Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Sunday 1 April 2007

ANJAKAN MELALUI LIBERALISASI PERBANKAN ISLAM

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Perkembangan perbankan Islam menjadi semakin rancak di Malaysia. Berdasarkan laporan Berita Harian, 24 Mac 2007 menjelaskan bahawa Bank Negara Malaysia telah meluluskan penubuhan syarikat penuh perbankan Islam kepada Maybank Berhad. Ini bermakna kaunter perbankan Islam di Maybank akan berdiri sebagai satu anak syarikat Maybank yang mempunyai satu entiti berasingan dari Maybank yang ada pada waktu ini.

Menurut laporan itu lagi, Bahagian Perbankan Islam Maybank mempunyai pemilikan aset berasaskan Syariah yang bernilai AS$6.4 bilion. Justeru ia akan menjadikan 'Maybank Islamic' sebagai penyedia perkhidmatan perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik, meninggalkan Bank Islam Malaysia Bhd di tempat yang kedua dan perbankan Islam yang sedia wujud iaitu Bank Muamalat Malaysia Bhd, RHB Islamic Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd, Hong Leong Islamic Bank Bhd, AmIslamic Bank Bhd dan CIMB Islamic yang sebelum ini dikenali Commerce Tijari Bank Bhd.

Sekaligus, mencetuskan saingan yang lebih sihat terhadap dua buah bank Islam milik asing ialah Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd. dan Al-Rajhi Bank Malaysia.

Pertumbuhan industri perbankan Islam ini semakin rancak dengan beberapa bank luar Negara seperti Citibank dan HSBC Bank dilihat sentiasa memperkemaskan produk-produk perbankan Islam mereka.

Perkembangan pesat perbankan Islam di Malaysia dilihat oleh pemerhati dan pengamal perbankan Islam dari pelbagai sudut. Antaranya, ia melambangkan bagaimana keterbukaan masyarakat perbankan Islam di Malaysia, telah menjadikan perbankan Islam mudah diterima. Malaysia dikatakan amat terbuka di sudut pemilihan prinsip-prinsip Syariah dalam perbankan Islam.

Keduanya, cuaca pelaburan yang memberangsangkan di Malaysia telah meyakinkan pelabur untuk melabur di negara ini. Faktor ini disokong dengan ketidakyakinan pelabur-pelabur Timur Tengah terhadap pelaburan di Barat lantaran fenomena mengaitkan Islam dengan keganasan.

Walaupun begitu, penulis berasakan perbankan Islam perlu menyelesaikan segera beberapa isu yang masih menyelubungi system ini. Ungkapan seperti "perbankan Islam merupakan 'duplicate' kepada system konvensional" masih kedengaran di kalangan pendukung atau pelanggan setia perbankan Islam.

Sebagai contoh, kontrak BBA terus menjadi kontroversi kepada perbankan Islam. Ia kerap dilihat sebagai satu ciplakan kepada system riba dalam perbankan konvensional. Ramai merasakan kontrak BBA merupakan satu kontrak yang lemah menurut perundangan Islam.

Sebenarnya BBA merupakan singkatan kepada al-Bai' bi Thaman Ajil iaitu jual dengan pembayaran balik secara tangguh. Pihak penjualnya biasanya memperolehi keuntungan melalui harga tangguh tersebut (modal campur keuntungan).

Sebagai contoh, pihak bank membeli barang dari pihak pembekal dengan harga modal secara tunai. Setelah itu, pihak bank menjual kepada pihak pengguna dengan harga tangguh tertentu (modal + untung) untuk satu tempoh masa tertentu contohnya enam bulan,

Perbankan Islam di seluruh dunia menerima konsep ini. Kebanyakan ulama menerima konsep BBA dan murabahah termasuk ulama-ulama di Timur Tengah. Kontrak ini adalah kontrak antara tiga pihak iaitu pembekal, bank dan pengguna akhir.

Walaupun begitu, BBA yang dipraktis di Malaysia bercampur dengan unsur-unsur lain yang menyebabkannya dipertikai oleh perbankan Islam di Timur Tengah. Antara unsur-unsur yang dimaksudkan ialah unsur bai' al-'inah dan menjual sesuatu yang belum wujud (bai' al-ma'dum).

Pertikaian terhadap konsep perbankan Islam versi Malaysia

Pertikaian terhadap BBA muncul apabila unsur bai' al-'inah dimasukkan ke dalam kontrak BBA. Mereka mengekalkan nama BBA untuk transaksi tersebut.

Pembiayaan peribadi
Kontrak ini terjadi apabila seseorang (contohnya si B) yang inginkan wang tunai mengunjungi sebuah perbankan Islam. Bank A menjual sebahagian asetnya kepada pelanggan B dengan harga RM10000.00 (Sepuluh Ribu) secara tangguh atau hutang untuk tempoh 8 tahun contohnya. Selepas itu, Bank A itu akan membeli semula aset tersebut dengan harga RM6000.00 (Enam Ribu) secara tunai. Dengan itu, pelanggan B perlu membayar lebihan RM4000.00 (emapat ribu) dalam tempoh tersebut.

Sebenarnya kontrak di atas mengandungi dua kontrak. Pertamanya ialah Bank A menjual asetnya kepada pelanggan B. Keduanya pelanggan B menjual baliknya aset tersebut kepada bank A. Tujuan pelanggan B ialah mendapatkan wang tunai dan bukannya aset bank tersebut. Inilah konsep yang dipakai untuk pembiayaan peribadi.

Pembiayaan rumah sedang dibina
Perkara lain yang dipertikaikan ialah konsep BBA dalam pembiayaan perumahan yang sedang dalam pembinaan. Kebanyakan konsep yang dilaksana ialah pihak bank membeli hak ke atas rumah yang sedang dibina daripada pihak pemaju. Setelah itu bank menjadikan 'rumah yang sedang dibina' sebagai satu sekuriti (securitization). Sekuriti ini kemudiannya diiktiraf sebagai aset terasing yang bernilai (haq maliy) yang kemudiannya dijual kepada pelanggan dengan harga tangguh (modal + untung) menggunakan konsep BBA tanpa menghiraukan rumah tersebut terbengkalai atau lambat pembinaannya. Segala risiko pembinaan dipikul sepenuhnya oleh pelanggan.

Konsep ini menimbulkan kontroversi yang besar di kalangan ulama-ulama Islam. Pertamanya, adakah sekuriti tersebut merupakan haq maliy yang terasing dari aset sebenar? Haq maliy di dalam Islam sebenarnya terikat secara terus dengan aset yang wujud.

Dalam kes di atas, aset sebenarnya belum wujud (masih dalam pembinaan). Atas dasar tersebut, kebanyakan ulama khususnya di Timur Tengah berpegang bahawa haq maliy pada rumah tersebut berbentuk al-dayn (hutang). Berdiri di atas pandangan boleh menjual dayn mustaqir (hutang yang diyakini boleh bayar), bank tidak boleh menjual hutang dengan harga yang lebih tinggi atau lebih rendah. Sebarang perubahan pada harga membawa kepada mengambil riba.

Pembiayaan rumah siap
Kedua ialah tiada bukti yang diiktiraf oleh perundangan Malaysia yang menunjukkan bank membeli rumah yang telah siap sebelum menjualnya kepada pelanggan. Kebanyakan bank hanya menyediakan dokumen mereka sendiri yang menunjukkan pemilikan mereka terhadap rumah tersebut. Kes-kes mahkamah yang lampau membuktikan bagaimana mahkamah di Malaysia tidak melihat adanya transaksi pindah milik rumah daripada pihak kontraktor kepada pihak bank. Hasilnya, segala transaksi bank dilihat sebagai memberikan pinjaman wang kepada pelanggan dengan kadar bunga yang tertentu.

Penulis tidak berhasrat mempertikai keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Penasihatan Syariah bank-bank, atau Majlis Penasihatan Syariah Bank Negara. Namun, liberalisasi perbankan Islam di Malaysia ini diharap menjadi lonjakan kepada satu arus baru perbankan Islam.

Terdapat bank-bank yang mula melakukan anjakan dengan menawarkan produk-produk yang berbentuk perkongsian risiko berpandukan konsep ' al-ghunm bi al-ghurm' iaitu 'perolehan melalui risiko'.

Penawaran konsep yang 'strongly Islamic' (konsep yang mempunyai hujah yang lebih kuat) seperti musyarakah mutanaqisah bagi pembiayaan perumahan, diharap dapat menceriakan pelanggan-pelanggan setia perbankan Islam.

Di bawah konsep ini, sesebuah bank Islam dan pelanggan akan berkongsi membina rumah. Setelah itu, rumah tersebut disewakan dan keuntungan daripada sewa dibahagikan antara bank dan pelanggan bergantung kepada jumlah modal masing-masing. Pada masa yang sama, pelanggan boleh membeli bahagian bank sedikit demi sedikit untuk membolehkan mereka menguasai keseluruhan rumah tersebut.

Kesimpulannya, liberalisasi dan pertambahan jumlah perbankan Islam di Malaysia seharusnya dilihat dan dianalisis secara teliti. Kemasukan perbankan Islam dari Timur Tengah sebenarnya merupakan suatu interpretasi ketidakupayaan prinsip-prinsip perbankan Islam versi Malaysia diyakini sepenuhnya oleh pelabur-pelabur Syariah tegar dari Timur Tengah. Lantaran itu, Bank Negara Malaysia meneruskan langkah bijak dengan menawarkan dan meluluskan bank-bank Islam Timur Tengah untuk beroperasi dan memilih prinsip-prinsip Syariah 'strongly Islamic' yang diyakini oleh mereka. Secara tidak langsung, bank-bank Timur Tengah akan membawa masuk pelaburan dari sana.
Kedua, operasi bank-bank Timur Tengah diharapkan membawa arus perubahan kepada prinsip-prinsip perbankan yang sedang digunakan. Pelanggan-pelanggan mengharapkan perbankan Islam yang benar-benar mengutamakan 'kesahan' kontrak menurut Syariah. Mereka juga mengharapkan konsep kerjasama, tolak ansur dan risiko bersama menjadi asas yang kuat kepada perbankan Islam berbanding dengan perbankan konvensional.

No comments:

Post a Comment