Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Tuesday 28 December 2010

DR JUANDA, SALAH KIASAN ITU.....PEGUAM SYAR’IE BUKAN MACAM WAKIL JUALAN DI TESCO

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim
Universiti Utara Malaysia


Saya membaca pertentangan pandangan Dr Juanda Jaya dan Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan keharusan melantik orang bukan Islam sebagai Peguam Syar’ie. Pertentangan ini berlaku mungkin di atas sifatnya isu ini Rasulullah SAW tidak menyebut kata-kata yang tepat sebegini: “Jangan kamu melantik peguam Syari’e dari golongan kafir!”. Lantas, atas alasan ini, menurut Dr Juanda, isu larangan ini tidak ada nas al-Quran untuk melarangnya kerana peguam Syar’ie lebih bersifat ‘kontrak wakalah’ sebagaimana dalam perceraian dan jual beli. Lebih-lebih lagi, dalam kes cerai, seseorang boleh melantik seorang kafir untuk menceraikan isterinya sebagaimana pandangan kebanyakkan ulama.


Justeru, Dr Juanda lebih mengkiaskan urusan Guaman Syar’ie kepada urusan jual beli dan urusan cerai di atas nama urusan keduaniaan sesama manusia. Benarkah begitu? Mungkin beliau berpegang teguh kepada pembahagian yang selalu beliau pakai: “Pertambahan dalam ibadah bid’ah dilarang, dalam kehidupan dibolehkan”. Pada saya, inilah bahayanya pembahagian umum sebegini. Pembahagian ulama-ulama silam bahawa bid’ah terbahagi kepada lima hukum adalah lebih selamat sebagaimana disebut oleh al-Imam al-Izz bin Abd al-Salam.

Hukum nikah kahwin ialah urusan sesama manusia yang ada suruhan Syarak, maka hukum asalnya ialah haram. Maka tidak boleh dikatakan ada ikatan atau hubungan, sehinggalah ada bukti ikatan perkahwinan berlaku, maka perlu kepada saksi dan wakil beragama Islam. Namun perceraian, hukum asalnya ialah mudah dilakukan berdasarkan hadis, tiga perkara betul-betul padanya adalah betul, main-main melafazkannya juga dikira betul (sah). Atas alasan itu ulama membenarkan wakil orang kafir kerana Syarak menetapkan mudah jatuhnya perceraian walaupun secara main-main.

Sebaliknya, persoalan kehakiman ialah persoalan urusan sesama manusia yang juga ada panduan Syarak. Namun hukum asal pada persoalan kehakiman ialah ‘tathabbut’ (mendapatkan kepastian dan keadilan), bukannya seperti ‘jual beli’ yang lebih kepada kelonggaran dan keharusan!

Sebab itu, mengkiaskan urusan guaman Syar’ie kepada Nabi Muhammad SAW pernah bermuamalah (berurusniaga) dengan menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi, adalah kiasan yang salah. Mana mungkin, urusan jual beli dikiaskan dengan urusan mahkamah.

Terdapat beberapa hujah yang Dr Juanda mengkiaskan isu ini dengan suatu suasana pemerintahan yang bukan sepenuhnya mengikut kehendak Syara’ dan dalam keadaan umat Islam lemah, lalu dijadikan hujah untuk membenarkan Peguam Syar’ie, walhal kita ada kekuatan untuk mempertahankan urusan guaman Syari’ie supaya berada dalam ‘haimanah’ (penguasaan) umat Islam. Malangnya Dr Juanda menutup pemikirannya pada persoalan ini. Walhal mengekalkan ‘haimanah’ ini adalah tidak salah di sudut Syarak. Di sinilah kebijaksanaan ahli-ahli lain Majlis Fatwa Kebangsaan yang lain apabila tidak membicara isu haimanah secara terbuka kerana ia mengundang isu sensitif.


Demikian juga, beliau mengkiaskan isu ini dengan perlaksanaan di sebuah negara Sosialis iaitu Mesir. Saya sedikit kehairanan dan ingin tahu semenjak bila pula ulama-ulama Azhar berperanan menggubal undang-undang di Negara tersebut? Seorang tokoh iaitu al-Sanhuri berhijrah dari undang-undang sekular negaranya ke arah fiqh Islam.


Namun begitu, perlu diingat, larangan ini tidak bermaksud orang-orang bukan Islam tidak boleh menuntut haknya dengan menggunakan peguam Muslim. Kebenaran wajib ditegakkan walaupun kepada orang-orang bukan Islam. Ini disokong oleh kisah yang disebutkan beliau bahawa Saidina Ali bin Abu Talib RA pernah bertelingkah di mahkamah kerana urusan baju besinya dengan seorang Yahudi?

Namun ia bukannya dalil boleh melantik peguam Syar’ie di kalangan orang Bukan Islam. Sebaliknya ini adalah dalil setiap orang Bukan Islam berhak mempertahankan diri. Persoalannya, bolehkah menggunakan dalil ini untuk membenarkan perlantikan Peguam Syar’ie Bukan Islam, kemudiannya orang Islam akan melantiknya? Adakah Dr Juanda akan pasti, kita boleh juga menggubal undang-undang melarang orang Islam melantik Peguam Syar’ie yang Bukan Islam. Pasti semakin menampakkan prejudis!

Seharusnya, kita tidak mempunyai masalah mengistinbat hukum sekiranya tidak ada kata-kata yang betul-betul menyebut persoalan ‘peguam syar’ie’. Inilah masalahnya bila kita menyempitkan pengeluaran hukum kepada al-Quran dan sunnah, walhal ulama-ulama silam telah menggariskan banyak cara untuk mengeluarkan hukum supaya bertepatan dengan ruh Syarak. Hujjah dan dalil dlm Syariah Islam bukan hanya al-Quran & sunnah. Di situnya keperluan kembali kpd ijma', qiyas (bukan qiyas ma'a al-fariq), qaul sahabi dan lain-lain dengan juga melihat 'kesan-kesan tindakan' kpd fatwa (ma alat al-af'al).

Bila seseorang hanya mengkhususkan sumber hukum pd al-Quran & sunnah, bila tiada 'nas', mereka akan menggelabah menggunakan akal dengan alasan tiada 'nas'. Akhirnya, dalam banyak perkara kita menggunakan akal dan tidak berpegang kepada ruh Syariah.


Sepatutnya isu-isu bidang kehakiman dikiaskan dengan isu-isu berkaitan kehakiman seperti kelayakan hakim, saksi, penulis kes dan penterjemah perbicaraan, bukan dikiaskan dengan isu-isu jual beli. Tidak sepatutnya peguam Syar’ie dikiaskan dengan wakil jualan di Tesco dan Giant kerana hukum asal jual beli adalah harus, tapi hukum asal dalam kehakiman adalah tathabbut (mendapatkan kepastian), dan hukum asal pada al-abda' (kemaluan/nikah kahwin) adalah haram.


Alangkah baiknya sekiranya Dr Juanda dan JAKIM menghalusi persoalan ini dengan mengkiaskan dengan persoalan al-Katib (penulis perbicaraan) dan al-Mutarjim(penterjemah) dalam menentukan keperluan kepada beragama Islam. Adalah tidak sesuai mengkiaskan persoalan kehakiman ini kepada urusan jual-beli.


Saya memetik kata-kata Ibn Qudamah (sebab Dr Juanda memetik kata-katanya) mengenai al-katib: “Tidak boleh seorang bukan Islam menjadi penulis di sisi Hakim kerana apa yang dibuat oleh Hakim adalah dari urusan agama, mereka (Bukan Islam) kebiasaannya mengkianati umat Islam dalam urusan agama dan membawa kefasadan, demikian juga Penulis kepada Hakim ini dimuliakan di kalangan manusia, maka kita dilarang memuliakan mereka”.


Jadi, ada dua isu iaitu urusan kehakiman juga adalah urusan agama dan memuliakan mereka dengan jawatan yang mulia ini. Peguam Syar’ie mulia sifatnya. Tidak membenarkan mereka menjadi ‘Penulis’, bukan bererti kita mahu menzalimi mereka dalam urusan kehakiman.


Lihat pula, kata-kata al-Imam Malik berkaitan dengan kelayakan Penterjemah (al-Mutarjim) dalam Tabsirah al-Hukkam: “Maka hendaklah menterjemahkannya seorang Muslim yang boleh dipercayai, kalau dua orang, adalah lebih baik”.

Akhirnya, akal yang terbuka sememangnya berpegang Peguam Syar’ie dan Penterjemah adalah insan yang mulia. Mana mungkin kita samakan Peguam Syar’ie dengan wakil-wakil urusan jualbeli macam di Tesco, Giant atau syarikat MLM lain. Wallahu Ta’ala a’lam. Semoga Allah SWT memberikan kita hidayah dan taufiq sebagai pemegang amanah ilmu di bumi Allah ini.

8 comments:

  1. Dr Asmadi keterlalu apabila dalam mengkritik atau mengkomen Dr Juanda dia perolokan dan membuat sindiran sambil menyebut bahawa dalam perkara hukum Islam bagi masyarakat Islam, kita tidak boleh hadkan semata-mata kpd ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. kalau takda dalam keduanya boleh pakai qias dan ijma'. Ini satu kesilapan. Segala hukum dalam Islam hendaklah berlandaskan hanya ketetapan Allah (a.w) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) sahaja, kerana itulah yg haq. Bagi mereka yg faqih dgn al-Quran dan as-Sunnah mereka akan dapati setiap permasalah manusia itu terdapat jawapan atau penyelesaiannya dalam al-Quran dan as-Sunnah, kerana Islam itu sudah sempurna dan Islam itu untuk semua zaman dan temadun sehinggalah kiamat dunia. maka dgn itu tak mungkin ilmu Allah (a.w) yg mengasaskan Islam dan syariatnya, termasuk hukum hakamnya itu, bleh jumud. Walhal Allah menyebut ilmu Allah itu luasa tiada siap yg dapat menyamainya dan tiada apa yg terkurang dalam ketetapan Allah dan RasulNya. dalam perkara Islam tidak ada dikotomi bahawa yg ini perkara akhirat dan yg ini perkara dunia, kerana kesemuanya tertakluk kpd ketetapan al-Quran dan as-Sunnah.Orang Islam tidak boleh mengambil orang kafir sebagai rakan taulan dalam perkara ugama. Ini ketetapan al-Quran. Orang Islam tidak boleh ambil kafir sebagai pemimpin dalam perkara Islam. Ketetapan sedemikian sudah cukup untuk menidakkan perlantikan hakm atau peguam syari di kalangan orang kafir (termasuk yg munafiq).
    Dr Asmadi wajib belajar as-Sunnah dari mereka yg faham bukan dari guru-guru dari Azhar, Madinah, Jordan atau Syria ataupun UIAM. Ilmmu dan panduan manusia muslim itu hanyalah al-Quran dan as-Sunnah. Ijtihad hanya boleh untuk perkara sampingan bukan perkara pokok. Begitu jugalah qias.

    ReplyDelete
  2. Us Asmadi Mohamed Naim29 December 2010 at 07:35

    Sdr Yayasan Ilmu,

    Kata-kata sdr:
    Dr Asmadi keterlalu apabila dalam mengkritik atau mengkomen Dr Juanda dia perolokan dan membuat sindiran sambil menyebut bahawa dalam perkara hukum Islam bagi masyarakat Islam, kita tidak boleh hadkan semata-mata kpd ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. kalau takda dalam keduanya boleh pakai qias dan ijma'. Ini satu kesilapan."

    Sdr Yayasan, sepakat ulama Ahlussunnah, sumber hukum ialah al-Quran, sunnah, ijmak dan qiyas. (termasuk ulama hadith). Sebahagian golongan termasuk muktazilah dan syiah memungkiri perkara ini.

    Kenapa kita guna ijmak & qias? sebab kita mencari-cari hukum berdasarkan yg paling tepat menurut kehendak Allah SWT. Kalu tak guna perkara tu, kita sebenarnya mempertuhankan aqal' bila tiada nas yg sebut: Jangan kamu lantik peguam syar'ie dr golongan kafir!.

    Wallahu taala a'lam.

    ReplyDelete
  3. saudara yayasan ilmu,

    berkenaan frasa jika fakih Aj-Quran dan Sunnah, maka terdapat semua jawapan. Betul secara paksi, namun didalam hidup kita sering melupakan kekuatan akal kita yang lemah. Jika kita dibandingkan dengan ulama terdahulu, bukan sahaja kekuatan akal, kekuatan amalan, kekuatan ruhaniyah, sangat jauh hebatnya. Jika kita menggunakan konsep matematik pun, aprior probability mereka kepada kebenaran adalah lebih tinggi. Maka jika kita membuat keputusan berdasarkan logik bayesian sekalipun, posterior probability mereka ini unutk memberi jawapan yang tepat adalah lebih tinggi drpd kita dizaman ini. sebab itu akal ulama zaman dahulu yang mambahaskan kias dan ijma' sangat diperlukan. Jikalau tidak, kita hanya menggunakan akal kita sendiri(yang lemah) dan menyalahgunakan hadis sahih mazhabku.

    ReplyDelete
  4. Mengenai komen Sdra Yayasan Ilmu yang hukum Islam hanya berpandukan kpd al Quran dan al Hadith sahaja, saya masih ingat ceramah oleh agamawan ahli sunnah wal jemaah Malaysia bahawa jika kita tempeleng bapa kita ianya bukanlah berdosa, kerana tiada disebutkan hukuman didalam al quran dan hadith. Begitu juga hisap dadah juga tidak terlarang.
    Kalau begitu hancurlah dunia ini jika kita tidak gunakan qias dan ijma' ulama.

    ReplyDelete
  5. Us Asmadi Mohamed Naim2 January 2011 at 08:48

    Sdr Admin,

    Benar kiasan sdr. Namun, dlm isu yg sdr bangkitkan i.e. tempeleng & hisap dadah, mereka pd waktu tu, akan menggunakan pula kias sbb biasanya metode mereka 'tidak konsisten'.

    Bila menyokong pandangan mereka, ijmak & kias mereka akan guna. Bila ijmak & qias menolak pandangan mereka, mereka tolak ijmak & kias. Saya pernah katakan metode mereka ini sbg 'metode yang bercelaru'. Sebenarnya, inilah taksub.

    Kelebihan metode Imam Shafie ialah, beliau meletakkan cara mengeluarkan hukum (paling tepat mengikut al-Quran & sunnah), kemudian mengeluarkan hukum berdasarkan metode tersebut tanpa'berat sebelah' dlm mengeluarkan hukum. Beliau tidak mengubah-ubah metode hukum berdasarkan 'hukum yg beliau cenderung'

    Wallahu ta'ala a'lam.

    ReplyDelete
  6. rasanya tuan blog berbicara tentang kehakiman manakala si mufti berbicara tentang guaman. hakim mmg perlu orang dari kalangan orang Islam manakala peguam tidak semestinya kerana ia hanya memberi khidmat guaman sahaja dan kita menggunakan perkhidmatannya sahaja sama macam nabi manggunakan khidmat orang kafir dalam hijrah sebagai penunjuk jalan. wallahua'lam.

    ReplyDelete
  7. Us Asmadi Mohamed Naim5 January 2011 at 16:04

    Sdr Butii,

    Bagus komen sdr tu. Cuma, cuba perhalusi kata-kata Imam Malik mengenai kelayakan Penterjemah dan juga kata Ibn Qudamah mengenai kelayakan Penulis kehakiman dlm tulisan saya tu. Walhal, bukan mereka berdua yg putuskan kes. Guaman lebih sesuai dikiaskan dgn kelayakan penterjemah dan Penulis (ini soal kehakiman juga). Tak sesuai Guaman dikiaskan dengan 'tourist guide' atau 'penunjuk jalan'!

    Apa tugas peguam Syar'ie? Baca hujah-hujah Syarak, mengingatkan hakim dgn hujah-hujah syarak (bukan setakat statut?). Memastikan tidak membela org yang confirm melakukan kesalahan.

    Wallahu ta'ala a'lam.

    ReplyDelete
  8. Assalamu'alaikum ustaz,

    ada seorang bertanya kepada saya mengenai isu kenajisan Babi. Kerana ada seorang sahabatnya telah terpengaruh dengan fatwa dari seorang protaz (Hafiz Firdaus) yang menyatakan najis babi itu bukan najis berat dan cukup dengan membasuh melalui air sahaja.

    ini artikelnya : http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Risalah4/Himpunan%20Risalah%204%20Topik%204.htm

    Diharap ustaz dapat memberikan penjelasan mengenainya. Mungkin dari pandangan 3 mazhab yang lain dan mazhab Syafie sendiri. Jazakallah.

    ReplyDelete