Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Thursday 8 August 2013

Percanggahan Syiah – ajaran Islam

Assalamu alaikum warahmatullah.

Para pembaca budiman,

Saya 'paste' kan semula artikel yang ditulis oleh al-Ustaz al-Fadhil Ismail Mina mengenai kesesatan Syiah. Beliau, yang saya kenali, amat istiqamah menentang ajaran sesat samada kesesatan al-Arqam, al-Rufaqa, liberalisme, pluralisme, kegelinciran Wahhabi dan lain-lain. Semoga Allah SWT memberi kesejahteraan dan kesihatan kepada beliau untuk terus memperjuangkan agama Allah SWT ini setelah kita kehilangan almarhum al-Ustaz Uthman al-Muhammadi. Allah al-musta'an.



UIMA-Utusan2Jan2013-SEMAIAN
Oleh Ismail Mina Ahmad

DEWASA ini, isu aktiviti penyebaran ajaran Syiah di negara kita, kembali hangat diperkatakan. Pelbagai pihak daripada kalangan pihak berkuasa agama Islam, kementerian-kementerian yang menjaga urusan keselamatan dan agama serta penganut Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah, telah memberi respons. Tidak terkecuali turut memberi respons ialah penganut Syiah sendiri serta para simpatisan mereka, termasuk daripada kalangan golongan Liberalis dan puak yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan hak asasi manusia (HAM).

Isu ajaran dan golongan Syiah bukan baharu dalam kalangan umat Islam. Sejak hari pertama wujudnya golongan Syiah ini, seluruh umat Islam yang dipimpin oleh ulama dan pemerintah, telah bangun menentang mereka.

Para ulama Islam telah mengarang ribuan kitab menjawab dan menolak fahaman sesat dan salah ini, sementara pemerintah pula membuat peraturan dan memberi hukuman kepada mereka selaras dengan tuntutan Maqasid Syara’ iaitu memelihara agama Islam daripada dicemari dan diubah serta dirosakkan daripada ajarannya yang sebenar dan asal, seperti yang di bawa oleh Nabi SAW.

Kemasukan fahaman Syiah ke Malaysia adalah melalui perancangan rapi. Selepas Revolusi Khomeini menumbangkan Shah Iran, dia menubuhkan kerajaan Syiah. Bukan kerajaan Islam. Ini adalah kerana Perlembagaan negara Iran, meletakkan mazhab Ja‘fari sebagai mazhab rasmi negara itu. Tidak seperti yang dilaungkan mereka iaitu: Tidak Barat, tidak Timur tetapi Islam dan Wehdah Islamiyyah. Islam mereka ialah Syiah bukan selainnya.

Berikutan dari itu, Kerajaan Iran menjemput pemimpin-pemimpin politik dan badan-badan dakwah Islam seluruh dunia ke Iran, termasuk Malaysia. Ada organisasi Islam yang terpengaruh dan membawa balik fahaman Syiah ke dalam organisasi mereka seperti dari Malaysia. Ada yang tidak.
Setelah terpengaruh dengan dakyah Syiah, organisasi ini menghantar pula anak-anak yang amat muda ke Iran untuk mempelajari ‘Islam’- Islam versi Syiah. Di samping itu, pelbagai buku ‘akidah dan agama Syiah, membanjiri masuk melalui badan-badan politik dan NGO-NGO ini.

Berikutnya, berduyun-duyun ulama Syiah datang atas jemputan organisasi-organisasi ini, memberi ceramah dan membentang kertas kerja dalam wacana-wacana anjuran mereka. Untuk mengukuhkan lagi penyebaran fahaman Syiah, Syiah Iran telah melabur wang yang banyak, menubuhkan institut-institut untuk menerbitkan tulisan-tulisan dan buku-buku serta membiayai kegiatan terjemahan buku-buku agama Syiah.

Antara buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ialah al-Hukumah al-Islamiyyah, karangan Khumayni yang bercanggah dengan akidah Islam itu. Ia diterjemah oleh seorang pemimpin NGO dakwah Islam!

Seorang Muslim yang serius, sekiranya meneliti literatur berkaitan dengan doktrin dan konsep Usuluddin dan Tauhid serta Syariat Islam, pasti dia akan bertemu ajaran Syiah amat bercanggah bahkan bertentangan sama sekali daripada ajaran agama Islam seperti yang dibawa oleh Nabi SAW, baik dalam perkara yang bersifat Usul mahu pun yang bersifat Furu’.

Ini berdasarkan kepada sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Ahmad dan Ibn Madjah, yang menerangkan mengenai golongan yang berjaya atau firqah al-najiyah. Baginda ditanya oleh Sahabat mengenai golongan yang berjaya. Baginda menjawab: Ahli al-Sunnah wal Jamaah. Tanya Sahabat: dan apakah al-Sunnah wal Jamaah? Baginda menjawab: apa yang saya dan Sahabat-sahabat saya berada ( berpegang dan beramal padanya) pada hari ini. Jelas dari Hadis ini, golongan yang berjaya hanyalah golongan yang Iktikad dan Syariat mereka adalah Ahli Sunnah wal Jamaah bukan selainnya.

AKIDAH DAN SYARIAT SYIAH

Tulisan ini akan menerangkan beberapa pokok ajaran Syiah yang menyalahi ajaran kita Ahli Sunnah wal Jamaah. Antaranya ialah:

1. Al-Quran

Agama Syiah menolak al-Quran Mushaf Uthman sebagai Mushaf al-Quran yang lengkap lagi autentik. Mereka mempunyai mushaf sendiri yang bernama Mushaf Fatimah. Bagi orang Islam, al-Quran yang ada di tangan kita hari ini, adalah disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi SAW, tetapi bagi Syiah seperti yang terdapat di dalam Usul al-Kafi iaitu sebuah koleksi Hadis menurut epistemologi mereka, al-Quran mereka itu, adalah disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Sayidah Fatimah binti Rasul SAW, sebab itulah dinamakan Mushaf Fatimah.

Mushaf inilah yang diterima sebagai paling benar lagi autentik. Menurut mereka, Mushaf Uthman hanya mengandungi sekitar satu pertiga sahaja dari mushaf yang lengkap. Dua pertiga lagi berada di dalam Mushaf Fatimah. Khumayni dalam Wasiyat-nya menyebut dengan terang mengenai Mushaf Fatimah ini dan berkata mereka mendapat penghormatan dengannya.

Beliau menyeru supaya Imam Mahdi mereka, iaitu Muhammad bin Hasan al-Askari segera keluar dari lubang penyembunyiannya di Iraq dan membawa keluar bersamanya Quran Mashaf Fatimah ini. Tetapi untuk menjaga maslahah di depan orang Islam, mereka beramal dengan doktrin taqiyyah yakni berpura-pura menerima al-Quran yang ada di tangan kita.

Cuba kita bayangkan, jika ada penganut agama Buddha atau Hindu membuat dakwaan yang al-Quran Mushaf Uthman tidak autentik, apa akan terjadi?

Sementara itu, dalam menafsirkan ayat-ayat al-Quran pula, tafsiran mereka berlainan dengan kita, terutama ayat yang di dalamnya ada perkataan imam. Mereka memaknakannya sebagai Sayyidina ‘Ali r.a, seperti dalam Surah al-Sajdah: 24; waja‘aln’ minhum aimmatan yahd’na biamrin’ lamm’ obar’. Dan perkataan n’r dalam Surah al-Taghabun:8, fa’min’ bill’ hi wa ras’lihi wa‘n-n’rillaz’ anzaln’, diertikan oleh mereka sebagai imam-imam mereka.

2. Al-Hadis

Dalam epistemologi Ahli Sunnah wal Jamaah, Hadis ialah merangkumi perkataan, perbuatan dan ehwal Rasulullah SAW. Kemudiannya, Hadis-hadis ini disampaikan oleh generasi Sahabat kepada generasi berikutnya secara mantap dan tidak putus sanadnya sehinggalah disusun menjadi koleksi dalam sebuah buku oleh para perawi kemudian seperti perawi yang Enam, Ahmad, Imam Malik, Ibn Sunniy, as-Syafi‘i dan lain-lain.

Akan tetapi bagi Syiah, Hadis dalam epistemologi mereka ialah sesuatu yang diucapkan oleh para Imam mereka sahaja dan sanadnya tidak sampai kepada Rasulullah SAW. Ini adalah kerana dalam ajaran mereka, para imam mereka itu menerima ilmu terus daripada Nabi SAW, walau pun semasa ketiadaan Baginda SAW, dan lagi pun, dalam ajaran mereka, Imam-imam mereka adalah maksum yakni bebas daripada kesalahan.

Dalam epistemologi Sunni, konsep seperti ini tidak boleh dinamakan sebagai Hadis atau kalau mahu juga hendak dikatakan Hadis, ia tergolong sebagai Hadis munkar atau pun Hadis palsu.
Syiah menolak dan tidak menerima Hadis Nabi yang disampaikan oleh para Sahabat dan Ummahatul Mukminin r.a, kerana menurut akidah mereka, semua Sahabat Nabi SAW telah murtad setelah wafatnya Nabi SAW, kecuali beberapa orang sahaja.

3. Mengkafirkan Sahabat Radiyallahu ‘Anhum

Dalam agama Syiah, terdapat satu konsep dan doktrin bernama al-bara‘ah atau tabarra. Doktrin ini bermaksud, mengutuk, mencaci bahkan memutus hubungan kasih sayang dengan semua Sahabat. Mereka ini buta sejarah. Bukankah Saidina Ali sendiri mengahwinkan anaknya dengan Saidina Umar r.a?

Menurut mereka semua Sahabat menjadi murtad dan kafir selepas wafat Nabi SAW, kecuali beberapa orang sahaja seperti Ali, Miqdad, Abu Dzar, Salman dan beberapa yang lain. Mereka juga beriman dan percaya yang para Sahabat bersepakat menyembunyikan wahyu dan mengkhianati wasiat Rasulullah SAW dalam hal imamah dan pelantikan Saidina Ali r.a sebagai khalifah.

Dan mereka menuduh Sahabat tidak amanah kerana mengurangkan ayat al-Quran sebanyak dua pertiga daripada wahyu asal, yang demikian hilanglah ayat-ayat yang berkaitan dengan imamah ‘Ali r‘a. Justeru, semua Sahabat itu dalam Iktiqad Syiah telah menjadi kafir. La hawla wala quwata illa billah.

Dalam kaitan dengan doktrin tabarra ini, mereka senantiasa berdoa mengutuk Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Radiyallahu ‘Anhuma yang disifatkan mereka sebagai ‘dua berhala Quraisy’.
Khumayni telah mengkafirkan Saidina Umar al-Khattab r.a dan mengatakan Saidina Abu Bakar r.a pula, seorang manusia yang jahil agama.

Berdasarkan kepada Hadis di awal tulisan ini, bahawa golongan yang berjaya daripada neraka ialah orang yang mengikuti ajaran Rasul dan Sahabat Baginda. Bagaimana seseorang atau sesuatu golongan boleh berjaya dan selamat daripada api neraka, sedangkan mereka enggan mengikut perjalanan Sahabat tersebut bahkan mengkafirkan mereka.

4. Ummahatul Mukminin

Seperti para Sahabat, Syiah juga langsung tidak menghormati Ummahatul Mukminin pada hal mereka itu semua adalah isteri-isteri Baginda yang tercinta. Syiah melemparkan pelbagai fitnah, tuduhan palsu, jijik dan jahat kepada Ummahatul Mukminin Saidatuna Aishah r.ah, bahkan dalam iktiqad raj’ah mereka, beliau r.ah akan dihukum oleh para Imam Syiah menjelang kiamat kerana berkhianat dan menganiayai puak Syiah seperti dalam kes Peperangan Jamal. Atas dasar ini juga Syiah bukan daripada golongan Islam.

5. Raj'‘ah

Syiah beriktikad bahawa para Imam mereka akan hidup semula di akhir zaman untuk menghukum para Sahabat dan Isteri Nabi SAW yang mereka tuduh bersekongkol merampas hak Saidina Ali sebagai khalifah. Termasuk yang akan dihukum dalam akidah mereka ialah Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Muawiyah, Aishah r.a dan lain-lain. Demikian khurafat mereka.

6.Konsep Imamah

Dalam ‘akidah Syiah, Imamah atau Walayah atau kepimpinan sudah ditentukan oleh Allah SWT. Khumayni berkata dalam buku beliau, al-Hukumah al-Islamiyyah, muka surat 18, bahawa Nabi perlu menentukan seorang pengganti Baginda dan Baginda telah pun berbuat demikian, yakni melantik Ali r.a. Jika Baginda tidak berbuat demikian, bermakna Baginda tidak menyampaikan Risalahnya ( ms 19 ). Oleh sebab itu, Imamah ini termasuk ke dalam Rukun Iman Syi‘ah. Sesiapa yang tidak percaya kepada doktrin dan konsep Imamah ini, menurut Syiah, ia bukanlah seorang Islam dan layak dihumban ke dalam neraka.

Dalam buku al-Hukumah al-Islamiyyah itu lagi, pada muka surat 52, beliau menyifatkan Imam-Imam mereka mempunyai kedudukan yang amat tinggi di sisi Allah SWT, sehingga tidak tercapai oleh para Malaikat muqarrabin dan juga Nabi-Nabi yang diutus. Dalam membincangkan hal kepimpinan selepas Rasulullah SAW pula, dia langsung tidak menyentuh kepimpinan tiga khalifah awal iaitu Abu Bakar, Umar dan Uthman radiyallahu ‘anhum dan terus melompat kepada Sayyidina Ali r.a. Ini adalah kerana dalam ‘akidah Syiah, mereka tidak mengiktiraf kepimpinan tiga khalifah sebelum Ali r‘a bahkan disifatkan tiga khalifah yang mulia itu, adalah perampas hak khalifah Ali r.a.
Mereka juga beriktikad bahawa semua Imam mereka adalah maksum. Khumayni berkata, bahawa Imam-Imam mereka tidak bersifat lupa dan lalai (ms 91) bahkan ajaran mereka itu, sama seperti ajaran al-Quran yakni wajib dipatuhi hingga Hari Qiamat (ms 113).

7. ‘Ismah

Konsep imamah berkaitan rapat dengan doktrin ‘ismah. ‘Ismah bermaksud semua imam mereka adalah manusia maksum yakni tidak melakukan dosa, baik dosa besar mahu pun dosa kecil, bahkan dalam segala perlakuan mereka, imam-imam mereka itu tidak tersalah dan tersilap sedikit pun. Sebab itu imam-imam mereka boleh membuat hukum, yakni boleh menghalal dan mengharamkan sesuatu hukum Syara’. Ini bercanggah daengan ‘Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah bahawa yang maksum hanya Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul sahaja.

8.Ghaybah dan Menunggu Imam Mahdi

Syiah percaya bahawa Imam mereka yang kedua belas iaitu Muhammad bin Hasan al-’Askari telah ghaib. Dalam akidah Syiah, ia dianggap sebagai ghaybat al-sughra atau kehilangan kecil. Dia ini membawa bersamanya Mushaf Fatimah. Semasa ghaybat al-sughra ini – dalam khurafat mereka – pemimpin semasa Syiah masih boleh berhubung dengannya, bertanya pelbagai masalah dan jawapannya itu akan disebarkan kepada pengikut-pengikut mereka.

Beliau yang dikatakan ghaib kira-kira seribu tahun dahulu itu, masih hidup hingga sekarang dan akan datang semula ke dunia ini di akhir zaman, membawa bersamanya Mushaf Fatimah itu, untuk menyelamatkan dunia ini. Masa antara ghaybat al-sughra dengan kemunculan semula Imam Mahdi mereka itu, disebut sebagai ghaybat al-Kubra atau kehilangan besar. Sebab itu dalam wasiatnya, Khumayni berkata adalah suatu penghormatan kepada mereka kerana mereka mempunyai Mahdi jenis ini dan dia berdoa supaya Mahdi itu segera keluar dari lubang persembunyiannya. Semasa ketiadaan imam, maka yang ada ialah naib imam. Khumayni adalah salah seorang naib imam.

9. Taqiyyah dan Kitman

Taqiyyah dan Kitman dalam akidah Syiah bermakna menyembunyikan kepercayaan dan amalan sebenar mereka sekiranya mereka bersama-sama dengan masyarakat Islam. Ini bermakna mereka juga sedar bahawa ajaran dan amalan mereka itu adalah salah. Menurut ulama mereka, amalan taqiyyah dan kitman merupakan amalan nenek moyang mereka yang terdahulu dan pelakunya mendapat pahala. Atas dasar ini mereka dapat hidup hingga sekarang. Dalam menyebarkan dakyah mereka di Malaysia, mereka bertaqiyyah, menggunakan slogan cintakan Ahli Bayt, pada hal Ahli Bayt dalam konsepsi mereka, hanya beberapa orang sahaja, berbeza dengan konsep kita Ahli Sunnah wal Jamaah difahami, amalan taqiyyah ini dibuat jika mereka berada dalam keadaan tersepit dan dalam jumlah sedikit atau untuk mencapai sesuatu tujuan keagamaan mereka seperti keadaan awal mereka di Malaysia pada tahun-tahun 1980-an dahulu. Tetapi amalan ini akan ditinggalkan apabila mereka merasa keadaan mereka sudah selesa seperti sekarang ini. Sebab itu kita dengar puak Syiah Malaysia sudah berani mengisytiharkan mereka sebagai penganut Syiah. Ini semua sebagai dakyah dan untuk menakut-nakutkan masyarakat Sunni dan supaya kerajaan menunaikan tuntutan mereka. Tetapi dalam dakyah mereka dalam kalangan orang Sunni, amalan taqiyyah ini masih berlaku. Tujuannya ialah untuk mengumpan orang Sunni.

10. Ahl Bayt

Dalam kitab-kitab Tauhid kita, memang kita diwajibkan mencintai Ahli Bayt. Ahli Bayt yang sebenar ialah ahli kelurga Nabi SAW yang memiliki dan hidup di dalam Akidah dan Syariat yang benar seperti yang diajarkan oleh Baginda. Namun terdapat juga keturunan Ahl Bayt yang telah terkeluar dari ajaran Baginda SAW seperti menganut fahaman Marxisme, sekularisme, Liberalisme, Pluralisme agama dan Syiah. Mereka sudah tidak dapat dikategorikan sebagai Ahli Bayt lagi.

Ahl Bayt Rasulullah SAW, tiada kena mengena langsung dengan ajaran dan kumpulan Syiah lebih-lebih lagi Syiah Khumayni. Maulana Abu Hasan Ali an-Nadvi seorang ahli Bayt daripada keturunan Saidina al-Hasan r.a, ada menulis sebuah buku cukup baik yang menyorot kesesatan Syiah. Seorang Quraisy dari keturunan Saidina al-Hasan juga, Sayyid Muhammad al-Maliki dari Hijaz, amat kuat menentang Syiah. Demikian Ahl Bayt di Hadramawt.

11. Rukun Iman

Rukun Iman mereka antara lain ialah beriman kepada semua imam mereka yang dua belas dan beriman kepada imamah dan walayah Ali serta menolak imamah tiga khalifah sebelum ‘Ali r’a. Khumayni termasuk dalam kelompok ini. Sesiapa yang engkar dalam perkara ini, dikategorikan sebagai kafir.

12. Konsep ‘Ibadah

Oleh kerana mereka menolak Hadis yang diriwayatkan oleh para Sahabat dan Ummahatul Mukminin, maka terdapat perbezaan besar dan dasar antara kita orang Islam dengan mereka yang Syiah, dalam semua urusan ibadah. Cara azan, solat, puasa, zakat, nikah kahwin, mengurus jenazah dsb, amat bertentangan dengan kita Ahli Sunnah wal Jamaah. Mereka boleh solat jamak sepanjang waktu, kita tidak boleh, kecuali uzur syarak. Ahli Sunnah mengharamkan nikah mut’ah, mereka mengharuskannya bahkan mendapat pahala yang besar. Ringkasnya, semua ibadat mereka bercanggah dengan Islam dan Sunnah.

PENULIS ialah Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat)
Utusan Malaysia Isnin 29hb Julai 1434 (dipetik daripada http://muafakatmalaysia.com/2013/07/29/percanggahan-syiah-ajaran-islam/