Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Showing posts with label Isu kalimah Allah. Show all posts
Showing posts with label Isu kalimah Allah. Show all posts

Friday, 18 October 2013

KALIMAH ALLAH: ANTARA MURTAD DAN BERDOSA? ANTARA DATO NOOH DAN MAZA.

Para pembaca yang budiman,

Polimik kalimah Allah mungkin memasuki tahap 'menjuarai sesuatu isu dan menempelak yang lain'. Ini yang berlaku apabila Dato Nooh Gadut memberi peringatan (http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131016/dn_06/Pertikai-keputusan-boleh-jadi--murtad), lantas disambut oleh bekas mufti, Dato Dr Asri Zainul Abidin (MAZA) berkaitan isu ini (dlm http://my.news.yahoo.com/scholars-counter-infidel-argument-over-allah-084949271.html).

Jadi benarkah dakwaan Dato Nooh bahawa isu ini boleh membawa murtad? Pada saya, kenyataan beliau boleh dilihat dalam dua keadaan:
1. Sekiranya Dato Nooh Gadut mengatakan  ialah seseorang yang menyokong penggunaan oleh Kristian terhadap kalimah Allah boleh jatuh murtad, saya tidak bersetuju dengan kenyataan ini kerana perbuatannya belum boleh menjatuhkannya murtad. Dalam konteks Malaysia, mungkin jatuh dalam tahap berdosa sahaja. Kenapa berdosa? Sebab kita membuka ruang mereka menggunakan secara tidak tepat dalam Bible mereka, walhal kita sudah menutup ruang ini sebelumnya.

2. Sekiranya Dato Nooh bermaksud bahawa seseorang yang menyokong nama Allah SWT digunakan untuk konsep triniti iaitu untuk  secara syirik dalam konteks triniti, maka boleh jatuh murtad, maka saya menyokong dakwaan ini. Kita tidak menunding jari, sebaliknya kita mengatakan perbuatan anda boleh menyebabkan anda jatuh murtad sebab bersetuju supaya kalimah Allah SWT disyirikkan dengan perkara lain.

Lantas bagaimana pula dakwaan bekas mufti, MAZA yang memberikan beberapa hujah iaitu:
1. Penggunaan Allah SWT telah digunakan sejak ribuan tahun. Jawapannya mudah sahaja iaitu kenyataan ini hanya khusus kepada Kristian Arab bukan Kristian Rome dan lain-lain. Salah fakta MAZA bila menjadikan penggunaan Allah umum kepada semua Kristian.

Cuba semak bahasa asal kalimah tuhan dalam Bible yang bukan berbahasa Arab. Hak untuk menggunakan kalimah Allah kepada tuhan dibenarkan oleh para ulama kepada orang-orang Arab. Bahkan sekarang, orang-orang Kristian Arab pula berpandangan tidak tepat mereka menggunakan perkataan Allah SWT terhadap tuhan mereka. Kamus al-Maurid yang ditulis oleh seorang Kristian, jelas merujuk perkataan Allah kepada tuhan orang-orang Islam.

2. Maza berkata: Kalau begitu, keseluruhan ulama menjadi murtad sebab membenarkan penggunaan Allah kepada orang-orang Kristian? Jawapannya juga mudah, mereka tidak murtad sekiranya berpandangan seperti andaian saya yang pertama dan sememangnya mereka menyatakan pandangan umum sebegitu. Saya kira Dato Nooh yang dimaksudkan 'murtad; ialah sesiapa yang bersetuju supaya disyirikkan kalimah Allah.

Rupanya, para Mufti yang tidak bersetuju penggunaan kalimah Allah kepada Bible bahasa Melayu telah melaksanakan tanggungjawab ijtihad yang cukup hebat. Menyanggahi taklid kepada ulama Timur Tengah yang telah mengeluarkan hukum berdasarkan konteks dan adat negara dan masyarakat mereka. Apa boleh buat sekiranya MAZA masih mahu bertaklid kepada ulama-ulama Timur Tengah berdasarkan konteks masyarakat Timur Tengah.

Perlu diingat, ketegangan hubungan di Timur tengah antara Muslim dan Kristian telah membawa kepada serangan fizikal dan serangan militan. Kita tidak mahu hubungan sebegini dengan kawan-kawan kita yang beragama Kristian kerana kita mahukan tolenrasi dan menjauhi dendam kesumat. Jauhkan rasa benci masayrakat Islam terhadap masyarakat Kristian. Bahkan ajaran agama langit adalah lebih dekat dengan ajaran Islam.

Tinggal lagi Wan Ji pula memberi beberapa 'tempelakan' terhadap Dato Nooh iaitu:
1. Arahan supaya menerima sembelihan ahli kitab yang menggunakan nama 'Allah'. Ini dalil boleh menggunakan kalimah Allah?

Jawabannya cukup mudah: Larangan terhadap Gereja menggunakan kalimah Allah ialah hanya pada penterjemahan Bible dan penerbitan mereka sebab mereka rangkumkan penggunaan kalimah Allah secara syirik, kepada apa sahaja terjemahan kepada yang bersifat tuhan. Larangan ini tidak termasuk kepada sebarang ucapan untuk memperkatakan tuhan yang Esa. Adalah suatu yang tidak betul apabila Wan Ji menggunakan hujah ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan keesaan Allah untuk menyokong gereja?

Sebenarnya, arahan menerima sembelihan oleh ahli Kitab yang menyebut nama Allah SWT itu adalah dalil yang menunjukkan kalimah Allah SWT hanya untuk Yang Esa. Sekiranya mereka menyembelih menggunakan nama 'Tuhan Anak' atau 'tuhan bapa' atau ruh al-quddus, maka haram memakan sembelihan mereka. Jadi, Allah SWT hendak memberitahu kita bahawa sekiranya mereka menyebut Allah SWT, barulah sembelihan mereka boleh dimakan oleh umat Islam.

Ini juga dalil bahawa Kristian Arab menggunakan beberapa nama nama lain seperti ruh al-quddus dan tuhan Isa (ilah Isa), tuhan bapa. Haram memakan sembelihan mereka jika mereka menggunakan nama-nama tersebut ketika menyembelih binatang sembelihan walaupun ada khilaf ulama yang mengarahkan umat Islam membacakan 'basmalah' apabila menerima sembelihan ahli Kitab.

Perlu diingat, ulama-ulama muktabar masih khilaf membenarkan memakan sembelihan ahli kitab di zaman mutaakhir disebabkan berbeza ajaran ahli Kitab terdahulu berbanding dengan ahli kitab sekarang khususnya ajaran Kristian.

2. Wan Ji pula berkata: Bagaimana pula kalau Mahkamah England melarang penggunaan Isa, adakah umat Islam dilarang menggunakannya.

Jawapannya cukup mudah: Dalam Bible menggunakan perkataan 'Jesus', bukan 'Isa'. Kalau dilarang menggunakan perkataan 'Jesus', kita tidak ada masalah sangat sebab kita mengggunakan nama-nama Arab iaitu 'Isa 'Alahissalam atau Masih'. Sehingga sekarang, kita tak menerima penterjemahan nama-nama Nabi kepada bahasa lain seperti Ibrahim kepada Abraham. Muslim sedunia lebih selesa mengekalkan nama kearaban daripada semuanya diterjemahkan kepada bahasa lain.

Nasihat untuk MAZA dan Wan Ji

Saudara berdua perlu melihat isu ini secara holistik iaitu:
1. Larangan adalah kepada penterjemahan kalimah Allah secara salah dalam penerbitan gereja berbahasa Melayu, seperti Allah Jesus dan lain-lain.

Dalam konteks Negara Malaysia, Allah bukan kalimah yang lazim untuk menunjukkan istilah 'tuhan' kepada bukan Melayu. Hanya Melayu Islam yang menggunakannya untuk menunjukkan tuhan yang disembah. Jadi, apa tujuan mahu digunakan perkataan 'Allah' dalam Bible bahasa Melayu?

2. Kenapa mereka tidak beria-ria menukarkan perkataan Lord dan God kepada Allah dalam Bible bahasa Inggeris? Saya mengharapkan sedikit kebijaksaan saudara berdua memikirkan persoalan ini. Kalau benarpun ini adalah peluang untuk berdakwah kepada masyarakat Kristian, minta mereka mulakan dahulu untuk perjuangkan penggunaannya dalam bahasa Inggeris supaya berjaya. Tetapi, mereka tak guna pun perkataan 'Allah' untuk Bible edisi bahasa Inggeris. Lantas, apa tujuan menggunakannya untuk bahasa Melayu? Saya hanya mahukan sedikit kebijaksanaan saudara berdua dan para penyokong saudara berdua. Kalau Kristian mahu menggunakan dalam semua penerbitan mereka dalam pelbagai bahasa, saya orang pertama yang akan menyokong sebab ini peluang kita berdakwah.

3. Saudara perlu memahami suasana semasa, maksud akhir penggunaan kalimah ini dalam Bible bahasa Melayu. Orang-orang biasa yang tidak mempunyai pendidikan mendalam pun boleh memahami tujuan penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu. Kita tidak perlu belajar sehingga Phd pun untuk memahami hasrat tersurat ini. Cukuplah, sad al-zari'ah menjadi hujah penting ada isu ini.

Wallahu a'lam. Saya mengharapkan keikhlasan semua pihak menangani isu ini.


Allahu al-musta'an.


Abu al-'Izz



Kalimah Allah: Syukur, keputusan mahkamah menjaga kesucian Islam

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuhu

Para pembaca budiman,

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana keputusan Mahkamah Rayuan menyebelahi kita supaya Gereja Kristian tidak sewenang-wenangnya menggunakan kalimah Allah untuk penerbitan mereka.

Malangnya. sekali lagi terdapat beberapa orang di kalangan umat Islam cuba menjadi juara dengan beberapa hujah mereka yang tidak kukuh. Ya Allah, berilah hidayah kepada mereka-mereka ini ke arah kebenaran agama-MU.

Allahu al-musta'an

Monday, 8 February 2010

TERBABAS BILA BERBICARA MENGENAI KALIMAH ALLAH SWT

Oleh: Dr. Asmadi Mohamed Naim

Kita masih lagi membincangkan boleh atau tidak menggunakan nama Allah SWT oleh orang-orang Kristian dalam penerbitan mereka berbahasa Melayu..

Kerap kali juga kita TERBABAS tajuk bila kita masukkan juga isu lain seperti, bolehkah orang-orang kafir sebut nama Allah? Bukan setakat orang-orang awam terbabas, ahli-ahli panel diskusi pun terbabas.

Kadang-kadang kita membolehkan penerbitan tersebut, dgn menggunakan hujah 'ulama tidak melarang' orang-orang kafir sebut nama Allah. Saya pun secara peribadi, tak akan melarang kalau orang-orang Cina kata: Jangan mencuri nanti tuhan Allah nampak!

Saya juga tak akan melarang kalau orang Arab Kristian gunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan mereka, sebab itu memang bahasa mereka.

Saya juga tak melarang, kalau ada orang nak gunakan nama Islam, walau dia bukan Islam, seperti Nurul Huda Abdullah (bekas perenang tersohor negara). Menggunakan nama baik-baik memang disuruh.

Yang saya tak setuju, menggunakan perkataan Allah utk PENERBITAN mereka dalam bahasa Melayu. Secara realiti, berapa kerat sangat orang nak guna bahasa Melayu dalam gereja? Di Sabah & Serawak, ramai guna bahasa kaum masing-masing? Kalau nak diguna dalam gerejapun, kita bukannya periksa pun.

Mengenai dalil, ramai berhujah Allah SWT sebutkan bahawa (lidah-lidah) mereka mengatakan Allah lah tuhan mereka, namun hati mereka belum pasti beriman (katanya ada iman tauhid rububiyah?) Kita tolong isbatkan mereka beriman dan bertauhid!.

Tapi, takde pula orang bangkitkan Allah SWT marah orang yang sebut nama Allah ini sebagai '3 in One', lihat ayat 73, Surah al-Maidah:

Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: "Bahawasanya Allah salah satu dari yang tiga", padahal sekali-kali tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Tuhan Yang Esa. JIKA MEREKA TIDAK BERHENTI DARI APA YANG MEREKA KATAKAN ITU, PASTI ORANG-ORANG KAFIR DI ANTARA MEREKA AKAN DITIMPA SIKSAAN YANG PEDIH.


Saya hairan: Ancaman siksaan pedih itu (huruf besar), tak cukupkah untuk menunjukkan Allah SWT pun tak setuju namanya disebut sebegitu!. Kalau ikut kaedah istinbat hukum pun, ancaman siksa menandakan haram. Kalu kita dah mampu kekang perkara ni berlaku (dah berjaya halang dengan perundangan agar Allah itu ditafsirkan  bukan 3 in 1), tak berdosakah utk kita izinkan berlaku semula kemurkaan Allah SWT itu?


Wallahu A'lam, Allahu al-Musta'an.

Abu al-Izz

Wednesday, 6 January 2010

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Terhadap Penggunaan Kalimah Allah

Sebenarnya Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat kajian yang agak terperinci mengenai isu ini. Selamat merujuk.


Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah



Bil. Muzakarah : Kali Ke-82
Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008
Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites
Alor Star Kedah


1) Ulasan/Hujah
i. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

ii. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

iii. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

iv. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

v. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.


vi. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.


vii. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.


viii. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.


ix. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.


x. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.


xi. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.
xii. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.


2) Keputusan


i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

ii. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tuesday, 5 January 2010

PENGGUNAAN NAMA ALLAH: ANTARA CELARU DAN KELIRU

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Hari ini saya meninjau-ninjau laporan akhbar berkaitan penggunaan kalimah Allah SWT oleh Gereja Kristian. Saya melihat pandangan penulis-penulis Muslim yang menyokong dan yang membantah.


Di kalangan masyarakat, saya yakin ramai yang celaru dalam polemik keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penulisan mereka. Kecelaruan timbul disebabkan beberapa perkara,

i. pertamanya terdapat ayat-ayat suci al-Quran menggunakan istilah tersebut di dalam wacananya dengan Yahudi, Kristian dan penyembah berhala, atau pengkhabarannya kepada umat Islam mengenai agama-agama tersebut.
ii. Keduanya, terdapat golongan agama dan ‘bukan golongan agama’ yang menyokong kebenaran tersebut di atas alasan orang-orang Kristian dan Yahudi Arab menggunakan istilah tersebut.
iii. Ketiganya, melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ akan menyebabkan ‘susah’ proses mengislamkan orang-orang bukan Islam.


Berbalik kepada sebab pertama iaitu terdapat ayat-ayat suci al-Quran yang menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam wacananya dengan golongan ‘kuffar’, atau pengkhabarannya kepada kita mengenai mereka. Al-Quran diwahyukan antaranya untuk menjelaskan mengenai ketuhanan dan keesaan Allah SWT yang menjadikan alam ini, yang menguasai alam ini, mempunyai segala sifat kesempurnaan dan tidak bersifat dengan sifat kemanusiaan seperti beranak dan diperanakkan.


Dalam membincangkan keesaan Allah itulah, adalah menjadi uslub yang paling baik, al-Quran berdepan dengan golongan kuffar dengan menjelaskan Allahlah tuhan mereka yang sebenar walaupun mereka tidak beriman; atau mereka mungkin percaya beserta kesyirikan mereka mengenai adanya tuhan-tuhan yang lain beserta Allah SWT (Syirik pada rububiyyah Allah SWT).


Akhirnya, nama Allah yang datang ke Tanah Melayu telah berjaya disucikan daripada kesyirikan. Tersebar luas kalimah Allah Yang Maha Suci Di Tanah Melayu sebagai tuhan yang tidak beranak dan tidak diperanakkan. Malangnya sekarang, kerana lemahnya kita, kita kembali ke zaman awal Islam, kalimah Allah SWT perlu disucikan kembali sebagaimana di peringkat awalnya. Kita tidak pula periksa, adakah dalam kitab-kitab mereka iaitu ‘Injil’ dan ‘Taurat’ versi sekarang mempunyai kalimah ‘Allah’. Sebaliknya kita menggunakan al-Quran, untuk menjustifikasikan dakwaan mereka bahawa mereka boleh menggunakan kalimah ‘Allah’! Walhal, khitab Allah datang dalam bentuk mahu mensucikan Allah dari apa yang mereka sifatkan.


Keduanya, terdapat golongan agama dan bukan agama di kalangan orang Islam yang berhujah, kalimah Allah sememangnya telah digunakan oleh Kristian Arab atau Yahudi Arab. Saya tidak berkesempatan melihat kitab-kitab mereka dalam bahasa Arab. Walaupun begitu, ia berbeza dengan Kristian di Tanah Melayu. Bible yang diterjemahkan bukannya ada menyebut kalimah ‘Allah’. Jadi, atas hak apa mahu dikotorkan semula nama Allah yang datang dalam bentuk murni dan suci di Tanah Melayu ini dan merubah nama tersebut kepada nama yang penuh kesyirikan. Dan penyokong-penyokongnya seolah-olah menyokong supaya diubah pengertian suci ini kepada pengertian Syirik!


Ketiganya, sebahagian orang Islam berandaian pengkhususan nama Allah untuk orang-orang Islam menyebabkan mereka orang-orang bukan Islam sukar memeluk agama Islam sebagaimana kata-kata ‘Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu’ menyebabkan sukar orang bukan Islam memeluk agama Islam. Saya katakan: Melayu itu Islam perlu dikekalkan, tetapi Islam tidak semestinya Melayu sepatutnya menjadi slogan.
Berbalik pengkhususan Allah kepada orang Islam menyebabkan sukar berdakwah dengan orang-orang bukan Islam, saya tertanya-tanya dari mana dapatnya kesimpulan ini. Adakah ada kajian (research) mendalam? Sebaliknya bukti nyata dan bukti hidup, penggunaan kalimah ‘Allah’ di Indonesia menyebabkan kecelaruan yang amat besar. Demikian juga, penggunaan kalimah ‘Allah’ untuk orang-orang Kristian di Sabah dan Sarawak, tidak membantu pertambahan ‘umat Islam’, sebaliknya masyarakat Islam di sana terpaksa mewarisi budaya sahabat-sahabat kita di Tanah Seberang. Ramai sahabat-sahabat dari Indonesia menasihati kita supaya jangan jadi seperti mereka.


Apabila saya membuat penilaian pada persoalan ini, saya melihat di sinilah bahaya pembahagian Tauhid 3 iaitu yang mengasingkan Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah. Seolah-olah hendak mengiyakan bahawa orang-orang musyrik bertauhid dengan tauhid rububiyyah iaitu kepada Allah SWT.


Jadi, orang yang berpegang pada tauhid ini akan berkata “biarkanlah mereka menggunakan kalimah Allah” sebab merekapun bertauhid dengan tauhid rububiyyah! Walhal orang-orang musyrik ini sebenarnya tidak bertauhid (tidak mengatakan esa) sebaliknya menganggap adanya tuhan-tuhan lain iaitu tuhan anak dan lain-lain, atau adanya dewa-dewa lain yang memberi bekas mendatangkan rezeki dan sebagainya. Sekaligus mereka mensyirikkan Allah dalam ketuhanan dan penyembahannya. Ayat-ayat yang disebut yang mengatakan orang-orang Musyrik mengatakan Allah sebagai yang menjadikan mereka, al-Quran menggunakan perkataan ‘mereka pasti berkata’, al-Quran tidak mengatakan ‘mereka pasti beriman’!.


Beberapa mudharat ke atas umat Islam daripada penggunaan kalimah Allah bagi agama Kristian:
i. Kalimah Allah akan didefinisikan dengan pelbagai makna antaranya konsep triniti tersebut dalam kamus-kamus bahasa Melayu yang akan datang. Kamus-kamus antarabangsa juga akan mengubah definisi iaitu kalimah Allah diguna oleh orang-orang Kristian Arab, dan Yahudi Arab zaman dahulu, dan orang-orang Kristian Indonesia dan Malaysia secara meluas!
ii. Umat Islam kena lebih berhati apabila membaca atau 'searching' melalui internet. Kewujudan kalimah Allah dalam artikel berbahasa Melayu, tidak semestinya membicarakan Allah Yang Maha Suci.
iii. Akan ada mereka yang mendekati orang-orang Islam khususnya remaja atas nama 'Allah', tapi membawa kefahaman yang 'tidak suci'.
iv. Akan ada lagu yang bersifat ketuhanan, tetapi yang dimaksudkan ialah konsep Triniti.
v. Masyarakat yang akan  dicelarukan atau tercelaru sehinggakan merasakan agama-agama tersebut hanya satu perbezaan mazhab semata-mata.


Polemik ini saya jangka akan berterusan di kalangan umat Islam sendiri antara yang menyokong dan membantah penggunaan ini. Di sinilah, kita mengharapkan Raja-Raja Melayu dan pemerintah membuat keputusan yang bijak untuk menyelesaikan ‘ketidaksepakatan’ umat Islam pada perkara ini, dan mengembalikan kesucian kalimah Allah kepada kesuciannya yang hakiki.


Semoga Allah SWT melindungi generasi kini dari pepecahan dan cabaran yang mahu merosakkan akidah, Shariat dan akhlak mereka. Allahu musta’an.

Sunday, 3 January 2010

BERTINDAK SEGERA

Saya membaca berita hari ini 3 Januari 2010 di Berita Harian. Yang Berbahagia Tun Mahathir menentang penggunaan Allah oleh Gereja Kristian. Sekiranya Tun berjaya menggerakkan bantahan ini, ini merupakan jasa Tun yang amat besar terhadap perkembangan Islam di Malaysia di usia senja Tun. Jasa ini akan dikenang oleh generasi Islam sampai bila-bila. Semoga Allah SWT merahmati Tun. 




BERTINDAK SEGERA

Masyarakat Islam bantah keputusan mahkamah benar gereja guna kalimah

KUALA LUMPUR: Pemimpin Islam semua parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bimbang dengan implikasi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya, mahu kerajaan menyegerakan proses rayuan terhadap keputusan itu.


Mereka berpendapat keputusan mahkamah Khamis lalu itu melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi dan mahu ia diperhalusi supaya sensitiviti agama dan kaum di negara ini diambil kira. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat isu itu sebagai amat bahaya dan perlu diselesaikan segera kerana tidak mahu peristiwa Natrah di Singapura berulang di Malaysia.


"Penggunaan perkataan Allah (dalam majalah Herald-The Catholic Weekly) secara tidak langsung menyebarkan dakyah `Christianity' di kalangan orang Islam yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Perkara ini harus dilihat oleh pengamal undang-undang, sama ada kehakiman mahupun guaman.


"Kita mengharapkan keadilan. Kes ini perlu diteliti bukan saja dari aspek perundangan sivil, tetapi juga perundangan syariah serta maksud tersirat Perlembagaan Persekutuan dan sensitiviti umat Islam," katanya.


Beliau meminta semua pihak menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa perkataan Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam.


Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu bimbang dengan implikasi yang timbul berikutan keputusan mahkamah itu dan akan berjuang bagi menentukan kedudukan serta kesucian agama Islam tidak dicemarkan.


"Jika perlu kami akan memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.


Beliau berkata, Wanita Umno juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bagi membincangkan isu itu.


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat walau apa pun alasan yang diberi sebagai justifikasi keputusan berkenaan, ia tetap menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.


"Terjemahan 'God' yang diguna dalam agama lain dalam bahasa Melayu atau Arab ialah 'Tuhan', bukan Allah. Allah spesifik Tuhan bagi orang Islam. Kalau mereka faham mereka akan guna perkataan Tuhan, bukan Allah.


"Saya akui kalimah Allah diguna di Sabah dan Sarawak sebelum mereka masuk (bergabung) dalam Malaysia... tetapi di Semenanjung kita tak pernah dengar pula," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Mahasiswa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.


Pada 16 Februari tahun lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.



Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berharap rayuan segera dilakukan kerana melihat semacam ada satu usaha cuba merobek keadaan sehingga timbul kekeliruan di kalangan umat Islam.


"Ini bukan isu politik, ini isu akidah, tauhid yang umat Islam tidak akan beri respon (maklum balas) senyap terhadap isu ini," katanya.


Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, juga berharap kerajaan menyegerakan proses rayuan itu kerana ia melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan orang bukan Islam tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh meragukan umat Islam.


Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kalimah Allah dalam akidah adalah membabitkan soal tauhid dan isu berkenaan perlu diteliti secara halus dan jika perlu, ada campur tangan Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan bagi mengelak suasana tegang dalam masyarakat.


"Jika kalimah Allah digunakan dalam agama Kristian, ia tidak membawa maksud sebenar dalam al-Quran kerana tidak menggambarkan ketauhidan.


"Kita tidak nafi ada istilah yang Allah sebut mengenai penggunaan Allah oleh bukan Islam, contohnya `Kalau kamu tanya mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka kata Allah. Dalam konteks penciptaan memang mereka mengatakan Allah tetapi nilai ketauhidan yang membezakan antara Islam dan bukan Islam," katanya.


Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin dari PKR berpendapat keputusan mahkamah berkenaan tidak tepat dan boleh dipertikaikan, malah akan menyebabkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.


Beliau dalam kenyataan media di laman blognya, berkata keputusan itu secara tidak langsung mencabar dan melanggar Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan fahaman dan dakyah agama lain tidak dibenarkan sama sekali terhadap orang Islam. Membenarkan penerbitan Kristian menggunakan perkataan Allah bagi penerbitan berbahasa Melayu jelas satu bentuk dakyah halus kerana Melayu adalah bangsa yang beragama Islam.


"Ini sekali gus mencabar dan tidak menghormati Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa orang Melayu mestilah beragama Islam; dengan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam risalah penerbitan Kristian, ini sebenarnya dikira akan mendorong penganut Kristian dalam perlakuan jenayah kerana Enakmen Penyekatan Pengembangan Agama, Iktikad dan Kepercayaan Lain terhadap Orang Islam (Anti Propagation Law), yang digubal dengan sahnya menurut Artikel 11 Perlembagaan di beberapa negeri jelas memperuntukkan bahawa adalah satu kesalahan jenayah bagi sesiapa menggunakan perkataan tertentu termasuk 'Allah' kecuali bagi maksud Islam," katanya.


Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman menggesa kerajaan memfailkan rayuan serta-merta supaya keputusan itu dikaji semula dan melarang mana-mana agama selain Islam menggunakan kalimah Allah.

"Negara telah menikmati suasana kebebasan beragama selama mana Islam menjadi agama rasminya dan semua kaum di negara ini harus menghargainya dengan tidak mencuba menggugatnya dengan bertindak secara bodoh membangkitkan perkara remeh seperti ini," katanya.


Katanya, PPIM bimbang keputusan itu bakal mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara akibat sentimen agama umat Islam yang sensitif dengan perkara yang menyentuh soal kepercayaan mereka dan kebimbangan mereka akan nasib keturunan mereka jika perkara ini berterusan.


"Umat Islam mengenal Allah berserta sifatnya sekali dengan ketauhidan yang meliputi ketauhidan rububiah, uluhiah dan asma' wa sifat. Kita percaya Allah yang bercirikan ahadiah dan samadiah.


"Bagaimana mungkin pihak lain merujuk Allah sewenang-wenangnya tanpa melihat semula akan sifat dan ciri-ciri Allah yang sediakala itu? Apakah sifat Allah yang mereka percaya itu? Al-Quran ada menjelaskan bahawa orang Yahudi mempercayai Uzair itu anak Allah dan orang Nasrani pula percaya bahawa Al-Maseh itu anak Allah. Ini jelas bertentangan dengan Allah yang diimani oleh umat Islam," katanya.

Saturday, 2 January 2010

PENGHAKIMAN KES KALIMAH ALLAH MEMBERI KESAN TERHADAP AGAMA PERSEKUTUAN

Saya tertarik dengan penulisan Peguam Zainul Rijal Abu Bakar dalam 'membelaislam.com'. Semoga anak-anak kita, generasi kita dapat bertahan dari pelbagai 'serangan' terhadap umat Islam. Semoga 'krisis' identiti yang menimpa rakan-rakan kita di seberang tidak menular di bumi kita yang tercinta. Kita mungkin 'khilaf' boleh atau tidak 'orang-orang bukan Islam sekarang' menggunakan kalimah Allah, namun kita tidak khilaf kepada petanda kedudukan Islam dalam perundangan negara makin dicabar. Yang pasti, tidak adapun kalimah 'Allah' dalam kitab-kitab suci asal agama ahl Kitab. Jadi, apa tujuannya mahu digunakan perkataan 'Allah'?? Yang ada hanya al-Quran yang menyebut sebahagian orang-orang kafir mengakui kewujudan Allah berserta kewujudan tuhan-tuhan mereka yang lain. Jadi, apa tujuan mahu digunakan perkataan Allah yang MAHA SUCI tidak beranak dan tidak diperanakkan, yang BUKAN satu dalam tiga, atau tiga dalam satu! Kita telah berjaya mengasingkan kesyirikan terhadap kalimah Allah, sekarang mahu dibenarkan semula? Selamat membaca artikel ini atau klik tajuk utk terus ke 'membelaislam.com'.


PENGHAKIMAN KES KALIMAH ALLAH MEMBERI KESAN TERHADAP AGAMA PERSEKUTUAN

OLEH:
ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

Keputusan Hakim Datuk Lau Bee Lan 31 Disember 2009 lepas yang membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald –The Catholic Weekly merupakan suatu tamparan yang hebat kepada usaha memartabatkan agama Islam sebagai “ Agama Negara”. Masyarakat Islam arusperdana melihat penghakiman ini sebagai suatu perkara yang akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran di kalangan umat Islam. Penghakiman ini juga dilihat menghakis keistimewaan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Saya sendiri mendapat banyak panggilan telefon , emel dan surat bertanyakan kesan penghakiman tersebut terhadap kedudukan agama Islam di Malaysia khususnya. Dalam beberapa hari sahaja penghakiman tersebut dikeluarkan keluhan dan ketidakpuasan hati umat Islam ini telah dizahirkan di dalam media-media arusperdana dan media alternatif.

Sebenarnya pendirian umat Islam bukanlah hendak memadam kalimah Allah di dalam kitab-kitab suci agama lain tetapi hanyalah berkisar di sebalik undang-undang yang berkuatkuasa di dalam negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini jelas kerana agama Sikh umpamanya yang menggunakan kalimah Allah di dalam bahasa asal kitab suci mereka tidak pernah dihalang daripada membaca ataupun mengamalkan ajaran di dalam kitab asal mereka. Malah pendirian yang diambil oleh umat Islam bukanlah “peperangan antara kitab suci” tetapi lebih kepada memberi makna dan tafsiran yang jelas kepada peruntukan yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan yang disanjung oleh segenap warganegara Malaysia. Permasalahan yang timbul ialah penerbitan Herald- The Catholic Weekly ini boleh digapai oleh orang ramai termasuklah orang Islam. Ia sudah tentu diedarkan dan tiada jaminan ia tidak akan sampai kepada orang Islam.

Walaupun usaha beberapa Majlis Islam negeri-negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Trengganu, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Kedah serta Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) gagal mencelah di dalam kes ini, namun usaha ini haruslah diberi penghargaan yang tinggi kerana khususnya Majlis Agama telah menjalankan tanggungjawab statutori mereka di dalam mempertahankan agama Islam dan MACMA yang merupakan NGO tunggal berbuat demikian. Namun persoalan lain pula, di manakah Majlis-Majlis Agama Islam negeri lain? Adakah mereka juga bersekongkol dan bersetuju kalimah Allah ini boleh digunakan oleh pihak Gereja di dalam penerbitan mereka? Majlis-Majlis Agama mempunyai tanggungjawab statutori menasihati Sultan di dalam hal ehwal agama malah menjaga agama juga diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Agama.

Hanya Islam sahaja satu-satunya agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada agama lain disebut secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan hanya disebut sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara sahaja. Ini adalah jaminan Perlembagaan bahawa pengamalan agama lain oleh orang bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada Perkara 11(4) iaitu berkaitan sekatan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Umat Islam adalah umat majoriti di negara kita. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Makna ‘boleh diamalkan dengan aman dan damai’ ialah agama lain selain agama Islam boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan selagi ia tidak menghakis kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan iaitu Islam. Inilah kedudukan istimewa Islam.

Kedudukan istimewa Islam ini bolehlah di fahami kerana terdapat peruntukan-peruntukan yang lain yang memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, antaranya
a) Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang-orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.;
b) Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Kerajaan Persekutuan diberikuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembagunan syiar Islam;
c) Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan Kerajaan Negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam.
d) Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga telah memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campurtangan, membatalkan ataupun tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Penghakiman Hakim Datuk Lau Bee Lan itu memberi kesan yang amat ketara terhadap orang Islam. Ini bermakna orang bukan Islam bebas menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka tersebut selagi ianya adalah di edarkan di kalangan orang bukan Islam. Persoalan yang timbul pula apakah jaminan ianya tidak akan diedarkan kepada orang Islam? Penerbitan tersebut tidak hanya diedarkan di gereja sahaja.

Kenapakah pihak gereja begitu beria-ia mahu menggunakan kalimah Allah ini? Tidakkah dengan menggunakan kalimah Allah ini ia akan menggugat kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan?
Malah keujudan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) juga tidak mempunyai signifikan secara realitinya. Enakmen yang telah ujud di beberapa negeri sejak berpuluh tahun masih tidak dilaksanakan. Malah ada negeri yang telah meluluskan enakmen ni masih tidak mewartakan dan memberi tarikh pelaksanaannya. Empat buah negeri pula iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang yang sama walaupun mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri semasa menjadi Perdana Menteri telah berjanji dan mengarahkan negeri-negeri ini menggubal undang-undang tersebut. Sememangnya kepentingan agama Islam seringkali dipinggirkan semasa membuat sebarang tindakan oleh pelbagai pihak. Kenapa kita terlalu abai dalam perkara ini?

Dalam keadaan yang agak tegang ini saya menyeru kepada pihak kerajaan supaya dengan kadar yang segera memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Lau Bee Lan ini serta memohon menggantung perintah yang dikeluarkan itu. Saya juga menyeru supaya pihak Kerajaan melaksanakan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan bagi negeri-negeri yang belum menggubal undang-undang tersebut hendaklah berbuat demikian dengan kadar segera.

Majlis Raja –Raja Melayu sebagai ketua agama negeri-negeri juga perlu membuat ketetapan yang tegas berkaitan dengan perkara ini selaras dengan sumpah jawatan baginda mempertahankan Islam pada setiap masa. Malah Yang Di Pertuan Agong menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan juga boleh merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3 tersebut.

Perkara 130 tersebut menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

Oleh yang demikian jika Yang di Pertuan Agong merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan isu ini mungkin akan meredakan ketegangan yang dihadapi oleh umat Islam sekarang.

Tindakan Kementerian Dalam Negeri melarang pihak Gereja menggunakan kalimah Allah adalah kerana KDN sebagai salah sebuah organ kerajaan perlu mempertahankan ikrar Yang Di Pertuan Agong semasa menaiki tahkta iaitu mempertahankan Islam pada setiap masa. Oleh itu segala tindakan yang dibuat oleh pihak kerajaan perlulah sejajar dengan ikrar mempertahankan Islam ini. Secara mudahnya, setiap urusan kerajaan adalah disifatkan sebagai Urusan Seri Paduka Baginda (sebagaimana tertera di dalam sampul surat jabatan kerajaan). Oleh yang demikian adalah tidak masuk akal, urusan tersebut mencabul ikrar yang dibuat oleh Seri Paduka Baginda itu.

Kementerian Dalam Negeri perlu segera merayu keputusan kes ini kerana ia melibatkan kedudukan agama Islam di Malaysia apatah lagi keputusan mahkamah tertinggi di dalam negara perlu bagi menyelesaikan kedudukan ini secara muktamad.

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my.

Wednesday, 4 March 2009

PENGGUNAAN NAMA ALLAH OLEH AGAMA-AGAMA LAIN

Sehingga Mac 2009 polimik penggunaan nama Allah berterusan di Malaysia apabila Gereja Kristian di Malaysia mahu menggunakan nama tersebut dalam penerbitan mereka di atas dakwaan kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan. Dalam konteks Malaysia, Islam sebagai agama rasmi di negara ini, telah mempunyai beberapa peraturan untuk menjaga kesucian agama Islam dan ia dijamin juga oleh perlembagaan. Bahkan di negeri-negeri, Raja-Raja Melayu memiliki kekuasaan untuk menjaga isu-isu agama termasuklah hak esklusif penggunaan nama Allah untuk agama Islam.

Perdebatan berkenaan dengan penggunaan nama Allah oleh agama lain mengundang dua pandangan berbeza di kalangan umat Islam samada di kalangan ahli agama, mahupun masyarakat awam.

Terdapat golongan memandang nama ‘Allah’ sememangnya digunakan oleh al-Quran untuk menceritakan bagaimana kepercayaan umat-umat terdahulu. Sebagai contoh, dalam surah Luqman, ayat 25. Allah SWT bermaksud:

Sekiranya kamu bertanya mereka (orang-orang kafir), siapakah yang menjadikan langit-langit dan bumi, nescaya mereka mengatakan Allah. Katakan (wahai Muhammad): Segala puji bagi Allah. Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Demikian juga dalam surah al-Ankabut, ayat 61, Allah SWT berfirman bermaksud:

Dan sekiranya kamu bertanya mereka siapakah yang menjadikan langit-langit dan bumi dan yang mengaturkan matahari dan bulan, nescaya mereka mengatakan Allah. Justeru kenapakan mereka berpaling (dari) mentauhidkan Allah?

Golongan ini mengatakan bahawa al-Quran sendiri menyebut bahawa masyarakat bukan Islam menggunakan istilah ‘Allah’ untuk tuhan.

Pada saya, ada beberapa perkara yang perlu diteliti dalam memperbahaskan isu penggunaan nama Allah.

Pertamanya, kitab-kitab agama-agama langit terdahulu tidak diturunkan dalam bahasa Arab, justeru tidak timbul langsung penggunaan istilah ‘Allah’ untuk agama-agama langit seperti ‘Yahudi’ dan ‘Kristian’. Al-Quran kemudiannya menjelaskan bahawa konsep tauhid agama tersebut yang asal ialah kepercayaan kepada Allah SWT walaupun telah diselewengkan oleh para pendeta dan paderi. Hakikat bahawa kitab-kitab Yahudi dan Kristian bukan berbahasa Arab iaitu taurat dan injil (bible), keduanya tidak menggunakan nama ‘Allah’ untuk merujuk tuhan mereka. Sebaliknya Islam tidak pernah menggunakan istilah yang mereka gunakan terhadap Allah sebagai nama kepada tuhan di dalam ajaran Islam.

Keduanya, ayat-ayat yang disebutkan di atas adalah berkaitan dengan ayat-ayat sebelumnya. Contohnya, ayat 23 dan 24 Surah Luqman menceritakan orang-orang yang kufur terhadap Allah SWT dan mereka ditimpakan dengan azab yang pedih. Justeru, di kalangan mereka yang kufur (menyembah selain dari Allah SWT), jauh di sudut hati mereka mengakui adanya tuhan yang esa yang menjadikan langit dan bumi. Ini tidak menandakan orang-orang kafir menggunakan lafaz Allah dan menyembah Allah sebagai tuhan mereka.

Demikian juga dalam surah al-Ankabut, ayat sebelumnya menceritakan rahmat Allah. Sekiranya ditanya kepada orang-orang kafir siapakah tuhan mereka, nescaya mereka akan mengatakan Allah. Namun mereka tetap berpaling. Iaitu mereka masih berpaling dengan tidak meyembah Allah SWT. Justeru, ayat ini tidak boleh digunakan untuk menunjukkan tuhan mereka ialah Allah SWT.

Ketiganya, kemungkinan ada pandangan mengatakan ‘orang-orang Arab Jahiliyah’ menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada ‘tuhan’. Benarkah begitu? Sebaliknya orang-orang Arab sebelumnya banyak menggunakan perkataan ‘ilah’ untuk merujuk kepada tuhan, contohnya ilah latta dan ilah al-uzza.

Sebaliknya, al-Quran datang menggunakan perkataan ‘Allah’ dan bukan perkataan ‘ilah’ bersama penafian Allah itu mempunyai anak, dan penafian Dia mempunya pembantu yang terdiri dari ilah-ilah yang lain sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun, ayat 91 yang bermaksud:

Dan tidaklah Allah mempunyai anak, dan tidaklah bersamanya tuhan yang lain (sebagai pembantu). Oleh itu, sekiranya setiap tuhan memutuskan keputusannya sendiri, nescaya sesetengahnya di atas sesetengah yang lain (menguasai yang lain), mahasuci Allah daripada apa yang mereka sifatkan.

Keempatnya, umat Islam perlu mempertahankan penggunaan nama ‘Allah’ hanya untuk orang-orang Islam kerana beberapa sebab, antaranya:

i. Antaranya penggunaan perkataan ‘Allah’ telah melalui proses penyucian dari segala kesyirikan yang muncul dari zaman selepas nabi-nabi sebelumnya sehingga hari ini sehingga diiktiraf sebagai tuhan orang-orang Islam. Sila lihat kamus-kamus moden bagi membuktikan perkara ini. Justeru itu, membenarkan penggunaan istilah itu kepada bukan Islam adalah satu tindakan ke belakang untuk kembali ke zaman penggunaan nama Allah yang dipenuhi kesyirikan. Sekaligus, ia mengenepikan usaha al-Quran yang berulang kali menafikan sifat-sifat kesyirikan (mempunyai anak dan pembantu-pembantu) yang ada pada zat Allah SWT.

ii. Berpegang pada pandangan bahawa dalam al-Quran menyebut orang-orang kafir menggunakan penggunaan nama Allah, adalah pandangan yang cetek. Tidakkah mereka membaca bersama bahawa al-Quran berulang-kali mensucikan nama ‘Allah’ dari bersifat dengan sifat kelemahan.

iii. Kalau benarpun, ada penggunaan ‘Allah’ sebelum Islam, ia adalah nama umum, yang kemudiannya menjadi nama khusus untuk tuhan orang-orang Islam setelah melalui proses mensucikan nama Allah SWT dari segala sekutu yang tidak layak untuknya.

Semoga membantu kita memahami kepentingan isu ini. Untuk tidak mengulang perbahasan lanjut, saya suka juga merujuk kepada artikel di bawah yang boleh dijadikan rujukan dalam isu ini.

Sekian, wallahu a’lam.

Dr Asmadi
4 Mac 2009


Isu Nama Allah: Persoalan Aqidah Bukan Perebutan Nama
Khalif Muammar*

Isu Herald Tribune telah mengundang reaksi pelbagai pihak sejak awal tahun ini. Setelah Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk melarang penggunaan nama Allah oleh surat khabar tersebut, Dewan Ulama Pas (Harakah, 1 Januari 2008) menyatakan Islam tidak melarang penganut agama lain menggunakan kalimat Allah bagi Tuhan mereka. Sebagai reaksi saya juga telah membahas isu ini dalam artikel yang diterbitkan dalam laman web khairaummah. com pada 20 Januari 2008 dengan harapan ia dapat membantu umat Islam di negara ini memahami persoalan yang sebenar.

Namun isu ini ternyata menjadi hangat kembali apabila Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin, menulis dalam Mingguan Malaysia pada 27 April 2008 bahawa Umat Islam tidak perlu berebut nama Allah dengan penganut Katolik. Mereka berhak menamakan Tuhan mereka dengan nama Allah kerana dalam al-Qur'an pun kaum Musyrikin menggunakan nama Allah. Mufti juga menegaskan bahawa yang menjadi permasalahan adalah bukan nama Tuhan tetapi kesyirikan penganutnya. Saya terpanggil untuk memberi tanggapan kerana hal ini akan mengundang kekeliruan jika tidak diperjelaskan dengan tuntas.

Yang paling penting kita perlu jelas bahawa nama Allah telah menjadi nama khas bagi Tuhan umat Islam. Perlu dibezakan antara kalimat Allah dari sudut bahasa yang telah wujud sejak zaman Jahiliyyah dengan kalimat Allah yang telah diIslamkan setelah menjadi istilah atau nama khas. Jika kita perhatikan kalimat tawhid: la ilaha illa Allah. Ia tidak bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan, tetapi tiada tuhan melainkan Allah. Kerana jika ia bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan maka tidak ada maknanya seseorang mengucapkan kalimat tawhid itu. Oleh kerana itu sarjana-sarjana Islam tidak bersetuju untuk menggantikan Allah dengan God dalam bahasa Inggeris. Pengislaman nama Allah ini juga jelas apabila kita lihat surah al-Ikhlas, antara surah terpenting dalam al-Qur'an, yang menjelaskan siapakah Allah dan apakah sifat-sifatnya: "Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia"."(al-Ikhlas: 1-4). Berdasarkan Surah dia atas, sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa yang bernama Allah adalah yang mempunyai sifat-sifat tersebut. Dalam erti kata lain kita tidak mengakui bahawa yang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut juga adalah Allah.

Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Asri memang masyarakat Jahiliyyah menggunakan nama Allah, tetapi nama Allah di situ digunakan dari sudut bahasa sahaja dan sebelum perkataan itu diIslamisasikan. Ia kemudian menjadi nama khusus yang merujuk kepada sifat-sifat di atas. Kata-kata solat, contohnya, dari segi bahasa adalah doa dan telah digunakan oleh orang Arab sejak pra-Islam lagi, ia kemudian menjadi istilah yang merujuk khusus kepada apa yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Oleh itu kita tidak boleh mengatakan orang Katolik juga melakukan solat hanya kerana mereka berdoa di gereja.

Umat Islam perlu melihat apa yang berlaku di sebalik persoalan nama Allah ini. Jika kita lihat dengan teliti isu ini dengan isu-isu yang sebelumnya kita akan dapat melihat hubungannya. Contohnya isu pluralisme agama yang giat dipromosikan oleh orang bukan Islam dan sebahagian orang Islam sendiri iaitu Islam Liberal. Para pendukung pluralisme agama ini berusaha untuk mendangkalkan makna-makna atau kata kunci dalam agama. Mereka mengatakan bahawa Tuhan dalam agama manapun pada peringkat tertinggi (transcendental) adalah sama. Bagi umat Islam, konsep Tuhan kita jauh berbeza dengan konsep Tuhan dalam agama mana pun. Pendukung pluralisme agama juga menekankan wujudnya persamaan antara agama-agama dan perbezaan perlu diketepikan untuk kebaikan bersama. Padahal bagi kita perbezaan fundamental antara Islam dengan agama lain walaupun sedikit adalah sangat penting dan tidak boleh dipinggirkan. Sebahagian orang bukan Islam bahkan mengaku telah Islam tanpa perlu masuk Islam. Kerana mereka merasa telah 'berserah diri' kepada Tuhan. Di sini mereka merujuk perkataan Islam dari sudut bahasa ialah berserah diri. Jika Allah hanya bermakna Tuhan maka kini mereka akan mendakwa bahawa mereka juga telah beriman kepada Allah. Padahal mereka hanya percaya pada Tuhan.

Contohnya lagi kita tidak boleh menggunakan kata 'liberal' untuk makna terbuka kerana ia memberi konotasi yang dalam. Kita pun tidak akan mengatakan bahawa mereka telah memonopoli perkataan liberal. Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah sarjana Islam yang paling tegas dalam hal pemberian nama atau istilah ini. Bagi beliau banyak kekeliruan berpunca daripada penamaan. Contohnya pelajaran berbeza dengan pendidikan dan ta'dib. Istilah moden dan klasik dalam pembahagian sejarah bagi beliau tidak relevan dengan sejarah Islam dan lain-lain lagi.

Sebenarnya tidak ada nas sorih dan qat'i dalam persoalan ini. Nas dan dalil yang dikemukakan oleh Dr. Asri hanya menunjukkan bahawa masyarakat Jahiliyyah telah menggunakan kalimat Allah untuk merujuk kepada Tuhan mereka. Kita perlu melihat ayat-ayat dan hadis-hadis seumpamanya dalam konteks penggunaannya dari sudut bahasa. Dari sudut bahasa Allah bermakna Tuhan. Ayat-ayat tersebut turun ketika Islam mula diperkenalkan sebagai proses berdialog dengan kaum musyrikin. Setelah konsep-konsep penting dalam Islam jelas dan worldview Islam terbentuk maka di sini proses Islamisasi berlaku baik terhadap bahasa, budaya dan pemikiran masyarakat Arab. Oleh kerana itu dengan mendangkalkan makna Allah maka kita telah menafikan proses Islamisasi tersebut dan kembali seolah-olah Islam belum bertapak. Memang kita boleh membuat kesimpulan tidak menjadi masalah orang bukan Islam menggunakan nama Allah kerana hal tersebut "tampak" secara literalnya wujud dalam al-Qur'an. Namun, dalam berijtihad seseorang ilmuwan tidak boleh hanya bersandarkan kepada makna literal teks atau nas tetapi perlu juga melihat kepada maqasid dan falsafah yang mendasarinya sebagaimana telah ditegaskan oleh al-Shatibi.

Persoalan nama Allah tidak boleh dilihat dari sudut fiqh sahaja khususnya kerana ia menyangkut aqidah. Ia mesti melibatkan kepakaran dalam bidang falsafah Islam, dan lebih spesifik metafizik Islam dan epistemologi Islam. Dalam perbualan peribadi dengan seorang tokoh pemikiran Islam, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, beliau memberitahu dan menyambung hujah Prof S.M.N al-Attas bahawa al-Qur'an telah merubah dan memperbaiki kekeliruan dan kerusakan yang telah terjadi kepada hakikat-hakikat penting yang berkisar di sekitar ketuhanan, kemanusiaan dan kejadian. Dalam hal ini yang terjadi ialah proses Islamisasi terutama tentang hakikat ketuhanan yang merupakan tiang seri agama Islam. Menurut beliau lagi sekarang ini yang kelihatan sedang berlaku ialah proses deislamisasi dengan membawa makna-makna yang asing dan berlawanan dengan aqidah dan pandangan alam Islam, samada aliran-aliran sekular atau dari agama-agama lain. Prof Wan Mohd Nor juga berkata setiap istilah dalam semua bahasa mempunyai batas-batas makna yang sah yang mencerminkan pandangan alam tertentu, dan yang membezakan sesuatu istilah itu dengan yang lain. Persamaan yang banyak pun masih memerlukan istilah atau nama yang berbeza jika terdapat hanya satu perbezaan yang penting. Sebab itulah semua bahasa-bahasa yang tinggi mempunyai kamus. Keldai, kuda, baghal banyak persamaan tetapi terdapat perbezaan; dua manusia kembar siam juga diberi nama yang berbeza. Orang bukan Islam boleh mempekayakan kamus peristilahan Bahasa Melayu dengan menggunakan nama lain bagi Tuhan mereka. Dalam konteks Kristian, mereka boleh gunakan Tuhan, Dewata, Deus, Theos, atau God. Selama ini gereja, kuil, sami, paderi, uskup dan lain telah memperkayakan Bahasa Melayu dan tidak menimbulkan kekeliruan dan kemarahan masyarakat yang beragama lain. Di sini jelaslah bahawa seseorang yang bercakap tentang persoalan aqidah mesti faham kaitannya dengan worldview, tasawur dan pemikiran Islam. Dalam hal ini, aqidah tidak hanya bermakna kepercayaan dan keimanan dalam ertikata yang sempit seperti biasa difahami oleh masyarakat umum, namun ia adalah satu set keyakinan yang dapat memberi kesan kepada cara berfikir (worldview) dan cara hidup (way of life) seseorang Muslim.

Kita juga perlu berfikir mengapa kaum Katolik ingin menggunakan nama Allah? Kita tidak boleh tertipu dengan hujah persamaan nama yang bagi sesetengah orang hanya bersifat luaran. Kita tahu pada hakikatnya nama Tuhan mereka bukan Allah. Nama Allah mungkin relevan bagi penganut Kristian di negeri-negeri Arab tetapi tidak di selain negeri Arab. Oleh itu jelas terdapat agenda yang tersembunyi yang tidak boleh luput dari perhatian umat Islam. Isu ini juga dibangkitkan dengan memanfaatkan toleransi dan dialog antara agama yang semakin mendesak ketika ini.

Tindakan membiarkan pihak Kristian menggunakan kalimat Allah bukan satu toleransi tetapi satu penggadaian hak dan kedaulatan. Ia adalah satu kerugian yang besar dan kelemahan yang nyata apabila umat Islam membiarkan penganut agama lain mendangkalkan konsep dan istilah penting dalam Islam. Perkataan Allah, solat, tawhid, rasul, bahkan istilah Islam itu sendiri membawa makna yang tersendiri setelah diislamisasikan. Kalimat-kalimat ini telah menjadi bahagian penting daripada pandangan sarwa Islam (Islamic worldview). Jika ia dikaburkan maka sudah tentu akan memberi kesan kepada pemikiran dan aqidah umat Islam. Sesiapa pun yang ingin memahami persoalan ini perlu sedar bahawa beberapa istilah keagamaan tertentu telah menjadi 'milik' umat Islam. Sebarang tindakan meng-'import' nya boleh dianggap sebagai penyalahgunaan dan pencabulan terhadap agama Islam. Istilah-istilah keagamaan mesti dihormati, dari agama manapun ia datang, oleh penganut agama lain. Toleransi mungkin berlaku jika wujud penghormatan terhadap agama lain. Nama dan istilah tertentu seperti Pope, Paderi (priest), Sami (Monk) dalam agama-agama tertentu tidak boleh digunakan sewenang-wenang oleh penganut agama lain. Ini bukan sahaja kerana ia telah sinonim dengan agama penggunanya tetapi juga kerana kalimat ini telah diwarnai atau mengandungi pandangan sarwa penggunanya.

Oleh itu tindakan Kementerian Dalam Negeri pada 31 Disember 2007 melarang penggunaan nama Allah dalam surat khabar Herald adalah tindakan tepat dan positif yang bermakna bagi umat Islam. Ia perlu disokong dan orang-orang agama tidak sepatutnya mengeruhkan lagi keadaan. Umat Islam mesti mempertahankan nama Allah untuk tidak digunakan oleh orang bukan Islam selagi termampu. Masyarakat Islam di negeri-negeri Arab tidak mempunyai kemampuan untuk mempertahankan hal ini kerana ia berlaku secara halus dan di luar kawalan mereka. Kebelakangan ini tampaknya ketidaksepakatan orang Islam dalam hal ini telah membuka ruang kepada Herald Tribune untuk menggugat keputusan Kementerian tersebut.

Maka dapat disimpulkan bahawa jika dilihat dari sudut falsafah dan pemikiran, dan bukan hanya dari sudut fiqh, kita akan melihat bahawa nama memberikan seribu makna. Jauhnya perbezaan antara Allah dengan Tuhan ibarat langit dengan bumi. Jelaslah isu ini bukan isu perebutan nama tetapi isu yang menyangkut jantung aqidah. Ia juga berkaitrapat dengan pendangkalan makna Allah untuk menjustifikasikan pluralisme agama. Kita tidak boleh membiarkan pendangkalan makna tersebut berlaku tanpa penolakan umat Islam. Adalah menjadi tanggungjawab semua ilmuwan Islam untuk menentang segala usaha mendangkalkan makna dalam Islam.

*Penulis adalah Felo Penyelidik ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu), UKM.