Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Sunday 27 May 2007

AGEN TAKAFUL PERLU TELUS DAN BERILMU

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Perkembangan pesat system kewangan Islam menyaksikan perkembangan pantas industri takaful Negara. Sehingga kini terdapat 7 syarikat takaful yang dilesenkan oleh Bank Negara iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Takaful Nasional Sdn Berhad, Takaful Ikhlas Sdn Berhad, Mayban Takaful Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Commerce Takaful Berhad dan HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Sdn. Berhad.

Berdasarkan laporan akhbar pada 25 Mei 2007, Commerce Takaful menyakini kemampuannya untuk mengutip premium takaful sejumlah RM1 bilion pada tahun 2007. Keyakinan ini tentunya berasaskan kepada pertumbuhan minat masyarakat awam terhadap system takaful.

Kewujudan banyak syarikat-syarikat takaful merupakan perkembangan yang sihat terhadap industri ini. Setiap syarikat pastinya akan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan syarikat mereka menjadi pilihan masyarakat. Pada masa yang sama, perkembangan ini mendorong para agen mempertingkatkan tahap profesionalisme mereka untuk mengembangkan kerjaya masing-masing.

Apabila memperkatakan mengenai penggunaan agen dalam system takaful, secara umumnya, penggunaan agen dibenarkan berdasarkan prinsip al-wakalah. Agen atau wakil merupakan seseorang yang diwakilkan untuk bertindak bagi pihak orang lain. Kontrak wakil ini boleh berlaku dalam bentuk tabarru' (wakil secara sukarela) atau berbayar (wakil yang mendapat upah).

Dalam situasi biasa, sebenarnya masyarakat kita banyak terlibat dengan kontrak wakalah secara sukarela. Apabila rakan kita mahu ke kedai contohnya, secara spontan kita meminta dia membelikan sesuatu barang untuk kita tanpa kita memberikannya sebarang upah.

Walaupun begitu, timbul beberapa isu yang mempertikaikan peranan agen takaful. Sebahagian isu ini sebenarnya sudah diselesaikan oleh majlis penasihat Syariah syarikat-syarikat takaful.

Pertamanya, siapa yang membayar upah kepada agen tersebut, walhal tidak dinyatakan dalam kontrak antara peserta dan syarikat yang menjelaskan agen dibayar oleh peserta. Isu ini selesai apabila diputuskan bahawa bayaran upah agen adalah dari perbelanjaan mengurus syarikat-syarikat takaful.

Keduanya, timbul pula isu berkaitan dengan penubuhan syarikat-syarikat takaful yang berasal dari syarikat-syarikat konvensional yang bertransaksi dengan riba. Justeru, agen juga mendapat hasil dari syarikat yang pernah terlibat dengan riba. Demikian juga, pelaburan peserta juga sedikit sebanyak dikaitkan dengan riba kerana asal syarikat ini terlibat dengan riba.

Tanpa bermaksud untuk mengeluarkan sebarang fatwa tetapi sebagai sebahagian perbahasan awal, saya melihat terdapat tiga isu yang perlu diasingkan berkaitan masalah ini sebagaimana berikut:

• Syarikat takaful yang asalnya syarikat konvensional.
Apabila dilihat dari panduan yang jelas dari al-Quran, Allah SWT menjelaskan mengenai golongan yang berhenti dari memakan riba dalam surah al-Baqarah, ayat 279 yang bermaksud: Dan sekiranya kamu bertaubat, maka untukmu modal asal kamu, dan kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi.

Sekiranya dikiaskan kepada syarikat-syarikat yang pernah memakan riba, mereka boleh menggunakan jumlah modal asal syarikat mereka untuk membina syarikat takaful. Contohnya, sekiranya satu syarikat yang bernilai RM100 juta, pada awalnya ia dimulakan dengan modal asal syarikat sebanyak RM20 juta. Maka syarikat ini boleh menggunakan jumlah RM20 juta untuk membina syarikat takaful. Justeru, tiada apa-apa keraguan yang timbul terhadap hasil upah agen dan penglibatan orang ramai dengan syarikat ini.

• Upah agen takaful
Namun jika pemilik syarikat ini tidak menggunakan kaedah di atas, iaitu mereka meletakkan modal melebihi modal asal. Pada pandangan saya, hasil yang diperolehi oleh pemilik syarikat takaful sebenarnya masih mengembangkan sebahagian wang asalnya yang bersumberkan perkara haram. Justeru, pemilik syarikat itu masih berhadapan dengan sebahagian keuntungan dari sumber wang haram.

Dalam keadaan ini, timbul persoalan adakah halal upah yang diterima oleh agen dalam syarikat ini? Saya berpandangan ia adalah halal kerana peranan agen ialah memasarkan produk patuh syariah. Mereka mendapat komisen dari produk patuh syariah yang mereka jual. Justeru, mereka berkhidmat melakukan perkara halal maka upahnya juga adalah halal.

• Pelaburan peserta takaful
Keterangan di atas juga menjelaskan bahawa dana penyertaan yang terkumpul dilaburkan dalam pelaburan patuh syariah. Sekiranya demikian keadaannya, maka hasil keuntungan yang diperolehi oleh peserta adalah bersumberkan kepada sumber yang halal.

• Agen perlu berilmu dan telus
Walaupun begitu, masyarakat masih mempunyai persepsi kurang baik terhadap agen takaful dan syarikat takaful. Ungkapan-ungkapan negatif masih kedengaran seperti 'syarikat takaful susah bayar bila nak klaim', 'janji nak lindung kos perubatan, tapi bila masuk wad, yang dibayar hanya RM100 sehari, kos perubatan tidak dibayar!, 'bila saya nak tamatkan perlindungan takaful, saya hanya dapat tak sampaipun 5% dari 2000 yang saya bayar!', 'agen takaful tu tipu' dan sebagainya.
Sesetengah agen lagi masih menggunakan pendekatan insurans konvensional dalam pemasaran mereka. Mereka hanya menumpukan penerangan berkaitan dengan perlindungan takaful yang akan diperolehi sebagaimana agen insurans menerangkan perlidungan insurans.

Walau apapun alasan yang boleh diberi, agen takaful sebenarnya perlu menambah ilmu mereka berkaitan dengan kesahan kontrak menurut Islam. Kontrak takaful bukan kontrak tabarru' (kebajikan) semata-mata. Sebaliknya ia mempunyai unsur kontrak 'mudharabah' (usahasama perniagaan). Oleh itu, caruman takaful bukanlah caruman tabarru' semata-mata bahkan ia juga modal pelaburan.

Teori kontrak dalam Islam menuntut supaya dijelaskan kandungan kontrak (muqtada al-'aqd). Kesilapan agen menjelaskan kontrak dengan teliti akan menyebabkan berlakunya 'jahalah' dalam kontrak. Hasilnya, kontrak takaful yang asalnya halal, menjadi haram kerana dipenuhi dengan unsur jahalah (ketidakjelasan).

Sebagai contoh, produk takaful keluarga yang mempunyai unsur pelaburan. Sesetengah agen atau syarikat takaful tidak telus dan tidak menjelaskan sama ada secara lisan mahupun bertulis jumlah peratusan yang dimasukkan ke akaun peserta (AP) untuk dilaburkan, dan peratusan akaun khas peserta (AKP) untuk tabarru' bagi membayar tuntutan. Peratusan untuk kedua-dua akaun ini biasanya berbeza pada enam tahun terawal dengan tahun-tahun selepasnya. Penjelasan ini membolehkan peserta mengetahui bahawa hanya 5 peratus dari carumannya dalam 6 tahun pertama yang masuk ke dalam akaun peserta (untuk simpanan dan dilaburkan). Dengan itu, setiap pelanggan boleh memikirkan risiko penarikan diri sebelum tempoh matang tersebut (6 tahun) iaitu kehilangan hampir keseluruhan wang yang telah dibayar.

Akhirnya, kita mengharapkan syarikat takaful semakin mendapat tempat di hati masyarakat sebagai alternatif kepada system konvensional yang ada pada hari ini. Namun, cita-cita ini sukar dicapai sekiranya agen-agen dan syarikat-syarikat takaful tidak berusaha memberikan penjelasan yang lebih teliti berkaitan produk-produk mereka. Penelitian dan ilmu menjelaskan perkara-perkara ini adalah amat penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan syarikat takaful dipandang serong oleh masyarakat sekaligus membantutkan cita-cita murni kita memartabat system kewangan Islam dalam masyarakat majmuk kita. Wallahu a'lam.

Dr Asmadi Mohamed Naim ialah Pensyarah Kanan Perbankan dan Kewangan Islam, merangkap Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Kewangan dan Perbankan, UUM

Thursday 3 May 2007

ULAMA HARUSKAN BACA AL-QURAN UNTUK SI MATI

SOALAN:

Apakah hukumnya membaca al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati. Saya ada terbaca artikel mengatakan pahalanya tidak sampai. Persoalannya betulkah pandangan yang mengatakan bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati?

JAWAPAN;
Sebenarnya dalam persoalan ini ada dua pandangan. Pandangan yang menolak dan pandangan yang mengharuskan. Maka bila kita membawa hujah adalah lebih baik kita kemukakan hujah golongan yang menolak dan golongan yang menerima. Supaya berlaku adil di dalam berhujah.

Memandangkan saudara telah membaca alasan dan hujah yang menolak, di sini saya kemukakan alasan serta hujah golongan yang menerima.

Membaca al-Quran dan menghadiahkannya kepada si mati, ulama ada beberapa pendapat. Ada yang mengharuskan dan ada yang melarang. Ulama yang mengharuskan berpendapat bahawa amalan membaca al-Quran dengan niat menyedekahkanya kepada si mati diharap mendapat manfaat kepada si mati.

Ulama yang menganggap pahala daripada bacaan al-Quran tidak akan sampai kepada si mati kerana membaca al-Quran adalah amalan badaniah tidak boleh dilakukan oleh orang lain untuknya. Dalam erti kata yang lain amalan badan ketika masih hidup, apabila mati terputuslah amalannya dan tiada siapapun yang boleh memberi manfaat kepada si mati. Amalannyalah yang akan menjadi penyelamat baginya dalam kubur.

Namun tidak kurang banyaknya riwayat daripada Rasulullah s.a.w. yang diistinbat oleh para ulama di dalam mengharuskan bacaan al-Quran kepada si mati. Dan diharapkan melalui amalan itu si mati dapat dirahmati Allah s.w.t.

Kita sebagai hamba memohon Allah berhak menentukan, ini kerana keampunan Allah lebih luas daripada kemurkaannya.

Hujah yang dikemukakan oleh ulama yang mengharuskan seperti berikut:

1- Fatwa Mufti Atiyyah Saqar pada tahun 1997 mengharuskan bacaan al-Quran di sisi mayat kerana yang demikian akan memberi manfaat kepada si mati. Sama ada di bacaan dengan niat menyedekahkannya atau tidak. Hukum ini lebih kepada bacaan di sisi mayat.

Seperti mana hadis-hadis yang terdapat dalam kitab-kitab al-Hadis. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, Para malaikat akan menghamparkan sayapnya serta menyebut-nyebut kehadiran di sisi Allah, mereka juga akan dilimpahi dengan rahmat Allah s.w.t. serta mendapat ketenangan. (Riwayat Muslim)
Al-Quran adalah zikir, malahan sebaik-baik zikir. Di dalam membicarakan masalah ini terdapat riwayat yang menyebut secara jelas saranan Nabi s.a.w. supaya membaca Yasin kepada si mati.

Riwayat ini disebut oleh Ahmad, Abu Daud, al-Nasaie termasuk juga Ibn Majah manakala Ibn Hibban telah memperakui akan kesahihan hadis ini.

Seperti mana yang diriwayatkan, sesungguhnya Rasulullah telah bersabda, yang bermaksud: “Jantung al-Quran ialah Yasin, tidak seorangpun yang membacanya melainkan dia mengharapkan pembalasan di hari akhirat melainkan dia diampuni Allah swt, justeru hendaklah kamu membacanya kepada yang hampir mati dan orang-orang Islam yang lebih awal meninggalkan kamu.”

Imam An-Nawawi di dalam Syarah al-Muhazzab berpendapat: “Disunatkan bagi orang yang ziarah kubur itu membaca ayat-ayat al-Quran yang mudah-mudah baginya dan mendoakan mereka setelah membaca itu. Lebih lanjut beliau menambah: “Jika mereka mengkhatamkannya, itu adalah lebih afdal lagi.

Imam Ahmad bin Hanbal juga pada mulanya menolak pendapat ini kerana menganggap tidak ada dalil, tetapi menerimanya kemudian setelah mendapati terdapat dasar mengenainya. Asy-Sya’bi pula berkata: “Jika seorang daripada kaum Ansar meninggal dunia, mereka akan pulang dan pergi semula ke kuburnya untuk membaca al-Quran baginya.

Imam al-Darqutni dan ibn al-Qattan telah menyatakan bahawa bacaan al-Quran dalam ayat ini bermakna: “Membaca Yasin ketika sakaratul al-Maut”. Namun pandangan ini telah dikritik sebahagian ulama dengan menyatakan “lafaz am-mayyit dalam hadis tersebut adalah lafaz umum, tidak dikhususkan bagi orang yang hampir mati sahaja, maka tidak ada yang menghalang dari sampainya manfaat bacaan ayat-ayat suci al-Quran biarpun orang telah meninggal.” (Musnad al-Firdaus)

Tiga keadaan menghadiahkan bacaan al-Quran kepada si mati:

1- Apabila seseorang itu membaca al-Quran kemudian berdoa kepada Allah supaya si mati itu diampuni dan dirahmati insya-Allah diterima Allah, seperti mana seseorang itu bertawasul dengan amalan-amalan soleh.

Tidak harus menolak manfaat doa selepas bacaan al-Quran kepada si mati.

2- Membaca al-Quran kemudian berdoa supaya Allah menghadiahkan pahala bacaan al-Quran itu kepada si mati. berkata Ibn Solah: “Harus meyakini manfaatnya kepada si mati supaya dikurniakan Allah kepada si mati pahala bacaan seperti mana pahala bacaan yang diperolehi oleh hamba yang hidup.”

3- Membaca al-Quran dari awal diniatkan kepada si mati, maka pahalanya akan sampai kepada si mati dengan izin Allah s.w.t.

Berkata Abu Abdullah al-Ubay: “Jika dibaca al-Quran dari mula sudah diniatkan untuk dihadiahkan kepada si mati akan sampai seperti mana yang diniatkan, seperti pahala sedekah dan doa.”

Imam Ibn Rusyd di dalam Nawazil pula menyebut: “Jika seseorang itu membaca al-Quran kemudian di hadiahkan kepada si mati harus dan si mati akan peroleh pahala dan manfaatnya”

Kebanyakan ulama mengharuskan orang yang masih hidup menghadiahkan atau menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati. Pendapat ini disetujui oleh ulama-ulama bermazhab al-Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam al-Nawawi. Fatawa alAzhar ( jld; 8, 302 )

Bukan sahaja bacaan surah al-Fatihah malahan keseluruhan al-Quran bacaannya boleh dihadiahkan kepada para arwah yang telah lebih awal meninggalkan kita.

Di dalam al-Quran, Allah menyarankan agar kita berdoa kepada orang yang telah kembali lebih awal daripada kita seperti mana firman-Nya yang bermaksud: Ya Tuhan kami, berilah kami keampunan dan keampunan bagi saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami. (al-Hasyr: 10).

Kita berdoa dengan harapan agar Allah s.w.t. merahmati serta mengampuni mereka yang lebih dahulu kembali kepada alam baqa. Maksudnya Allah memberi harapan kepada yang masih hidup supaya berdoa kepada saudara-saudara mereka yang meninggal lebih awal. Kita boleh membantu saudara kita yang masih hidup dengan wang ringgit, bagi yang sudah meninggal bantuannya ialah dengan berdoa dan menyedekahkan fatihah dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Biarpun apa yang kita kirimkan kepada mereka tidak dapat membebaskan mereka dari kemurkaan Allah, namun harapan dapat diringankan dengan belas ihsan serta rahmatnya yang luas. Sekurang-kurangnya ada usaha dari insan-insan yang masih hidup.

SUMBER UTUSAN MALAYSIA, 26 APRIL 2007, RUANGAN BICARA AGAMA
http://utusan. com.my/utusan/ content.asp?y=2007&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm