Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Sunday, 9 May 2010

JANGAN SAKITI RASULULLAH

Alhamdulillah, jawapan yang lebih menyeluruh oleh Sheikh Fuad. Terguris hati bila ada usaha yang mahu 'menjuarai mengkufurkan ibubapa Nabi SAW atas alasan dan atas nama 'pejuang sunnah'. Pejuang sunnah sebenarnya amat rapat 'periwayatan' dan hubungan kerohaniannya dengan Rasulullah SAW. Namun apakan daya, ramai yang mendakwa dirinya sebagai 'perawi-perawi hadis dan pejuangnya' namun gersang di sudut kerohaniannya dengan Rasulullah SAW. Selamat membaca artikel di bawah, atau klik tajuk di atas untuk membaca terus dari Utusan Malaysia, 7 Mei 2010.

Jangan Sakiti Nabi


Oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat, Yayasan Sofa Negeri Sembilan)

Sesiapapun akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut dihadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada diantara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya. Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab dihadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan ini dengan sabdanya, “Jangan engkau mencerca mereka yang mati lalu engkau menyakiti mereka yang hidup.” sabda Nabi SAW (riwayat al-Tirmizi).

Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam Neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apapun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhlukNya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam Neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulang-ngulangkan kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan RasulNya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan timbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menempati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menanggapinya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan diperbetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam Neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satu daripadanya, Nabi SAW bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah yang dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu`ara’ yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud”. Ibnu `Abbas RA, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi dikalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan Rasul-rasulNya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An`aam:131, al-Syu`araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada dizaman yang tiada rasul padanya yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW. Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An`aam : 74). Ada juga pandangan ulama’ bahawa kedua-dua hadis riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihatkan betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz ada dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn `Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, “Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab- kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta`dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-`Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum`ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. InshaAllah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasihNya dalam rantaian keturunan hamba-hambaNya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah dan pertanggungjawaban. Bagi masyarakat am pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di tv dan popular di internet tidaklah semestinya terjamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

HURAIAN IBUBAPA NABI DALAM SYURGA

Alhamdulillah Us Farid Ravi kelihatan membetulkan huraian pertamanya (minggu sebelumnya) mengenai status ibubapa Rasulullah SAW dengan lebih berhati-hati. Saya berminat dengan cara huraiannya dalam ruangan soal-jawab ini sebelum ini, tapi saya melihat sedikit kegopohan pada huraiannya yang lepas mengenai status ibubapa Nabi SAW. Tahniah kepada sahabat-sahabat yang menghantar hujah-hujah kepada Us Farid untuk menilai semula jawapannya. Walaupun artikel ini sedikit sebanyak mengubah jawapan yang lepas, namun kesan artikel lepas mungkin sukar dikembalikan. Selamat membaca jawapan di bawah, atau klik terus untuk membaca dari Urusan Malaysia, 6 Mei 2010.

Huraian ibu bapa nabi dalam syurga

SOALAN

Saya membaca dengan teliti jawapan tentang status ibu bapa Nabi dalam jawapan minggu lalu. Cuma, ada pendapat yang mengatakan ibu bapa Nabi berada dalam syurga. Boleh ustaz huraikan?



JAWAPAN:


PENDAPAT ulama yang mengatakan ibu bapa nabi SAW di dalam syurga. Kebanyakan ulama tidak suka berbincang topik ini termasuklah saya atas dua alasan. Yang pertama apa kepentingan tajuk ini, dan keduanya apa manfaat yang diperolehi sesudah kita bincangkan suatu yang menjadi hak Allah SWT.


Namun, minggu lepas soalan ini dijawab. Sebenarnya, soalan sebegini dikhuatiri akan menyinggung Rasulullah SAW.
Oleh itu harus dielak membincangkan perkara yang menjadi hak mutlak Allah SWT. Kita wajib beriman bahawa, syurga itu adalah hak Allah neraka juga adalah hak Allah SWT.


Keputusan muktamad siapa ke syurga dan neraka juga menjadi hak Allah SWT. Allah akan memasukkan ke dalam syurga-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya dan akan dihantar ke neraka sesiapa yang dikehendaki-Nya.


Kita yakin dengan sepenuh hati bahawa sifat Rahmat mengatasi sifat kemurkaan-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: …Ia telah mewajibkan atas diri-Nya memberi rahmat… (al-An'am: 12)


Di dalam mentafsirkan ayat ini Sayyid Qutub telah memberi huraian yang sangat menarik. Jelas beliau: "Allah SWT telah menetapkan rahmat dengan kehendak dan kemahuan-Nya, ini merupakan keadaan ketetapan-Nya ke atas ciptaan-Nya, dan itu jugalah kaedah yang dilimpahkan ke atas ciptaan-Nya di dunia mahupun di akhirat…" (Sayyid Qutub, Fii Zilal al-Quran, jld: 2, hlm: 1048, lihat Muhammad al-Tahir ibn 'Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, jld: 3, hlm: 151)


Al-Tabrisiy berpendapat: "Allah SWT telah mewajibkan atas diri-Nya memberi nikmat rahmat kepada ciptaan-Nya". (al-Fadl Hasan al-Fadl al-Tabrisiy, jld: 4, hlm:11)


Allah berfirman yang bermaksud: …Tuhan kamu telah mewajibkan atas diri-Nya sendiri akan memberi rahmat…(al-An'am: 54).


Sebahagian ulama berpendapat ibu bapa Nabi SAW berada dalam syurga dengan beberapa alasan yang berikut:

1- Sesungguhnya keturunan bapa Nabi SAW, Abdullah bin Abdul Mutalib dan bonda Nabi SAW, Aminah daripada Nabi Adam a.s hingga Abdullah bin Abdul Mutalib tidak ada yang kafir, ini kerana keturunan asal Nabi SAW adalah suci dan baik.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya golongan musyrikin adalah najis…(al-Taubah: 28). Najis dalam ayat ini bermaksud kotornya akidah mereka kerana menyembah selain Allah. (Fakhruddin al-Razi, tafsir al-Kabir, jld: 16, hlm: 21, lihat Muhammad al-Tahir ibn 'Asyur, al-Tahrir wa al-Tanwir, jld: 3, hlm: 151)


Sehingga kini tiada nas secara jelas sama ada daripada ayat al-Quran mahupun hadis atau mana-mana buku tarikh (sejarah) yang membuktikan bahawa ibu bapa Nabi SAW terlibat dalam penyembahan berhala.


Ini bermaksud mereka suci daripada melakukan amalan jahiliah. Dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim baginda bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memilih bani kinanah daripada keturunan Nabi Ismail lalu memilih kaum Quraisy daripada kalangan bani kinanah, daripada Quraisy memilih bani Hashim lalu Allah memilihku daripada keturunan bani Hashim. (riwayat Muslim, Sahih Muslim, no: 5897, Kitab: al-Fadail, Bab: Fadl Nasab al-Nabiy, jld: 15, hlm: 38)


Asal usul keturunan Rasulullah SAW bersusur galur dan ada rantaian yang sah daripada Nabi Ismail a.s daripada Nabi Ibrahim a.s.

Doa Nabi Ibrahim a.s melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail): orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 128).


2- Dalam hadis yang dikeluarkan oleh Abu Nuaim, al-Thabariy dan Ibn 'Asakir daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda yang bermaksud: "Aku telah keluar daripada hasil nikah dan bukan daripada keturunan yang rosak, sedang aku adalah daripada keturunan Adam sehingga telah dilahirkan akan aku oleh Ibu dan Ayahku sedang aku tidak pernah ditimpa sebarang perbuatan jahat orang jahiliah". (al-Sayuti, al-Dur al-Manthur, jld:3, hlm: 294)


Dalam riwayat yang lain daripada Abu Nuaim al-Asbahaniy, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ibu bapaku tidak pernah (beramal) dengan amalan jahiliah (menyembah berhala) sedang Allah SWT mengeluarkan daku daripada asal-usul yang baik ke rahim yang yang suci bersih (solid) sedang tidak bercambah kepada dua melainkan aku adalah yang terbaik daripada keduanya. (al-Sayuti, al-Dur al-Manthur, jld: 3, hlm: 294)


3- Imam Jalaluddin al-Sayuti di dalam karya beliau Masalik al-hunafa' fi Islam waaliday al-Mustafa membuat ketetapan seperti berikut: "Sesungguhnya jalan hidup kedua-dua mereka (ibu bapa Nabi SAW) adalah meninggal sebelum baginda di utus menjadi Rasul dan tiada penyiksaan sebelum itu kerana risalah Islam belum sampai kepada mereka berdua.

Keadaan ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: …Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah. (al-Israk: 15)


Pak Hamka di dalam tafsirnya menyebut: "ertinya tidaklah Allah sewenang-wenang saja memasukkan hamba-Nya ke neraka lantaran satu kesalahan sedang mereka belum diutus seorang Rasul pun". (Prof. Dr. Hamka, jld: 6, hlm: 4,024)


Berdasar ayat ini sepakat al-'Asyairah daripada kalangan ahli Kalam dan Usul, begitu juga dengan ulama al-Syafieyah daripada kalangan fuqaha berpendapat, sesiapa yang meninggal sebelum sampai kepada mereka dakwah maka meninggallah mereka dalam keadaan selamat (bebas daripada api neraka).


4- Tidak tersabit secara jelas yang mereka berdua (ibu dan ayah Nabi SAW) pernah menyembah berhala. Maka dan mereka adalah terdiri daripada kalangan ahli fatrah (tempoh belum sampai utusan Allah).


Datuk mereka adalah Ibrahim a.s seperti mana terdapat kumpulan daripada keturunan ini menyembah Allah SWT yang masih beriman kepada Allah SWT seperti Zaid bin Amru bin Nufail dan Warqah bin Naufal.


Lalu pandangan inilah yang didokong dan disokong oleh sekumpulan ulama seperti Imam Fakhruddin al-Raziy.

Kesimpulannya, mengikut sebahagian ulama, ibu bapa Nabi saw di dalam syurga. Ini kerana mereka tidak terlibat dengan aktiviti jahiliah, dan mereka tergolong dalam ahli fatrah.

Tuesday, 27 April 2010

TAJDID: ANTARA HAKIKAT DAN DAKWAAN

Saya tertarik dengan artikel Tajdid yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada hari ini, 27 April 2010 di saat-saat ramai yang ingin jadi 'mujaddid'. Hebat juga negara kita, ramai melahirkan 'mujaddid-mijaddid' pada setiap dekad. Saya bernasib baik kerana mendapat kiriman artikel penuh Yayasan Sofa. Di bawah ini saya siarkan artikel penuh tersebut. Buat pembaca yang ingin membaca artikel di Utusan, sila klik pada tajuk (Artikel diedit sedikit oleh Utusan mungkin kerana kekangan ruangan). Selamat membaca.


Tajdid : Antara Hakikat dan Dakwaan

Oleh: Panel Yayasan Sofa, Negeri Sembilan.

Di dalam dua tulisan yang lepas, kita telah cuba menjelaskan tentang falsafah dan kerangka sebenar Tajdid atau pembaharuan. Tajdid dan para Mujaddid, iaitu mereka yang memikul amanah tugas ini, adalah sangat mulia dan terpuji kedudukannya dalam Islam jika betul fahamnya dan kena tempatnya. Dengan penjelasan itu adalah diharapkan agar kita akan lebih mudah membezakan antara yang Tajdid hakiki dan yang sekadar dakwaan. Memang ada mereka yang mengaku dan mendakwa sebagai penggerak Tajdid sedangkan Tajdid yang hakiki tiada kena mengena dengan apa yang mereka gerakkan. Bak kata pepatah Arab, “Mereka semua mendakwa sebagai kekasih Laila sedangkan Laila jauh daripada semua dakwaan itu!”. Tanpa kerangka faham yang betul, orang awam sukar hendak membezakan antara yang hakiki dan yang dakwaan kerana kedua-duanya menggunakan ayat al-Quran dan hadis dalam hujjah mereka. Kadang-kadang ayat dan hadis yang sama yang dipetik walaupun berlainan syarahnya. Pepatah mengenai Laila di atas pun biasa dipetik oleh Mujaddid dakwaan untuk menyerang mereka yang tidak sefahaman!

Oleh itu untuk keselamatan agama mereka, sangat penting bagi masyarakat awam berpegang dengan petua untuk membezakan antara Tajdid Hakiki dan Dakwaan. Antara petuanya yang utama adalah dengan memeriksa apa yang jadi sasaran Tajdid seseorang atau sesuatu aliran. Apakah yang mahu ditajdidkan itu ajaran dan prinsip Islam itu sendiri atau fikrah dan sikap orang, masyarakat, negara dan Umat Islam. Kita tegaskan lagi bahawa prinsip dan ajaran Islam itu tidak perlu lagi ditajdid terutamanya oleh kita yang bukannya berada dikurun-kurun awal Islam. Para Mujaddid hakiki daripada generasi terawal pun bukannya mengubah isi dan hakikat Islam itu tetapi sebaliknya sekadar menyusun, memperkemaskan istilah, menghuraikan ajaran Islam. Segalanya tidak lari dari kerangka dan isi asal Islam. Selebihnya mereka berperanan memurnikan kefahaman dan penghayatan umat di zaman mereka terhadap ajaran dan prinsip Islam. Hari ini, Tajdid yang boleh dibenarkan terhadap ajaran Islam sepatutnya terbatas terhadap usaha memperelokkan penjelasan dan persembahannya, agar jelas keterkaitannya dan kesesuaiannya dengan realiti semasa.

Orang, masyarakat dan Umat Islam itu sendiri sering lalai dan lupa. Ramai yang tidak menghayati. memahami dan mengamalkan Islam sama ada kerana kejahilan, kedegilan atau kelalaian. Maka tugas utama para Mujaddid zaman ini adalah mendidik yang jahil, mengingatkan yang lalai manakala yang degil perlu dicegah dan diajar. Mujaddid hakiki tidak sepatutnya lebih mengelirukan mereka yang jahil dan lalai dengan fahaman dan persoalan rantingan yang hakikatnya tidak menambah atau mengurangkan keimanan dan ketaqwaan mereka. Tidak sepatutnya menyibukkan diri dan orang lain untuk mengulangkaji, mempertikaikan dan merombak apa yang sudah baku dan muktabar dalam ajaran Islam. Mereka yang lalai dan degil pula perlu didakwah dengan akhlak Nabawi. Kalau ada yang terus berdegil menggunakan undang-undang dan kuasa yang adalah sebahagian daripada akhlak Nabawi dalam menanganinya.

Amal Bakti Mujaddid Silam

Sebagai tolok perbandingan dan piawai Tajdid hakiki, marilah kita soroti amal bakti tokoh-tokoh Mujaddid silam yang disepakati oleh majoriti umat.

Di kurun pertama, Khalifah Umar bin Abdul Aziz (61-101H) telah muncul sebagai model yang hidup ketaqwaan, keikhlasan, amanah dan zuhud, setelah nilai-nilai ini dikelabui pemerintahan sebelum beliau. Beliau turut memurnikan kembali fahaman dan aqidah umat antaranya dengan menghentikan amalan menghina dan merendahkan Saidina Ali dan Ahlul Bayt termasuk dalam khutbah-khutbah. Beliau juga mengasaskan dan menggalakkan usaha menghimpunkan hadis-hadis Nabi SAW. Zaman beliau turut dicorakkan kehadiran tokoh-tokoh ulama Tabiin seperti Imam al-Hasan al-Basri (21-101H) yang muncul sebagai antara penjaga aqidah dan akhlak umat serta merupakan antara Imam pengasas cabang ilmu akhlak dan keruhanian tasawwuf dalam Islam.

Zaman berikutnya, menyaksikan kemunculan Imam-imam Mazhab fiqh, Imam Abu Hanifah (80-150H), Imam Malik (94-179H), Imam al-Shafi`I (150-204H), Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H), yang akhirnya mengasaskan sistem Shariah dan hukum-hakam yang tersusun dan kemas. Suatu struktur fiqh yang bersifat kepelbagaian dalam kesatuan yang harmoni.

Apabila umat Islam diuji dengan pelbagai fahaman dan aqidah yang menyesatkan, muncullah Imam Abu al-Hasan al-Ash`ari (260-324H) memurnikan fahaman dan menyusun kaedah-kaedah Aqidah Islam. Tugas yang hampir sama ditunaikan kemudiannya dengan penuh amanah oleh al-Imam al-Ghazali (450-505H) yang turut meninggalkan sumbangan penting dalam perkembangan cabang-cabang ilmu Tasawwuf, Usul al-Fiqh dan Fiqh. Di era yang sama muncul tokoh keruhanian tasawwuf-tarikat, Syeikh `Abd Qadir al-Jilani (470-561H) yang menyambung usaha Imam al-Ghazali di bidang ini dan menyusun pendekatan keruhanian yang lebih khusus. Kesan dan keberkatan usaha pemurnian Aqidah-Shariah-Akhlak generasi al-Ghazali dan al-Jilani ini akhirnya memungkinkan kemunculan Mujaddid Mujahid, Sultan Salahuddin al-Ayyubi (w.589H)dan generasinya yang telah berjaya mengembalikan al-Aqsa ke tangan umat islam.

Jika diteliti dengan insaf, amal-bakti para tokoh Mujaddid silam ini adalah semuanya bersumberkan acuan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW. Mereka kemudiannya berkhidmat menghuraikan, menyusun dan memperkembangkannya lagi agar lebih mudah dihayati dan diamalkan oleh Umat. Usaha mereka jelas bersifat suatu kesinambungan atas warisan generasi sebelumnya dan bukannya membina sesudah meruntuhkan warisan yang ada. Juga dapat diperhatikan bahawa para Mujaddid ini berjalan atas jalan rahmat dan kasih sayang sesama Islam tetapi tegas terhadap para Kuffar dan kekufuran serta ajaran yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam.

Gerakan Pendakwa Mujaddid

Berbanding dengan warisan para Mujaddid silam, kita lihat ada tokoh dan gerakan yang mendakwa Tajdid hakikatnya membawa fahaman yang ganjil dan bertentangan dengan asas Quran dan Sunnah yang diperjuangkan oleh warisan para Mujaddid silam. Oleh sebab itu, mereka terpaksa berusaha terlebih dahulu untuk meruntuhkan warisan para Mujaddid silam agar barulah fahaman mereka dapat dibina di atas runtuhan itu. Maka kita perhatikan gerakan ‘Tajdid’ mereka penuh dengan mesej yang mempertikaikan dan menimbulkan keraguan terhadap warisan para Mujaddid silam.

Jika para Mujaddid silam menumpukan kepada persoalan yang lebih mustahak dan membina, para pendakwa Tajdid masih berkeras mahu mentajdidkan fahaman terhadap persoalan Bid`ah dan Khilafiyyah dalam Islam. Berkeras mempertikaikan kemurnian aqidah dan kesahihan amalan majoriti umat Islam.

Kita bukannya mahu mempertikaikan niat dan semangat mereka, tetapi niat dan semangat tinggi tanpa panduan ilmu yang benarlah yang telah mendorong puak Khawarij berkeras menentang Saidina Ali dan majoriti umat di zamannya. Dalam kita memperjuangkan agama, kita semua juga harus sentiasa mewaspadai datangnya penyakit hati seperti `ujub, takabbur dan hubbul jah dan hubbul riyasah (sukakan kedudukan dan pangkat). Penyakit-penyakit hati ini menjadi fokus ilmu tasawwuf tetapi masalahnya, para pendakwa Tajdid ini rata-rata cenderung anti atau meminggirkan tasawwuf!

Kita menasihatkan masyarakat awam agar amat berhati-hati dengan mereka yang mendakwa Tajdid di kalangan kita. Perhatikanlah betul-betul apa isu-isu yang diperjuangkan. Analisalah sikap mereka terhadap warisan ilmu para Mujaddid silam. Istikharahkanlah dan syurakanlah dengan orang-orang yang lebih mengkhusus dan lebih berpengalaman. Janganlah mudah menerima momokan dan ditakutkan dengan ‘hantu’ tarikat, tasawwuf, taklid buta, taasub mazhab, bid`ah, khurafat dan sebagainya. Kajilah dengan insaf dan teliti hakikat dan makna sebenar kalimah-kalimah ini menurut fahaman arus perdana dalam Islam. Janganlah ketika kononnya hendak membuka dan memerdekakan minda beragama saudara, sebenarnya minda saudara telah cuba dikunci dengan momokan-momokan ini!

Semoga Allah memperkenalkan kepada kita para Mujaddidnya yang sebenar sama ada yang lepas atau yang sezaman dengan kita. Kita isytiharkan bahawa kita sangat mengasihi mereka kerana yakin bahawa Allah SWT turut mengasihi mereka. Kita mengasihi dan menghargai mereka sebagai penghulu dan bapa-bapa kita dalam agama. Semoga Allah menghimpunkan kita bersama dengan para Mujaddidnya di dunia dan di akhirat.

Thursday, 22 April 2010

Sekitar Perjalanan ke Arab Saudi

Sedikit perkongsian perjalanan dengan para pelawat blog saya. Kali ni, takde apa-apa artikel yang serius atau semi serius. Cuma nak berkongsi perjalanan. Sebabnya, sekarang politik tengah panas, dan saya tak bercadang menulis isu politik..lagipun, kedua-dua calon saya tak minat... begitu juga saya tak bercadang mengulas isu 'air liur'... sebab banyak fakta berdasarkan andaian dan sangkaan... sebaliknya lapor pada pihak berkuasa agama. .......Selamat berkongsi rasa dengan saya......


Pertemuan dengan Timbalan Rektor Universiti Baha, Arab Saudi, di rumah adiknya di Aziziyyah. Sedikit perbincangan kerjasama dengan UUM.


Semoga Allah SWT menerima umrah kami.... Aminnnnn

Berlatarbelakang kubah yang terdapat Maqam Rasulullah SAW dan dua sahabat utama Radhiallahu anhuma. Semoga kami layak mendapat Syafaatmu Ya Rasulullah SAW.

Sekitar Perjalanan Jordan & Syria 4

Amman...... oh ....Amman

Teh 'dibelanja' oleh tuan kedai (dlm gambar) di tepi Roman Theater, Amman.















Di Wast al-Balad, tak berubah walau setelah 13 tahun saya tinggalkan Amman. Tapi Abdali dah tak jadi Stesen Bus sebab telah dipindahan ke Mujamma' al-Shimali.....

Sekitar Perjalanan Jordan & Syria 3


Bersama seorang pelajar Malaysia iaitu Muhammad Sidiq & seorang pelajar antarabangsa (sebelah rusia- lupa nama negara yg ada  'tan-tan tu) di Jamiah Urduniah. Selamat berjaya mewakili hanya dua tiga orang Maliziyyun di Jamiah Urduniah.

Di Kuliah Shariah, Universiti of Jordan (Jamiah Urduniah) di mana kupernah menadah ilmu.....

Sekitar Perjalanan Jordan & Syria 2

Bersama-sama syabab & syabbat Jamiah Yarmuk.


Selamat berjaya dalam pengajian kalian. Jangan lupa rajin juga mengadap guru-guru di pengajian-pengajian luar. Dengar Dr Mustafa al-Bugha kerap ke Irbid.

Sekitar Perjalanan ke Jordan & Syria 1 (20 - 25 Mac 2010)


Rombongan bergambar di Damsyik. Di tengah-tengah anak saudara Ahmad Nafis yang sedang belajar di Maahad Abu Nur, Damshik.


Di Jamiah Dimasq (Universiti Damshik)

Monday, 12 April 2010

PERBANKAN ISLAM 'BERUNDUR KE ZAMAN ISLAMIC WINDOW'?

Setelah melakukan pengamatan terhadap perkembangan bank-bank Islam (anak syarikat konvensional), saya sudah sekian lama merasakan mereka tidak akan berjaya keluar dari bayang-bayang bank konvensional. Kerapkali, mereka terpaksa mengeluarkan produk 'bayangan' konvensional disebabkan 'kelumrahan dan penerimaan' bahagian 'penganalisaan risiko' bank-bank konvensional. Kerapkali juga, saya melihat kita sebenarnya berpatah balik ke zaman 'tingkap-tingkap Islam' (Islamic window scheme). Buktinya, berapa banyak cawangan bank-bank Islam? Yang ada hanya bank-bank Islam menumpang dengan cawangan bank konvensional.

Dengan hanya dua bank Islam tempatan yang benar-benar bebas (Bank Islam dan Bank Muamalat), dan dua bank Islam luar (al-Rajhi dan Kuwait Finance House), cabaran perbankan Islam adalah untuk bebas sepenuhnya dari kerangka ekonomi kapitalis.

Semoga pandangan CEO KFH di bawah ini yang dilakukan oleh Wartawan Utusan memberikan kefahaman untuk kita berkaitan dengan isu ini dalam Utusan Malaysia, 12 April 2010. Selamat membaca atau klik di tajuk di atas untuk terus ke Utusan Malaysia.

Sumber: Utusan Malaysia, 12 April 2010.

Hasrat saya tersekat – Jamelah, Ketua Pegawai Eksekutif Kuwait Finance House (M) Bhd.
--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 11 April – Tindakan bank-bank konvensional mengekang operasi bank cawangan Islam yang menjadi anak syarikat mereka, dilihat membantutkan entiti itu daripada berkembang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kuwait Finance House (M) Bhd. Jamelah Jamaluddin, pengalamannya menunjukkan terdapat kecenderungan yang sedemikian di kalangan bank- bank konvensional di negara ini.

Jamelah, bekas Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Bhd. berkata, masalah itu menyebabkan beliau memilih untuk meninggalkan kumpulan perbankan berkenaan.

Sambil menegaskan beliau tidak mempunyai masalah lain dengan pihak pengurusan atasan, Jamelah berkata: ‘‘Bank Islam itu cuma anak syarikat (bank konvensional), cuba jika sebaliknya, ia akan wujud kelainan, lain cara layanan dan pengurusannya dan ia (bank Islam) akan berkembang.

‘‘Pada masa ini, jika kita (bank cawangan Islam) mahu berkembang, kita akan kena ‘ketuk’. Bagaimana, kita boleh berkembang?, soal beliau.

Jamelah berkata, masalah berkenaan perlu dilihat secara serius tetapi malang terdapat pihak yang cuba menafikannya.

‘‘Ini dialami oleh semua CEO yang berada dalam bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional.

‘‘Apa yang saya bimbang selepas ini tiada siapa lagi mahu menjadi CEO mana-mana bank Islam lagi,’’ kata Jamelah. Berikut adalah transkrip penuh temu bual beliau dengan wartawan Utusan Malaysia, AZMAN IBRAHIM di sini baru-baru ini.


UTUSAN: Kenapa saudari lebih banyak low profile ketika menerajui bank Islam di bawah Kumpulan RHB berbanding Kuwait Finance House (KFH) sebelum ini?


JAMELAH: Secara jujurnya, saya fikir ia adalah disebabkan persekitaran yang wujud di situ. Kumpulan perbankan di Malaysia mempunyai dua bentuk perbankan - Konvensional dan Islam. Jika dibandingkan kedua-duanya dibaratkan jauh panggang dari api.



Bank konvensional itu lebih besar dan lama atau tua sifatnya. Jadi dalam situasi macam itu, anda boleh fikir siapa kawal siapa? Sudah tentu bank konvensional kawal bank Islam.

Jadi, kebanyakan apa yang ingin saya lakukan di dalam perbankan Islam mendapat tentangan daripada pihak yang berada dalam bank konvensional. Itu bukan hanya masalah saya sahaja sebenarnya. Ini dialami oleh semua CEO yang berada dalam bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional.


Jadi, saudari mengatakan wujud kekangan (untuk melakukan sesuatu) dalam operasi mana-mana bank Islam yang berada di bawah kumpulan bank konvensional?


Ya, semua bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional di Malaysia. Saya merasakan terdapat tekanan dalam mengurus perbankan Islam. Meskipun kita memiliki orang yang terbaik untuk mengendalikannya tetapi mereka tidak dapat ke depan. Ini kenyataan dan pastikan anda menyiarkannya.


Boleh saudari jelaskan lebih lanjut?


Kumpulan perbankan yang memiliki sistem perbankan konvensional sendiri merupakan penyebab kenapa bank Islam di bawahnya tidak dapat bergerak. Bank Islam itu cuma anak syarikat, cuba jika ia sebaliknya, ia akan wujud kelainan, lain cara layanan dan pengurusannya dan ia akan berkembang. Pada masa ini, jika kita (bank cawangan Islam) mahu berkembang, kita akan kena ‘ketuk’. Bagaimana, kita boleh berkembang?


Tidakkah saudari bimbang mengeluarkan kenyataan ini?


Saya sangat serius. Ini merupakan masalah yang setiap orang cuba menafikannya.


Adakah wujud tekanan ketika menerajui bank Islam yang berada dalam kepompong kumpulan konvensional?


Saya pernah berkerja bank Islam (maksud saya 100 peratus bank Islam bukan di bawah bank konvensional) dan dilatih di bawah persekitaran itu. Jadi, semasa saya berada di sana, budaya kerja itu sudah jadi lain. Di sana, kita jadi pengikut bukan pengasas. Itulah perbezaannya.

Jadi saudari gembira untuk kembali KFH?

Oh! semestinya.

Tidak takut bahawa kenyataan ini kontroversi sifatnya?

Saya bersedia untuk berdiri dan berjuang dengan kenyataan yang dikeluarkan dan saya juga berasa gembira diberi peluang untuk mengemudi semula KFH. Saya berpendapat semua CEO bank Islam (di dalam kumpulan bank konvensional) perlu melaksanakan perbankan Islam sepenuhnya. Mereka tidak boleh bergerak sebagai hanya bank cawangan Islam. Apa yang saya bimbang selepas ini tiada siapa mahu menjadi CEO mana-mana bank Islam lagi.

Ini merupakan pengalaman pertama saudari berkhidmat di bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional. Tidakkah ia mengecewakan?

Saya kecewa kerana apa yang berlaku bukan masalah pemimpin dalam bank cawangan itu sendiri, tetapi institusi yang berada di sekelilingnya. Saya berharap orang dapat baca kenyataan ini dan semua CEO bank Islam tahu dan sedar mengenai perkara ini.

Adakah saudari memilih untuk berpindah ke KFH kerana isu pilih kasih atau gender?

Tidak. Di sana tidak wujud masalah itu, begitu juga di KFH. Malah, di KFH, saya merupakan ketua pegawai eksekutif wanita pertama. Saya terkejut masalah (gender) itu tidak wujud. Rasa hormat juga ada. Cuma, ketika bekerja di bank cawangan Islam, pihak konvensional sahaja tidak mahu kami bergerak.

Kini, saudari kembali berada di KFH, apakah misi yang ingin dicapai?

Saya akan meneruskan perjuangan kami menjadi bank yang mematuhi prinsip Syariah sepenuhnya. Saya mahu KFH terus berkembang dan memberi pulangan yang baik kepada pemegang saham. KFH juga akan dijadikan lebih inovatif dalam menawarkan produk-produk kewangan berasaskan Islam.

Friday, 2 April 2010

ELAKKAN TAASUB DAN FANATIK

Artikel ini telah dihantar ke akhbar tempatan sejak awal Mac, tapi belum direzekikan keluar.  Penantian adalah suatu yang memeritkan. Jadi, akhirnya saya mengambil keputusan untuk disiarkan dulu dalam blog ini.
Selamat membaca.

ELAKKAN TAASUB DAN FANATIK

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim
         Universiti Utara Malaysia

Taasub dan ketaasuban seringkali difahami sebagai berpegang kepada sesuatu tanpa melihat kepada kebenaran yang terangkum di dalamnya. Perkataan fanantik kerap digunakan untuk menggantikan perkataan taasub. Perkataan fanatik mengikut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (1995: 476) bermaksud taasub, tegar hati, kuat pegangan, kuat keyakinan dan kuat kepercayaan. Fanatisme pula ialah kepercayaan yang sangat kuat, terlampau kuat atau kepercayaan yang kuat.


Fanatik juga didefinisikan sebagai seorang yang menunjukkan keghairahan yang melampau dan kegigihan terhadap ketaatan membabi buta khususnya terhadap beberapa perkara kontroversi (sebagaimana dalam agama, politik atau falsafah). Biasanya seseorang itu menyeru terhadap pegangannya secara bersemangat dan ia adalah suatu desakan tanpa alasan dan tanpa tolak-ansur (Webster's Third New International Dictionary, 1986).


Masyarakat Islam berdepan dengan banyak sikap taasub sama ada taasub dari sudut politik, sosial, ekonomi dan lain-lain. Taasub dengan parti politik akan membuat pendokongnya 'mentakwilkan' atau 'mempositifkan' tindakan pemimpin, walaupun tindakan tersebut nyata salah dan membawa kerugian pada umat. Taasub kepada individu pula, namun memuliakan individu sama ada guru atau orang-orang soleh adalah dibenarkan, tetapi mungkin juga membuatkan seseorang mendewa-dewakan individu tersebut dan pendewaan inilah yang ditolak.


Taasub kepada sesuatu sistem ekonomi membuatkan seseorang sukar berubah kepada sistem ekonomi yang lain iaitu sistem ekonomi Islam. Golongan ini lebih selesa dan taasub dengan sistem ekonomi konvensional dan unsur ribawi sehingga memandang sinis kepada sistem ekonomi Islam.


Dari sudut sosialnya, sejarah peradaban Islam kerap membentangkan adanya budaya taasub mazhab di kalangan umat Islam. Pada tahap itu, pengikut-pengikut setiap mazhab bertelingkah mempertahankan mazhab masing-masing sehinggalah berlakunya pertelingkahan dan perpecahan. Namun telah berlaku kematangan sehingga ummah boleh menerima perbezaan pendapat dari sudut amalan-amalan fiqh. Hasilnya ummah dapat melihat berlakunya 'kematangan' dan setiap mazhab fiqh bertolak ansur terhadap perbezaan amalan-amalan fiqh di tengah-tengah masyarakat.


Kesan daripada kematangan ini ialah:

• Perbezaan mazhab dapat diterima secara harmoni. Dalam konteks Malaysia, umat Islam boleh menerima kehadiran Masjid India, Masjid Pakistan dan Masjid Cina Muslim.

• Pengajaran-pengajaran fiqh sunni dalam empat mazhab tersebut dapat diterima oleh majoriti negara Islam di institusi-institusi pengajian tinggi dan masjid-masjid, kecuali ada sedikit negara Islam bersikap tertutup dan meruntuhkan pengajian empat mazhab.

• Penekanan pegangan satu mazhab untuk sesuatu negara juga untuk mengelakkan ketidakselarasan telah diterima ummah. Sebagai buktinya, khilafah Uthmaniah terkenal dengan mazhab Hanafi tanpa mengenepikan hak masyarakat meyakini mazhab fiqh sunni yang lain.


Walaupun masyarakat ini dilabelkan sebagai taasub mazhab, namun mereka telah bersedia menerima perbezaan ini dengan berlapang dada tanpa sesat-menyesat atau kafir mengkafir. Oleh itu, di dalam lingkungan fahaman Ahlussunnah Wal Jamaah atau Sunni, kita tidak pernah mendengar pengikut Imam Shafie Rahimahullah menyesatkan pengikut Imam Abu Hanifah Rahimahullah..


Pada situasi yang lain, telah lahir golongan yang menyeru supaya tidak bermazhab. Mereka melabelkan golongan yang bermazhab dengan berbagai label, antaranya:

• Taasub kepada mazhab.

• Mengikut imam-imam dan bukan mengikut al-Quran dan sunnah.

• Perbezaan amalan fiqh membawa kepada bid'ah dan sesat. Habis disesatkan masyarakat yang beramal hukum fiqh secara berbeza seperti qunut, talkin, zikir berjemaah dan sebagainya.


Itulah antara tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka yang bermazhab. Mereka gagal melihat atau tidak mahu melihat bahawa imam-imam mazhab dan murid-murid mereka sebenarnya mengeluarkan hukum hasil daripada kajian mendalam terhadap al-Quran dan al-sunnah. Bahkan mereka adalah generasi ulama Salaf yang disebut sebagai khayrul ummah (sebaik-baik ummah). Imam-imam tersebut tidak sekali-kali menuduh sesat kepada masyarakat pada persoalan cabang atau furuk. Bahkan mereka belajar dari ulama-ulama pelbagai mazhab untuk mendapatkan satu kepastian hujah bagi setiap mazhab tersebut. Pegangan inilah yang diwarisi kepada anak-anak murid mereka zaman berzaman. Pada keadaan tertentu, mereka bersetuju mengambil pandangan mazhab lain disebabkabkan dalil yang kuat, atau keperluan mendesak umat.


Kelihatannya, pihak yang membawa laungan untuk tidak bermazhab, mereka sebenarnya jatuh ke dalam 'taasub untuk tidak bermazhab'. Mereka sudah meletakkan satu ketetapan di dalam pemikiran mereka bahawa

• Hanya pandangan mereka benar.

• Memandang sinis kepada orang-orang yang bermazhab.

• Pandangan yang bertentangan adalah salah, sesat, bid'ah dan sebagainya. Pada banyak keadaan, mereka mendakwa pandangan berlawanan sebagai fahaman Syiah, Jahmiyyah dan sebagainya.

• Mereka tidak mahu mengikut fatwa Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafi'i dan Imam Ahmad dan anak-anak murid mereka kerana tidak mahu bertaqlid. Namun secara hakikatnya, mereka adalah pentaklid kepada Sheikh Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim, Muhammad Abdul Wahhab, Albani dan lain-lain. Kebanyakan hadis yang mereka keluarkan, bukan usaha mereka, tetapi dengan bertaklid kepada Albani. Lebih membimbangkan, pandangan imam-imam sebelumnya ditakwil supaya selaras dengan pandangan sheikh-sheikh rujukan mereka.

• Melarang pembelajaran mazhab-mazhab lain selain dari mazhab mereka atas alasan mazhab-mazhab tersebut tidak berpegang kepada dalil.

• Seruan supaya semua orang berijtihad walaupun secara hakikinya pengikut mereka sebenarnya tidak mampu berijtihad, sebaliknya mereka mengubah taklid dari bertaklid kepada imam-imam mazhab kepada bertaklid dengan pentafsiran mereka.


Mereka sebenarnya telah melahirkan mazhab kelima yang lahir selepas kurun ke 7 Hijrah, dan membawa pengikutnya mengikut pentafsiran orang yang jauh zamannya (al-Nazil) dari Rasulullah SAW, berbanding Imam-Imam mazhab (al-'ali)yang lahir dan hidup di sekitar tiga kurun pertama Hijrah.


Lebih membimbangkan, sekiranya ketaasuban golongan ini membawa kepada menganggap wajib memerangi perbezaan pandangan tersebut, kerana perbezaan amalan fiqh tersebut adalah sesat dan kedudukannya adalah mesti diperangi kerana ia setaraf dengan ijmak para sahabat iaitu kewajipan memerangi golongan yang tidak membayar zakat.


Inilah antara ketaasuban yang sedang menghantui masyarakat. Sikap keterbukaan dalam berbeza pendapat menjadi semakin tertutup dan sempit. Kesan ketaasuban ini telah mula dirasai secara mendalam oleh masyarakat Islam di Malaysia. Justeru, menjadi tanggungjawab pemimpin-pemimpin masyarakat, pendakwah-pendakwah dan para ustaz memperbetulkan keadaan ini supaya pertelingkahan dan perpecahan tidak melarat dan membawa kerugian kepada majoriti tipis masyarakat Islam di Malaysia. Semoga Allah SWT menyelamatkan umat ini daripada perpecahan yang semakin kritikal. Wallahu a'lam.