Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Friday 21 May 2010

BAHANA TAASUB

Kita dikejutkan dengan laporan Berita Harian semalam 20 Mei 2010, yang mendedahkan kepercayaan baru bekas pengikut al-Arqam iaitu Abuya mereka, Asaari Muhammad 'tidak mati dan akan kembali'. Slogan baru mereka: 'Kalahkan nafsu Abuya pulang' adalan slogan yang akan mengaburi pengikutnya sampai hari kiamat.

Saya juga dikejutkan dengan panggilan wartawan Berita Harian untuk menemuramah saya mengenai 'suatu sandiwara' baru ini. Mungkin disebabkan saya pernah mendekati kumpulan ini ketika bersekolah dahulu. Dalam hati saya, susah mengubah mereka yang taksub kepada kumpulan ini. Datang apapun hujah, mereka ada takwil mereka sendiri. Mereka mengatakan 'masa akan menentukan'. Ruginya hidup, membiarkan masa berlalu berpegang pada perkara yang sia-sia dan boleh memudaratkan hidup dunia dan akhirat.

Mengenai dakwaan ghaib, saya pernah menjangkakan perkara ini bila berbual dengan rakan-rakan yang gemar membuat pengamatan terhadap kumpulan ini. Antara soalan cepumas saya: Apa berlaku nanti, sekiranya Abuya mereka meninggal dunia? Mereka senyap tak menjangka soalan tersebut. Saya nyatakan: Kemungkinan dia juga akan dianggap ghaib sebab mana mungkin dah mengaku jadi Bani Tamim dan sebagai pembantu Imam Mahdi, tiba-tiba Imam Mahdi belum turun, pembantunya dah meninggal. Justeru, untuk membenarkan 'cerita tersebut', dia perlu 'dighaibkan'! Dan tidak disangka-sangka, kajian pola pemikiran mereka ini menjadi benar. Akan ada juga orang lain yang akan menerima 'mesej-mesej' samada dari Sheikh Suhaimi atau 'Abuya'.

Suatu hari nanti, pengikut-pengikut mereka akan bertanya: Apasal Abuya tak turun-turun kembali? Pemimpin mereka akan jawab: "Kamu belum berjaya kalahkan hawa nafsu". Jadi, slogan ini pun, akan dipakai sehingga kiamat.

Pada saya, ada beberapa perkara kenapa mereka perlu watak 'Abuya' tersebut:
i. Untuk membenarkan cerita-cerita indah 'pemuda Bani Tamim', memikul bendera Imam Mahdi, munculnya daulah dan sebagainya.
ii. Asaari atau 'Abuya' sebagai karakter menyatukan pengikut kerana dia mempunyai keupayaan tersebut. Bila dia meninggal, watak tersebut perlu dihidupkan di alam ghaib dan menjadi pengikat untuk memastikan ketaatan pengikut. Ia menjadi impak besar dalam perniagaan mereka yang hanya membayar 'sara hidup cukup makan' sahaja untuk ahli-ahli atas nama berjuang menegakkan Islam.

Inilah bahana taasub. Kepatuhan kepada guru tidak dipisahkan dari Ketaatan kepada Allah SWT. Kepatuhan kepada guru pula, tidak disuluh dengan neraca Syarak. Perkara-perkara ghaib dijadikan mainan dengan mencipta pelbagai fenomena untuk mengasyikkan pengikut.

Fatwa sudah dikeluarkan. Para ustaz dan guru-guru telah menentang aliran dan pembawaan kumpulan ini. Takdir Allah SWT juga telah datang apabila guru mereka menyambut panggilan ilahi. Malang apabila semua itu gagal membuka hati dan minda mereka. Lebih malang, mereka terpaksa mempercayai kepercayaan karut yang baru.

Secara peribadi, saya mendoakan semoga kerja dakwahnya pada zaman awal al-Arqam diterima oleh Allah SWT khususnya pada tahun 70an ke awal 90an, yang menjadikan al-Arqam ketika itu sebagai pencetus industri makanan halal Islam (ramai yang kenal dengan kicap dan sos tomato al-Arqam), memakai tudung dan purdah, industri Nasyid dengan Nadamurni, perkampungan Islam contoh, usaha dakwah di ceruk Sabah & Sarawak dan lain-lain. Bekas-bekas pengikut inilah (yang terus meninggalkan ajaran al-Arqam) yang kini menggerakkan pemakanan halal seperti  sebuah syarikat pengeluar pemakanan terkenal di Utara tanahair yang mengeluarkan makanan halal, kumpulan Nasyid Rabbani, Hijaz dan Raihan yang menerajui industri Nasyid, peneraju Koperasi Ukhwah yang juga menggerakkan aktiviti ekonomi Islam serta ramai individu lain berjaya dalam pelbagai aktiviti perniagaan lain. Walaupun begitu, ramai juga yang hanyut ditelan oleh kealpaan diri dari cita-cita memperjuangkan Islam sehingga meninggalkan terus Islam sebagai satu cara hidup, lantas menjadikan mereka terlibat semula dengan segala kemungkaran.

Pada masa yang sama semoga segala kesalahannya diampuni Allah SWT di atas kesilapannya selepas itu apabila membawa al-Arqam/Rufaqa' melayari bahtera kerohanian yang tidak ketahuan. Setiap manusia tidak sunyi daripada kesalahan. Mana tahu, peranan mentaksubkan pengikut-pengikut mereka, dimainkan juga oleh orang lain setelah kesihatan Abuya mereka semakin merosot sejak 2004 yang lalu dan secara realitimya ditakbir oleh orang lain dan bukan Abuya mereka sejak tempoh itu.

Di sudut ilmu Islam, pembawaan kumpulan ini telah dan akan membawa imej yang negatif kepada aliran tasauf. Tasauf akan terus dinegatifkan disebabkan pembawaan kumpulan ini yang lari dari 'mainstream' umat. Tasauf yang asalnya murni, telah dipalitkan dengan perlakuan ini. Beruntunglah kalau kita mempunyai tokoh seperti al-Imam al-Qusyairi yang cuba menghilangkan 'al-syatahat al-sufiyyah' dan memurnikan kembali pembawaan sufi.

Lebih sayang lagi, di kalangan mereka mempunyai semangat perjuangan Islam yang tinggi, namun tersilap langkah memilih perjuangan al-Arqam (bekas al-Arqam) yang telah berubah dari perjuangan asal pertubuhan ini diperingkat awal penubuhannya.

Pengajarannya, tuntutlah ilmu dari ramai guru dan bukan dari kelompok kumpulan kita sahaja untuk mengelakkan bahana taasub. Berhati-hatilah dengan 'al-kazzab' (pendusta) dalam agama, samada dari aliran tasauf, wahhabi, salafi dan sebagainya. Periksalah kata-kata imam-imam yang disandarkan, sebabnya kebanyakkan imam-imam muktabar berkemungkinan tidak mengatakan sedemikian, tetapi nama mereka digunakan sewenang-wenangnya.

Allahu al-Musta'an. Semoga kita semua dianugerahkan Allah SWT dengan jalan yang lurus.

Abu al-'Izz

2 comments:

  1. Salam Ustaz Asmadi.

    Semoga sahabat2 di dalam Ikhwan sedar perkara ini n kembali ke Alquran n sunnah.

    ReplyDelete
  2. salam ustaz, ana setuju dengan pandangan ustaz.

    ReplyDelete