Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Saturday 29 March 2014

MESIR BERGOLAK LAGI?

Para pembaca budiman,

Bila membaca berita Mesir, semua hati umat Islam yang mempunyai jiwa perjuangan Islam pasti tersentuh. Sudah ditakdirkan mereka diuji daripada zaman berzaman termasuk pada zaman al-Imam as-Syahid Hasan al-Banna Rahimahullah sehinggalah pengikut mereka pada hari ini. Kita terkejut dengan beberapa pegangan ulama dan Negara Islam mengenai isu ini:


1. Sebahagian ulama terkenal Mesir berterusan menyokong Jen Sisi walaupun terbukti ia telah melakukan pembunuhan terhadap umat Islam.

2. Kerajaan Arab Saudi juga menyokong Jeneral Sisi. Dimanakah ulama-ulama Saudi menasihati dan membantah pegangan Negara mereka terhadap 'stance' pemimpin mereka?

3. Parti Salafi Mesir juga menyokong Jen. Sisi dan dimanakah pembelajaran mereka mengenai Islam? Adakah kerana Ikhwan Muslimin bukan Salafi, maka boleh diperlakukan apa sahaja dan mereka diam terhadap kezaliman ini?

Pada keadaan tersebut, sebahagian umat Islam menggelarkan mereka sebagai ulama Su' (ulama jahat) kerana bersekongkol dengan pemerintah melakukan perkara zalim ini.

Sebahagian orang kita pula, hanya menyalahkan ulama Mesir, tetapi MENUTUP MATA kepada ketidakupayaan ulama Saudi yang TAKUT menasihati raja mereka, dan grup Salafi Mesir yang GAGAL membela sahabat mereka di Mesir. Kalau benar ulama Mesir dipalitkan gelaran ulama Su' (ulama Jahat), ulama Saudi juga dan Salafi Mesir juga boleh diklasifikasikan sedemikian kerana gagal menasihati pimpinan mereka.

Semoga kita semua adil dalam membela sahabat-sahabat se Islam kita. Wallahu t'ala a'lam. Allah al-Musta'an.


Abu al-'Izz

Wednesday 26 March 2014

KEMUNCAK KEZALIMAN MODEN

Para pembaca budiman,

Rupanya masih berlaku kezaliman pada zaman moden ini apabila 529 anggota Ikhwan Muslimin dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Jika benar gambar di bawah, maka mereka telah berjaya mendapat Syahid dalam memburu cinta Allah SWT. Mahkamah Mesir akan menentukan nasib lebih 600 orang yang lain di akhir April ini. Semoga seluruh dunia bangun membantah 'kemuncak kezaliman moden' ini.


Namun, gambar-gambar di bawah BUKAN merupakan gambar hukuman gantung tersebut kerana mereka baru ditentukan hukuman, tetapi belum dilaksanakan hukuman tersebut. Gambar ini sebenarnya berlaku di tempat lain.



 
 

Saturday 22 March 2014

KENAPA 'ELERGIK PERDANA' DENGAN SELAWAT PERDANA?

Para pembaca budiman,

Saya melihat semacam suatu 'alergik perdana' kepada mereka yang menegatifkan program-program Selawat Perdana. Mereka yang elergik ini terlajak sehingga menerbitkan kalimah-kalimah takfir, sesat dan bid'ah kepada masyarakat yang mengikuti atau menghadirinya. Saya suka menyorot kembali elergik perdana mereka ini:

1. Majlis selawat sebegini suatu yang bid'ah sesat masuk neraka sebab Nabi SAW tidak pernah buat. MasyaalLah, mereka masih berpegang secara literal hadis bid'ah walhal telah dijawab oleh banyak ulama mengenai perkara itu. Majlis ini tidak menambah sebarang rukun solat, atau mana-mana ajaran baru di dalam Islam. Bahkan di dalamnya ada peringatan-peringatan dan tausiyyah untuk pesertanya.

2. Majlis ini syirik kerana mengagungkan Nabi Muhammad SAW? Pengamatan saya, adakah dengan berselawat sebegitu sudah berubah pula penyembahan kepada Nabi SAW? Tidak pula majlis ini menjadikan Nabi SAW kita berubah menjadi orang yang disembah. Tinggal lagi ia memperingatkan kepada kita sepatutnya idola kita ialah manusia yang sempurna ini.

3. Majlis ini majlis yang sia-sia kerana turut dihadiri oleh mereka-mereka yang juga turut meluluskan konsert-konsert yang mungkar? Pada saya, sepatutnya kita gembira apabila mereka masih melihat majlis-majlis yang baik untuk dihadiri. Sekiranya para habaib itu hanya senyap terhadap perlakuan mungkar pemimpin, adakah dengan senyap menunjukkan mereka bersetuju? Tidak! Sebaliknya mendatangkan program alternatif adalah jawapan kepada program mungkar tersebut. Itu adalah jawapan yang lebih tajam daripada melafazkan kata-kata melarang mereka. Bahkan inilah jalan yang lebih berhikmah.

4. Program ini membazir kerana jumlah wang yang sedemikian boleh digunakan untuk majlis dakwah yang lain. Pengamatan saya, kenapa saudara tidak melihat ini sebagai sebahagian daripada aktiviti dakwah iaitu memenuhi keperluan hiburan golongan muda. Golongan muda memang sentiasa memerlukan alunan-alunan muzik sebagaimana mereka menjadi pengikut kepada ramai artis yang menerbitkan album secara berterusan. Maka Selawat Perdana yang pelbagai boleh memenuhi keperluan mereka ini. Bahkan perlu diingat, sekiranya Selawat Perdana ini tidak dibuat, kita tidak pasti juga adakah wang ini akan dikhususkan untuk program dakwah yang lain.

5. Qasidah dan berzanji mengagungkan Nabi Muhammad SAW sehingga syirik? Pengamatan saya, ini suatu konklusi yang buruk. Ungkapan-ungkapan qasidah penuh dengan bunga-bunga bahasa. Maknanya tidak terkeluar daripada makna kemanusiaan dan mengharap syafaat Nabi SAW. Mereka yang tidak tahu seni, memang sukar memahami kelembutan dan alunan bunga-bunga bahasa.

Semoga kita semua terhindar dengan ketaksuban sesuatu pandangan khususnya aliran yang cepat mengkafirkan dan membid'ahkan umat Islam yang lain.