Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Sunday 4 September 2011

SALAM EIDUL FITRI, MAAF ZAHIR & BATIN

Sempena bulan Syawal ni, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Eid mubarak, semoga Allah SWT menerima amalan-amalan kita di bulan Ramadhan dan memanjangkan umur kita untuk Ramadhan yang akan datang.

Kullu 'am wa antum bikhayr.

Abu al-"Izz dan keluarga.

Dr Asmadi komen: "Wahabi: Perkara usul atau furu'?"

Salam Eidul Fitri utk semua, maaf zahir batin. Saya mendapat posting dari sahabat-sahabat maya memohon sesiapa yang sudi mengulas isu ini. Jadi, sempena saya masih cuti beraya, saya mengambil kesempatan untuk mengulas isu ini. Walaupun begitu, baca dulu penulisan di bawah dan komen saya didalamnya. Boleh baca artikel secara terus dari Malaysiakini dengan klik pada tajuk.

Wahabi: Perkara usul atau furu'?


Abdulfatah Haron Ibrahim
Ogos 15, 11

Dalam masa terdekat ini ada dua kali saya terbaca dalam harianSinar mengenai Wahabi: Satu mendesak Kerajaan Malaysia memutuskan bagaimana dengan kedudukan Wahabi; dan satu lagi mendesak agar dialog segera diadakan.
Dr  Asmadi: Saya amat mengesyorkan dialog tertutup diadakan bagi dua golongan iaitu satu mewakili Ahlussunnah wal Jamaah (ASWJ) dan satu lagi golongan yang digelar Wahhabi atau Salafi. Satu dialog tertutup pernah diadakan oleh Jabatan Agama Islam Kelantan pada 2009 untuk menjelaskan kenapa ditolak oleh ulama ASWJ.

Musuh menggelar mereka Wahabi, tetapi mereka sendiri menamakan diri mereka Salafi bermazhab Hanbali pengikut Ahmad ibn Hanbal. Kalau Ahmad ibn Hanbal diterima, tetapi Wahabi dipertikaikan, maka “itulah sejauh-jauh pengetahuan mereka”.
Dr Asmadi: Ini kali pertama Salafi mengaku bermazhab Hanbali, biasanya mereka mengaku tiada mazhab. Dalam kerangka ASWJ, sudah tidak ada masalah pemgamalan 4 mazhab (Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali). Sebab itu di Mesir ada pengajian 4 mazhab. Bahkan pengajian fiqh, pelajar boleh memilih salah satu mazhab pada peringkat thanawi (menengah atas). Masalah pada fahaman Wahhabi ialah, mereka mengaku mereka pengikut salah satu mazhab yang 4, tetapi mereka tidak mengizinkan pengajian 4 mazhab di Masjidil Haram pada waktu sekarang atas keyakinan mereka bahawa mereka sahaja yang benar.

Secara teorinya, ramai pengikut Salafi menjarakkan diri dari menyebut sebagai Wahhabi sebab Muhammad Abdul Wahab muncul di kurun yang lepas, jadi dia bukan Salaf. Mereka mungkin selesa menyandarkan diri mereka kepada Salafi (mengikut Salaf berdasarkan pemahaman Shaykh Ibn Taymiyyah). 

Sebelum apa-apa, saya mohon tentukan lebih dahulu adakah Wahabi itu perkara usul atau furu'?
Perkara usul : umat Islam menerima atau menolaknya dengan ijmak.
Perkara furu' : umat Islam menerima atau menolaknya tidak ijmak.

Dr Asmadi: Pelik sikit penakrifan 'perkara usul' oleh pengarang ini. Sefaham saya, perkara usul ialah perkara yang berkaitan dengan simpulan iman dan perkara-perkara yang maklum dalam agama (al-umur al-ma'lumat min al-din bi al-dharurah). Cukup sepakat ulama ASWJ menolak, maka terkeluarlah seseorang itu dari ASWJ. Perkara furu' ialah selain dari klasifikasi tadi.

Pada pandangan saya, khilaf ASWJ dengan golongan Wahhabi kebanyakannya pada perkara-perkara-perkara furu' (cabang) kecuali pada dua perkara yang boleh merencatkan akidah:
i. Ada yang melampau dalam mengithbatkan (menetapkan) sifat-sifat Allah sehingga termasuk dalam golongan 'mujassimah' (menjisimkan Allah iaitu mentafsirkan Allah berbentuk dan beranggota).
ii. Gejala mengkafirkan dan membid'ahkan umat Islam pada perkara khilaf yang ada asas-asasnya dalam Syarak. Gejala ini amat merbahaya dan tidak wujud dalam kerangka ASWJ beramal dengan 4 mazhab sebelum ini dan dicetuskan oleh fahaman ini.

Pada persoalan pertama, ASWJ meyakini keseluruhan sifat-sifat Allah seperti al-wujud, al-qidam, al-baqa', al-mukhalafatuhu lil hawadith dan lain-lain. Demikian juga nama-nama Allah yang maha baik. Mengenai sifat-sifat yang berbentuk 'anggota' seperti 'yad' dan lain-lain, ulama ASWJ berpegang kepada 'melalukan maknanya sebagaimana ia datang' tanpa berbincang secara mendalam, atau 'mentakwilkan' maknanya secara ringkas bagi memudahkan faham masyarakat awam. Mahasuci Allah SWT dari menyerupai segala sesuatu.

Manakala, bagi sesetengah aliran Salafi, mereka berani membahaskan secara lebih dalam, lantas berkata: "Allah mempunyai dua tangan tetapi tak sama dengan makhluk!". Mereka menetapkan dulu 'beranggota'nya Allah, kemudian menafikan persamaan dengan manusia.

Pendekatan ulama ASWJ berbeza, menafikan terus 'anggota' dari Allah SWT kerana anggota tu sifat bagi makhluk.

Pada persoalan kedua, saya pernah tulis artikel bagaimana pemuka-pemuka fahaman ini mengeluarkan imam-imam dari golongan ASWJ. Mereka mengatakan Imam Ibn Hajar dan Imam Nawawi bukan Ahlusunnah dari sudut aqidah! Subhanallah, dua imam tersebut, ulama-ulama ummmah mengangkatnya sebagai pembela Ahlussunnah tetapi mereka mengatakan bukan dari Ahlussunnah!.

Sebagaimana perkara lain dalam Islam, masalah Wahabi bukan ada sempadan geografi yang boleh ditentukan oleh Kerajaan Malaysia. Islam adalah satu dan sama dalam dua perkara, iaitu usul dan furu'. Dalam usul bersatu dan dalam furu' berbeza.
Perkara usul adalah seperti perkara-perkara yang terkandung dalam Rukun Iman dan Rukun Islam, umat Islam Ahli Sunnah tidak boleh berselisih faham. Sebab itu Agama Qadiani, Baha'i dan Isma'iliyah-Batiniyah umpamanya, semuanya terkeluar dari Islam Ahli Sunnah dengan ijmak.
Perkara furu' pula adalah seperti berkaitan dengan masalah-maslaah yang ditimbulkan dari Akidah di gelar Ilmu Kalam.
Kata Ghazali dalam kitabnya Qawa'id al-'Aqaid:
1. Ada yang mengatakan Ilmu Kalam itu bid'ah atau haram.
2. Ada yang mengatakan wajib dan fardhu.
3. Ada yang megatakan fardhu kifayah; dan
4. Ada yang mengatakan fardhu 'ain.

Di antara yang mengatakan haram itu ialah Imam Syaf'ie, Malik, Ahmad ibn Hanbal, Sufyan dan semua golongan Salaf yang terdiri daripada Ahli Hadis.

Dr Asmadi: Ilmu Kalam pada zaman Imam Malik, Imam Shafie, Imam Ahmad adalah berbeza dengan ilmu kalam pada zaman Imam Ghazali. Imam Ghazali wafat pada kurun ke 6H. Manakala imam-imam tersebut sekitar 300 kurun yang pertama. Saykh Ibnu Taymiyyah juga memperkatakan mengenai ilmu kalam dalam fatwanya tetapi secara ringkas. Justeru, mana boleh menggunakan hukum Imam-imam tersebut untuk memperkatakan ilmu kalam selepasnya. Ilmu kalam telah digunakan oleh ulama Islam untuk mempertahan Islam dari ancaman pemikiran Kristian dan fahaman sesat seperti Muaktazilah dan sebagainya yang menggunakan hujah-hujah akal.

Dari empat pendirian ini, kalau tidak silap, ada golongan di Malaysia yang mengatakan Ilmu Kalam itu wajib dan fardhu 'ain. Pada masa yang sama, mereka kukuh berpegang dengan Mazhab Syaf'ie yang mengatakan Ilmu Kalam itu haram. Saya tidak pernah dengar dalam zaman ini ada di antara orang Islam yang memihak kepada salah satu daripada empat pendirian tersebut dan mengajak berdebat kalau ada orang menyalahi pendiriannya. Inilah yang saya maksudkan “perkara furu'.

Sebelum apa-apa tentukan lebih dahulu dijelaskan adakah Wahabi itu perkara usul atau furu'.
• Pihak yang bersungguh sangat perkara Wahabi, adakah Wahabi itu termasuk perkara yang menyalahi Usul Islami dengan ijmak, bahwa sesiapa yang menganutnya akan terkeluar dari Islam. Jika demikian, tidak perlu didebatkan lagi.
Dr Asmadi: Pada pandangan saya, sahabat-sahabat saya dari golongan ini sebenarnya 'cinta' pada Al-Quran dan al-Sunnah'. Tetapi mereka menyempitkan kefahaman mereka kepada penafsiran dari Imam Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim, Muhammad Abdul Wahhab, Albani dan tokoh-tokoh mereka.

Saya katakan bahawa mereka adalah sahabat-sahabat seIslam saya dan tidak sekali-kali mereka terkeluar dari ajaran Islam. Walaupun begitu beberapa perkara dalam isu mengisbatkan (menetapkan) anggota terhadap Allah SWT perlu dilakukan perbincangan dengan mereka. Kita tidak berbeza pada isu sifat-sifat Allah SWT, tetapi kita berbeza pada mengatakan Allah SWT 'beranggota' atau 'tidak'. Kami mengatakan Allah SWT maha suci dari anggota. Kita juga katakan, jangan disebarluaskan aqidah yang boleh membawa kepada fahaman 'mujassimah' ini. Pihak berkuasa agama perlu membendung aqidah sebegini. 

• Adakah di sana orang yang memandang Wahabi perkara Furu'yang khilafiyah belaka. Jika khilafiyah, maka memang ada perbezaan yang tidak dapat dielakkan.
Dr Asmadi: Memang perbezaan tidak dapat dielakkan. Kerangka ASWJ memang mengiktiraf perbezaan pandangan ini. Sebab itu pengajaran 4 mazhab dibenarkan disebar luas. Masalahnya, bila masuknya fahaman Wahhabi, lantas perbezaan pandangan dikatakan 'sesat' dan sebagainya. Buktinya di tempat mereka, tidak boleh disebarluas amalan 4 mazhab. Masalahnya lagi, mereka hanya melihatkan keterbukaan bila ada tindak balas dari ustaz-ustaz Ahlussunnah 'menyerang balas' keterlanjuran mereka.

Dalam mana-mana mazhab ada mereka yang bersikap keras, ada yang bersikap sederhana dan ada yang bersikap tak kisah.
Sikap sederhana membuahkan perpaduan dan hormat menghormati.
Sikap keras membuahkan perpecahan dan benci membenci.
Adakah sikap itu hasil kajian yang terkini lagi teliti?
Atau datang daripada apa yang diketahui selama ini?
Penulis pernah mengajar di Kolej Islam Petaling Jaya dan di Jabatan Usuluddin & Falsafah, Fakulti Islam, UKM.
Secara khususnya, kita banyak membuang masa mendebatkan soal mazhab bila masuknya aliran Wahhabi & Salafi. Mungkin benar kata-kata seorang pensyarah UIA dari Iraq kepada saya pada satu masa dahulu: "Kamu orang-orang Islam di Malaysia, jumlah kamu hanya sedikit (lebih sikit 50%). Kamu tak mampu berpecah kepada pelbagai aliran. Bila berpecah aliran, biasanya berlaku perpecahan politik. Memang benar apabila ulama kamu menekankan aliran Mazhab Shafie dan ASWJ sbg tunjang masyarakat."

Wallahu taala a'lam. Allahu al-Musta'an.

Abu al-'Izz