Para pembaca yang budiman,
Polimik kalimah Allah mungkin memasuki tahap 'menjuarai sesuatu isu dan menempelak yang lain'. Ini yang berlaku apabila Dato Nooh Gadut memberi peringatan (http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131016/dn_06/Pertikai-keputusan-boleh-jadi--murtad), lantas disambut oleh bekas mufti, Dato Dr Asri Zainul Abidin (MAZA) berkaitan isu ini (dlm http://my.news.yahoo.com/scholars-counter-infidel-argument-over-allah-084949271.html).
Jadi benarkah dakwaan Dato Nooh bahawa isu ini boleh membawa murtad? Pada saya, kenyataan beliau boleh dilihat dalam dua keadaan:
1. Sekiranya Dato Nooh Gadut mengatakan ialah seseorang yang menyokong penggunaan oleh Kristian terhadap kalimah Allah boleh jatuh murtad, saya tidak bersetuju dengan kenyataan ini kerana perbuatannya belum boleh menjatuhkannya murtad. Dalam konteks Malaysia, mungkin jatuh dalam tahap berdosa sahaja. Kenapa berdosa? Sebab kita membuka ruang mereka menggunakan secara tidak tepat dalam Bible mereka, walhal kita sudah menutup ruang ini sebelumnya.
2. Sekiranya Dato Nooh bermaksud bahawa seseorang yang menyokong nama Allah SWT digunakan untuk konsep triniti iaitu untuk secara syirik dalam konteks triniti, maka boleh jatuh murtad, maka saya menyokong dakwaan ini. Kita tidak menunding jari, sebaliknya kita mengatakan perbuatan anda boleh menyebabkan anda jatuh murtad sebab bersetuju supaya kalimah Allah SWT disyirikkan dengan perkara lain.
Lantas bagaimana pula dakwaan bekas mufti, MAZA yang memberikan beberapa hujah iaitu:
1. Penggunaan Allah SWT telah digunakan sejak ribuan tahun. Jawapannya mudah sahaja iaitu kenyataan ini hanya khusus kepada Kristian Arab bukan Kristian Rome dan lain-lain. Salah fakta MAZA bila menjadikan penggunaan Allah umum kepada semua Kristian.
Cuba semak bahasa asal kalimah tuhan dalam Bible yang bukan berbahasa Arab. Hak untuk menggunakan kalimah Allah kepada tuhan dibenarkan oleh para ulama kepada orang-orang Arab. Bahkan sekarang, orang-orang Kristian Arab pula berpandangan tidak tepat mereka menggunakan perkataan Allah SWT terhadap tuhan mereka. Kamus al-Maurid yang ditulis oleh seorang Kristian, jelas merujuk perkataan Allah kepada tuhan orang-orang Islam.
2. Maza berkata: Kalau begitu, keseluruhan ulama menjadi murtad sebab membenarkan penggunaan Allah kepada orang-orang Kristian? Jawapannya juga mudah, mereka tidak murtad sekiranya berpandangan seperti andaian saya yang pertama dan sememangnya mereka menyatakan pandangan umum sebegitu. Saya kira Dato Nooh yang dimaksudkan 'murtad; ialah sesiapa yang bersetuju supaya disyirikkan kalimah Allah.
Rupanya, para Mufti yang tidak bersetuju penggunaan kalimah Allah kepada Bible bahasa Melayu telah melaksanakan tanggungjawab ijtihad yang cukup hebat. Menyanggahi taklid kepada ulama Timur Tengah yang telah mengeluarkan hukum berdasarkan konteks dan adat negara dan masyarakat mereka. Apa boleh buat sekiranya MAZA masih mahu bertaklid kepada ulama-ulama Timur Tengah berdasarkan konteks masyarakat Timur Tengah.
Perlu diingat, ketegangan hubungan di Timur tengah antara Muslim dan Kristian telah membawa kepada serangan fizikal dan serangan militan. Kita tidak mahu hubungan sebegini dengan kawan-kawan kita yang beragama Kristian kerana kita mahukan tolenrasi dan menjauhi dendam kesumat. Jauhkan rasa benci masayrakat Islam terhadap masyarakat Kristian. Bahkan ajaran agama langit adalah lebih dekat dengan ajaran Islam.
Tinggal lagi Wan Ji pula memberi beberapa 'tempelakan' terhadap Dato Nooh iaitu:
1. Arahan supaya menerima sembelihan ahli kitab yang menggunakan nama 'Allah'. Ini dalil boleh menggunakan kalimah Allah?
Jawabannya cukup mudah: Larangan terhadap Gereja menggunakan kalimah Allah ialah hanya pada penterjemahan Bible dan penerbitan mereka sebab mereka rangkumkan penggunaan kalimah Allah secara syirik, kepada apa sahaja terjemahan kepada yang bersifat tuhan. Larangan ini tidak termasuk kepada sebarang ucapan untuk memperkatakan tuhan yang Esa. Adalah suatu yang tidak betul apabila Wan Ji menggunakan hujah ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan keesaan Allah untuk menyokong gereja?
Sebenarnya, arahan menerima sembelihan oleh ahli Kitab yang menyebut nama Allah SWT itu adalah dalil yang menunjukkan kalimah Allah SWT hanya untuk Yang Esa. Sekiranya mereka menyembelih menggunakan nama 'Tuhan Anak' atau 'tuhan bapa' atau ruh al-quddus, maka haram memakan sembelihan mereka. Jadi, Allah SWT hendak memberitahu kita bahawa sekiranya mereka menyebut Allah SWT, barulah sembelihan mereka boleh dimakan oleh umat Islam.
Ini juga dalil bahawa Kristian Arab menggunakan beberapa nama nama lain seperti ruh al-quddus dan tuhan Isa (ilah Isa), tuhan bapa. Haram memakan sembelihan mereka jika mereka menggunakan nama-nama tersebut ketika menyembelih binatang sembelihan walaupun ada khilaf ulama yang mengarahkan umat Islam membacakan 'basmalah' apabila menerima sembelihan ahli Kitab.
Perlu diingat, ulama-ulama muktabar masih khilaf membenarkan memakan sembelihan ahli kitab di zaman mutaakhir disebabkan berbeza ajaran ahli Kitab terdahulu berbanding dengan ahli kitab sekarang khususnya ajaran Kristian.
2. Wan Ji pula berkata: Bagaimana pula kalau Mahkamah England melarang penggunaan Isa, adakah umat Islam dilarang menggunakannya.
Jawapannya cukup mudah: Dalam Bible menggunakan perkataan 'Jesus', bukan 'Isa'. Kalau dilarang menggunakan perkataan 'Jesus', kita tidak ada masalah sangat sebab kita mengggunakan nama-nama Arab iaitu 'Isa 'Alahissalam atau Masih'. Sehingga sekarang, kita tak menerima penterjemahan nama-nama Nabi kepada bahasa lain seperti Ibrahim kepada Abraham. Muslim sedunia lebih selesa mengekalkan nama kearaban daripada semuanya diterjemahkan kepada bahasa lain.
Nasihat untuk MAZA dan Wan Ji
Saudara berdua perlu melihat isu ini secara holistik iaitu:
1. Larangan adalah kepada penterjemahan kalimah Allah secara salah dalam penerbitan gereja berbahasa Melayu, seperti Allah Jesus dan lain-lain.
Dalam konteks Negara Malaysia, Allah bukan kalimah yang lazim untuk menunjukkan istilah 'tuhan' kepada bukan Melayu. Hanya Melayu Islam yang menggunakannya untuk menunjukkan tuhan yang disembah. Jadi, apa tujuan mahu digunakan perkataan 'Allah' dalam Bible bahasa Melayu?
2. Kenapa mereka tidak beria-ria menukarkan perkataan Lord dan God kepada Allah dalam Bible bahasa Inggeris? Saya mengharapkan sedikit kebijaksaan saudara berdua memikirkan persoalan ini. Kalau benarpun ini adalah peluang untuk berdakwah kepada masyarakat Kristian, minta mereka mulakan dahulu untuk perjuangkan penggunaannya dalam bahasa Inggeris supaya berjaya. Tetapi, mereka tak guna pun perkataan 'Allah' untuk Bible edisi bahasa Inggeris. Lantas, apa tujuan menggunakannya untuk bahasa Melayu? Saya hanya mahukan sedikit kebijaksanaan saudara berdua dan para penyokong saudara berdua. Kalau Kristian mahu menggunakan dalam semua penerbitan mereka dalam pelbagai bahasa, saya orang pertama yang akan menyokong sebab ini peluang kita berdakwah.
3. Saudara perlu memahami suasana semasa, maksud akhir penggunaan kalimah ini dalam Bible bahasa Melayu. Orang-orang biasa yang tidak mempunyai pendidikan mendalam pun boleh memahami tujuan penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu. Kita tidak perlu belajar sehingga Phd pun untuk memahami hasrat tersurat ini. Cukuplah, sad al-zari'ah menjadi hujah penting ada isu ini.
Wallahu a'lam. Saya mengharapkan keikhlasan semua pihak menangani isu ini.
Allahu al-musta'an.
Abu al-'Izz
WEBLOG INI MENGEMUKAKAN ISU-ISU YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT ISLAM. SEMOGA CETUSAN IDEA PENULIS DAN SISIPAN DARI ARTIKEL TERPILIH MEMBERI MANFAAT UNTUK PEMBACA...SELAMAT MEMBACA.... Susunan Akhukum fillah: Dr. Asmadi Mohamed Naim (إعداد د. أسمادي محمد نعيم)
Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'
أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Allah is all about Monotheism or ONE GOD! Jews and Muslims pray to Allah. Thats why they use the word Allah when praying in their synagogues or mosques.
ReplyDeleteAnd of course for Christian, the word Allah can be used by them if they reject Son of God and Holy Ghost. Therefore, stop using Allah to refer to God-Father.
History tells that Paul's version of Christianity distorted the One God YHWH/Allah. Kyrios (κύριος) was used to identify Jesus and the word Kyrios replaced word YHWH (One God) pretty often in Greek scriptures. Kyrios is essential in explaining Trinity. Christians should cease saying YHWH/Allah as God-Father for such believe was not taught by any Israeli prophets in the past.
"I am the first, and I am the last, and beside Me there is no God" (Isaiah 44:6).
Assalamualaikum ustaz, mohon respon kepada penulisan missionari kristian
ReplyDeletehttps://www.facebook.com/notes/yohanan-yeshaya/surat-terbuka-kepada-para-ulama-islam-di-malaysia-berkenaan-isu-kalimah-allah/10151864732188760
Wa'alaikumussalam,
ReplyDeleteSaya baca secara laju tadi. Jadi sahlah, Bible bahasa Melayu ditujukan untuk orang Melayu, jadi lebih sesuai ditulis kalimah 'Allah' dlm bible itu. sebab orang Melayu memahami tuhan itu ialah Allah... Jadi atas justifikasi itu, lebih sesuai guna perkataan Allah untu terjemahan kpd bahasa Melayu. Lepas ini juga, apa-apa kitab agama lain juga, kena menggunakan nama Allah apabila menunjukkan tuhan mereka, sebab tuhan dalam bahasa Melayu ialah Allah.
Perlu diingat, dalam Bahasa Melayu masih ada beberapa perkataan untuk GOD iaitu tuhan, Allah, Dewa dan lain-lain.
Wallahu ta'ala a'lam.
Salam dr Asmadi ...pada bahagian pertama dr ada buat andaian ..iaitu melihat pandangan Dato Noh Gadut dlm 2 perspektif ...tetapi kenapa berhenti setakat 2 andaian sahaja.....saya cadangkan andaian selanjutntnya juga boleh dibuat ...iaitu perspektif ke-3 ...iaitu tak kira dlm apa keadaan SESIAPA YG SOKONG ATAU BERSETUJU DGN PENGGUNAAN NAMA ALLAH OLEH KRINTIAN ADALAH MURTAD ......apakah hubungan dr dgn Dato Noh Gadut sampai dr boleh tahu dan boleh buat andaian spt mana yg dr nyatakan dlm 2 perspektif shj ...dan kenapa tidak dlm perspektif ke 3 ...atau sememangnya dr ada bertanyakan dan mendapat krarifikasi lanjut dari Dato Noh Gadut bahawa apa yg dia maksudkan spt 2 keadaan yg dr nyatakan shj dan bukannya pespektif ke 3
ReplyDeleteSalam, saya pada mulanya tidak bersetuju dengan pandangan Dato Nooh. Lantas beberapa sahabat-sahabat yang dekat dengannya bertanya penjelasannya. Ya, yang saya faham, beliau maksudkan persppektif yang ke 2. Bukan yang pertama atau ke 3...
ReplyDeletePerkara yang paling penting, jangan terlalu gopoh dalam mengkritik. Cita-cita kita menjaga kesucian Islam, bukan jatuh menjatuh. Wallahu a'lam.
Salam Dr Asmadi. Tetapi saya rasa, saya tetap tidak bersetuju dengan kenyataan umum dan tidak terperinci Dato' Nooh tersebut yakni dengan membenarkan kalimah Allah kepada Kristian, akan murtad atau kafir. kerna ia mengundang kontroversi, dan masyarakat yang membantah tidak boleh disalahkan dalam hal ini. Wallahualam
DeletePemikir :
DeleteSalam
Antara isi penting dlm petikan suratkhabar tu :
1. Nooh menambah, mempertikaikan keputusan itu juga seolah-olah mempersoalkan apa yang termaktub dalam kitab suci al-Quran iaitu Allah hanya untuk orang Islam.
2. ''Kalau takdirnya yang mempertikaikan itu umat Islam, mereka boleh menjadi kafir dan murtad sekiranya (kenyataan mempertikaikan) itu dilakukan dengan sengaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
3. Mengulas lanjut, Nooh berkata, beliau telah menjangka keputusan tersebut akan menyebelahi umat Islam kerana faktor agama Islam meletakkan Allah SWT sebagai tuhan yang satu.
Pernyataannya dah ada yang khusus, kalau yang rajin baca.
Salam arif,
ReplyDeleteYa, sy pun tidak bersetuju dengan kenyataan beliau. Cuma, sedikit husnul zan (sangkaan baik) ulama2 lama yg sudah banyak berjasa seperti Dato Nooh, memebuatkan sy menunggu-nunggu penjelasan beliau. Biasalah, akhbar mensensasikan sesuatu kenyataan seorang.
Kalu kita gopoh, kita akan jadi mainan akhbar dan mainan org lain.
Wallahu ta'ala a'lam.
kalau tak silap kalimah Allah tidak dibenarkan dlm penerbitan majalah Herald sahaja..tetapi dlm bible bahasa melayu memang menggunakan kalimah Allah dan dibenarkan ...
ReplyDeleteni sejak pemimpin UMNO dah kata judgement ni hanya terhad kepada suratkhabar The Herald sahaja, penulis tak tergerak ke nak buat kenyataan bantah dasar 'pengharaman terhad' ni?
ReplyDeleteDah tak takut dah ke risiko murtad akibat penggunaan kalimah Allah oleh gereja2 dan rumah2 ibadah agama2 lain kat malaysia?
Sedarlah kawan2 pejuang2 dakwah islam: ini semata soal politik sayap kanan di Malaysia. Ia mula timbul pada 1986 pada masa yg sama dgn masalah ekonomi di malaysia. Pastu senyap (macam sekarang ni, lepas dah menang kes kononnya !) walaupun dah ada legal standing mengharamkan penggunaan beberapa perkataan oleh nonmuslim. Kemudian pada 1997 pula muncul semula kes ni! Kebetulan bersamaan kegawatan ekonomi sekali lagi! Pastu senyap lagi.... hingga 2009. Juga kebetulan setahun selepas masalah ekonomi. Sedarlah kawan2 : mmg dah lama terbukti dlm kajian sains politik, post-colonialism, demokrasi, dan international-relations bhw pendekatan menjadikan sesetengah org dlm masyarakt menjadi 'orang lain' ('the other'. ''other'ing of society'), adalah strategy asas dlm politik sayap kanan! Ia juga dipanggil konsep 'divide and rule'. Pecah dan perintah. Sila baca kawan2 , kalau belum peka soal ni. Ini tak islamik kawan2. Astaghfirullah. Jgn lah atas alasan yg kononnya menegakkan Islam kita melakukan fasad di dunia ni.
Bila kita menang kes Herald Tribune, besar implikasinya. Iaitu menteri masih ada kuasa mencegah salah guna kalimah Allah.
ReplyDeletePada saat ini, status quo kalimah Allah masih kekal.. Boleh di halang pengedaran bible dlm Bahas Melayu oleh Jab2 agama negeri.
Kalu kita kalah, hilang status quo tadi. Takde hak dah utk halang.
Ya, masih banyak kerja kita..
Dari kita duk sibuk hal ni kan lebih baik kita perkasakan diri dengan Al Quran...kita nak bagi anak anak kita baca bible ker?
ReplyDeleteDorang guna nama Allah apakah menjadikan ianya sangat molek dimata umat islam?... Biasakan anak2 kita dengan Al quran ianya tidak bengok bahkan lurus... kalau kita biasa baca Al quran kita akan pasti tiada ayat yang meragukan
sungguh kita umat islam difobiakan dengan benda yang bukan bukan... tidak yakin kah kita dengan janji janji Allah?...
Kita yang tak cukup berdakwah tapi mengatakan mereka sudah semakin kuat...kita tak tolong fakir miskin kita seibuk katakan dorang membantu dari segi kewangan pada umat islam...
Dakyah dakyah juga... Kita ( Kerajaan, Pemimpin, Ustaz, Mufti, Maulana, Penulis blog islamik, Peniaga Islam, Jutawan islam, Doktor Islam, Guru, Ibu bapa, Pusat zakat, Baitumal, Jabatan agama Islam, AJK Masjid ............... ) perlu memandang pada diri kita sendiri.... mana kejayaan yang lebih disisi Allah menang kes kalimah Allah atau mengislamkan non muslim?
Kalau solat subuh hanya satu baris di masjid... apakah nilai kita umat islam disisi Allah?
“Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku.” (QS. Al Kaafirun: 1-6)
berlapang dada lah..dah menang kes...tutup buku bekerjalah kita dijalan Allah..
Bagi clear sikit:
ReplyDelete1. Allah ini Tuhan muslim atau "rabb-ul-'alamin"@ Tuhan sekalian alam?
2. Nabi Nuh bukan Arab, Yahudi atau Kristian malah lebih awal hidup sebelum Nabi Ibrahim. Tuhan nama apa masa tu? (rujuk al-Qur'an). Umatnya syirikkan Allah atau tuhan mana?
2. Sama ada guna nama Allah atau selainnya, sememangnya Kristian mensyirikkan Allah (atau Tuhan). Yang berdosa itu mensyirikkan Tuhan atau mensyirikkan nama Tuhan (Allah)? Bagaimana kalau mereka guna "al-Ghafur"? "al-Razaq"? "al-Rahman"? Jadi apa isunya? Allah Tuhan muslim atau Tuhan sekalian alam? Kita benar mereka syirikkan Allah (guna nama Allah bagi trinity) tak bermakna kita setuju atau suka perbuatan itu.
3. Isunya berkemungkinan wujud niat tidak baik pihak gereja untuk menarik minat muslim menukar agama dengan penggunaan nama Allah dalam penerbitan mereka. Ini masalah pentadbiran/fiqh/siasah, bukan akidah. Tak wujud masalah murtad.
Sdr jawab,
ReplyDeleteSaya cuba untuk bagi 'clear':
1. Allah ini Tuhan muslim atau "rabb-ul-'alamin"@ Tuhan sekalian alam?
Jwpn saya: Allah tu tuhan semester alam. Jd semua boleh menggunakan nama Allah sebagai tuhan yang Esa. Bukannya menukar Tuhan yg Esa ditukar menjadi tuhan yang 3 iaitu Allah Bapak, Allah Anak dan lain-lain sandaran Allah yang syirik. Quran tak kata, buat masa ini guna dululah nama Allah sebagai Allah bapak, Allah anak! Maha suci Allah daripada yang demikian.
2. Nabi Nuh bukan Arab, Yahudi atau Kristian malah lebih awal hidup sebelum Nabi Ibrahim. Tuhan nama apa masa tu? (rujuk al-Qur'an). Umatnya syirikkan Allah atau tuhan mana?
Jwpn saya: Quran nak tunjukkan pada mereka, sebenarnya yang patut disembah ialah Allah Yang Esa, tetapi mereka menyembah tuhan yang mereka syirikkan. Jd, tuhan yang Esa inilah yang nama Allah SWT. Malangnya, mereka nak gunakan juga kalimah Allah, tapi Allah yang sifatnya Syirik, bukan Allah Yang Esa! Kalu mereka mahu gunakan Allah untuk Allah yang Esa, kita boleh benarkan.
2. Sama ada guna nama Allah atau selainnya, sememangnya Kristian mensyirikkan Allah (atau Tuhan). Yang berdosa itu mensyirikkan Tuhan atau mensyirikkan nama Tuhan (Allah)? Bagaimana kalau mereka guna "al-Ghafur"? "al-Razaq"? "al-Rahman"? Jadi apa isunya? Allah Tuhan muslim atau Tuhan sekalian alam? Kita benar mereka syirikkan Allah (guna nama Allah bagi trinity) tak bermakna kita setuju atau suka perbuatan itu.
Jawapan saya: Ada isu besar di situ. Bukan tiada isu. Dalam konteks Malaysia, kita dah berjaya mengkhususkan kalimah Allah untuk Allah Yang Esa. Sebab dah begitu bahasa Melayu. Untuk tuhan-tuhan yang syirik, biasa digunakan kalimah tuhan, dewa dan sebagainya. Cuma berdasarkan kefahaman saudara, bolehlah bagi perluang untuk mereka membuat tafsiran syirik untuk kalimah Allah! Saudara redha dengan perbuatan mereka itu. Tapi saya tidak redha.
3. Isunya berkemungkinan wujud niat tidak baik pihak gereja untuk menarik minat muslim menukar agama dengan penggunaan nama Allah dalam penerbitan mereka. Ini masalah pentadbiran/fiqh/siasah, bukan akidah. Tak wujud masalah murtad.
Jawapan saya: Soalan murtad hanya boleh berlaku sekiranya seseorang berkata: Sya bersetuju wahai paderi kalau anda menggunakan kalimah Allah untuk menunjukkan konsep Triniti anda.
Wallahu a'lam.
Kalau boleh, semua letakkan nama, nama samara pun takpe, supaya senang kita berbincang dengan refer pada nama tu...
ReplyDelete"Kalau dilarang menggunakan perkataan 'Jesus', kita tidak ada masalah sangat sebab kita mengggunakan nama-nama Arab iaitu 'Isa 'Alahissalam atau Masih'. Sehingga sekarang, kita tak menerima penterjemahan nama-nama Nabi kepada bahasa lain seperti Ibrahim kepada Abraham."
ReplyDeleteKalau begitu, bagaimana pula dengan orang Islam yang bercakap dalam bahasa Inggeris? Ketika saya berada di Australia, kawan-kawan saya yang beragama Islam dan datang dari Palestin yang kini tinggal di Victoria memanggil Isa sebagai Jesus (malah saya mendengarnya berselawat ke atas baginda) begitu juga Abraham bagi Ibrahim dan nama-nama Nabi yang lain.
Kenapa kita selalu hendak menunding jari kepada orang Kristian yang sering di dogmakan mereka ingin menarik orang Islam menyertai agama mereka? Kenapa tidak kita sendiri kuatkan struktur iman (pegangan) orang itu sendiri? Orang Islamlah juara rasuah (pentadbir awam), malas solat, minum arak, tahi judi, tahi nombor ekor, kaki disko dll. Orang Islam tak payah sibuk nak salahkan orang Kristian. Kalau iman kita kukuh, kita faham betul-betul agama kita, kita pasti tak murtad.
ReplyDeleteMaaf cakaplah, orang Islam memang suka menunding jari. Kelemahan sendiri tak mahu diperbaiki. Kemudian sikit-sikit salah Yahudi, sikit-sikit salah Kristian. Apa yang orang Islam buat untuk perbaiki iman? Ceramah saja. Dalam ceramah balik-balik isu patuh pada suami/hormat isteri kemudian isu dalam kain. Itu sajalah pemikiran orang Islam. Pemikiran ciput. Bila di landa perang pemikiran salahkan Yahudi, Kristian.
Sdr
ReplyDeleteSaYa tak tahu saudara marah kepada siapa bila mengaitkan dengan bentuk ceramah yang bersifat 'dalam kain'. Demikian juga pd isu takut pada yahudi dan Nasrani.
Ini bukan soal takut atau tidak. Ini soal tanggungjawab. Bolehkan kalau mana-mana orang nak buat rumah penzinaan di depan rumah saudara? Atau disko di depan rumah saudara? Mungkin saudara akan benarkan kerana saudara merasakan anak-anak remaja saudara akan tetap selamat daripada wanita-wanita itu, dan saudara tidak kisah utk menghalangnya. Yang penting saudara mengadfakan program meningkatkan iman anak-anak saudara.
Di sini kita berbeza. Pertama, sekiranya saya ada kuasa, saya akan menghalang rumah penzinaan itu walaupun anak-anak saya semuanya baik-baik sbb ini tanggungjawab orang yang mempunyai kuasa. Ini kansep nahi munkar. Kedua, jika anak-anak saya baik pun, saya lebih sayngkan anak-anak Musli anak jiran-jiran saya dan kesannya nanti. Inilah beza antara kita berdua, saudara tak kisah dan tak mahu ambil peduli itu semua. Saudara hanya mahu salahkan umat Islam di atas kelemahan mereka.
Saya akui umat Islam ada kelemahan, tetapi sebagai ummat yg ada kuasa, kita masih boleh buat sesuatu untuk meminumkan kesan ke atas umat kita.
Wallahu ta'ala a'lam.