tidak mati dan akan kembali'. Slogan baru mereka: 'Kalahkan nafsu Abuya pulang' adalan slogan yang akan mengaburi pengikutnya sampai hari kiamat.

Saya juga dikejutkan dengan panggilan wartawan Berita Harian untuk menemuramah saya mengenai 'suatu sandiwara' baru ini. Mungkin disebabkan saya pernah mendekati kumpulan ini ketika bersekolah dahulu. Dalam hati saya, susah mengubah mereka yang taksub kepada kumpulan ini. Datang apapun hujah, mereka ada takwil mereka sendiri. Mereka mengatakan 'masa akan menentukan'. Ruginya hidup, membiarkan masa berlalu berpegang pada perkara yang sia-sia dan boleh memudaratkan hidup dunia dan akhirat.

Mengenai dakwaan ghaib, saya pernah menjangkakan perkara ini bila berbual dengan rakan-rakan yang gemar membuat pengamatan terhadap kumpulan ini. Antara soalan cepumas saya: Apa berlaku nanti, sekiranya Abuya mereka meninggal dunia? Mereka senyap tak menjangka soalan tersebut. Saya nyatakan: Kemungkinan dia juga akan dianggap ghaib sebab mana mungkin dah mengaku jadi Bani Tamim dan sebagai pembantu Imam Mahdi, tiba-tiba Imam Mahdi belum turun, pembantunya dah meninggal. Justeru, untuk membenarkan 'cerita tersebut', dia perlu 'dighaibkan'! Dan tidak disangka-sangka, kajian pola pemikiran mereka ini menjadi benar. Akan ada juga orang lain yang akan menerima 'mesej-mesej' samada dari Sheikh Suhaimi atau 'Abuya'.

Suatu hari nanti, pengikut-pengikut mereka akan bertanya: Apasal Abuya tak turun-turun kembali? Pemimpin mereka akan jawab: "Kamu belum berjaya kalahkan hawa nafsu". Jadi, slogan ini pun, akan dipakai sehingga kiamat.

Pada saya, ada beberapa perkara kenapa mereka perlu watak 'Abuya' tersebut:
i. Untuk membenarkan cerita-cerita indah 'pemuda Bani Tamim', memikul bendera Imam Mahdi, munculnya daulah dan sebagainya.
ii. Asaari atau 'Abuya' sebagai karakter menyatukan pengikut kerana dia mempunyai keupayaan tersebut. Bila dia meninggal, watak tersebut perlu dihidupkan di alam ghaib dan menjadi pengikat untuk memastikan ketaatan pengikut. Ia menjadi impak besar dalam perniagaan mereka yang hanya membayar 'sara hidup cukup makan' sahaja untuk ahli-ahli atas nama berjuang menegakkan Islam.

Inilah bahana taasub. Kepatuhan kepada guru tidak dipisahkan dari Ketaatan kepada Allah SWT. Kepatuhan kepada guru pula, tidak disuluh dengan neraca Syarak. Perkara-perkara ghaib dijadikan mainan dengan mencipta pelbagai fenomena untuk mengasyikkan pengikut.

Fatwa sudah dikeluarkan. Para ustaz dan guru-guru telah menentang aliran dan pembawaan kumpulan ini. Takdir Allah SWT juga telah datang apabila guru mereka menyambut panggilan ilahi. Malang apabila semua itu gagal membuka hati dan minda mereka. Lebih malang, mereka terpaksa mempercayai kepercayaan karut yang baru.

Secara peribadi, saya mendoakan semoga kerja dakwahnya pada zaman awal al-Arqam diterima oleh Allah SWT khususnya pada tahun 70an ke awal 90an, yang menjadikan al-Arqam ketika itu sebagai pencetus industri makanan halal Islam (ramai yang kenal dengan kicap dan sos tomato al-Arqam), memakai tudung dan purdah, industri Nasyid dengan Nadamurni, perkampungan Islam contoh, usaha dakwah di ceruk Sabah & Sarawak dan lain-lain. Bekas-bekas pengikut inilah (yang terus meninggalkan ajaran al-Arqam) yang kini menggerakkan pemakanan halal seperti  sebuah syarikat pengeluar pemakanan terkenal di Utara tanahair yang mengeluarkan makanan halal, kumpulan Nasyid Rabbani, Hijaz dan Raihan yang menerajui industri Nasyid, peneraju Koperasi Ukhwah yang juga menggerakkan aktiviti ekonomi Islam serta ramai individu lain berjaya dalam pelbagai aktiviti perniagaan lain. Walaupun begitu, ramai juga yang hanyut ditelan oleh kealpaan diri dari cita-cita memperjuangkan Islam sehingga meninggalkan terus Islam sebagai satu cara hidup, lantas menjadikan mereka terlibat semula dengan segala kemungkaran.

Pada masa yang sama semoga segala kesalahannya diampuni Allah SWT di atas kesilapannya selepas itu apabila membawa al-Arqam/Rufaqa' melayari bahtera kerohanian yang tidak ketahuan. Setiap manusia tidak sunyi daripada kesalahan. Mana tahu, peranan mentaksubkan pengikut-pengikut mereka, dimainkan juga oleh orang lain setelah kesihatan Abuya mereka semakin merosot sejak 2004 yang lalu dan secara realitimya ditakbir oleh orang lain dan bukan Abuya mereka sejak tempoh itu.

Di sudut ilmu Islam, pembawaan kumpulan ini telah dan akan membawa imej yang negatif kepada aliran tasauf. Tasauf akan terus dinegatifkan disebabkan pembawaan kumpulan ini yang lari dari 'mainstream' umat. Tasauf yang asalnya murni, telah dipalitkan dengan perlakuan ini. Beruntunglah kalau kita mempunyai tokoh seperti al-Imam al-Qusyairi yang cuba menghilangkan 'al-syatahat al-sufiyyah' dan memurnikan kembali pembawaan sufi.

Lebih sayang lagi, di kalangan mereka mempunyai semangat perjuangan Islam yang tinggi, namun tersilap langkah memilih perjuangan al-Arqam (bekas al-Arqam) yang telah berubah dari perjuangan asal pertubuhan ini diperingkat awal penubuhannya.

Pengajarannya, tuntutlah ilmu dari ramai guru dan bukan dari kelompok kumpulan kita sahaja untuk mengelakkan bahana taasub. Berhati-hatilah dengan 'al-kazzab' (pendusta) dalam agama, samada dari aliran tasauf, wahhabi, salafi dan sebagainya. Periksalah kata-kata imam-imam yang disandarkan, sebabnya kebanyakkan imam-imam muktabar berkemungkinan tidak mengatakan sedemikian, tetapi nama mereka digunakan sewenang-wenangnya.

Allahu al-Musta'an. Semoga kita semua dianugerahkan Allah SWT dengan jalan yang lurus.

Abu al-'Izz

Sunday 9 May 2010

JANGAN SAKITI RASULULLAH

Alhamdulillah, jawapan yang lebih menyeluruh oleh Sheikh Fuad. Terguris hati bila ada usaha yang mahu 'menjuarai mengkufurkan ibubapa Nabi SAW atas alasan dan atas nama 'pejuang sunnah'. Pejuang sunnah sebenarnya amat rapat 'periwayatan' dan hubungan kerohaniannya dengan Rasulullah SAW. Namun apakan daya, ramai yang mendakwa dirinya sebagai 'perawi-perawi hadis dan pejuangnya' namun gersang di sudut kerohaniannya dengan Rasulullah SAW. Selamat membaca artikel di bawah, atau klik tajuk di atas untuk membaca terus dari Utusan Malaysia, 7 Mei 2010.

Jangan Sakiti Nabi


Oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat, Yayasan Sofa Negeri Sembilan)

Sesiapapun akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut dihadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada diantara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya. Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab dihadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan ini dengan sabdanya, “Jangan engkau mencerca mereka yang mati lalu engkau menyakiti mereka yang hidup.” sabda Nabi SAW (riwayat al-Tirmizi).

Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam Neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apapun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhlukNya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam Neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulang-ngulangkan kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan RasulNya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan timbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menempati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menanggapinya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan diperbetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam Neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satu daripadanya, Nabi SAW bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah yang dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu`ara’ yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud”. Ibnu `Abbas RA, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi dikalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan Rasul-rasulNya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An`aam:131, al-Syu`araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada dizaman yang tiada rasul padanya yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW. Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An`aam : 74). Ada juga pandangan ulama’ bahawa kedua-dua hadis riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihatkan betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz ada dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn `Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, “Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab- kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta`dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-`Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum`ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. InshaAllah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasihNya dalam rantaian keturunan hamba-hambaNya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah dan pertanggungjawaban. Bagi masyarakat am pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di tv dan popular di internet tidaklah semestinya terjamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

HURAIAN IBUBAPA NABI DALAM SYURGA

Alhamdulillah Us Farid Ravi kelihatan membetulkan huraian pertamanya (minggu sebelumnya) mengenai status ibubapa Rasulullah SAW dengan lebih berhati-hati. Saya berminat dengan cara huraiannya dalam ruangan soal-jawab ini sebelum ini, tapi saya melihat sedikit kegopohan pada huraiannya yang lepas mengenai status ibubapa Nabi SAW. Tahniah kepada sahabat-sahabat yang menghantar hujah-hujah kepada Us Farid untuk menilai semula jawapannya. Walaupun artikel ini sedikit sebanyak mengubah jawapan yang lepas, namun kesan artikel lepas mungkin sukar dikembalikan. Selamat membaca jawapan di bawah, atau klik terus untuk membaca dari Urusan Malaysia, 6 Mei 2010.

Huraian ibu bapa nabi dalam syurga

SOALAN

Saya membaca dengan teliti jawapan tentang status ibu bapa Nabi dalam jawapan minggu lalu. Cuma, ada pendapat yang mengatakan ibu bapa Nabi berada dalam syurga. Boleh ustaz huraikan?



JAWAPAN:


PENDAPAT ulama yang mengatakan ibu bapa nabi SAW di dalam syurga. Kebanyakan ulama tidak suka berbincang topik ini termasuklah saya atas dua alasan. Yang pertama apa kepentingan tajuk ini, dan keduanya apa manfaat yang diperolehi sesudah kita bincangkan suatu yang menjadi hak Allah SWT.


Namun, minggu lepas soalan ini dijawab. Sebenarnya, soalan sebegini dikhuatiri akan menyinggung Rasulullah SAW.
Oleh itu harus dielak membincangkan perkara yang menjadi hak mutlak Allah SWT. Kita wajib beriman bahawa, syurga itu adalah hak Allah neraka juga adalah hak Allah SWT.


Keputusan muktamad siapa ke syurga dan neraka juga menjadi hak Allah SWT. Allah akan memasukkan ke dalam syurga-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya dan akan dihantar ke neraka sesiapa yang dikehendaki-Nya.


Kita yakin dengan sepenuh hati bahawa sifat Rahmat mengatasi sifat kemurkaan-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: …Ia telah mewajibkan atas diri-Nya memberi rahmat… (al-An'am: 12)


Di dalam mentafsirkan ayat ini Sayyid Qutub telah memberi huraian yang sangat menarik. Jelas beliau: "Allah SWT telah menetapkan rahmat dengan kehendak dan kemahuan-Nya, ini merupakan keadaan ketetapan-Nya ke atas ciptaan-Nya, dan itu jugalah kaedah yang dilimpahkan ke atas ciptaan-Nya di dunia mahupun di akhirat…" (Sayyid Qutub, Fii Zilal al-Quran, jld: 2, hlm: 1048, lihat Muhammad al-Tahir ibn 'Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, jld: 3, hlm: 151)


Al-Tabrisiy berpendapat: "Allah SWT telah mewajibkan atas diri-Nya memberi nikmat rahmat kepada ciptaan-Nya". (al-Fadl Hasan al-Fadl al-Tabrisiy, jld: 4, hlm:11)


Allah berfirman yang bermaksud: …Tuhan kamu telah mewajibkan atas diri-Nya sendiri akan memberi rahmat…(al-An'am: 54).


Sebahagian ulama berpendapat ibu bapa Nabi SAW berada dalam syurga dengan beberapa alasan yang berikut:

1- Sesungguhnya keturunan bapa Nabi SAW, Abdullah bin Abdul Mutalib dan bonda Nabi SAW, Aminah daripada Nabi Adam a.s hingga Abdullah bin Abdul Mutalib tidak ada yang kafir, ini kerana keturunan asal Nabi SAW adalah suci dan baik.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya golongan musyrikin adalah najis…(al-Taubah: 28). Najis dalam ayat ini bermaksud kotornya akidah mereka kerana menyembah selain Allah. (Fakhruddin al-Razi, tafsir al-Kabir, jld: 16, hlm: 21, lihat Muhammad al-Tahir ibn 'Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, jld: 3, hlm: 151)


Sehingga kini tiada nas secara jelas sama ada daripada ayat al-Quran mahupun hadis atau mana-mana buku tarikh (sejarah) yang membuktikan bahawa ibu bapa Nabi SAW terlibat dalam penyembahan berhala.


Ini bermaksud mereka suci daripada melakukan amalan jahiliah. Dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim baginda bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memilih bani kinanah daripada keturunan Nabi Ismail lalu memilih kaum Quraisy daripada kalangan bani kinanah, daripada Quraisy memilih bani Hashim lalu Allah memilihku daripada keturunan bani Hashim. (riwayat Muslim, Sahih Muslim, no: 5897, Kitab: al-Fadail, Bab: Fadl Nasab al-Nabiy, jld: 15, hlm: 38)


Asal usul keturunan Rasulullah SAW bersusur galur dan ada rantaian yang sah daripada Nabi Ismail a.s daripada Nabi Ibrahim a.s.

Doa Nabi Ibrahim a.s melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail): orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 128).


2- Dalam hadis yang dikeluarkan oleh Abu Nuaim, al-Thabariy dan Ibn 'Asakir daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud: "Aku telah keluar daripada hasil nikah dan bukan daripada keturunan yang rosak, sedang aku adalah daripada keturunan Adam sehingga telah dilahirkan akan aku oleh Ibu dan Ayahku sedang aku tidak pernah ditimpa sebarang perbuatan jahat orang jahiliah". (al-Sayuti, al-Dur al-Manthur, jld:3, hlm: 294)


Dalam riwayat yang lain daripada Abu Nuaim al-Asbahaniy, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ibu bapaku tidak pernah (beramal) dengan amalan jahiliah (menyembah berhala) sedang Allah SWT mengeluarkan daku daripada asal-usul yang baik ke rahim yang yang suci bersih (solid) sedang tidak bercambah kepada dua melainkan aku adalah yang terbaik daripada keduanya. (al-Sayuti, al-Dur al-Manthur, jld: 3, hlm: 294)


3- Imam Jalaluddin al-Sayuti di dalam karya beliau Masalik al-hunafa' fi Islam waaliday al-Mustafa membuat ketetapan seperti berikut: "Sesungguhnya jalan hidup kedua-dua mereka (ibu bapa Nabi SAW) adalah meninggal sebelum baginda di utus menjadi Rasul dan tiada penyiksaan sebelum itu kerana risalah Islam belum sampai kepada mereka berdua.

Keadaan ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: …Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah. (al-Israk: 15)


Pak Hamka di dalam tafsirnya menyebut: "ertinya tidaklah Allah sewenang-wenang saja memasukkan hamba-Nya ke neraka lantaran satu kesalahan sedang mereka belum diutus seorang Rasul pun". (Prof. Dr. Hamka, jld: 6, hlm: 4,024)


Berdasar ayat ini sepakat al-'Asyairah daripada kalangan ahli Kalam dan Usul, begitu juga dengan ulama al-Syafieyah daripada kalangan fuqaha berpendapat, sesiapa yang meninggal sebelum sampai kepada mereka dakwah maka meninggallah mereka dalam keadaan selamat (bebas daripada api neraka).


4- Tidak tersabit secara jelas yang mereka berdua (ibu dan ayah Nabi SAW) pernah menyembah berhala. Maka dan mereka adalah terdiri daripada kalangan ahli fatrah (tempoh belum sampai utusan Allah).


Datuk mereka adalah Ibrahim a.s seperti mana terdapat kumpulan daripada keturunan ini menyembah Allah SWT yang masih beriman kepada Allah SWT seperti Zaid bin Amru bin Nufail dan Warqah bin Naufal.


Lalu pandangan inilah yang didokong dan disokong oleh sekumpulan ulama seperti Imam Fakhruddin al-Raziy.

Kesimpulannya, mengikut sebahagian ulama, ibu bapa Nabi saw di dalam syurga. Ini kerana mereka tidak terlibat dengan aktiviti jahiliah, dan mereka tergolong dalam ahli fatrah.