Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Tuesday 28 December 2010

DR JUANDA, SALAH KIASAN ITU.....PEGUAM SYAR’IE BUKAN MACAM WAKIL JUALAN DI TESCO

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim
Universiti Utara Malaysia


Saya membaca pertentangan pandangan Dr Juanda Jaya dan Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan keharusan melantik orang bukan Islam sebagai Peguam Syar’ie. Pertentangan ini berlaku mungkin di atas sifatnya isu ini Rasulullah SAW tidak menyebut kata-kata yang tepat sebegini: “Jangan kamu melantik peguam Syari’e dari golongan kafir!”. Lantas, atas alasan ini, menurut Dr Juanda, isu larangan ini tidak ada nas al-Quran untuk melarangnya kerana peguam Syar’ie lebih bersifat ‘kontrak wakalah’ sebagaimana dalam perceraian dan jual beli. Lebih-lebih lagi, dalam kes cerai, seseorang boleh melantik seorang kafir untuk menceraikan isterinya sebagaimana pandangan kebanyakkan ulama.


Justeru, Dr Juanda lebih mengkiaskan urusan Guaman Syar’ie kepada urusan jual beli dan urusan cerai di atas nama urusan keduaniaan sesama manusia. Benarkah begitu? Mungkin beliau berpegang teguh kepada pembahagian yang selalu beliau pakai: “Pertambahan dalam ibadah bid’ah dilarang, dalam kehidupan dibolehkan”. Pada saya, inilah bahayanya pembahagian umum sebegini. Pembahagian ulama-ulama silam bahawa bid’ah terbahagi kepada lima hukum adalah lebih selamat sebagaimana disebut oleh al-Imam al-Izz bin Abd al-Salam.

Hukum nikah kahwin ialah urusan sesama manusia yang ada suruhan Syarak, maka hukum asalnya ialah haram. Maka tidak boleh dikatakan ada ikatan atau hubungan, sehinggalah ada bukti ikatan perkahwinan berlaku, maka perlu kepada saksi dan wakil beragama Islam. Namun perceraian, hukum asalnya ialah mudah dilakukan berdasarkan hadis, tiga perkara betul-betul padanya adalah betul, main-main melafazkannya juga dikira betul (sah). Atas alasan itu ulama membenarkan wakil orang kafir kerana Syarak menetapkan mudah jatuhnya perceraian walaupun secara main-main.

Sebaliknya, persoalan kehakiman ialah persoalan urusan sesama manusia yang juga ada panduan Syarak. Namun hukum asal pada persoalan kehakiman ialah ‘tathabbut’ (mendapatkan kepastian dan keadilan), bukannya seperti ‘jual beli’ yang lebih kepada kelonggaran dan keharusan!

Sebab itu, mengkiaskan urusan guaman Syar’ie kepada Nabi Muhammad SAW pernah bermuamalah (berurusniaga) dengan menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi, adalah kiasan yang salah. Mana mungkin, urusan jual beli dikiaskan dengan urusan mahkamah.

Terdapat beberapa hujah yang Dr Juanda mengkiaskan isu ini dengan suatu suasana pemerintahan yang bukan sepenuhnya mengikut kehendak Syara’ dan dalam keadaan umat Islam lemah, lalu dijadikan hujah untuk membenarkan Peguam Syar’ie, walhal kita ada kekuatan untuk mempertahankan urusan guaman Syari’ie supaya berada dalam ‘haimanah’ (penguasaan) umat Islam. Malangnya Dr Juanda menutup pemikirannya pada persoalan ini. Walhal mengekalkan ‘haimanah’ ini adalah tidak salah di sudut Syarak. Di sinilah kebijaksanaan ahli-ahli lain Majlis Fatwa Kebangsaan yang lain apabila tidak membicara isu haimanah secara terbuka kerana ia mengundang isu sensitif.


Demikian juga, beliau mengkiaskan isu ini dengan perlaksanaan di sebuah negara Sosialis iaitu Mesir. Saya sedikit kehairanan dan ingin tahu semenjak bila pula ulama-ulama Azhar berperanan menggubal undang-undang di Negara tersebut? Seorang tokoh iaitu al-Sanhuri berhijrah dari undang-undang sekular negaranya ke arah fiqh Islam.


Namun begitu, perlu diingat, larangan ini tidak bermaksud orang-orang bukan Islam tidak boleh menuntut haknya dengan menggunakan peguam Muslim. Kebenaran wajib ditegakkan walaupun kepada orang-orang bukan Islam. Ini disokong oleh kisah yang disebutkan beliau bahawa Saidina Ali bin Abu Talib RA pernah bertelingkah di mahkamah kerana urusan baju besinya dengan seorang Yahudi?

Namun ia bukannya dalil boleh melantik peguam Syar’ie di kalangan orang Bukan Islam. Sebaliknya ini adalah dalil setiap orang Bukan Islam berhak mempertahankan diri. Persoalannya, bolehkah menggunakan dalil ini untuk membenarkan perlantikan Peguam Syar’ie Bukan Islam, kemudiannya orang Islam akan melantiknya? Adakah Dr Juanda akan pasti, kita boleh juga menggubal undang-undang melarang orang Islam melantik Peguam Syar’ie yang Bukan Islam. Pasti semakin menampakkan prejudis!

Seharusnya, kita tidak mempunyai masalah mengistinbat hukum sekiranya tidak ada kata-kata yang betul-betul menyebut persoalan ‘peguam syar’ie’. Inilah masalahnya bila kita menyempitkan pengeluaran hukum kepada al-Quran dan sunnah, walhal ulama-ulama silam telah menggariskan banyak cara untuk mengeluarkan hukum supaya bertepatan dengan ruh Syarak. Hujjah dan dalil dlm Syariah Islam bukan hanya al-Quran & sunnah. Di situnya keperluan kembali kpd ijma', qiyas (bukan qiyas ma'a al-fariq), qaul sahabi dan lain-lain dengan juga melihat 'kesan-kesan tindakan' kpd fatwa (ma alat al-af'al).

Bila seseorang hanya mengkhususkan sumber hukum pd al-Quran & sunnah, bila tiada 'nas', mereka akan menggelabah menggunakan akal dengan alasan tiada 'nas'. Akhirnya, dalam banyak perkara kita menggunakan akal dan tidak berpegang kepada ruh Syariah.


Sepatutnya isu-isu bidang kehakiman dikiaskan dengan isu-isu berkaitan kehakiman seperti kelayakan hakim, saksi, penulis kes dan penterjemah perbicaraan, bukan dikiaskan dengan isu-isu jual beli. Tidak sepatutnya peguam Syar’ie dikiaskan dengan wakil jualan di Tesco dan Giant kerana hukum asal jual beli adalah harus, tapi hukum asal dalam kehakiman adalah tathabbut (mendapatkan kepastian), dan hukum asal pada al-abda' (kemaluan/nikah kahwin) adalah haram.


Alangkah baiknya sekiranya Dr Juanda dan JAKIM menghalusi persoalan ini dengan mengkiaskan dengan persoalan al-Katib (penulis perbicaraan) dan al-Mutarjim(penterjemah) dalam menentukan keperluan kepada beragama Islam. Adalah tidak sesuai mengkiaskan persoalan kehakiman ini kepada urusan jual-beli.


Saya memetik kata-kata Ibn Qudamah (sebab Dr Juanda memetik kata-katanya) mengenai al-katib: “Tidak boleh seorang bukan Islam menjadi penulis di sisi Hakim kerana apa yang dibuat oleh Hakim adalah dari urusan agama, mereka (Bukan Islam) kebiasaannya mengkianati umat Islam dalam urusan agama dan membawa kefasadan, demikian juga Penulis kepada Hakim ini dimuliakan di kalangan manusia, maka kita dilarang memuliakan mereka”.


Jadi, ada dua isu iaitu urusan kehakiman juga adalah urusan agama dan memuliakan mereka dengan jawatan yang mulia ini. Peguam Syar’ie mulia sifatnya. Tidak membenarkan mereka menjadi ‘Penulis’, bukan bererti kita mahu menzalimi mereka dalam urusan kehakiman.


Lihat pula, kata-kata al-Imam Malik berkaitan dengan kelayakan Penterjemah (al-Mutarjim) dalam Tabsirah al-Hukkam: “Maka hendaklah menterjemahkannya seorang Muslim yang boleh dipercayai, kalau dua orang, adalah lebih baik”.

Akhirnya, akal yang terbuka sememangnya berpegang Peguam Syar’ie dan Penterjemah adalah insan yang mulia. Mana mungkin kita samakan Peguam Syar’ie dengan wakil-wakil urusan jualbeli macam di Tesco, Giant atau syarikat MLM lain. Wallahu Ta’ala a’lam. Semoga Allah SWT memberikan kita hidayah dan taufiq sebagai pemegang amanah ilmu di bumi Allah ini.

Thursday 23 December 2010

GURUKU KEMBALI KE RAHMATULLAH- AL-FATIHAH


Saya mendapat berita pada 20 Disember lalu, salah seorang guru saya ketika di Jordan iaitu al-Shaykh Dr. Nuh Ali Salman al-Qudah telah kembali ke rahmatullah pada pagi 19 Disember 2010. Pengajian kami di tahun 1990an dengan beliau di Masjid Biru Abdali ketika beliau menjawat jawatan Mufti Tentera Jordan, di samping kunjung mengunjung ke rumah beliau di Irbid selepas beliau bersara dari menjadi Mufti. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas ruhnya dan menyertakan di dalam golongan syuhadak dan solihin. Amiin. Al-Fatihah.


Petikan dari Laman Sawanih wa Khawatir di http://sawanih.blogspot.com/2010/12/mantan-mufti-jordan-kembali-ke.html

Telah kembali ke rahmatullah pagi tadi, 19 Disember 2010, Samahatus Syeikh Nuh 'Ali Salman al-Qudah, mantan mufti Jordan, dalam usia sekitar 71 tahun. Beliau adalah kelahiran tahun 1939 di 'Ain Jina, Muhafazah 'Ajlun. Bapanya Syeikh 'Ali al-Qudah adalah faqih mazhab Syafi'i. Beliau menerima ijazah dari ramai ulama-ulama Syam, terutama Syeikh 'Ali al-Daqr. Antara guru-guru Syeikh Nuh al-Qudah yang lain ialah: Syeikh 'Abd al-Karim al-Rifa'i, Syeikh 'Abd al-Razzaq al-Himsi, Syeikh Mahmud al-Rankusi, Syeikh al-Murabbi Muhammad al-Hasyimi, dan lain-lain. Dari Syeikh Muhamad al-Hasyimi beliau mengambil Tariqat Syaziliyyah.

Beliau juga pernah belajar dengan ramai ulama-ulama Dimasyq di Fakulti Syariah, Dimasyq, seperti Syeikh Mustafa al-Zarqa, Dr. Wahbah al-Zuhayli, Syeikh 'Abd al-Rahman al-Sabuni, Syeikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Fawzi FayduLlah dan lain-lain. Beliau bergraduan dari fakulti tersebut pada tahun 1965. Antara rakannya pada masa itu ialah al-Muhaddith Syeikh Muhammad 'Awwamah. Pada tahun 1972, beliau dilantik sebagai mufti Tentera.

Pada tahun 1977 beliau ke Kaherah, Mesir dan menimba ilmu dari ulama-ulamanya seperti Syeikh 'Abd al-Ghani 'Abd al-Khaliq, Syeikh Hasan al-Syazili dan juga Syeikhul Azhar pada masa itu Syeikh 'Abd al-Halim Mahmud. Beliau berjaya memperolehi ijazah masternya dari Universiti al-Azhar di bawah seliaan Syeikh Muhammad al-Anbabi dengan tajuk (قضاء العبادات والنيابة فيها) pada tahun 1980. Manakala ijazah kedoktorannya pula diperolehi dari Universiti Islam Muhammad bin Su'ud di Riyadh pada tahun 1986 dengan tajuk (إبراء الذمة من حقوق العباد).

Sepanjang tugasnya sebagai mufti, beliau telah mengeluarkan ribuan buah fatwa berkaitan agama dan juga manusia. Pada tahun 1996 beliau menjadi duta Kerajaan Jordan di Iran sehingga tahun 2001. Pada tahun 2004, beliau bertugas dalam bidang penfatwaan di Emirates dan juga sebagai penasihat Menteri Keadilan, Wakaf dan Hal-Ehwal Islam sehingga tahun 2007. Pada tahun tersebut beliau dilantik sebagai mufti am Kerajaan Jordan sehinggalah beliau bersara pada bulan Februari 2010 yang lalu.

Antara karya-karya beliau ialah;
* قضاء العبادات والنيابة فيها.

* إبراء الذمة من حقوق العباد.

* محاضرات في الثقافة الإسلامية.

* المختصر المفيد في شرح جوهرة التوحيد.

* شرح المنهاج في الفقه الشافعي.

* كيف تخاطب الناس.

* لم تغب شمسنا بعد.

* صفات المجاهدين.

* مولد الهادي صلى الله عليه وسلم. 
Rujukan:

Wednesday 22 December 2010

KOMEN DR ASMADI: TIADA NAS LARANG NON-MUSLIM JADI PEGUAM SYAR'IE? ATAU DR JUANDA TAK JUMPA ‘NAS’?

Tiada nas atau Dr Juanda tidak menjumpai nasnnya? Atau Dr Juanda tidak menjumpai syarahan ulama silam terhadap dalil-dalil yang berkaitan isu ini? Saya coretkan ulasan saya terhadap pandangannya dalam tulisan berwarna kuning. Selamat membaca. Artikel aslinya ada di website di bawah. http://malaysiakini.com/news/151256



TIADA NAS LARANG NON-MUSLIM JADI PEGUAM SYARIE
Dr Juanda Jaya

Saya ingin mengulas isu ini bagi memenuhi amanah ilmiah dan ketelusan dalam menjelaskan fakta sebenar yang saya ketahui. Ia bukan bertujuan subjudis, tetapi lebih kepada penjelasan fakta ilmiah dan keadaan yang berlaku yang saya turut hadir.

Saya hadir Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-92 di Melaka baru-baru ini. Apa yang saya ketahui bukan semua ahli bersetuju untuk menyatakan secara tuntas agar non-Muslim dihalang daripada menjadi peguam syarie.

Jelasnya, dakwaan bahawa Muzakarah Fatwa Kebangsaan mencapai keputusan sebulat suara dalam hal ini adalah tidak berlaku sama sekali.

Yang berlaku adalah sebahagian ahli muzakarah, termasuk saya, mahukan agar perkara ini diperhalusi dengan lebih mendalam menurut nas al-Quran dan al-Sunnah. Ia adalah keputusan premature (pramatang).


Saya juga mahukan agar kertas ini dihalusi di peringkat fatwa negeri-negeri. Kertas yang disediakan oleh Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) didapati tidak mantap dan tidak mempunyai asas yang kukuh daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Dalil yang digunakan adalah tidak tepat pada isunya

Kertas Panel JAKIM itu hanya menumpukan tentang nas ayat-ayat walayah (kepimpinan) yang melarang Muslim menjadikan non-Muslim sebagai wali atau pembantu dan penolong dalam urusan mereka, sedangkan saya dan beberapa ahli lain berpandangan, hal ini berkaitan soal wakalah (perwakilan), bukannya urusan walayah (kepimpinan).

Isu perwakilan, bukan kepimpinan

Kalaulah ayat walayah (kepimpinan) digunakan dalam hal ini, maka akan berlaku kacau-bilau urusan kenegaraan di Malaysia. Pemikiran ala-Taliban dan ekstrim seperti ini tidak wajar wujud di Malaysia.

(Dr Asmadi: Ini bukan teknik ilmiah dalam berhujah. Bila berlawanan pendapat, menuduh ala-Taliban dan ekstrim. Tidak sepatutnya Mufti keluarkan perkataan ini. Ini susah jadi mufti kalau tak cermat).


Akan timbul kelak persoalan, apakah sah lantikan para menteri bukan Islam bagi membantu menguruskan orang Islam, apakah sah para ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan dan agensi kerajaan dilantik dari kalangan non-Muslim?

Sudah tentu kekecohan akan berlaku. Dan kekecohan ini akan bermula dengan perkara kecil seperti soal wakalah non-Muslim untuk menjadi peguam bagi urusan orang Islam.


(Dr Asmadi: Dr Juanda mengkiaskan isu ini dengan suatu suasana pemerintahan yang bukan sepenuhnya mengikut kehendak Syara’ dan dalam keadaan umat Islam lemah, lalu dijadikan hujah untuk membenarkan Peguam Syar’ie, walhal kita ada kekuatan untuk mempertahankan urusan guaman Syari’ie supaya berada dalam ‘haimanah’ (penguasaan) umat Islam. Malangnya Dr Juanda menutup pemikirannya pada persoalan ini).

Bahkan menurut pandangan Mazhab al-Syafie sendiri yang menjadi mazhab rasmi Malaysia, menerusi pandangan ulama dan kitab yang sentiasa menjadi rujukan ulama di Malaysia, al-Imam al-Sharbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj menyatakan bahawa seorang lelaki Muslim boleh mewakilkan seorang kafir dalam urusan menceraikan isterinya yang Muslimah.

Hal yang sama turut disebut oleh para ulama lain seperti al-Dasuqi dari kalangan mazhab Maliki dan Ibnu Qudamah dari kalangan ulama mazhab Hanbali.

Ulama mazhab Hanafi lebih terbuka dalam hal ini. Inilah pandangan sebenar jumhur (majoriti) ulama dalam hal ini. Hanya mazhab Syiah yang tidak membenarkan.

Urusan wakalah guaman adalah termasuk urusan keduniaan sesama manusia. Sikap Islam dalam urusan sesama manusia adalah amat terbuka dan toleransi, kerana ia bukan soal akidah dan ibadah.

(Dr Asmadi: Dr Juanda lebih mengkiaskan urusan Guaman Syar’ie kepada urusan jual beli atau wakil lafaz cerai. Di atas nama urusan keduaniaan sesama manusia. Benarkah begitu? Dia terpengaruh dengan pembahagian yang selalu dia pakai: Pertambahan dalam ibadah bid’ah, sdalam kehidupan dibolehkan. Inilah bahayanya pembahagian umum sebegini. Pembahagian ulama-ulama silam bahawa bid’ah terbahagi kepada 5 hukum adalah lebih selamat yang menunjukkan bid'ah ada juga yang terlarang dalam persoalan bukan ibadah.

Hukum nikah kahwin ialah urusan sesama manusia yang ada suruhan Syarak, maka hukum asalnya ialah haram. Maka tidak boleh dikatakan ada ikatan, sehinggalah ada bukti ikatan perkahwinan berlaku, maka perlu kepada saksi Muslim. Tapi perceraian, hukum asalnya ialah dipermudahkan berdasarkan hadis, 3 perkara betul-betul padanya adalah betul, main-main melafazkannya juga dikira betul (sah). Atas alasan itu ulama membenarkan wakil orang kafir kerana Syarak melonggarkan persoalan perceraian!


Sebaliknya, persoalan kehakiman ialah persoalan urusan sesame manusia yang juga ada panduan Syarak. Namun hukum asal pada persoalan kehakiman ialah ‘tathabbut’ (mendapatkan kepastian dan keadilan), bukannya seperti ‘jual beli’ yang lebih kepada kelonggaran dan keharusan!)


Undang-undang Mesir


Oleh itu, Ibnu Qudamah dalam al-Mughni menyatakan bahawa 'ammah Ahli al-'Ilm (keseluruhan ulama) menyatakan boleh dan sah orang kafir menjadi wakil orang Islam dalam urusan sesama manusia kecuali dalam beberapa masalah wasiat dan wakaf. Hal seperti ini yang sepatutnya diperincikan.

(Dr Asmadi: Kena perincikan pandangan Ibn Qudamah ini. Dr Juanda Tidak boleh menggunakan tag ‘urusan dunia’ yang Ibn Qudamah guna tu untuk menghalalkan pandagannya)


Undang-undang mahkamah di Mesir memberikan kebenaran kepada non-Muslim menjadi wakil mereka dalam urusan guaman di mahkamah.
Pasti juga para ulama al-Azhar di sana melihat nas dan pandangan ulama yang dinyatakan tadi demi kerukunan dalam hidup bernegara di antara Muslim dan non-Muslim.

(Dr Asmadi: Sejak bila undang-undang Mesir mengikut Syarak? Yang kita tahu mereka berfahaman sosialis. Sejak bila pula ulama-ulama Azhar berperanan menggubal undang-undang Mesir? Sebab Itu al-Sanhuri boleh berhijrah ke alam Fiqh Islam menggunakan teori kehakiman sekular yang ia miliki. Kalau adapun pada masalah undang-undang keluarga).

Malaysia pernah digemparkan suatu ketika dahulu masalah perebutan jenazah yang dipertikaikan status keislamannya di Mahkamah Syariah dan mahkamah sivil.

Muncul suara pada ketika itu membenarkan non-Muslim memfailkan di Mahkamah Syariah tuntutan mereka yang ingin mendapatkan jenazah saudara mereka yang didakwa sebagai masih kekal dalam agama asal mereka.

Kita menarik nafas lega dengan wujud sedikit keterbukaan mahu membenarkan non-Muslim menuntut keadilan bagi diri mereka di Mahkamah Syariah pada waktu itu. Keterbukaan seperti ini wajar dikembangkan.

Syariat Islam menawarkan keadilan kepada semua pihak. Inilah keindahan dakwah Islam yang menjanjikan rahmat untuk semua manusia dan ia bukan untuk dibolot oleh satu golongan sahaja.

(Dr Asmadi: Ya, kita setuju bahawa orang Non-Muslim boleh menuntut haknya dengan menggunakan peguam Muslim).


Sangkaan timbul hasil prejudis

Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah bermuamalah (berurusniaga) dengan menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi? Bukankah Ali bin Abu Talib RA pernah bertelingkah di mahkamah kerana urusan baju besinya dengan seorang Yahudi?

Yahudi itu dibenarkan untuk membela dirinya di Mahkamah Islam pada waktu itu sehingga Ali bin Abu Talib RA kalah kepada Yahudi itu dalam soal tuntutan mereka.
Bukankah ini suatu bentuk guaman dan pembelaan diri bagi mendapatkan keadilan di mahkamah Islam yang memberikan hak kepada semua golongan?

(Dr Asmadi: Ini bukan dalil boleh melantik peguam Syar’ie di kalangan orang Non-Muslim. Sebaliknya ini adalah dalil setiap orang Non-Muslim berhak mempertahankan diri. Persoalannya, bolehkah menggunakan dalil ini untuk membenarkan perlantikan Peguam Syar’ie Non-Muslim, kemudiannya orang Islam akan melantiknya? Adakah Dr Juanda akan pasti, kita boleh juga menggubal undang-undang melarang orang Islam melantik Peguam Syar’ie yang Non-Muslim. Pasti semakin menampakkan prejudis!)


Jelasnya, tidak ada nas yang sarih (jelas) lagi sahih melarang non-Muslim menjadi peguam syarie bagi mengendalikan urusan orang Islam dan bukan Islam di mahkamah Islam. Segala sangkaan dan anggapan akan berlaku kemudaratan adalah timbul hasil sikap prejudis dan mahu menindas golongan bukan Islam.

(Dr Asmadi: Inilah masalahnya bila kita menyempitkan istinbat hukum kepada al-Quran dan sunnah, walhal ulama-ulama silam telah menggariskan banyak cara untuk mengeluarkan hukum supaya bertepatan dengan ruh Syarak. Hujjah dan dalil dlm Syariah Islam bukan hanya al-Quran & sunnah. Di situnya keperluan kembali kpd ijma', qiyas (bukan qiyas ma'a al-fariq), qaul sahabi dan lain-lain dengan juga melihat 'kesan-kesan tindakan' kpd fatwa (ma alat al-af'al).

Bila seseorang hanya mengkhususkan sumber hukum pd al-Quran & sunnah, bila tiada 'nas', mereka akan menggelabah menggunakan akal dgn alasan tiada 'nas'. Akhirnya, dlm banyak perkara kita menggunakan akal dan tidak berpegang kepada ruh Syariah.


Sepatutnya isu-isu bidang kehakiman dikiaskan dengan isu-isu berkaitan hakim dan saksi, bukan dikiaskan dengan isu-isu jual beli. Sebab hukum asal jual beli adalah harus, tapi hukum asal dalam kehakiman adalah tathabbut (mendapatkan kepastian), hukum asal pada al-abda' (kemaluan/nikah kahwin) adalah haram).

Anggapan boleh berlaku penghinaan kepada mahkamah dan non-Muslim tidak boleh dibicarakan adalah soal teknikal yang boleh diatasi dengan pindaan perundangan, atau diletakkan syarat dalam lesen guaman, atau penghakiman penghinaan itu dialihkan ke mahkamah lain yang boleh mengendalikannya.

(Dr Asmadi: Kata-kata Dr Juanda juga prejudis iaitu “Segala sangkaan dan anggapan akan berlaku kemudaratan adalah timbul hasil sikap prejudis dan mahu menindas golongan Non-Muslim”. Agak-agak siapa nak mengambil tindakan terhadap sikap prejudis Dr Juanda terhadap keputusan fatwa ni. Ada undang-undang, tapi kekadang kita tidak mampu mengambil tindakan kesemuanya. Alangkah baik, kaedah sadd al-zari’ah digunakan).


Kalaulah sistem yang ada didapati boleh menafikan keadilan itu, maka rujuklah kepada Islam yang sebenar yang menawarkan keadilan untuk semua.
Islam tidak silap! Yang silap adalah penafsiran manusia yang tidak mahu faham dan tidak mahu berkongsi rahmat keadilan Allah SWT untuk semua manusia.

(Dr Asmadi: Kepada Dr Juanda, bila kita tidak membenarkan orang Non-Muslim menjadi Peguam Syar’ie, bukan bermaksud kita mahu menindas mereka. Keadilan mesti ditegakkan walaupun untuk orang-orang bukan Islam.

 
Alangkah baiknya sekiranya Dr Juanda dan JAKIM menghalusi persoalan ini dengan mengkiaskan dengan persoalan al-Katib (penulis perbicaraan) dan al-Mutarjim (penterjemah) dalam menentukan keperluan kepada beragama Islam. Adalah tidak sesuai mengkiaskan persoalan kehakiman ini kepada urusan jual-beli.

Saya memetik kata-kata Ibn Qudamah (sebab Dr Juanda memetik kata-katanya) mengenai al-katib: “Tidak boleh seorang bukan Islam menjadi penulis (al-Katib) di sisi Hakim kerana apa yang dibuat oleh Hakim adalah dari urusan agama, mereka (Non-Muslim) kebiasaannya mengkianati umat Islam dalam urusan agama dan membawa kefasadan, demikian juga Penulis kepada Hakim ini dimuliakan di kalangan manusia, maka kita dilarang memuliakan mereka”. Jadi, ada dua isu iaitu urusan kehakiman juga adalah urusan agama dan memuliakan mereka dengan jawatan yang mulia ini. Peguam Syar’ie kan mulia sifatnya. Tidak membenarkan mereka menjadi Penulis, bukan bererti kita mahu menzalimi mereka dalam urusan kehakiman! Masalahnya ialah Dr Juanda hanya berpegang ibadah sahaja urusan agama kerana terlalu terpengaruh dengan pembahagian bid’ah!


Lihat pula, kata-kata al-Imam Malik berkaitan dengan kelayakan Penterjemah (al-Mutarjim) dalam kitab Tabsirah al-Hukkam: Maka hendaklah menterjemahkannya seorang Muslim yang boleh dipercayai, kalau dua orang, adalah lebih baik).

Jadi, mana lebih penting atau lebih mulia antara Peguam Syar’ie dan Penterjemah pada pandangan Dr Juanda? Atau Dr Juanda samakan Peguam Syar’ie dengan wakil-wakil urusan jualbeli macam di Tesco, Giant atau syarikat MLM lain.

Wallahu Ta’ala a’lam. Semoga Allah SWT memberikan kita hidayah dan taufiq sebagai pemegang amanah ilmu di bumi Allah ini. Dan semoga Allah SWT menyelamatkan umat dari kegelinciran orang-orang yang mengaku ulama).

Dr Juanda Jaya ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Beliau juga merupakan felo pelawat di Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom.

Sunday 19 December 2010

Membenteras Ajaran Syiah

Tahniah JAIS atas usaha membenteras ajaran Syiah. Kemelut akidah masyarakat makin membimbangkan. Semoga usaha-usaha seperti ini mampu meminimumkan kepesatan ajaran sesat. 

 

Namun, para daie seharusnya merancakkan dakwah bagi membasmi ajaran-ajaran yang melencong, sesat dan boleh membawa kepada kekufuran. Semoga Allah SWT mengekalkan kita di atas jalan yang lurus, Amin.

 

Sila baca berita di bawah dari Utusan Online, atau klik tajuk di atas.


200 pengikut Syiah ditahan


KUALA LUMPUR 16 Dis. - Kegiatan satu ajaran Syiah tegar yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara dikesan bergerak aktif di negara ini berikutan penahanan 200 pengikut dan dua ketua kumpulannya, malam semalam.

Dua ketua kumpulan itu termasuk seorang warga Iran telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, hari ini dan dibebaskan dengan jaminan.

Para pengikut lain juga telah dibebaskan dengan jaminan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan akan dipanggil untuk diambil keterangan dalam masa terdekat. Kumpulan yang ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves, dekat sini itu dikatakan berbahaya kerana menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh.

Mereka yang menggunakan nama Hauzah Ar Ridha Alaihissalam itu dikesan sudah dua tahun menjalankan kegiatan mereka di tingkat empat rumah kedai berkenaan.

Dalam serbuan sepasukan penguat kuasa JAIS pada pukul 10.15 malam itu, seramai 200 pengikut terdiri daripada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak sedang khusyuk berselawat dan mendengar khutbah daripada seorang lelaki warga Iran.

Sebahagian pengikutnya yang ditahan merupakan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), peguam dan kakitangan kerajaan.

\Pengikutnya terdiri daripada 75 lelaki dan 35 wanita tempatan, enam wanita dan tiga lelaki warga Indonesia, dua wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki Pakistan, Myanmar dan Iran, manakala selebihnya kanak-kanak.

Ia merupakan penahanan terbesar melibatkan pengikut ajaran yang didakwa sesat dicatatkan di Selangor setakat ini dan JAIS percaya ajaran tersebut turut tersebar di negeri-negeri lain. Pengarahnya, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya telah mengikuti pergerakan kumpulan terbabit sejak dua tahun lalu dan setelah memperoleh cukup bukti mengaitkan mereka sebagai pengikut ajaran Syiah yang tegar, barulah markas itu diserbu.

Beliau berkata, ajaran Syiah jika dibiarkan berkembang boleh mengancam keselamatan negara kerana pengikut yang fanatik menganggap umat Islam mazhab lain sebagai kafir.
"Bagi mereka, darah pengikut fahaman lain adalah halal dan ia bermakna penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh dibunuh. "Ajaran Syiah lebih bahaya berbanding ajaran sesat seperti Al Arqam. Pengikut Syiah di Iran dan India misalnya bergaduh sesama Islam semata-mata berbeza fahaman. "Inilah yang ingin dielakkan berlaku di negara ini dan tujuan ia disekat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.

Muhammed Khusrin berkata, mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, fahaman dan ajaran Syiah adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana wujud beberapa percanggahan dari sudut akidah dan syariah. Katanya, antaranya adalah menyanjung sahabat Rasulullah, Saidina Ali secara keterlaluan, menghalalkan nikah mutaah, menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah sekalipun hadis Mutawir dan mengkafirkan para sahabat Rasulullah.
"Penyelewengan dari sudut syariah pula adalah menolak ijmak ulama, qias dan mengamalkan nikah mutaah. Pengikut Syiah juga terlibat pelbagai penyelewengan umum seperti percaya ganjaran syurga jika menziarahi kubur Saidina Husin.

"Selain itu menyiksa diri dengan memukul badan menggunakan rantai sehingga berdarah sempena 10 Muharam, mengharuskan jamak sembahyang dalam semua keadaan dan tidak mewajibkan haji," katanya.
Menurut Muhammed Khusrin, pihaknya percaya ajaran Syiah yang memudahkan ibadat dan menghalalkan nikah mutaah menjadi punca tarikan umat Islam di negara ini untuk menjadi pengikutnya.
Beliau berkata, kumpulan ajaran sesat terbabit mempunyai dana sendiri bagi membiayai aktiviti dan menyewa bangunan untuk dijadikan markas operasi, manakala penyebarannya pula dibuat secara tertutup melalui penganjuran majlis-majlis tertentu.

Katanya, semua yang ditangkap akan didakwa di bawah Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan arahan-arahan yang dinyatakan dan diberikan fatwa oleh pihak berkuasa agama.

Wacana Membenteras Pluralisme Agama- Download Kertas kerja

Sebahagian pembaca meminta penjelasan dari saya berkaitan Wacana tersebut. Sila klik pada tajuk untuk tuan-puan ke mukasurat download kertas kerja seminar tersebut di website MUAFAKAT. Pembaca boleh menilai beberapa 'fitnah' yang dibuat terhadap seminar tersebut.


Atau copy alamat di bawah dan pastekan di URL saudara/i.
http://muafakatmalaysia.wordpress.com/2010/12/15/kertas-kertas-pembentangan-wacana/


Selamat membaca

Thursday 16 December 2010

Resolusi Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah

Tahniah MUAFAKAT kerana gigih menganjurkan program menentang segala gejala yang boleh merosakkan akidah umat. Samada isu Wahhabi, mahupun isu Pluralisme agama, MUAFAKAT konsisten memperjuangkan penentangannya. Di saat ada orang yang dikatakan 'tokoh', boleh menjadi 'sadiqun hamimun' (sahabat baik dengan penuh kasih sayang) kepada mereka yang memperjuangkan pluralisme, tetapi amat memusuhi golongan ahli sunnah yang sebenar.

 

Untk membaca resolusi mereka sila baca di bawah atau klik pada tajuk untuk ke website MUAFAKAT.

 

 Abu al-'Izz


Resolusi Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah

Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah yang berlangsung pada hari
Selasa 14hb Disember 2010M, bersamaan dengan 8hb Muharram 1432H, bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, anjuran bersama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Permuafakatan Badan Amal Islam Wilayah Persekutuan (di bawah Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan), Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).


Menyedari, bahawa Gerakan Pluralisme Agama yang berteraskan kepada faham semua agama adalah sama dan boleh membawa kepada keselamatan di Akhirat; adalah bertentangan dengan ajaran dan ‘Aqidah Islamiyyah yang sebenar dan boleh menjerumuskan kepada pemurtadan dan ketidakstabilan masyarakat; maka sidang hari ini memutuskan supaya:

1.      Pihak berkuasa Agama di semua peringkat di Malaysia, wajar memantau Gerakan Pluralisme Agama ini dan mengambil langkah mencegah dengan apa cara sekali pun.
2.     Pihak berkuasa Agama wajar memanggil individu atau Jawatankuasa Organisasi yang menganut faham Pluralisme Agama ini, untuk diberi kaunseling, nasihat dan ajaran mengenai ‘Aqidah Islam yang sebenar.
3.     Pihak berkuasa Agama yang boleh memboleh memberi fatwa, iaitu majlis fatwa (peringkat Kebangsaan dan negeri-negeri) supaya segera memberi fatwa yang lebih jelas mengenai faham atau ideologi pluralisme agama.

14hb Disember 2010