Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Sunday, 8 December 2013

ULAMA MEKAH IKTIRAF AMALAN MAZHAB SHAFIE- ISLAM TERZAHIR DI MALAYSIA

Assalamu alaikum warahmatullah
 
Saya membaca dengan penuh minat interview ini di Utusan Malaysia 8 Disember 2013. Paling ketara mereka berdua bersikap matang dan terbuka. Mengakui mereka mengikuti Mazhab Hanbali dan kita di Malaysia mengikuti Mazhab Syafie. Semuanya sunni (lihat bergaris dalam artikel di bawah). Ini bertentangan dengan pendekatan puak-puak tertentu menyesatkan beberapa fatwa Imam Syafie seperti qunut, zikir dan lain-lain. Bahkan mereka mempertahankan mazhab yang empat dan pengikut mereka adalah Sunni. Kalau beginilah pendekatannya, maka kita tidak berdepan dengan masalah perpecahan disebabkan perkara remeh temeh. Bahkan mereka melarang kita berpecah pada persoalan furuk (cabang).
 
Mereka mengikut Manhaj Salaf, Salaf yang sebenar adalah bebas daripada tajsim dan tashbih. Justeru, pembaca perlu berhati-hati kepada aliran tajsim dan tashbih (iaitu aliran yang mendakwa Allah serupa dengan manusia dengan mengatakan Allah beranggota, tetapi anggota tak sama dengan manusia!).
 
Selamat membaca artikel di bawah dan boleh baca teris dari Utusan Malaysia dengan klik pada tajuk.
 
Abu al-'Izz al-Sunni
 
 

Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang berakhir semalam cukup istimewa apabila turut dihadiri Imam Masjidil Haram atau dikenali dengan Imam Haramain iaitu Sheikh Dr. Khalid Ali Al-Ghamidi.

Sepanjang hampir seminggu berada di Malaysia, Sheikh Khalid serta rombongannya berpeluang melihat secara umum pelaksanaan syariat Islam di negara ini selain bertemu beberapa pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau turut diberi penghormatan menjadi imam dan khatib Jumaat di surau ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena perhimpunan itu.

Sebelum berangkat pulang ke Arab Saudi petang semalam, Sheikh Khalid bersama Profesor Akidah di Universiti Ummul Qura, Mekah, Lutfullah Khaujah meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu media tempatan untuk berkongsi pandangannya khususnya mengenai Islam di negara ini.

Berikut sedutan sidang akhbar beliau yang turut dihadiri wartawan Mingguan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD.

Wartawan Mingguan Malaysia, Saifulizam Mohamad (kiri) dalam satu pertemuan Imam Besar Masjidil Haram Mekah Sheikh Dr. Khalid Ali (dua dari kanan) sambil di perhatikan oleh Kaunselor Islam di Kedutaan Arab Saudi di Malaysia Dr. Abdul Rahman M. Albellaihi (dua dari kiri), Prof. Aqidah Universiti Umul Qura Mekah Prof. Lutfullah Khaujah (tiga dari kiri) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, semalam.

APA pandangan Sheikh terhadap usaha kerajaan memasukkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Perlembagaan Malaysia?

SHEIKH KHALID: Saya memuji tindakan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) serta semua kepimpinan kerajaan terhadap usaha itu. Ini merupakan tindakan sangat besar terutama sumbangan terhadap Islam. Ini adalah pertolongan daripada Allah SWT keatas mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini juga hidayah dan petunjuk daripada Allah kepada Presiden dan pucuk pimpinan parti secara khususnya dan negara secara umumnya. Dalam hadis yang panjang, Rasulullah SAW bersabda, "umat akan berpecah kepada 73 kelompok. Kesemuanya di dalam neraka kecuali satu sahaja. Rasulullah menyebut al-jamaah. Siapa jamaah ini? Rasulullah merujuk kepada 'apa yang aku dan para sahabatku berpijak dan berdiri di atasnya hari ini'. Ini juga merujuk kepada salafatul ummah iaitu generasi para sahabat diikuti tabiin dan tabiin-tabiin. Sudah tentu tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan ini akan memberi kesan yang sangat baik dalam konteks Malaysia dalam usaha menyelamatkan negara ini daripada ajaran-ajaran yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan moga-moga apa yang dilakukan ini dapat juga dilaksanakan di negara-negara lain.

LUFTULLAH: Dari segi istilah sunah itu bermaksud perbuatan, perkataan dan pengakuan Rasulullah SAW. Sesuatu yang datang daripada perbuatan, perkataan dan pengakuan Rasulullah maka itu adalah agama. Perkataan al-Jamaah pula merujuk kepada kumpulan yang mengikut sunah Rasulullah. Kumpulan yang mengikut sunah Rasulullah, pertama merujuk kepada kesemua sahabat nabi. Ringkasnya, al-Jamaah itu merujuk kepada perpaduan yang terbina atas asas sunah Rasulullah.

Adakah Perlembagaan Arab Saudi turut dimasukkan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah?

 SHEIKH KHALID: Di Arab Saudi perkara itu termaktub. Di dalamnya ditulis atas asas manhaj salafussaleh. Salaf itu merujuk kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Walau bagaimanapun, situasi di negara kami berbeza dengan Malaysia. Arab Saudi merupakan tempat turunnya wahyu. Gerakan permulaan penubuhan negara kami adalah berasaskan al-Quran dan sunah. Ini berbeza dengan Malaysia dan negara-negara lain. Di negara-negara lain kemungkinan akan berlaku kekeliruan. Oleh itu, perlu ada satu usaha untuk menghilangkan kekeliruan tersebut antaranya dengan memasukkan perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Perlembagaan.

Pandangan Sheikh terhadap cara Islam dilaksanakan di Malaysia?

SHEIKH KHALID: Secara umumnya Islam itu terzahir dalam konteks Malaysia. Saya hargai kepimpinan negara ini dalam usaha mempertingkatkan lagi pelaksanaan syariat Islam negara ini secara berperingkat-peringkat. Segala sesuatu itu hendaklah dibuat secara berperingkat. Ini harapan saya.

Adakah tidak cukup pelaksanaan Islam sekiranya tidak dilaksanakan hukum hudud?

SHEIKH KHALID: Dalam tempoh 13 tahun di Mekah terdapat banyak perkara yang Rasulullah tidak sampaikan. Rasulullah tawaf di sekeliling Kaabah dalam keadaan Kaabah itu di sekelilingnya ada 360 berhala. Namun adakah ini bererti Nabi ketika itu tidak melaksanakan Islam, jawapannya tidak. Rasulullah melaksanakan syariat Islam secara berperingkat. Maka, kesannya itu lebih besar sehingga melahirkan insan-insan sempurna seperti para sahabat.

LUFTULLAH: Kita perlu sedar pada hari ini manusia jauh daripada agama. Apabila manusia jauh daripada agama, cara untuk kita memperbetulkan keadaan adalah dengan kembali seperti mana zaman Rasulullah ketika manusia jauh daripada agama. Syariat pada masa itu turun kepada Rasulullah secara berperingkat. Sebagai contoh pengharaman arak. Pengharaman itu berlaku secara berperingkat-peringkat. Pertama dikatakan arak ini ada kesan baik dan kesan buruk. Kemudian dikatakan orang yang minum arak tidak boleh bersolat dan akhirnya arak itu diharamkan sepenuhnya. Amalan agama perlu kepada peringkat demi peringkat.

Jika datang secara keras, datang secara kasar dan paksaan, tidak mustahil manusia akan meninggalkan agama kerana berasa berat dengan apa yang berlaku ke atas dirinya. Daripada kita tinggalkan semua, lebih baik ambil sedikit demi sedikit. Laksanakan secara berperingkat. Mudah-mudahan atau lama-kelamaan Islam akan dapat diamalkan secara keseluruhan. Islam itu bukan agama yang datang dalam bentuk paksaan dan kekasaran tetapi Islam itu datang memberikan penjelasan, mengajar, mendidik masyarakat dan rakyat.

 Apakah nasihat Sheikh kepada pemimpin dan rakyat negara ini?

SHEIKH KHALID: Bertakwalah kepada Allah. Pemerintah hendaklah sentiasa melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada rakyat dan ummah. Sentiasalah berusaha untuk memperkasakan kedudukan Islam di dalam negara. Realisasikanlah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam konteks Malaysia. Pemimpin juga sudah tentu perlukan kepada kekuatan untuk menyempurnakan syariat Islam, insya-Allah secara keseluruhan pada satu hari nanti. Namun tidak dinafikan, mana mungkin kita boleh menemui manusia yang sempurna. Sudah tentu ada kelemahan dan kekurangan. Walau apa pun saya menghargai usaha-usaha kebaikan dilakukan oleh pemerintah pada hari ini.

Kepada rakyat, bertakwalah kepada Allah. Bantulah pemerintah dalam usaha-usaha kebaikan dan usaha-usaha memartabatkan Islam. Jangan sama sekali keluar daripada pemerintah iaitu menentang pemerintah dalam hal-hal kebajikan dan hal-hal pensyariatan Islam. Hendaklah bersama-sama dengan pemerintah dalam hal-hal tersebut. Realitinya kecenderungan rakyat Malaysia terhadap agama itu tinggi. Maka, perlu ada keseimbangan antara pemerintah dan rakyat. Jika pemerintah cenderung kepada agama sudah pasti rakyat juga akan cenderung kepada agama. Rakyat perlu menyokong pemerintah dalam pelaksanaan Islam dalam konteks Malaysia.

Semoga Allah memberkati rakyat Malaysia. Saya juga kagum dengan rakyat Malaysia dari segi sensitiviti dan kefahaman. Kerajaan Malaysia yang ada pada hari ini juga sensitif dengan isu-isu semasa yang berlaku dan sangat berusaha untuk memahami apa yang berlaku dalam konteks negara. Sedarlah, musuh-musuh Islam sentiasa mencari ruang untuk memecah-belahkan umat Islam secara khususnya. Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat tanpa mengira perbezaan atau kepentingan politik, apabila tiba isu untuk kita mendepani musuh-musuh Islam, perlu ada kesepakatan antara rakyat dan pemerintah. Kita perlu bersatu menghadapi mereka. Musuh-musuh Islam sentiasa mencari lompong serta ruang untuk memecah-belahkan golongan muslimin dan membawa penyelewengan kepada agama Islam.

Apa pandangan Sheikh mengenai fahaman Wahabi serta dakwaan solat Jumaat yang diimamkan oleh Sheikh semalam tidak sah?

SHEIKH KHALID: Sesungguhnya tiada istilah Wahabi dalam Islam. Ini satu pengistilahan yang disalahgunakan. Jika kita merujuk kembali di Arab Saudi, kami mengamalkan mazhab Hambali. Imam Ahmad Hambal merupakan Ahli Sunnah, Imam Shafie juga dalam kalangan Ahli Sunnah, begitu juga imam-imam yang lain.

Tiada satu perkara yang baharu pun sebaliknya kesemuanya berasaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Itu pegangan kerajaan Arab Saudi serta pegangan dan pendirian saya. Adapun Sheikh Muhammad Abdul Wahab yang disandarkan kepada perkataan Wahabi tidak mendatangkan perkara-perkara baharu pun. Sebaliknya apa yang didatangkan berasaskan kepada al-Quran dan sunah. Adapun Wahabi itu merupakan hal yang tidak benar. Solat Jumaat semalam, saya Ahli Sunnah, Perdana Menteri Ahli Sunnah dan kita semua Ahli Sunnah.

LUFULLAH: Umat Islam adalah umat yang satu. Agama kita satu, Nabi (Muhammad) kita satu. Kita semua mengikut jejak semua sahabat Rasulullah. Adapun wujudnya istilah-istilah seperti Wahabi merupakan perkataan baharu yang tidak pernah ada di dalam kamus dan diari. Sebenarnya apa yang berlaku ini merupakan kegembiraan bagi syaitan yang mana syaitan sangat suka kepada perpecahan golongan muslimin. Syaitan inginkan perpecahan. Sesungguhnya tidak dinafikan berlaku kekhilafan dalam masalah-masalah furuk tetapi masih banyak perkara yang boleh kita sepakat khususnya dalam berhadapan golongan yang jelas musuh-musuh Islam. Kita sepatutnya fokus kepada perkara-perkara yang kita sepakat. Bagi perkara-perkara yang khilaf kita berlapang dada dan saling menghormati antara satu sama lain.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20131208/re_10/Islam-terzahir-di-Malaysia#ixzz2msuzZDii  © Utusan Melayu (M) Bhd

 

No comments:

Post a Comment