Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Tuesday 18 October 2011

(Telah diupdate 19 Okt 2011) SIRI KE 2: PADA MENERANGKAN PELBAGAI MAZHAB-MAZHAB AL-MUSYABBIHAH

Alhamdulillah, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menyambung perbahasan siri ini. Kelihatan dengan jelas kenapa ulama-ulama menghukumkan sesat waimma kufur kepada golongan di bawah disebabkan mereka berpegang dengan tasybih secara NYATA dan melampau. Golongan pentasybih dan mujassimah zaman sekarang kebanyakkan ada unsur-unsur menjadikan Allah 'beranggota' menyebabkan mereka terkeluar dari golongan ASWJ, namun kegelinciran mereka tidak sampai ke batasan sebagaimana firqah di bawah. Selamat membaca.

Abu al-"izz
Di waktu Subuh, Paris.



SIRI KE 2: PADA MENERANGKAN PELBAGAI MAZHAB-MAZHAB AL-MUSYABBIHAH

Berkata al-Imam Abd al-Qahir bin Tahir al-Baghdadi (wafat 429) Rahimahullah:

Ketahuilah –semoga kamu dibahagiakan Allah- golongan al-musyabbihat (golongan yang men-serupa-kan (menyerupakan) Allah dengan makhluk) terbahagi kepada dua kumpulan:

i. Kumpulan yang men-serupa-kan zat Allah dengan zat selain Allah

ii. Kumpulan yang men-serupa-kan sifat Allah dengan sifat selain Allah

Kumpulan pertama: Kumpulan yang men-serupa-kan zat Allah dengan zat selain Allah

Kelahiran golangan al-tasybih terawal daripada golongan golongan sesat yang melampau ialah:

1. Al-sabaiyyah- mereka menggelarkan Ali sebagai tuhan, dan men-serupa-kannya dengan zat tuhan. Ketika mana Ali membakar suatu kaum, mereka berkata kepadanya: sekarang kami tahu bahawa engkau adalah tuhan,kerana api tidak akan membakar sesuatu kaum kecuali dia adalah tuhan.

2. Al-Bayaniah iaitu pengikut Bayan bin Sam’an yang mendakwa sembahannya ialah insan daripada cahaya dalam bentuk manusia pada anggota-anggotanya. Anggota-anggota ini akan fana (musnah) kecuali wajahnya.

3. Al- Mughiriyyah iaitu pengikut al-Mughirah bin Said al-‘Ijli yang mengatakan sembahannya mempunyai anggota dan anggotanya dalam bentuk huruf-huruf al-hija’ (huruf bahasa Arab).

4. Al-Mansuriyyah ialah pengikut Mansur al-‘Ijli yang menyerupakan dirinya dengan tuhannya, dan dia mendakwa telah naik ke langit, dan mendakwa juga yang tuhannya menggunakan tangannya menjamah kepalanya. Dan tuhan berkata kepadanya: “Wahai anakku, sampaikan daripadaku”.

5. Al-Khitabiyyah yang berkeyakinan ketuhanan para Imam dan dan ketuhanan Abi al-Khttab al-Asadi.


6. Kumpulan yang berpegang dengan ketuhanan Abdullah bin Muawiyah bin Abdullah bin Jaafar.

7. Al-Hululiyyah yang berpegang hulul (bersatu) Allah pada diri para Imam dan menyembah para Imam atas tujuan atau pegangan tersebut.

8. Al-Huliyyah al-Hilmaniyyah yang disandarkan kepada pengasasnya iaitu Abu Hilman al-Dimasyqi yang mendakwa bahawa tuhan bersatu dengan semua bentuk yang cantik, dan dia sujud kepada semua yang cantik.

9. Al-Muqanna’iyyah al-mubidhah di belakang Sungai Jaihun dan dakwaan mereka bahawa al-Muqanna’ ialah tuhan, dan ia berbentuk pada setiap zaman dengan bentuk tertentu.

10. Al-‘Azafirah yang berkata dengan ketuhanan Ibn Abi al-‘Azafir yang dibunuh di Baghdad.

Kumpulan-kumpulan ini yang kami sebut pada fasal ini, semuanya terkeluar dari Agama Islam walaupun mereka ini dinisbahkan kepada Islam secara zahir.

Akan bersambung…. Insya Allah

Abu al-‘Izz
Menjelang Subuh, Paris.

Thursday 6 October 2011

SIRI 1: MENGENALI FIRQAH YANG SESAT: AL-KARRAMIAH DAN AL-MUJASSIMAH

Sidang pembaca semua,

Saya bercadang memulakan perbincangan tajuk khusus mengenai firqah yang sesat. Insya Allah Taala, saya akan cuba sambung huraian ini dari masa ke semasa. Saya memilih kitab al-Farq baina al-Firaq oleh al-Imam Abd al-Qahir bin Tahir al-Baghdadi (wafat 429H). Semoga kita diberi hidayah oleh Allah Taala untuk menjauhi golongan yang sesat. Allah al-musta'an.

SIRI 1 (telah diupdate)

MENGENALI FIRQAH YANG SESAT: AL-KARRAMIAH DAN AL-MUJASSIMAH

Berkata al-Imam ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi (429H) Rahimahullah:

Al-Karramiyyah di Khurasan ada tiga golongan iaitu haqaiqiyyah, taraiqiyyah dan Ishaqiyyah. Tiga golongan ini tidak mengkafirkan sesama mereka. Namun mereka dikafirkan oleh golongan-golongan lain (termasuk ASWJ mengkafirkan mereka). Oleh sebab itu, kami golongkannya sebagai satu golongan.

Ketua mereka ialah Muhammad bin Karram, yang dihalau keluar Sajistan ke Gharjistan

Antara pengikutnya pada waktu itu ialah Aughad Syurmin, Afshin, Warad Nisabur ketika pemerintahan Muhammad bin Tahir bin Abdullah bin Tahir. Segolongan masyarakat Nisabur telah mengikut bid’ahnya.

Kesesatan pengikutnya pada waktu itu dalam pelbagai bentuk yang banyak sekali. Kita menyebut kesesatan yang masyhur, yang mana yang jahat itu disebut:

i. Sesungguhnya Ibn Karram menyeru pengikutnya menjisimkan tuhan yang disembah, dan mendakwa bahawa Zat Allah itu mempunyai sempadan dan takat di bawah, atau arah yang ia berjumpa arasynya. Maka ini menyerupai golongan al-Thanawiyah (yang mengatakan): Sesungguhnya tuhan yang disembah yang dinamakan ‘nur’ (cahaya), mempunyai takat atau sempadan untuk berjumpa kegelapan walaupun bukanlah takat dari lima arah.

ii. Demikian juga Ibn Karram menyifatkan tuhan yang disembah itu sebagai ‘jauhar’ (iaitu sesuatu benda yang mengisi ruang) sebagaimana keyakinan orang-orang al-Nasara (kristian) bahawasanya Allah itu ‘jauhar’. Demikian itu kerana dia (ibn Karram) berkata dalam kitabnya: Sesungguhnya Allah SWT itu esa zatnya, esa juga jauharnya.

iii. Ibn Karram telah menyebut dalam kitabnya bahawa sesungguhnya Allah Taala memegang arasynya, dan al-Arasy itu adalah tempatnya. Rakan-rakannya mengubah lafaz al-mumassah (menyentuh) dengan lafaz 'al-mulaqat minhu lil 'arsy' (pertemuan atau berhadapan darinya dengan 'arsynya), iaitu mereka berkata: Tidah boleh adanya jisim antara Allah dan al-'Arasy kecuali sekiranya 'Arasy mengelilingi bahagian bawah. Inilah makna mumassah (menyentuh) yang dilarang dari menlafazkannya.

iv. Para sahabatnya berselisih pandangan mengenai makna 'al-istiwa' yang disebut oleh Firman Allah:
yang bermaksud: Allah bersemayam di atas 'Arasynya.
  • antara pandangan mereka: segolongan mendakwa keseluruhan Arasy adalah tempat Allah. Dan sekiranya dicipta berhadapan Arasy itu Arasy-Arasy yang lain seumpamanya, maka jadilah keseluruhan Arasy-Arasy itu tempat bagi Allah, kerana Dia (Allah) lebih besar dari arasy-arasy itu. Pegangan ini membawa pengertian Arasy itu serupa arasy yang lain pada lebarnya.
  • sebahagian berpandangan: Ada yang berkata: Sesungguhnya Dia tidak lebih besar  pada arah pegang, dan Dia tidak juga lebih besar dari Arasynya. Pegangan ini membawa kepada lebarNya seperti lebar 'Arasy. 
Saya (Dr Asmadi) katakan: Inilah sebahagian kesesatan firqah al-Karramiah yang NYATA membawa kepada ulama ASWJ menyesatkan dan mengkufurkan mereka.

Bersambung… Insya Allah

Abu al-‘Izz