Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Saturday, 21 November 2009

Umat Islam Malaysia tak boleh berpecah kerana doktrin serpihan

Saya tertarik dengan kajian penulis di bawah. Kita banyak kehabisan masa bertelengkah perkara remeh temeh. Saya sendiri terpaksa membuka semula kitab-kitab khilaf, bila banyak sangat tuduhan sesat dilontarkan pada amalan masyarakat awam yang dah diterima oleh kebanyakan ulama. Masa yang ada sepatutnya saya boleh tumpukan untuk memberi saham untuk sistem kewangan Islam. Selamat membaca.


Artikel Berita Harian Sabtu 14 Nov 2009

Umat Islam Malaysia tak boleh berpecah kerana doktrin serpihan
Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

MASYARAKAT Islam di negara ini sudah lama menerima dan mengamalkan Islam berdasarkan pendekatan Ahli Sunnah Waljamaah. Dalam aspek akidah, pegangan yang dihayati dan sebati ialah fahaman Asyaairah dan Maturidiah. Aliran Asyairah diasaskan oleh Abu Hasan bin Ismail Asyaari (260H -330H) manakala aliran Maturidiah diasaskan Abu Mansur Muhammad bin Muhammad Maturidi (wafat 333H).

Kedua-dua aliran ini, fahaman dan pendekatan mereka sealiran dan sederhana yang menampakkan kesan baik kepada kestabilan rohani dan masyarakat. Pada zaman globalisasi ini, keresahan tetap timbul apabila fahaman lain ditonjolkan di dalam masyarakat Islam walaupun fahaman itu pada hakikatnya masih di bawah payung Ahli Sunnah.

Masyarakat Islam dilihat mahukan aliran Ahli Sunnah tidak harus dilibatkan dalam kancah fahaman sempit menerusi doktrin dan tokoh tertentu saja. Malah umat Islam tidak harus dibabitkan dengan perpecahan kerana doktrin serpihan itu.

Majoriti umat Islam di rantau ini sejak berabad-abad lamanya menerima dan mengamalkan Islam berasaskan pendekatan aliran Ahli Sunnah Waljamaah hingga menjadi begitu dominan. Hakikat ini memperlihatkan rantau ini paling seragam dalam pegangan akidah, amalan syariah dan akhlak berbanding dengan masyarakat Islam di rantau lain.

Keadaan ini secara tidak langsung memberi sumbangan kepada kestabilan politik, masyarakat dan perpaduan ummah. Pendekatan Ahli Sunnah yang sederhana harus disuburkan kerana ia tonggak kestabilan politik Malaysia.

Pendekatan ini dihayati masyarakat Islam dalam aspek akidah dan kepercayaan melalui fahaman dan aliran Asyairah dan Maturidiah. Fahaman kedua-dua aliran tokoh di atas sangatlah kukuh dan sukar dirungkai, terutama di kalangan orang awam. Masyarakat Islam berasa ganjil dan resah apabila wujud aliran berbeza daripada apa yang mereka anuti.

Dalam konteks ini kekuatan pegangan masyarakat Islam kepada aliran Asyairah dan Maturidiah dapat dilihat menerusi kitab akidah yang menjadi bahan pengajian dan sumber rujukan sama ada di institusi pengajian formal atau di institusi tidak formal seperti di masjid atau surau.

Keseluruhannya menggunakan kitab berorientasikan aliran Asyairah dan Maturidiah seperti kitab Ihya' Ulumiddin al-Ghazali, Ibanah oleh Abu Hassan al-Asyaari dan lain-lain. Kesederhanaan sikap dan pendekatan Abu Hassan Asyaari berjaya menolak golongan berpegang kepada akal dalam menafsirkan teks dengan golongan yang berpegang kepada literal teks.

Kesederhanaan ini dapat dilihat apabila beliau menyeru umat Islam kembali kepada teks al-Quran dan al-Sunnah dan tidak pentakwilan yang jauh. Sementara itu, beliau juga menentang jumud pemikiran dan menyeru agar peranan akal dikembalikan seiringan dengan wahyu.

Beliau berpendapat dengan ada paduan antara akal (akli) dan dalil atau sumber (naqli), adalah lebih mudah untuk meningkatkan kefahaman masyarakat Islam mengenai akidah. Kebanyakan tokoh Asyairah adalah bermazhab Syafie dan Abu Hasan Asyaari dalam fikahnya juga bermazhabkan Syafii.

Hal ini mungkin disebabkan ada persamaan dasar antara kedua-dua aliran ini iaitu dasar kesederhanaan. Imam Syafii juga dianggap tokoh yang memilih pendirian sederhana antara pendekatan Imam Malik yang mengutamakan kehendak hadis dalam membuat hukum dan Imam Abu Hanifah yang banyak menggunakan akal. Kesederhanaan pendekatan Asyaari dalam akidah dan pendekatan Syafii dalam fikah adalah faktor penting.

Ia sangat mudah diterima dan menguasai sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia. Mana-mana golongan ingin menggugat kedudukannya akan ditentang daripada majoriti umat Islam di negara ini.

Dalam satu kajian bertajuk `Civil Democratic Islam : Patners, Resources and Strategis`(2003) diterbitkan oleh RAND Corporation sebuah badan penyelidikan dan penasihat yang berpengaruh di Washington, menyatakan umat Islam dinilai dari segi kecenderungan pemikiran mereka sama ada tradisionalis, fundamentalis, moden atau sekular.

Kajian ini memperlihatkan bagaimana cara untuk mengadu domba umat Islam melalui pengelompokan ini.

Kajian itu menegaskan golongan moden dan sekular seperti aliran Kamal Atartuk dan juga pertubuhan bukan kerajaan bercirikan liberal perlu didukung secara halus dengan lambakan dana penajaan, ruang media dan penonjolan idola untuk dipuja. Ini dapat dilihat melalui golongan liberal dianggap sebagai reformis Islam.

Golongan tradisional Salafi dan Wahabi pula disaran agar didukung manakala golongan fundamentalis seperti gerakan Islam hendaklah dipinggirkan. Berlaku perbalahan antara golongan itu dalam isu remeh dan persoalan furu' (cabang). Perbalahan dan pertelingkahan perlu disuburkan agar sumber kekuatan umat Islam `dilelahkan` tanpa sebarang manfaat jelas.

Oleh itu umat Islam tidak perlu terperangkap dengan permainan musuh yang ingin mengadu domba dan melemahkan umat Islam.

Monday, 16 November 2009

ARTIKEL UTUSAN: MENGAPA TAUHID TIGA SERANGKAI?

Satu artikel yang menarik untuk direnung dalam kehangatan perbahasan aliran pemikiran yang sedang mengancam umat Islam ketika ini. Artikel ini diterbitkan oleh Utusan Malaysia, 16 November 2009. Semoga kita mendapat pencerahan.

MENGAPA TAUHID TIGA SERANGKAI?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SEJAK kemasukan Islam ke Tanah Melayu, umat Islam di negara ini kuat berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang disusun atau diformulasikan oleh dua tokoh terbesar dalam bidang ilmu tauhid iaitu Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a.

Perkara ini telah ditegaskan oleh ulama ulung Tanah Melayu, al Allamah Sheikh Abdullah Fahim. Beliau juga menyatakan bahawa ia telah menjadi ijmak ulama di Tanah Melayu.

Antara kenyataannya berbunyi: “Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMelaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas; awam-awam, kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga Raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al Imam al Syafi’e r.a ijma’an (ijmak), tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi’e. Usuluddin atas perjalanan Abi al Hasan al Asy’ari r.a. Diambilkan dari Syuruh dan Hawasyi Ummu al Barahin dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu”.

Di dalam kitab ini, pendekatan Sifat 20 digunakan bagi memahami permasalahan ketuhanan. Pendekatan ini juga diguna pakai di kebanyakan negara-negara Islam yang berpegang dengan akidah ASWJ seperti di Mesir, Syria dan Morocco. Ia juga menjadi silibus di kebanyakan universiti di dunia Islam termasuklah universiti Islam terulung di dunia, Universiti al Azhar al Syarif.

Sejak doktrin ini diguna pakai di negara kita, kita berupaya mengecapi nikmat keamanan beragama dan ketamadunan negara. Tidak seperti negara-negara Islam lain yang memakai acuan yang bercanggah dengannya seperti aliran fahaman Syiah, Muktazilah, Musyabbihah dan sebagainya.

Tidak timbul di dalam doktrin Sifat 20 ini soal-soal kepincangan dan percanggahannya dengan akidah ASWJ yang tulen.

Namun, setelah ratusan tahun pendekatan ini digunakan tanpa sebarang masalah dalam menjaga kemurnian tauhid dan akidah umat Islam, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa ia diambil dari Falsafah Greek.

Malah, tidak lagi sesuai dijadikan sebagai pendekatan dalam pembelajaran ilmu Tauhid. Sementelahan itu juga, pendekatan tauhid tiga serangkai yang dirumuskan oleh Ibnu Taimiyyah menjadi pengganti Doktrin Sifat 20.

Usaha-usaha untuk menukar pendekatan tauhid tiga serangkai ini dalam kurikulum pendidikan negara juga nampaknya begitu pantas dilakukan.

Persoalannya, kenapakah tiba-tiba pendekatan ini pula yang perlu dipilih sebagai pengajaran ilmu tauhid di negara kita? Adakah pendekatan Sifat 20 mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan atau terseleweng dari iktikad ASWJ?

Adakah pembahagian tauhid tiga serangkai ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Apakah kita pasrah sahaja dengan pendapat yang mengatakan doktrin Sifat 20 yang kita pegang dan pakai selama ini bukan tauhid yang benar tetapi diambil dari fahaman falsafah Greek.

Jika begitu, semua orang yang berpegang dengan Tauhid 20 mengikut ajaran yang salah dan sesat. Apakah boleh kita terima penyesatan ini yang melibatkan nenek moyang kita, para ulama kita dan majoriti umat Islam di seluruh dunia?

Dibawa Rasullulah SAW

Kita telah sedia maklum, bahawa akidah ASWJ yang diketahui secara umum ialah akidah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat-sahabat baginda.

Tidak kedapatan langsung, perkataan yang terkeluar daripada Rasulullah SAW dan sahabat baginda yang menyebut tentang tauhid yang digembar-gemburkan oleh pengikut Ibnu Taimiyyah dan Wahhabi ini.

Begitu juga dalam metodologi ASWJ yang telah disusun oleh pelopornya, Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a, tidak pernah menggariskan tauhid ini dalam ruang lingkup akidah ASWJ.

Apa yang kita dapati tauhid ini telah ditimbulkan dan direka oleh Ibnu Taimiyyah dan dikembang biakkan pula oleh anak-anak muridnya sehingga ke generasi Muhammad ibn Abdul Wahhab. Dalam erti kata lain, tauhid inilah yang menjadi pegangan golongan Wahhabi secara khusus.

Sejak dahulu lagi hinggalah ke hari ini, telah terdapat banyak penentangan dan penolakan yang diutarakan oleh ulama terhadap Tauhid 3 Serangkai ini.

Oleh yang demikian, kita melihat di dalam kitab-kitab penulisan ulama ASWJ, terdapat banyak butiran lanjut mengenai penolakan mereka terhadap tauhid yang direka cipta ini.

Jika kita menyoroti dari perspektif ulama tersebut, kita mendapati ulama al Azhar telah bersetuju mengeluarkan kenyataan tentang kesalahan tauhid ini yang sebenarnya telah direka dan dicipta oleh orang-orang yang terkeliru dengan maksud sebenar ayat al-Quran dan hadis.

Justeru, kenapa pula kita perlu memakai pendekatan Tauhid 3 Serangkai yang mengandungi kepincangan dan telah ditolak oleh ulama kecuali Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya?
Untuk lebih jelas lagi, di bawah ini disenaraikan beberapa cendekiawan dan sarjana Islam dan kitab penulisan mereka yang mengandungi penolakan terhadap ajaran tauhid rekaan ini:

*Al ‘Allamah al Mufassir al Muhaddith Sheikh Yusof al Dijwi RA, Ahli Lembaga Majlis Ulama Besar al Azhar.

Beliau mengeluarkan fatwa penolakan al Azhar terhadap tauhid rububiah dan uluhiah. Kenyataannya ini dipaparkan dalam Majalah Nur al Islam edisi tahun 1933 yang merupakan lidah rasmi al Azhar pada masa itu.

Fatwa yang dikeluarkannya ini, turut dipersetujui oleh ulama al Azhar yang lain tanpa adanya sebarang bangkangan. Sehingga hari ini, fatwa tersebut masih lagi segar. Ini dapat dilihat dalam beberapa majalah yang diiktiraf oleh al Azhar. Antaranya, di dalam majalah al Muslim. Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim r.a telah mengeluarkan kembali fatwa ini dalam majalah tersebut.

*Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Salamah al Qudha’i al ‘Azzami al Syafi’i r.a dalam kitabnya al Barahin al Sati’ah fi Raddi b’ad al bida’ al Syai’ah.

Kitab ini telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada muhaddith pada zaman tersebut iaitu al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zahid al Kauthari r.a.

*Al Allamah al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani, ulama besar di Mekah al Mukarramah dan bekas tenaga pengajar Masjid al Haram yang diakui ilmunya oleh ulama pada zaman ini.

Beliau telah menulis penolakannya terhadap tauhid ini dalam kitabnya Huwallah. Bahkan beliau menyarankan kerajaan Arab Saudi supaya mengkaji semula pengajaran tauhid ini di institusi pengajian rendah, menengah dan Tinggi di dalam Muktamar Hiwar al Watoni di Mekah yang diadakan pada 5/11/1424 hingga 9/11/1424. Ia disebut di dalam kertas kerja beliau yang bertajuk al Ghuluw.

*Mufti Besar Mesir, Prof. Dr. Ali Jumu’ah.
Beliau turut menyentuh masalah ini di dalam laman web beliau ketika menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya. Iaitu, tentang seorang pemuda yang mengkafirkan seluruh penduduk kampung kerana bertawassul dengan mendakwa orang yang bertawassul tergolong dalam golongan musyrikin yang beriman dengan tauhid rububiah tetapi tidak beriman dengan tauhid uluhiah.

Beliau menolak sekeras-kerasnya pembahagian tauhid ini dengan mengatakan bahawa pembahagian tauhid ini adalah perkara rekaan yang tidak pernah datang dari Salafussoleh tetapi orang pertama yang menciptanya ialah Sheikh Ibnu Taimiyyah.

Beliau juga menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan bahawa tauhid rububiah sahaja tidak mencukupi bagi keimanan seseorang adalah pendapat yang diadakan-diadakan dan bercanggah dengan ijmak kaum Muslimin sebelum Ibnu Taimiyyah.

*Prof. Dr. Muhammad Sa’id al Ramadhan Bouti, Ulama Kontemporari Dunia Islam dari Syria.

Beliau menyatakan dengan tegas bahawa pembahagian tauhid ini adalah bidaah dalam Seminar Pengurusan Fatwa Negara-negara Asean anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada pada 16 hingga 17 April 2005 di Hotel Nikko Kuala Lumpur.

*Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari
- Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai.

Beliau telah menulis mengenai kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

*Al ‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al Yamani dalam kitabnya Intabih Dinuka fi Khatorin.

Kitab ini telah mendapat pujian dari lima ulama besar Yaman.

*Al ‘Allamah Abu al Hasanain Abdullah ibn Abdur Rahman al Makki al Syafi’i, ulama besar Mekah.

Beliau juga telah membahaskan masalah ini di dalam kitabnya al Qaul al Wajih fi Tanzih Allah Taala ‘an al Tasybih.

*Dr. Sheikh Yusof al Bakhur al Hasani salah seorang ahli fatwa di Kanada juga telah menulis risalah mengenainya.

*Sheikh Sirajuddin Abbas seorang ulama unggul Indonesia, juga menghuraikan masalah ini yang ditulis dalam versi Melayu dalam kitabnya Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tauhid ini merupakan iktikad rekaan puak Wahhabi dan bukannya iktikad ASWJ.

Dalam satu petikan, beliau menyatakan: Kaum Wahhabi mencipta pengajian baru ini bertujuan untuk menggolongkan orang-orang yang datang menziarahi Makam Nabi SAW di Madinah, orang-orang yang berdoa dengan bertawassul dan orang yang meminta syafaat Nabi SAW serupa dengan orang kafir yang dikatakan bertauhid rububiah itu.

*Al ‘Allamah Muhammad al ‘Arabi ibn al Tabbani al Hasani, Tenaga Pengajar di Masjid al Haram.

Beliau juga turut menulis kepincangan tauhid ini di dalam kitabnya Bara’ah al Asy’ariyyin min ‘Aqaid al Mukhalifin.

*Dr. Umar Abdullah Kamil, sarjana dan pakar ekonomi Arab Saudi serta ahli eksekutif Universiti al Azhar.

Beliau pernah membentangkan kebatilan konsep Tauhid 3 Serangkai ini di dalam Seminar Perpaduan Ummah dan Pemurniaan Akidah anjuran Kerajaan Negeri Pahang pada 25-26 Ogos 2006 dan di Multaqa 3 Ulama Mekah al Mukarramah yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Johor pada 20 Februari 2008.

Kertas kerja tersebut telah diterbitkan oleh Sekretariat Penjelasan Hukum Berkenaan Isu-isu Aqidah dan Syariah Majlis Agama Islam Johor.

Beliau turut membahaskan kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk Kalimah Hadi’ah fi Bayan Khata’ al Taqsim al Thulasi li al Tauhid (Perkataan yang tenang dalam menjelaskan kesalahan pembahagian yang tiga bagi ilmu Tauhid).

*Al Allamah Abdur Rahman Hasan Habannakah al Maidani.
Beliau juga telah menulis masalah ini secara khusus di dalam kitabnya yang bertajuk Tauhid al Rububiah wa Tauhid al Ilahiyyah wa Mazahib al nas bi al Nisbah Ilaihima.

Ulama-ulama ini telah lama melakukan pengkajian dan penelitian rapi terhadap tauhid tiga serangkai ini.

Kepada pembaca yang prihatin dan bijaksana sebaik-baiknya mendapatkan keterangan lanjut dari kitab-kitab ini terlebih dahulu sebelum berani membuat kesimpulan dan melontarkan pendapat di khalayak ramai.

Asas sahih

Perkara agama apatah lagi berkaitan dengan akidah tidak boleh dibuat kesimpulan sebarangan tetapi perlu merujuk kepada asas yang sahih.

Untuk mempertahankan agama tidak cukup bermodalkan semangat juang dan sijil menjela-jela semata-mata sehingga kita terpekik dan terlolong tidak kena pada tempatnya tetapi memerlukan kemantapan ilmu, kecemburuan terhadap penodaan yang dilakukan ke atas agama dan umatnya, keikhlasan kepada Allah dan hati yang disinari cahaya oleh Allah.

Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya didapati telah menjadikan konsep pembahagian tauhid ini sebagai batu loncatan untuk mengkafirkan umat Islam.

Mereka telah mengkafirkan orang-orang yang bertawassul dengan Rasulullah SAW dan wali-wali, orang-orang yang menziarahi kubur dan sebagainya dengan dakwaan orang yang melakukan pekerjaan tersebut bertauhid dengan tauhid rububiah sahaja tetapi tidak tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah.

Mereka menyamakan tauhid yang dimiliki oleh orang-orang yang melakukan pekerjaan ini sama dengan orang musyrikin yang menjadikan berhala sebagai sampingan mereka dengan Allah.
Apakah pernah ketika Rasulullah SAW berdakwah, Baginda SAW mengatakan kepada orang yang memeluk Islam kamu telah mempunyai tauhid rububiah tetapi masih belum memiliki tauhid uluhiah?

Apakah boleh kita katakan orang bukan Islam juga mempunyai tauhid seperti orang Islam atau ahli tauhid?

Objektif tauhid Asma’ dan Sifat digembar-gemburkan untuk menyandarkan kepada Allah SAW makna perkataan tangan, mata, bersemayam, ketawa, turun dan sifat penyerupaan yang lain kepada makna yang hakiki yang dikenali di sisi makhluk.
Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan kerana yang demikian itu menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.

Sehubungan dengan ini, umat Islam diseru agar sama-sama berfikir dan meneliti dengan hati yang lapang dan dada yang terbuka rasional perkara ini.

Kita seharusnya berbangga dengan ramainya bilangan umat Islam dan berusaha menambah bilangan umat Islam tetapi sebaliknya kita sendiri yang mengecilkan lagi kuantiti umat Islam yang semakin hilang kualitinya hanya kerana permasalahan uluhiah dan rububiah yang sengaja ditimbulkan.

Tidak ada suatu perkara yang lebih buruk daripada mengkafirkan orang Islam yang menyebut kalimah tauhid Laa ilaaha illallah dan mentasdiqkannya di dalam hati.

Banyak kemusnahan yang berlaku di negara-negara Islam disebabkan oleh perkara ini. Kita sendiri telah menyaksikan dengan mata kepala kita bagaimana persengketaan umat Islam telah mencetuskan kelemahan dan kemusnahan terhadap negara-negara Islam seperti di Afghanistan, Yaman, Lebanon, Syria, Mesir dan sebagainya.

Semoga persengketaan dan kehancuran ini tidak terjadi di negara kita Malaysia yang tercinta ini. Justeru, sewajarnya pembahagian ini dibentangkan di atas meja perbincangan secara ilmiah dan profesional serta berlandaskan kepada usul kitab dan sunnah.

Ini hanyalah lontaran awal dari hasil penelitian kami yang dirujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan tokoh-tokoh ulama yang berkeahlian. Insya-Allah, penerangan lanjut mengenai tauhid ini akan dikeluarkan pada keluaran akan datang.

Bahan-bahan yang bakal dipersembahkan banyak merujuk kepada kitab penulisan Imam al Haramain al ‘Allamah Ibnu al ‘Arabi al Tabbani bertajuk Bara’ah al Asy’ariyyin. Ia telah diringkaskan oleh al Allamah Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari, Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

Sunday, 15 November 2009

Artikel BH: TIADA BAHASA KIASAN DALAM FAHAMAN WAHABI

Saya tertarik dengan artikel ini yang terbit pada 15 November 2009 di Berita Harian. Komen saya di akhir penulisan ini. Selamat membaca.

TIADA BAHASA KIASAN DALAM FAHAMAN WAHABI
Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady


Ahli Sunnah dituduh syirik, lakukan bidaah kerana amalan bertentangan Syeikh Muhammad bin 'Abd al-Wahhab.

PENULISAN ini akan mengupas konsep tauhid dalam Wahabi, antaranya seperti yang ada dalam tulisan pengasasnya, Syeikh Muhammad bin 'Abd al-Wahhab.

Pertama ialah huraian mengenai 'Lailahailallah.' Beliau menyatakan seseorang itu selamat harta dan nyawanya, iaitu tidak dibunuh dan hartanya tidak diambil, dengan lima syarat. Syarat pertama ia mengucap syahadah; kedua, tahu ertinya; ketiga mengaku tiada Tuhan melainkan Allah SWT; keempat, menyeru bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah SWT, menyembah-Nya; kelima, tidak kufur kepada Allah SWT.

Tetapi jika syak atau teragak-agak antara percaya dan tidak, maka nyawanya dan hartanya tidak selamat. Kalau mengucap dengan lafaz saja belum selamat nyawa dan hartanya; kalau berlafaz dan tahu maknanya, juga belum selamat; kalau tahu maknanya dan ikrar dengan lidahnya, itupun belum selamat; kalau ikrar dan menyeru kepada Allah SWT itupun belum selamat; harta dan nyawa selamat hanya apabila ia tidak kufur terhadap Allah SWT.

Dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, kalau seseorang mengucap 'Lailahaillallah' maka selamat nyawa dan hartanya; kalau berlaku jihad jika ia mengucap maka tidak dibunuh. Dalam hadis sahih ada sahabat yang membunuh orang yang mengucap syahadah kerana katanya orang itu mengucap kerana takut kepada pedang; ia dimarahi oleh Rasulullah SAW. Dalam Ahli Sunnah orang yang mengucap 'Lailahaillallah' sahlah imannya. Ia dikira Islam. Kalau tersembunyi syak dalam hati selama ia tidak menzahirkannya, ia dikira Islam. Yang tersembunyi terserah kepada Allah SWT. Kita dalam Ahli Sunnah mengikut yang zahirnya. Tidak demikian halnya pada golongan Wahabi seperti yang ada dalam kitab pengasas mereka.

Dalam perkara tauhid juga mereka membuat huraian membahagikan tauhid atau mengesakan Tuhan dengan membahagikannya kepada tiga iaitu tauhid rububiyah, ertinya mentauhidkan Allah, Tuhan yang menjadikan alam, Dia memberi rezeki dan seterusnya, tauhid uluhiyyah, ertinya menyembah-Nya dan taat kepada-Nya; tauhid asma' wassifat ertinya menerima nama dan sifat Tuhan seperti yang ada dalam al-Quran dan Sunnah, termasuk kalau ada ayat menyebut Tuhan ada tangan, maka diterima tanganlah , kalau Tuhan ada jari, maka jarilah, kalau Tuhan ada muka, maka mukalah, kalau betis maka betislah, sebab pada mereka tidak ada majaz atau kiasan pada bahasa. Semuanya hakiki, semuanya bererti mengikut zahir lafaz. Ketiga-tiga tauhid ini terpisah antara satu yang lainnya.

Sebab itu kata mereka, penyembah berhala itu ahli tauhid, tauhid jenis rububiyah, hanya mereka tidak ada tauhid uluhiyyah, itu silapnya. Tauhid rububiyah penyembah berhala itu pula kata mereka lebih ikhlas dan murni daripada tauhid seseorang yang mengucap 'Lailahaillallah.'

Dalam Ahli Sunnah, tidak pernah ada pembahagian kepada tiga yang terpisah; tidak ada dalam al-Quran, hadis, dalam ijmak ulama atau dalam golongan generasi salaf (tiga abad awal Islam). Pembahagian ini muncul pada abad ke-8 Hijrah. Istilah yang digunakan oleh mereka iaitu bidaah muncul pada abad ke-8. Bagaimanapun mereka mengatakan ia aliran salaf padahal ia muncul kemudian?

Dengan tauhid yang dipecah tiga itu, mereka menyatakan bahawa orang yang berdoa di kubur nabi atau orang salih: "Ya Allah dengan kemuliaan dan keberkatan orang salih ini, selamatkanlah hamba dan keluarga hamba daripada bala yang berlaku ini," orang ini dihukum syirik kerana menyembah orang mati, menyeru kepada orang mati. Tidak boleh bertawassul seperti itu kerana syirik dan boleh dibunuh.

Oleh itu seperti disebut dalam kitab mereka, Tarikh Najdin bahawa Syeikh Muhammad Abdul Wahhab menyatakan Muslimin di dunia tenggelam dalam dosa syirik menyembah berhala seperti orang Musyrikin zaman Jahiliah kerana menyembah kubur seperti itu. Hukum itu tidak pernah ada dalam kitab ulama Ahli Sunnah, sebaliknya dalam kitab golongan ini (Wahabi) saja. Jika kita mengikut cara mereka, maka habislah Melayu tenggelam dalam syirik sebab bertawassul padahal dalam Ahli Sunnah ia dibolehkan dan bukan syirik.

Tauhid yang tidak membenarkan takwilan ayat Quran dan sunnah yang menyebut Tuhan dengan sifat makhluk juga berlawanan dengan pegangan Ahli Sunnah. Katakanlah al-Quran menyebut Tuhan ada muka, pada mereka mukalah, kalau disebut Tuhan ada tangan maka tanganlah, kalau disebut Tuhan turun ke langit dunia pada sepertiga akhir malam, maka Tuhan turunlah. Kalau disebut Tuhan istawa atau bersemayam atas Arasy maka Tuhan duduklah di situ mengikut zahir lafaznya.

Dalam Ahli Sunnah, kita serahkan kepada Tuhan hakikat erti ayat itu atau kalau bimbang tersilap faham orang, kita takwilkan mengikut panduan ulama Ahli Sunnah, seperti kalau 'muka' itu maksudnya 'Zat'-Nya, kalau tangan 'Kuasa'-Nya, kalau disebut 'betis' bukan Tuhan ada betis, tetapi itu kiasan mengenai keadaan teramat dahsyat pada hari kiamat, bukannya bila terbuka 'betis Tuhan.'

Dengan itu Wahabi memberi sifat Tuhan seperti sifat makhluk, jadilah ia mujassimah (golongan yang mengajarkan Tuhan bersifat seperti makhluk) seperti mujassimah zaman klasik. Daripada sikap ini timbul fahaman mereka bahawa Tuhan memegang langit dengan tangan kanan-Nya dan memegang bumi dengan tangan kiri-Nya apabila kiamat.

Huraian cara ini juga membawa mereka menyatakan Adam AS dan Hawa AS berlaku 'syirik' terhadap Allah SWT, iaitu apabila Tuhan kurniakan anak kepada mereka. Mereka didakwa 'syirik' kerana taat kepada Iblis dengan memberikan nama anak mereka sebagai Abdul Harith, iaitu hamba Iblis kerana al-Harith itu nama Iblis.

Mengikut Ibn Kathir, riwayat seperti ini mesti ditolak kerana ia daripada ahli kitab yang berlawanan dengan al-Quran dan sunnah, apatah lagi itu berlawanan dengan iktikad Ahli Sunnah mengenai maksumnya Nabi dan Rasul.

Mereka juga menuduh Imam Busiri yang mengarang al-Burdah sebagai syirik sebab ada bait syairnya yang memohon syafaat kepada Nabi SAW. Pada Ahli Sunnah, ini harus dan memang kita memerlukan syafaat Nabi SAW. Inilah beberapa perkara pokok dalam akidah Wahabi yang berlawanan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Wallahu a'lam.

Penulis ialah Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac).


Komen saya:

Saya setuju dengan hujjah Ustaz Uthman al-Muhammady.

Namun, pengalaman saya mendengar pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat saya yang mengajar tauhid (pecah tiga ini, uluhiyyah, rububiyyah & asma' wa sifat), ada dikalangan mereka tidak ekstrem sampai mengkafirkan/mensyirikkan golongan yang tidak sependapat. Contohnya bila memperkatakan tawassul dan menziarahi kubur, ada di kalangan mereka menerimanya tanpa mengkafirkannya atau menyesatkannya. Demikian juga persoalan penafsiran ayat-ayat sifat, ada yang tidak menerima/ tidak taklid bulat-bulat kenyataan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, dan lebih kepada menyerahkan kepada Allah SWT.

Persoalan kenabian Nabi Adam 'Alaihissalam tidak dipertikai oleh mereka. Mereka lebih suka merujuk terus ke Ibn Taymiyyah berbanding Sheikh Abd Wahhab.

Di kalangan mereka (mengikut cerita adik saya ketika dia belajar di Universiti Yarmuk, Jordan), pensyarah Aqidahnya mengatakan: Kamu orang-orang Malaysia, ramai mengikut Ahlu sunnah aliran Asyairah. Tapi tauhid yang diajarkan ini mengikut susunan Ibn Taymiyah kerana menjadi silibus Universiti ini. Terserah kepada kamu mengikut keyakinan Asyairah itu(tanpa beliau menyesatkannya). Mereka menyedari ramai ulama-ulama Silam (samada muhadithin, fuqaha' atau mufassirin) dari kurun ke 3 Hijrah berpegang kepada huraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari (w324H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (333H).

Ketika kami di Universiti Jordan, ada pensyarah mengajar Sifat 20, dan ada yang mengajar tauhid 3 tersebut. Kitab yang digunakan untuk mensyarahkan sifat 20 ialah kitab Risalah Tauhid karangan Sheikh Muhammad Abduh.

Wallahu a'lam.

Thursday, 5 November 2009

IKUT MAZHAB WAJIB?

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya didatangi dengan soalan 'adakah mengikut mazhab itu wajib?'. Saya akan cuba menjelaskan secara ringkas. Secara khususnya, seseorang yang bertaraf mujtahid adalah dilarang mengikut mazhab sebaliknya hendaklah dia berijtihad berdasarkan dalil al-Quran dan sunnah.

Bagaimana pula orang-orang awam? Sepakat ulama-ulama Usul (untuk diiktiraf ulama usul mereka mesti mahir quran & sunnah dan penafsirannya) mengatakan mazhab orang-orang awam ialah mazhab muftinya, kerana sekiranya didatangkan dalil kepada orang-orang awam, dia tidak tahu sahihnya atau dhaifnya; atau dia tidak tahu cara penghujahannya; dan dia juga tidak tahu nasikh atau mansukh. Akhirnya dia juga terpaksa bertaqlid dengan ustaz-ustaz untuk bertanya mana sahih, dan yang mana dhaif; atau bertanya maksudnya. Maka muqallid jugalah tu, Cuma berubah dari taqlid Imam-Imam mazhab kepada taqlid ustaz itu.

Apabila ditanya kepada saya, adakah saya mengikut mazhab, saya katakan: Saya bukan mujtahid, jadi saya mengikut dan mengeluarkan pandangan kebanyakkannya berdasarkan mazhab Imam Shafie Rahimahullah seboleh mungkin.

Saya ditanya lagi: Kalau begitu ustaz seorang muqallid (pentaklid) jugalah? Saya katakan: Antara muqallid dan mujtahid, ada martabat pertengahan iaitu 'muhafiz', iaitu berpegang pada pandangan mazhab, dengan juga melihat dalil-dalil. Kalau saya dapat sampai ke tahap ini, saya bersyukur banyak-banyak pada Allah SWT.

Saya ditanya lagi: Kenapa Ustaz berpegang pada pandangan orang dah mati? Saya katakan: Ulama Usul sepakat membenarkan berpegang kepada pandangan orang yang sudah mati sebab yang mati ialah orangnya, tapi ilmunya tidak mati.

Saya ditanya lagi: Kenapa Ustaz tak mengikut mana-mana profesor/Dr/Ustaz sekarang yang boleh bina mazhab sendiri? Saya jawab: Kenapa perlu saya berubah keyakinan dari orang yang dekat zamannya dengan Rasulullah SAW (العالي), kepada orang di zaman sekarang (النازل) yang saya tak tahu sejauh mana ketakwaan dia dan ilmunya!

Saya ditanya lagi: Tak cukupkah ijazah PhD yang ustaz dapat untuk menjadi mujtahid? Saya akan katakan sambil gelak: Tidak ada pun ulama-ulama besar mensyaratkan ada PhD/Prof. Madya sebagai mujtahid. Setahu saya mereka mensyaratkan hafal al-Quran dan sunnah, tahu ijma' dan qiyas, mahir dalam usul fiqh, mahir bahasa Arab, tahu nasikh dan mansukh dan lain-lain beserta sifat taqwa! Sistem belajar sekarang, kalau saya kaji pasal kuman, saya mahir dalam kuman sahaja, belum lagi bidang lain. Untuk Prof. Madya/prof pula, kena tulis bagi masuk Jurnal-Jurnal terkemuka, buku-buku, buat kajian dan markah-markah persidangan, jawatan dan sebagainya. Tapi kalau banding dengan kitab-kitab ulama dulu yang tebal-tebal dan diiktiraf dalam pelbagai bidang, merah padam dan malu rasanya. Bersyukurlah kalau dapat menjadi hamba yang tahu dirinya......

Saya ditanya lagi: Habis tu, ada orang mendakwa dia mampu berijtihad! Saya katakan lagi: Biarkan Si luncai terjun dengan labu-labunya....... adakah anda mahu terjun sama...silakan....tapi belum pasti selamat....

Mungkin petikan dari kitab al-Sheikh Mahmud Sa'id Mamduh (dalam kitabnya al-Ta'rif bi Auham man qassama al-Sunnan Ila Sahih wa Dhaif, jilid 1, halaman 14) membantu kefahaman pembaca:

Faedah ke 3

Sesungguhnya aku melihat al-Ustaz al-Sheikh ((Muhammad Nasruddin Al-Bani)) melarang beramal dengan sebarang hadis-hadis dhaif, dan mewajibkan membezakan antara sahih dan dhaif –berdasarkan pandangannya- untuk dia mempromosikan kepada orang ramai dengan sesuatu yang dinamakan- "al-fiqh al-musaffa (fiqh tulen/suci) – sila rujuk muqaddimah Sahih al-Adab al-Mufrad, 2000, hal.32, Cetakan Dar al-Buhuth lil Dirasat al-Islamiyyah).

Ketika itu dia mempunyai tugasan untuk menjelaskan apa yang dinamakan 'fiqh musaffa'; maka beliau melakukan pembahagian kitab-kitab Sunan yang empat kepada dua bahagian:
1. Sahih dan hassan, yang boleh diamalkannya.
2. Dhaif, tidak boleh diamalkannya, dan dia gabungkan dengan hadis-hadis wahiyat(rekaan) dan maudu'at(palsu) dalam satu bab.

Sesungguhnya aku melihat perbuatannya ini, bertentangan dengan jalan para fuqaha dan ulama hadith. Sesungguhnya dia mencipta satu kecacatan besar, dan satu keraguan besar pada dalil-dalil furu' fiqh yang umum, dan mencabut thiqah (keyakinan masyarakat) terhadap ulama-ulama fiqh, hadith dan terhadap warisan penulisan fiqh, hadith yang diwarisi dan umat bangga dengannya.

Tambahan pula, dia juga diuji dengan mengingkari sebahagian jalan-jalan para fuqaha' dan ulama hadis pada mensahihkan dan mendhaifkan hadith dan hukum ke atas rawi. Dia menuduh ulama-ulama silam sebagai 'tidak konsisten' pada satu ketika, dan pada ketika lain sebagai memudah-mudahkan'.

Maka menyangkalah orang-orang yang tidak mengetahui (jahil), bahawasanya, dengan berbeza pandangan Albani dengan fuqaha', muhadthin dan para penghafal hadith, Albani telah mendatangkan sesuatu yang sukar bagi ulama-ulama silam (samada Mutaqaddimin atau mutaaakhkhirin) memahaminya dan menguasainya, maka bersegeralah mereka bertaklid padanya, dan orang-orang ini meninggalkan para Imam-imam dan penghafal hadith, dan beramal secara berbeza dari apa yang diwarisi dari Imam-Imam, ijtihad ulama mujtahid; dan Albani menjadi tinggi dari mereka. Maka jadilah Sheikh Muhammad Nasiruddin Albani memindahkan orang ramai dari mengikuti 'orang yang dekat zamannya dengan Rasulullah' (العالي), kepada 'seorang yang zamannya jauh daripada Rasulullah' (النازل), dan menjauhkan mereka daripada mengikuti Imam-Imam Mujtahid dan para penghafal hadith kepada mengikutinya seorang sahaja."
Tamat Nukilan

Terpulang kepada pembaca membuat pertimbangan. Pada saya berpegang pada ijtihad dahulu lebih selamat dari berpegang kepada ijtihad sekarang yang kelihatan carca merba metodenya dan bertaklid dengan orang-orang baru (al-nazil).

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesesatan dan menganugerahkan kita jalan yang lurus.

Wallahu a'lam.

Friday, 9 October 2009

Perbankan Islam lebih stabil apabila Akta Bank Negara 2009 menggantikan Akta Bank Negara 1958.

Langkah Kerajaaan memperkukuhkan Sistem Kewangan Islam melalui penggubalan akta baru menggantikan Akta Bank Negara 1958.

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Sebagai dijanjikan dan permintaan dari sebahagian pembaca blog ini, posting ringkas ini memperkatakan mengenai perkembangan terbaru Sistem Perbankan Islam.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa Parlimen telah meluluskan Akta tersebut dan persetujuan Yang Dipertuan Agong telah dipersetujui pada 19 Ogos 2009 dan dicetak dalam Gazzette pada 3 September 2009. Akta tersebut menggantikan Akta Bank Negara Malaysia 1958.

Perubahan Akta tersebut dilihat memberi tumpuan kepada Sistem Perbankan Islam berhubung dengan isu penghakiman produk BBA. Akta tersebut juga dilihat sebagai usaha untuk memastikan kestabilan dan kekukuhan perniagaan perbankan Islam, khususnya Seksyen 51 hingga 60 akta tersebut. Antara perkara yang berubah ialah:

i. Lantikan sebagai anggota Majlis Penasihatan Syari'ah (MPS) adalah daripada Yang Dipertuan Agong (YDP).

ii. Seksyen 55 (2) menyatakan bahawa Institusi Kewangan Islam (IKI) seharusnya merujuk kepada MPS BNM mengenai operasi perbankannya.

iii. Seksyen 56 mensyaratkan bahawa apa-apa isu Syariah yang timbul dari prosiding penghakiman, mahkamah atau arbitrator, perlu mengambil kira keputusan-keputusan yang dikeluarkan oleh MPS BNM dan apa-apa yang dirujuk kepada MPS BNM.

iv. Seksyen 57 mensyaratkan bahawa apa-apa keputusan oleh MPS BNM berkaitan Seksyen 55 & 56, adalah terpakai kepada Institusi Kewangan Islam (IKI), mahkamah atau Arbitrator.

v. Seksyen 58 menyatakan bahawa sekiranya terdapat khilaf antara keputusan MPS bank-bank Islam dengan MPS BNM, maka keputusan MPS BNM akan digunapakai.

vi. Seksyen 59 (2) mewajibkan IKI mematuhi keputusan MPS BNM.

vii. Seksyen 59 (3) menekankan bahawa segala kegagalan untuk patuh dengan keputusan MPS BNM, atau mana-mana peraturan-peraturan atau edaran (guidelines & circulars) BNM, IKI akan dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta.

Pada saya, ini merupakan permulaan baik apabila Mahkamah Sivil perlu merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa (dalam konteks perbankan Islam, ia adalah Majlis Penasihat Syariah).

Monday, 5 October 2009

SIAPA ULAMA SILAM? SIAPA ULAMA SALAF?

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya ingin menulis satu posting yang ringkas. Ianya hanya untuk membincangkan istilah 'ulama silam' sebab ramai yang masih 'konfius' atau keliru mengenai istilah itu.

Dalam kajian-kajian kami, kami banyak menggunakan istilah 'al-ulama al-quddama' rahimahumullah (ulama-ulama silam). Kekadang kami menggunakan juga istilah ulama al-salaf, atau salaf al-ummah. Jadi, siapakah mereka ini?.

Biasanya, sesiapa yang membuka kitab-kitab usul fiqh akan mendapati bahawa kategori ulama boleh dipecah kepada dua iaitu ulama mutaqaddimin (dari tabi'in sehingga 700 tahun), ulama mutaakhkhirin (700 dan ke atas).

Ulama mutaqaddimin ini membawa aliran Tariqat al-Syafi'yyah atau Mutakallimun dan tariqat al-Hanafiyyah (bukan tariqah sufi tetapi metod dalam mengeluarkan hukum).

Dari ulama mutaqaddimin, dipecahkan lagi kepada pertamanya ulama tiga kurun pertama atau ulama Salaf (khayr ummah atau sebaik-baik ummah), dan keduanya ulama-ulama yang lahir selepas tiga kurun tersebut. Imam-imam mazhab menzahirkan mazhab mereka dalam tiga kurun pertama ini. Tiga kurun terpilih yang disaksikan dengan keberkatan oleh al-sunnah. Justeru, lebih hampir sesuatu pandangan itu kepada tiga kurun ini, maka lebih tulen keislamannya.

Sebenarnya, dalam kurun-kurun salaf ini, banyak lagi mazhab fiqh dalam aliran ahlussunnah wal jamaah. Cuma yang bersambung anak muridnya ialah empat mazhab yang utama ini.

Manakala, ulama selepas tujuh ratus tahun, digelar sebagai ulama mutaakhkhirin. Ulama yang menghimpunkan kedua-dua tariqah (bukan tariqat sufi) untuk mengeluarkan hukum. Kebiasaannya, ulama-ulama ini berpegang kepada metod atau kaedah penghujahan imam-imam mazhab yang lahir di tiga kurun yang pertama.

Atas dasar itu, sebarang perbahasan isu-isu, setiap pandangan akan cuba mengembalikannya (ta'sil) kepada pandangan sahabat, tabi'in ataupun tabiut at-tabi'in bagi menunjukkan inilah penafsiran paling tepat terhadap al-Quran dan sunnah kerana dekatnya ia kepada zaman kenabian.

Kebetulannya bila ditelusuri melalui kitab-kitab al-Tabaqat, ramai ulama-ulama hadith seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam al-Tirmizi adalah bermazhab dengan mazhab Imamuna al-Shafie rahimahullah.

Ringkasnya, ulama Salaf merupakan ulama yang berada di tiga kurun pertama selepas nubuwwah (kenabian). Ulama mutaqaddimin ialah gabungan ulama-ulama Salaf dan mereka yang berada selepas zaman Salaf sehingga akhir 700 tahun Hijrah (ulama khalaf). Ulama Mutaakhkhirin ialah ulama yang menyampaikan dakwahnya selepas 700 tahun tersebut sehinggalah ke awal kurun ke 13 Hijrah atau ke 18 Masehi. Mereka juga boleh dikelaskan sebagai ulama Khalaf.

Gelaran ulama silam (ulama quddama) inilah yang digunakan untuk merujuk ulama-ulama mutaqaddimin dan mutaakhirin samada Salaf mahupun Khalaf.

Atas dasar itu, ulama-ulama mengklasifikasikan Imam Malik bin Anas (wafat 179), Imam Shafie (wafat 204H) dan lain-lain Imam-imam mazhab sebagai ulama Salaf atau ulama Salafussoleh. Mereka tidak mengklasifikasikan Imam al-Ghazali (wafat 505), Imam Nawawi (wafat 676), Imam Ibn Taimiyyah (wafat728) dan lain-lain ulama sezamannya sebagai ulama Salaf, sebaliknya sebagai ulama Khalaf.

Manakala ulama selepas zaman tersebut digelar sebagai ulama mu'asir (semasa) dan ulama muhdathun (ulama-ulama baru).

Semoga dapat membantu kita memahami perbahasan ulama kelak.

Wallahu a'lam.

Tuesday, 29 September 2009

ISU TAWASSUL

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya terlibat dengan perbincangan persoalan tawassul khususnya 'tawassul kepada orang yang telah mati'.

Ia bermula apabila doa tawassul ahlu kisa` disebarkan (Rasulullah SAW, Ali, Fatimah, Hassan & Hussin). Memang, saya hampir-hampir menolak doa ini (antara menolak dan tawaqquf) sebab saya tahu ia pernah dipopularkan oleh al-Arqam yang telah difatwakan sesat (semoga mereka dapat kembali merujuk kepada para ulama masyarakat sawad al-A'zam & bukan Sheikh mereka seorang sahaja sebagaimana peringkat awalnya ramai ulama-ulama yang menyertainya tetapi terpaksa 'mufaraqah' apabila mereka melihat banyak yang tidak kena) dan doa itu juga diura-urakan berasal dari Syi'ah.

Kemudiannya saya dapat tahu doa ini ada dalam kitab ulama ahlussunnah sebagaimana tercatat dalam artikel di jomfaham.blogspot.com (di ambil dari blog alfansuri). Saya masih mencari-cari kitab Sheikh al-Nabhani itu. Pada saya, sekiranya ditolak doa itu tidak penting. Yang lebih penting ialah pandangan Ahlussunnah terhadap 'tawassul' dan alul bait tidak boleh dibuat secara 'semborono' dan secara 'borong' kerana mahu menolak doa tersebut.

Dalam memperbahaskan isu tawassul ini, saya juga tidak mahu membuat satu penulisan yang telah banyak dikarang, jadinya tahsil al-hasil (mengulang balik penulis lama).

Justeru, saya memetik dua penulisan yang saya kira amat baik untuk menjelaskan isu ini iaitu

1. Tulisan Sheikh Prof. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti Hafizahullah, seorang ulama Ahlussunnah terkenal Syria dalam bukunya: Al-Salafiyyah: Marhalah Zamaniyyah Mubarakah La Mazhaba Islami (1996), ms.155, 156.

2. Penulisan Sheikh Dr Abdul Malik Abd Rahman al-Sa’di Hafizahullah, Bekas mufti Iraq (Sebelum serangan Amerika) (Petikan buku beliau bertajuk: al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq, terjemahan Us Fadli Yusof dengan tajuk: Salah Faham terhadap Bid’ah, ms64-71, terbitan Dar al-Nu’man.
(Sebarang khilaf berkaitan terjemahan, naskhah berbahasa Arab adalah terpakai).

Di akhirnya saya mengharapkan, adanya rasa hormat menghormati tanpa sebarang ketaksuban bagi mereka yang menerima atau menolak’ tawassul dengan orang yang telah mati’. Elakkanlah fitnah sesat menyesat, syirik mensyirik dan bid’ah membid’ah dalam persoalan khilafiah sebegini yang merugikan masyarakat Islam dan membantutkan masa untuk memerangi perkara yang lebih penting seperti gejala sosial dan orang-orang yang tidak suka kepada perkembangan Islam.

الله مستعان

اللهم اهدنا إلى سواء السبيل

أبو العز


TAWASSUL
Oleh: Sheikh Prof. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti Hafizahullah
dalam bukunya: Al-Salafiyyah: Marhalah Zamaniyyah Mubarakah La Mazhaba Islami (1996), ms.155, 156).

Manakala apa yang berkaitan dengan tawassul dengan kemuliaan Rasulullah SAW, atau selain baginda umpamanya orang-orang soleh dan muqarrabin, kita tidak tahu mana-mana perbincangan atau kajian yang sedemikian di kalangan zaman al-salaf dalam tiga kurun awal iaitu zaman yang diberi penyaksian penuh dengan kelebihan/ kemuliaan.

Semua yang ada di hadapan kita ialah apa-apa yang sahih mengenai tajuk ini yang terdiri dari hadith-hadith yang thabit dan sohih mengenai tawassul sahabah dan mengambil berkat mereka dengan peluh Rasulullah, rambutnya dan wudhuknya (air wudhuknya) yang mana ada dalam dua kitab Sahih (Bukhari & Muslim).

Dan hadith Uthman bin Hunaif yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah dan Nasaie dengan sanad yang sahih: ((Sesungguhnya seorang lelaki buta mendatangi nabi SAW dan berkata: Berdoalah kepada Allah supaya menyembuhkanku. Sabdanya: Sekiranya kau mahu aku berdoa, dan sekiranya engkau mahu, engkau bolehlah bersabar (dengan kebutaan tersebut & kekal buta), terpulang kepadamu. Berkata: Doakanlah (supaya sembuh). Baginda menyuruhnya supaya berwuduk dan dia berwuduk dengan sempurna dan menyuruhnya berdoa dengan doa ini: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan menghadapMu dengan perantaraan NabiMu nabi yang membawa rahmat, sesungguhnya aku (lelaki buta) menghadap kepada tuhanku dengan perantaraanmu (nabi) pada hajatku ini, semoga ditunaikan, Ya Allah kurniakanlah syafaatnya pada diriku”.

Demikian juga yang thabit dalam Kitab al-Sahih yang mana Umar RA bertawassul dengan al-‘Abbas ketika solat al-Istisqa’ dan tiada seoarang pun yang membantahnya. (al-Bukhari 2/16).

Demikian juga apa yang diriwayatkan bahawa orang ramai ditimpa kemarau pada zaman Umar RA, maka datang seorang lelaki ke kubur nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, mintalah hujan untuk umatmu, sesungguhnya mereka hampir binasa. Maka datang Rasulullah SAW dalam mimpinya dan memberitahukannya bahawa mereka akan di beri minuman (tamat kemarau). Maka berlakulah ianya. Dalam riwayat lain: datangilah Umar dan sampaikanlah salamku dan katakan padanya mereka akan diturunkan hujan. Dan katalah kepadanya (kepada umar): Hendaklah kamu berlemah lembut. Maka menangis Umar dan Umar berkata: Ya Allah, aku tak akan berlebih-lebihan (bersikap keras) kecuali apa-apa yang aku lemah darinya”. (Diriwayatkan oleh al-Tabari 4/224, Ibn al-Athir 2/274, dgn perbezaan sedikit pada lafaz. Ibn Kathir meriwayatkan khabar ini dengan riwayat yg pelbagai dan dia mensahihkannya – Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah 7/91).

Yang dinyatakan ini dari satu sudut (hadith-hadith dan athar yang sahih), manakala hadith-hadith lain kita tak dapat memberikan secara terperinci di sini seperti mana sabda Rasulullah SAW apabila wafatnya Fatimah binti Asad Ibu Ali RA, yang mana belliau (Fatimah) mendidik Rasulullah SAW ketika kecilnya: Ya Allah, ampunlah ibuku Fatimah binti Asad dan lapangkanlah kuburnya dengan haq NabiMu dan para Nabi-nabiMu yang sebelumku. Demikian juga kata-kata Adam apabila menyedari kesalahannya: Ya Allah Aku memohon kepadaMu dengan haq Muhammad, ampunilah aku. Para perawi khilaf pada mensahihkan dan mendhaifkan hadith ini.

Yang pentingnya, inilah perbahasan yang sampai kepada kita dari Rasulullah, para Sahabat dan para Salaf mengenai tawassul. Berterusan perkara tersebut sedemikian sehinggalah datang Ibn Taimiyah Rahimahullah (wafat 728 tambahan saya: bukan zaman Salaf) dan beliau membezakan tawassul dengan ambiya’ dan solihin ketika hidup, dan tawassul selepas mati. Beliau mengharuskan pada keadaan yang pertama dan mengharamkan pada keadaan yang kedua. Kita tidak tahu dari mana rujukannya yang kembali pada zaman Salaf. Bahkan kita tidak berjumpa dengan mana-mana perbahasan atau khilaf (perbezaan pandangan Salaf) pada masalah ini (harusnya bertawassul pada kedua-dua keadaan).

Setiap apa hujah yang ada di depan kita ialah peristiwa-peristiwa yang kita sebutkan tadi dan peristiwa-peristiwa tadi amat diketahui dan dikenali (oleh orang yang memperhalusi ilmu Syariah berdasarkan rujukan kurun Salaf). Ianya tidak sekali-kali menyokong tafsiran (Ibn Taimiyyah) dan tidak dibezakan antara hidup dan mati, selama mana tawassul ialah dengan ‘kemuliaan’ Rasulullah atau para Salihin di sisi Allah, bukannya bertawassul pada jasad dan kekuatan fizikal mereka yang dapat dilihat, wal’iyazubillah. Selama mana nas tadi mutlak (umum/general) kekal ia mutlak (umum).

Kalau kita mahu, kita boleh membuka bab perbahasan dan perdebatan dalam tajuk ini, untuk melihat sejauh mana ‘nilai ilmiah’ kepada perbezaan yang dibuat oleh Ibn Taimiyyah, yang kemudiannya diikuti oleh orang-orang yang mengambil jalannya, tetapi kita bukan (buku ini) khusus untuk masalah khilafiyah, atau perkara yang kemudiannya menjadi khilafiah; sebaliknya kita mahu menerangkan kepada pembaca yang mampu menilai bahawa isu ini tidak sepatutnya dijadikan penghadang atau pemisah yang memecahkan pengikut ahl al-sunnah kepada dua puak dan dijadikan untuk setiap puak, individu-individu tertentu dan mazhab khusus untuknya. Sebaliknya ia merupakan keyakinan yang terlalu remeh untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam kepada dua puak: Salafi dan Khalaf….

Tamat nukilan.

Wallahu a’lam.


BERTAWASSUL DENGAN ORANG YANG TELAH MATI

Oleh: Sheikh Dr Abdul Malik Abd Rahman al-Sa’di
Bekas mufti Iraq (Sebelum serangan Amerika)
(Petikan buku beliau bertajuk: al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq, terjemahan Us Fadli Yusof dengan tajuk: Salah Faham terhadap Bid’ah, ms64-71, terbitan Dar al-Nu’man.

Soalan:
Sekiranya seorang itu telah mati, adakah diharuskan kita menjadikannya sebagai perantaraan?

Jawapan:

Para ulama telah berselisih pendapat mengenai masalah tersebut seperti berikut:

Pendapat pertama:

Jumhur (kebanyakan) ulama berpendapat, ia adalah harus sepertimana dibolehkan pada seorang yang masih hidup dan tidak ada bezanya, kerana bertawassul adalah dengan sifat soleh atau martabat kenabian (jika yang dijadikan perantara itu seorang nabi) yang mana kedua-dua sifat tersebut berkekalan selepas mati, bahkan tidak terdapat tegahan mengenai perkara ini samada daripada Rasulullah SAW atau dikalangan para sahabat.

Dalam hal ini, mereka berdalilkan sebuah athar yang diriwayatkan oleh At-Tabrani dan mengesahkan kesahihannya daripada Othman bin Hanif RA menceritakan:
“Seorang lelaki pernah berulang-alik kepada Saidina Othman bin Affan RA kerana sesuatu hajat untuknya. Tetapi Saidina Othman tidak menghiraukannya dan tidak melihat kepada hajatnya itu. Kemudian dia bertemu dengan Othman bin Hanif, lalu mengadu kepadanya berhubung perkara itu. Maka Othman bin Hanif berkata: “Pergilah ke tempat wudhuk, kemudian berwudhuk, kemudian pergilah ke masjid dan mengerjakan solat dua rakaat. Selepas itu berdoalah: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau dan bertawassul kepada NabiMu Muhammad SAW, nabi yang membawa rahmat. Ya Muhammad, sesungguhnya aku bertawassul dengan engkau kepada Tuhanku, maka tunaikanlah hajatku”. Sebutlah hajat engkau, kemudian datanglah kepadaku sehingga aku pergi bersama awak (menemui Saidina Othman). Selepas itu, dia terus pergi ke rumah Saidina Othman, kemudian datang penjaga pintu, lalu memegang tangannya dan membawanya berjumpa Saidina Othman, lalu Saidina Othman mempersilakannya duduk di atas hamparannya, dan bertanya: “Apakah hajat engkau?”. Lelaki tadi memberitahu hajatnya dan ditunaikannya oleh Saidina Othman. Kemudian Saidina Othman berkata: “Aku tidak ingat hajat engkau sehinggalah ke waktu ini, sekiranya kamu mempunyai hajat lagi, datanglah menemui kami”.

Kemudian lelaki tadi keluar dari Saidina Othman, dan terus menemui Othman bin Hanif, lalu berkata kepadanya: “Semoga Allah membalas kamu dengan kebaikan, beliau tidak memberi perhatian kepada hajatku dan tidak menoleh kepadaku sehinggalah engkau mengajar aku mengenai doa tadi. Othman Hanif berkata: demi Allah, itu bukan daripada diriku sendiri, tetapi saya saksikan Rasulullah SAW pernah dikunjungi seorang lelaki yang buta, lalu mengadu kepadanya mengenai hilang penglihatannya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Atau kamu bersabar sahaja? Lelaki tadi berkata: “Wahai rasulullah Aku tidak mempunyai seorang yang boleh memimpinku, dan itu telah menyusahkanku”. Lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Pergilah ke tempat wudhuk, kemudian berwudhuklah, kemudian kerjakan solat dua rakaat. Selepas itu berdoalah dengan doa ini. Othman bin Hunaif berkata lagi: Demi Allah, kami tidak berpisah dan tidak lama perbincangan kami sehinggalah lelaki tadi masuk kepada kami, seolah-olah tidak pernah buta sebelum ini”.

Inilah dalil harusnya bertawassul dengan seorang yang telah mati dan padanya juga terdapat dalil yang mengharuskan menyeru rasulullah SAW sekepas baginda wafat seperti diseru: “Ya Rasulullah”. Itu adalah harus dengan syarat tidak mengiktiqad bahawa yang diseru itu memberi bekas pada alam ini dan dia tidak diseru atau dipanggil sepertimana menyeru kepada Allah. Ini kami akan huraikan insya allah.

Pendapat kedua:

Ibn Taimiyah pula berpendapat bahawa bertawassul dengan seorang yang telah mati adalah tidak harus (haram). Beliau mengemukakan dua alasan iaitu:

1. Ketika baginda masih hidup, tidak ada seorangpun yang datang menyembahnya di hadapannya. Sekiranya para nabi dan orang soleh masih hidup, sudah tentu mereka tidak akan membiarkan seorang pun melakukan perbuatan syirik di hadapannya, bahkan mereka akan menegahnya dan menjatuhkan hukuman ke atasnya. Tegahan itu bertitik tolak dari rasa takut seandainya wujud iktikad yang syirik dengan sebab mereka yang dijadikan perantaraan itu.

Sebagai jawapan terhadap alasan ini:

Seseorang yang bertawassul sekiranya menganggap seorang yang dijadikan ‘wasitah’ (perantaraan) itu memberi bekas, maka dia jatuh syirik, tidak kira samada yang dijadikan wasitah itu masih hidup atau telah mati, tanpa ada perbezaan.

Manakala pendapat iaitu: “Sekiranya orang-orang soleh masih hidup, maka tidaklah menjadi tegahan bertawassul dengan mereka, kerana sekiranya berlaku syirik di hadapan mereka, nescaya mereka akan menegahnya”. Ini bercanggah sekiranya seseorang yang dijadikan wasitah itu masih hidup tetapi berada berjauhan (maka tidak boleh menegah).

Maka kalau dilihat pendapat Ibn Taimiyah tadi, tawassul dengannya adalah harus kerana dia masih hidup. Adakah dengan keadaan mereka yang berjauhan atau berada ditempat lain itu, menjadi kemestian daripada keadaan itu bahawa tidak menjadi kesalahan bertawassul dengan mereka dan beriktiqad bahawa mereka memberi bekas sepertimana Allah?

Jadi jelaslah daripada ini, bahawa alasan yang mengharuskan tawassul dengan sebab ‘masih hidup’ adalah sesuatu yang tidak tetap. Oleh itu sebaiknya tidak dibezakan di antara hidup dan mati, kerana apabila seorang yang bertawassul dengan seseorang , dia bukanlah bertawassul dengan tubuh atau jasadnya tetapi bertawassul dengan keistimewaan yang dimilikinya iaitu kesolehannya. Maka tidak ada perbezaan antara hidup dan mati. Cuma dia perlu berjaga bersungguh-sungguh supaya tidak menganggap yang dijadikan wasitah itu samada yang masih hidup atau yang telah mati memberi bekas atau kesan, tetapi menjadikan permohonannya kepada Allah dengan bertawassul dengan kesolehan nabi atau wali itu dan tidak lebih dari itu.

2. Ibnu Taimiyah juga menjadikan kisah Saidina Umar dengan Abbas tadi sebagai sandaran dengan mengatakan: “Saidina Umar tidak bertawassul dengan Nabi SAW kerana baginda telah wafat dan bertawassul dengan Abbas kerana beliau masih hidup.”

Hujah ini disangkal seperti berikut:

a. Saidina Umar tidak berkata di dalam doa itu: “Hari itu kami meminta hujan dengan bertawassul Abbas bin Abdul Muttalib…”, tetapi apa yang beliau sebut ialah: “….Dengan Abbas, bapa saudara nabi kami”, kemuliaan wujud pada Abbas kerana beliau adalah bapa saudara nabi SAW. Ini secara tidak langsung merupakan satu pengiktirafan bahawa kemuliaan Rasulullah SAW berkekalan walaupun baginda telah wafat sehinggalah kemuliaan itu melimpah pula kepada bapa saudaranya. Sedangkan kalau dilihat, Saidina Umar, Othman dan Ali yang bersama-sama orang ramai adalah lebih afdhal daripada Abbas secara qat’ie, tetapi Saidina Umar tidak bertawassul dengan mereka dan tidak cukup dengan doa mereka, tetapi beliau bertawassul dengan kelebihan daripada Nabi SAW yang telah wafat.
b. Saidina Umar tidak berdoa meminta hujan dengan bertawassul Nabi SAW, bukannya kerana baginda telah wafat, tetapi kerana di antara sunnah ketika upacara memohon hujan itu ialah bertawassul dengan seorang yang soleh yang keluar bersama-sama dengan orang ramai, walaupun terdapat seorang yang lebih soleh daripadanya, tetapi tidak keluar bersama dalam upacara itu. Di sini, dijadikan Abbas sebagai perantaraan kerana beliau keluar bersama mereka bukan kerana beliau masih hidup. Ia bukanlah sesuatu yang pelik apabila kita lihat di dalam sunnah, kenapa kita disuruh membawa bersama orang-orang tua, kanak-kanak, binatang-binatang ternakan ke tempat lapang, dengan harapan semoga Allah menurunkan hujan dengan sebab mereka. Sedangkan Allah Maha Mengetahui mengenai mereka samada mereka keluar atau tidak.
c. Rasulullah SAW sebenarnya hidup di dalam kuburnya iaitukehidupan di alam barzakh sepertimana dinyatakan dalam hadith sahih. Kalau ‘hidup’ dijadikan sebagai alasan, sudah tentu Saidina Umar akan bertawassul dengan bagunda SAW kerana baginda tetap hidup di alam kubur.

Saya berasa pelik dengan pembahagian yang dibuat oleh seorang alim terkemuka ini, kerana selagi mana seorang yang bertawassul tidak beriktiqad bahawa yang dijadikan wasitah itu samada yang masih hidup atau telah mati memberi bekas, maka ini tidaklah menjadi kesalahan. Ini kerana tawassul seperti mana yang telah kami nyatakan tadi ialah bertawassul dengan keistmewaan atau kemuliaan, bukannya dengan jasad atau tubuh badannya. ‘Hidup’ tidak boleh dijadikan sebagai suatu ketetapan yang boleh kita menganggapnya memberi kesan atau tidak, kerana seorang yang hidup tidak dapat menghalang orang lain dari menganggapnya memberi bekas, sekiranya dia tidak bersama dengan orang yang bertawassul atau kerana berjauhan.

Jadi, Ibnu Taimiyah telah mentakwilkan kisah Abbas tadi dengan satu takwil yang terkeluar daripada nas sama sekali. Ini dapat dilihat pada kata-kata beliau (mentakwilkan hadith tersebut) iaitu: “Para sahabat pernah bertawassul dengan nabi mereka, dengan bapa saudara Nabi SAW dan dengan para solehin selain dari bapa saudara baginda. Mereka bertawassul dengan doa dan syafaatnya sepertimana dinyatakan di dalam hadith sahih bahawaUmar al-Khattab berdoa memohon hujan dengan bertawassulkan Abbas, dan beliau berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya kami bertawassul dengan Nabi kami.” Tetapi selepas wafat baginda, mereka bertawassul pula dengan Abbas sebagaimana mereka bertawassul dengan nabi SAW ketika baginda masih hidup iaitu bertawassul dengan doa dan syafaatnya.”

Beliau juga mentakwil kisah lelaki buta tadi selepas menyebut dan mengakui kesahihannya, menurut beliau: “Ini adalah permintaan daripada Nabi SAW dan perintah daripadanya supaya berdoa agar Allah menerima syafaat daripada Nabi ketika bertawassul dengannya, dan ia samalah seperti tawassul para sahabat yang lain kepada Allah. Sesungguhnya doa itu ialah doa dan bertawassul dengan doa dan syafaatnya.”

Sedangkan kamu (para pembaca) dapat lihat dengan jelas pada kedua-dua hadith tadi bahawa Rasulullah SAW menyuruh bertawasul dengannya, dan baginda tidak pernah mengatakan: “Berdoalah kepada Allah supaya menerima syafaat saya kepada engkau,” kerana Rasulullah SAW adalah seorang yang paling mustajab doanya di sisi Allah dan lebih hampir daripada lelaki yang buta tadi. Kalau baginda berdoa, nescaya Allah akan memakbulkan doanya lebih awal daripada doa lelaki buta itu, lebih-lebih lagi lelaki buta itu datang kepada Nabi dengan harapan baginda mendoakan untuknya, tetapi baginda tidak berdoa. Sebaliknya, baginda menyuruhnya supaya mengerjakan solat dan berdoa untuk dirinya sendiri.

Kalaulah benar bahawa lelaki buta tadi berdoa supaya diterima syafaat Nabi iaitu dalam keadaan beliau seorang yang mustajab doa, sudah tentu beliau tidak perlu menemui Nabi dan memohon doa daripada baginda. Sudah tentu beliau akan berdoa untuk dirinya sendiri tanpa perlu memohon supaya Rasulullah mendoakan untuknya.

Begitu juga, dikira sesuatu yang penting kita beriktiqad bahawa doa Rasulullah SAW tidap perlu kepada doa daripada orang lain agar dimakbulkan oleh Allah, kerana orang lain lebih rendah martabat dan kelebihannya daripadanya secara qat’ie.

Pada tempat yang lain, kita juga dapat melihat satu pandangan Ibnu taimiyah mengenai tawassul ini iaitu apabila dikatakan bertawassul dengan para nabi atau orang-orang soleh yang masih hidup, bererti bertawassul dengan keimanan kepada mereka atau kecintaan terhadap mereka dan meletakkan kepimpinan kepada mereka. Jadi perkara-perkara tersebut boleh diperolehi pada seseorang yang telah mati sebagaimana ia wujud pada orang yang masih hidup, kerana keimanan dan kecintaan kepada mereka tidak terputus selepas kematian. Oleh itu, di manakah letaknya larangan bertawassul dengan perkara itu selepas mereka mati sebagaimana ia wujud ketika hayat mereka? (Lihat al-Fatawa, 27/133).

Tamat nukilan.

Wednesday, 9 September 2009

KOMEN TERHADAP ARTIKEL ‘ISLAM: ANTARA NAS DAN PENDAPAT TOKOH’

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya membaca tulisan Dr Asri bertajuk: Islam: Antara Nas Dan Pendapat Tokoh. Pada saya Dr. Asri mengulas perbahasan kitab-kitab ulama tanpa mengetahui susur galur dan sebab musabab kenapa perbahasan sedemikian muncul. Ini dikeranakan latarbelakangnya pengajian ijazah pertama Bahasa Arab Jordan yang tiada subjek Syariah kecuali terlalu sedikit kerana ia hanya minor (seumpama pelajar sastera Melayu di Malaysia, tidak seperti Kuliah Bahasa Arab di al-Azhar), kemudiannya dia terus terjun dalam pengajian hadith di peringkat Masters (secara penyelidikian dan bukan berguru) dan hanya PhDnya sahaja ada 8 kursus yang perlu dilalui secara berguru. Hubungannya dengan ulama-ulama adalah terlalu sedikit berbanding pembacaan.

Untuk mengkritik kitab-kitab turath, dia memilih satu huraian kitab yang ditulis oleh ulama yang tidak terkenal di kalangan ulama mutaakhirin. Dia tahu dia tidak akan berjumpa perkara sedemikian dalam kitab mutaqaddimun mazhab. Dia tahu, dia sukar untuk mengkritik syarahan Imam al-Shafie, al-Mawardi, al-Nawawi dalam aliran mazhab Shafie. Demikian sukar juga dikutuk pandangan Abu Yusuf, Muhammad dan Zufar dalam mazhab Hanafi. Sukar juga dikatakan tidak logik pada pandangan pemuka mazhab Malik seperti Ibn Rusyd al-Jad dan Ibn Rusyd al-Hafid dan al-Dasuqi sebagaimana sukar mempertikai Ibn al-Qudamah, al-Maqdisi dalam mazhab Hanbali.

Sesiapa yang mempelajari 'madkhal al-fiqh' (Pengantar al-Fiqh) sepatutnya menyedari adanya budaya 'araaitiyyun' (kalau sekiranya... araaita) di kalangan ulama untuk membahaskan kemungkinan-kemungkinan berlakunya sesuatu peristiwa. Sekira sangkaan baik ada pada pelajar, ia akan merasakan bagaimana hebatnya seseorang imam itu berusaha mengembangkan perbahasan dalam sesuatu perkara. Itu ijtihad mereka dan sumbangan mereka. Kebiasaan guru-guru Shariah menerimanya sebagai satu usaha ulama-ulama silam memperhalusi setiap perbahasan dan bersangka baik dengan ulama-ulama ini.

Tugas pelajar-pelajar Shari'ah kemudiannya menyaring dan memahami perbahasan tersebut untuk disampaikan kepada masyarakat awam. Bahkan daripada contoh-contoh yang diberi, akan terbentuk kaedah mengeluarkan hukum di kalangan pelajar Shari'ah. Bukan semua orang layak menjadi mujtahid.

Sekali lagi 'isu kecil' berus gigi diperbesarkan utk menunjukkan dan membuktikan kebodohan dan ketidaklogikan ulama silam. Bukankah ada pandangan ulama silam yang tetap membenarkan bersugi selepas zohor?

Pada saya, ulasan negatif terhadap ulama-ulama tersebut menunjukkan 'tidak cermatnya orang yang memperkecilkan ulama-ulama silam tersebut. Kalau dia melalui pengajian rasmi Shari'ah di University of Jordan yang saya sama universiti dengannya (dan hampir sama tahun pengajian), dia akan berjumpa dengan ramai pensyarah-pensyarah yang menyindir pelajar-pelajar supaya menjaga adab dengan ulama. Bahkan ada yang menyebut: 'Hum rijal wa nahnu zukur' iaitu 'mereka lelaki (yang sebenar) dan kita lelaki (biasa)' sebagai sindiran kepada mereka yang merasakan setaraf atau lebih hebat dari ulama-ulama silam tersebut walaupun baru setahun dua di Kuliah Shari'ah. Bahkan pengajian saya dengan tokoh-tokoh Salafi Jordan seperti Prof. Dr Umar al-'Ashqar (yang digelar Salafi Tulen Jordan), Prof. Yasir al-Shimali dan lain-lain menunjukkan bagaimana mereka menghormati pandangan Imam-Imam mazhab tersebut dan anak-anak muridnya. Tidak pernah keluar dari mulut Prof. Umar perkataan 'banyak contoh-contoh bodoh atau tidak logik yang dibentangkan oleh ulama Fiqh!'

Demikian juga, malang bagi Dr. Asri apabila semua 'busuk' yang dia lihat pada ulama silam. Takut-takut 'bahtera perubahan' menjadi 'bahtera fitnah'... Pada saya ini sudah menjadi 'keterlanjuran dan fitnah melampau' Dr Asri terhadap ulama! Yang di sebaliknya (seolah-olah) dia menyeru: 'Jangan ikut ulama, tapi ikutlah aku kerana akulah yang paling logik dan akulah paling benar'.

Manakala ulasannya dalam Hashiah al-Bajuri, dia tidak menyatakan mukasurat. Saya lebih cenderung dia tersilap menterjemahkan. Terjemahan asal ialah memasukkan ‘keseluruhan kemaluan’. Kalau benarpun terjemahannya, ia di bawah konsep bahasa Arab yang di sebut ‘lanjutan contoh’ bukan sebagai ‘contoh utama’. Jadi, dia seharusnya lebih memahami perbahasan ulama-ulama fiqh dan seharusnya cuba bersangka baik kepada ulama-ulama tersebut sebagaimana dia boleh bersangka baik kepada Albani walaupun banyak 'tanaqudhat' (pandangan yang saling berlawanan samada dalam kitab yang sama atau kitab berbeza).

Wallahu a’lam.

Allahu musta'an.

Thursday, 3 September 2009

ISU RAWATAN DAN BERUBAT KETIKA BERPUASA

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Artikel pendek ini seharusnya dibaca bersama posting saya yang lepas (ada di bawah posting ini). Saya didatangi perbincangan tidak formal berkaitan dengan fatwa ramai sarjana semasa yang mengatakan tidak batal puasa menggunakan ubat yang memasuki rongga-rongga badan (mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur). Mereka memberikan alasan-alasan berikut:
1. Yang dimaksudkan larangan makan dan minum apabila sampai ke perut.
2. Yang dilarang ialah memakan sesuatu yang sifatnya makanan atau menguatkan atau memberi tenaga pada tubuh (غذاء).
3. Perkara-perkara membatalkan puasa terhad yang dinyatakan dalam nas iaitu makan, minum dan hubungan seks. Sekiranya tiada dalil, ia tidak membatalkan puasa.

Saya masih cenderung dengan tafsiran ulama-ulama silam yang membatalkan puasa apabila sesuatu itu melebihi had-had tertentu pada rongga-rongga badan kerana hujah-hujah mereka yang konsisten iaitu:
1. Saya tidak pernah mendengar makan dan minum apabila sesuatu itu sampai ke perut. Kalau dipegang pandangan ini, kita boleh katakan pada seseorang yang menelan makanan: "Kamu belum makan lagi sehinggalah makanan itu jatuh ke perut". Sebaliknya, umum menerima apabila seseorang itu menelan, sudah dikira makan atau minum, iaitu apabila sesuatu itu melebihi had kerongkong. Justeru, pandangan ulama-ulama silam lebih tepat dan berada dalam lingkungan nas yang melarang makan dan minum.
2. Larangan makan dan minum dalam nas Syarak tidak menyatakan jenis makanan samada mengenyangkan atau tidak. Sudah diterima (Thabit) dalam kaedah Syarak, sekiranya dilarang banyaknya sesuatu, sedikitnya juga dilarang (ma hurima kathiruhu, hurima qaliluhu).
3. Sesuatu yang dilarang dari ditelan ditakuti membatalkan puasa ialah sesuatu yang terasing dari badan contohnya air liur yang bercampur dengan rasa gula-gula. Ia masih dalam lingkungan tafsiran nas Syarak larangan makan dan minum.
4. Ulama-ulama silam berpegang dengan sikap ‘warak’ berwaspada takut-takut tidak ditunaikan hak-hak Allah SWT.
5. Ayat-ayat berkaitan puasa dalam posting yang lepas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT membezakan orang sakit (maridh) dengan orang yang lemah (la yutiquna) tiada kekuatan untuk berpuasa. Orang sakit diharuskan berbuka dan qadha’, manakala orang yang lemah tiada harapan pulih bayar fidyah. Namun, kita seolah-olah mengatakan mereka yang terpaksa berubat itu sihat dan perlu berpuasa, atau kita mengatakan makanlah ubat tetapi kamu masih berpuasa sebab tidak dikira seseorang itu makan kecuali bila sampai ke perut!

Berdasarkan penelitian di atas, saya masih cenderung kepada pandangan yang dikeluarkan oleh JAKIM sebagaimana dalam posting saya yang lepas.

Wallahu a'lam.

Sunday, 30 August 2009

PENGGUNAAN UBAT KETIKA BERPUASA

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Beberapa orang sahabat bertanya saya mengenai penggunaan ubat ketika berpuasa. Sebelum saya menjawab soalan ini, suka saya membawa beberapa ayat al-Quran berkaitan dengan puasa dan rukhsah meninggalkan puasa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (183-184) bermaksud:

183- Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.

184- Iaitu beberapa hari tertentu. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau bermusafir (dalam perjalanan lalu tidak berpuasa), maka (hendaklah) menggantinya pada hari-hari lain (bukan pada bulan Ramadhan). Dan atas orang-orang yang tidak kuat (kerana lemah tua atau penyakit atau hamil) wajib membayar fidyah memberi makan orang miskin. Tetapi barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebaikan , maka itu lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagimu sekiranya kamu mengetahui.


Kita sudah memahami bahawa setiap muslim aqil, baligh adalah diwajibkan berpuasa. Apabila berpuasa, secara lahirnya kita mengelakkan diri kita dari memasukkan sesuatu melebihi had-had tertentu pada rongga-rongga badan iaitu mulut, hidung, telinga dan dua saluran dubur dan qubul.

Apabila saya menyebut 'had-had tertentu' pada rongga-rongga tersebut kerana beberapa amalan memasukkan sesuatu dalam rongga-rongga tersebut masih dibenarkan ketika berpuasa selagi tidak melebehi had yang dibenarkan, contohnya:
i. Dibenarkan memasukkan air ke hidung (tidak melampau) sekadar membersihkan hidung untuk mendapatkan sunnah dan pahala ber ‘istinsyaq’ ketika mengambil wuduk.
ii. Dibenarkan mandi wajib selepas azan Subuh dan mandi wajib mewajibkan kita membasuh bahagian dalam lubang telinga yang zahir dan dubur yang zahir.

Ayat 184 pula menjelaskan bahawa sesiapa yang sakit, dibolehkan seseorang itu berbuka puasa. Sekiranya mereka masih mahu mengerjakan puasa, ia adalah baik untuk mereka selama mana puasa itu tidak memudaratkan diri mereka. Jika memudaratkan, mereka wajib berbuka berdasarkan larangan umum: Jangan kamu campakkan diri kamu dalam kebinasaan (al-Baqarah, ayat 195).

Masalah yang timbul dari persoalan orang-orang sakit ini ialah:
1. golongan yang tidak mahu berpuasa atas alasan sakit.
2. orang sakit yang sedang dalam proses berubat, mahu terus berpuasa dan masih menganggap dirinya sah puasa dan tidak memerlukannya qada’ (mengulang balik) ibadah puasa tersebut.

Bagi golongan pertama iaitu yang tidak mahu berpuasa berterusan kerana sakit, kita katakan pada mereka, ketetapan yang tidak mewajibkan mereka tidak boleh berpuasa bukan ditetapkan oleh diri mereka. Mereka wajib mendapatkan pandangan doktor perubatan muslim yang adil, warak untuk menentukan ketidakmampuan mereka. Sekiranya disahkan, mereka boleh tidak berpuasa tetapi masih wajib menjaga syiar-syiar puasa iatu tidak memakan ditempat umum.

Manakala bagi golongan kedua, sekiranya proses perubatan ketika berubat (dalam keadaan berpuasa) melebihi had-had memasukkan sesuatu ke dalam rongga, puasa adalah terbatal namun, mereka masih wajib menahan diri dari makan (imsak) dan puasa tersebut wajib diqada (diulang) berdasarkan dalil-dalil khusus puasa yang melarang memasukkan sesuatu ke dalam rongga-rongga tersebut.

Dalam banyak keadaan tersebut, saya bersetuju dengan Buku Panduan Berpuasa Pesakit terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang saya ambil dari Berita Harian, 29 Ogos 2009:

Perkara berkaitan rawatan yang TIDAK MEMBATALKAN PUASA:

• Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga);
• Pil tablet nitroglycerin (GTN) atau ubat yang menyamainya yang diambil secara meletakkannya di bawah lidah tanpa ditelan bagi merawat kesakitan dada (angina pectoris) bagi pesakit jantung;
• Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pembersihan gigi atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan ketika prosedur rawatan itu;
• Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah;
• Pendermaan atau pemindahan darah;
• Penggunaan ubat-ubatan dalam bentuk sapuan, balutan dan plaster pada permukaan kulit;
• Pengambilan sampel darah untuk ujian makmal;
• Memasukkan tiub kecil (catheter) melalui salur darah untuk tujuan pemeriksaan seperti prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung;
• Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen untuk pemeriksaan bahagian dalaman pesakit;
• Berkumur-kumur termasuk berkumur-kumur secara gargle (sehingga air hampir ke tekak), dan ubat teraputik semburan ke mulut yang tidak membabitkan proses menelan;
• Menjalani biopsy iaitu pengambilan spesimen atau cebisan yang diambil daripada hati atau organ lain untuk tujuan analisis makmal;
• Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut;
• Rawatan dialisis untuk masalah pesakit buah pinggang sama ada hemodialisis atau peritonealdialisis;
• Menjalani rawatan bius setempat atau separuh (local) dengan semburan atau suntikan setempat; dan
• Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa membabitkan kawasan rongga yang dalam.

Perkara berkaitan dengan rawatan perubatan yang MEMBATALKAN PUASA:

• Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (athma) atau penyakit paru-paru kronik;
• Memasukkan sebarang tiub kecil (pessary) atau ubat ke dalam faraj (vaginal suppository) termasuk prosedur cucian (wash), pemeriksaan dalaman vaginal (vaginoscope), atau pegawai perubatan memasukkan jari untuk melakukan pemeriksaan dalaman vagina wanita.
• Memasukkan sebarang tiub catheter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing (uretroscope), barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ada ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita (contohnya memasukkan `urinary catheter’ untuk rawatan sumbatan salur kencing);
• Penggunaan alat seperti enema, tiub suppository, teropong protoscope atau jari pegawai perubatan yang dimasukkan ke dalam dubur atau rectum untuk pemeriksaan;
• Penggunaan teropong usus (endoscope) atau teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan sistem penghadaman; dan
• Penggunaan bius menyeluruh yang membabitkan penggunaan gas.

Wallahu a'lam.