Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Wednesday, 3 April 2013

BOLEHKAH UNDI NON MUSLIM YANG ADA MOU DENGAN ORANG ISLAM?

Para pembaca budiman,

Ada persoalan yang dilontarkan, bolehkan mengundi non-muslim yang ada MOU dengan orang Islam. Pada pandangan saya, lihat situasi berikut:

Situasi 1: Lihat MOU mereka, sekiranya hanya MOU untuk ke Putrajaya, MOU itu tidak kuat dan bukan alasan untuk mengharuskan boleh memilih bukan Islam sebagai wakil kita. Jadi, sekiranya non-Muslim tu secara terang-terangan menyokong pluralisme, LGBT dan mahu membawanya diperingkat pemerintahan, maka adalah HARAM menyokong calon tersebut.

Situasi 2: Sekiranya MOU itu menyatakan secara terang, atau dapat dilihat secara tersirat tunduk kepada pemerintahan orang-orang Islam, maka MOU ini boleh diterima pakai. Maka, jika secara terang-terangan tolak hudud, sokong pluralisme dan ketuanan Islam atau orang Islam, maka wajib ditolak.

Wallahu a'lam.

SEMBOYAN PRU 13 ........ Panduan memilih

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Para pembaca yang budiman,

Pembubaran parlimen telah diisytiharkan hari ini, 3 April 2013 pada pukul 11.35 pagi. Dengan itu, akan berlangsung dalam tempoh terdekat Pilihanraya Umum. Gunalah hak tuan-puan untuk memastikan kebaikan kepada Islam dan perkembangannya.

Sekali lagi saya titipkan sedikit panduan untuk dijadikan bahan renungan tuan-puan dalam menentukan pilihan tuan-puan. Di akhirnya, tangan tuan-puan yang akan memangkah.

1. Bila berlaku pertentangan antara sama-sama calon Muslim, carilah calon yang paling baik dan paling saleh. Kebaikan itu boleh dinilai dengan sifat-sifat lahirnya sama ada pemakan rasuah, mudah dibeli, skandal lelaki atau wanita dan sebagainya. Manakala pemikirannya boleh dinilai dengan melihat kecenderungannya kepada perkara-perkara salah seperti pluralisme, LGBT, isu kalimah Allah SWT.

2. Jika pertentangan calon Muslim dan Non Muslim, pilihlah calon Muslim untuk survival Melayu Islam.

3. Kalu sama-sama non Muslim, pandai-pandailah tuan-puan pilih calon yang kurang mudaratnya kepada umat Islam. Iaitu calon yang tidak secara terang-terangan menyokong pluralisme, LGBT, dan mempermain kalimah Allah SWT.

Saya berpandangan adalah HARAM menyokong orang-orang yang mendokong dan menyokong secara terang-terangan Pluralisme, LGBT dan mempermainkan kalimah Allah SWT. Wallahu a'lam.

Di akhirnya, saya menyeru diri saya, dan diri tuan-puan untuk kita sama-sama munajat pada bulan ini supaya kemenangan akhirnya diberikan kepada Islam, walau apapun keputusan pilihanraya ini nanti. Semoga semua yang menang tanpa mengira parti membuat pemesyuaratan terbaik dalam pembentukan kerajaan kelak.

Wallahu a'lam.

Saturday, 23 March 2013

ALLAMAH Al-BUTI- UMMAH KEHILANGAN ULAMA BESAR




Assalamu alaikum warahmatullah

Para pembaca semua,

Jumaat semalam saya mendapat perkhabaran bahawa Ulama Besar Ahlussunnah al-Allamah al-Syaikh Saeed Ramadhan al-Buti telah terkorban pada hari Khamis, 21 Mac 2013, kerana dibom oleh 'suicide bomber' di Masjid Iman, Syria tempat yangd ia melazimi mencurahkan ilmunya. Seseorang manusia tidak seharusnya dibunuh kerana perbezaan pandangan, apatah lagi dilakukan di dalam rumah Allah SWT.

Saya bukanlah murid yang menitip ilmu secara terus daripadanya, tetapi saya mengutip ilmunya daripada guru-guru yang menggunakan kitab-kitab beliau dan saya sentiasa mengikuti perkembangan Mujaddid ini, bahkan saya adalah pengagumnya disebabkan tajamnya penulisan beliau dalam membahaskan sesuatu isu.

Semoga Allah SWT menyelamatkan ramai lagi ulama-ulama besar Ahlussunnah yang masih bertahan di bumi Syria seperti al-Syakh Wahbah al-Zuhayli dan lain-lain. Pada keadaan ni, sekiranya mereka menyebelahi mana-mana pihak, mereka akan berada di dalam keadaan bahaya. Kedua-dua pihak sanggup membunuh mana-mana ulama yang menyatakan sokongan secara nyata.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas al-Syahid di atas segala ilmu dan perjuangannya sejak beberapa dekad.

Al-FATIHAH

Friday, 15 February 2013

PRU13: sedikit panduan

Sidang pembaca semua,

Sebagai pemerhati politik, saya kekal sebagai seorang non-partisan pada isu-isu politik tanahair. Semoga PRU 13 ini, walau apa pun keputusannya, ia memberi kekuatan kepada Islam dan penganutnya. Pada saya, hak mengundi adalah suatu amanah yang besar. Lakukanlah sebaik mungkin.

Panduan pilih calon:
Saya melihat pengundian seharusnya dibuat setelah kita meneliti perkara-perkara berikut:
i. Memilih calon seorang Muslim dan yang baik mengikut fahaman Ahlussunnah wal Jamaah (bukan daripada golongan Syiah atau Wahhabi yang melampau) tanpa mengira parti.
ii. Memilih calon Muslim yang tidak terpengaruh dengan libralisme, pluralisme dan mempermainkan 'isu kalimah Allah' untuk kegunaan bible versi Bahasa Melayu, tanpa mengira parti.
iii. Tidak memilih calon yang korup, kerana calon yang korup mudah dibeli selepas memenangi pilihanraya. Mereka akan sanggup mengorbankan agama dan bangsa demi WANG.

Parti yang mengisytiharkan memperjuang perkara bertentangan dengan akidah dan Syariat:

Pada saya, adalah HARAM mengundi parti yang TELAH MELETAKKAN dasarnya mendokong PLURALISME DAN MEMBENARKAN KALIMAH ALLAH UNTUK BIBLE BAHASA MELAYU. Saya amat bersetuju dengan keputusan Majlis Syura PAS yang melarang penggunaan nama Allah pada Bible Bahasa Melayu.

Doa saya, setelah PRU13 berakhir, ahli-ahli politik Melayu Islam boleh duduk semeja memastikan pembentukan kerajaan yang mampu menjadi pendokong kepada Melayu Islam dan tidak merungkai perlembagaan yang mempertahankan Islam, kecuali lebih memperkemaskan kedudukan Melayu Islam. Elakkanlah keadaan yang disebut oleh pepatah melayu: 'Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.

Wallahu a'lam.

Thursday, 27 September 2012

SYIAH: ANTARA PENYELEWENGAN DAN KEKUFURAN?

Sahabat-sahabat pembaca yang di kasihi,

Lama saya tidak mengupdatekan laman ini. Insya Allah, semoga Allah SWT memberi kekuatan untuk saya memulakan perbincangan berkaitan Syiah, khususnya kegiatan mereka semakin mengkucar-kacirkan umat. Semoga Allah melindungi kita dari fitnah Rafidhah ini. Saya akan cuba 'mengupload' perbincangan ini nanti.... Allahu al-musta'an.

Wednesday, 2 May 2012

MUSYABBIHAH SIFAT ALLAH DENGAN SIFAT MAKHLUK

Kitab al-Farq baina al-Firaq

Siri 3: Manakala musyabbihah sifat Allah dengan sifat makhluk terbahagi kepada beberapa golongan:


Antara mereka ialah: Yang mentasbihkan (menyerupakan) iradah  Allah SWT (kehendak Allah) dengan kehendak makhluknya. Maka inilah pandangan Mu’tazilah Basrah yang mendakwa Allah Taala berkehendak dengan maksudnya melalui kehendak yang hadithah (baru). Mereka juga mendakwa kehendak Alah adalah sebangsa dengan kehendak kita (manusia). Kemudian mereka bertentang pula dengan dakwaan mereka sendiri dan berkata: Harus terjadi nya iradah Allah, tidak terikat dengan masa, manakala tidak boleh terjadinya iradah kita (manusia) kecuali pada tempat. Jadi di sini mereka bertentangan dengan dakwaan mereka sebelum ini iaitu: Sesungguhnya iradahNya adalah sebangsa dengan iradah kita (manusia), kerana dua perkara sekiranya bersamaan dan bangsa yang sama, maka harus apa-apa bagi pihaknya, maka harus pula ke atas yang satu lagi. Dan apa yang mustahil ke atas suatu pihak, mustahil juga ke atas pihak yang lain.

Al-Karamiah telah menambah bid’ah mu’tazilah Basrah pada mentasybihkan Iradah Allah dengan iradah hamba-hamba-Nya, dan mendakwa iradahNya adalah dari jenis iradah kita (manusia), dan sesungguhnya (iradah Allah) hadithah (baru) pada ZatNya, sebagaimana baru iradah kita pada diri kita. Justeru mereka mendakwa rentetan pada itu: Sesungguhnya Allah Taala adalah tempat untuk perkara-perkara baru! Maha tinggi Allah dari yang demikian itu dengan ketinggian yang maha agung!

Antara mereka (yang termasuk dalam musyabihah ini): mereka yang mestashbihkan kalam Allah dengan kalam makhluk-Nya. Mereka mendakwa sesungguhnya Allah Taala bersuara, berhuruf, dari jenis suara dan huruf yang disandarkan kepada hamba-hambanya. Merekan berpegang akan barunya kalam-Nya. Kebanyakan (jumhur mereka) memustahilkan (kecuali al-Jubba`i) kekal kalam allah Taala. Berkata al-Nizzam (dari golongan mereka): Tiadalah pada susunan kalam Allah yang Maha Suci sebarang I’jaz.

Al-Karamiah serupa dengan Mu’tazilah pada dakwaan mereka baharu kalam Allah Azza wajalla, namun dengan membezakan antara ‘qaul’ dan ‘kalam’ pada dakwaan mereka. Sesungguhnya ‘qaul’ (kata-kata) Allah Yang Maha Suci adalah dari jenis suara-suara hambanya, dan huruf-hurufnya.

Abu al-'Izz

Friday, 23 March 2012

Wacana Najdiyyun: Pro dan Kontra di Youtube

Sila klik tajuk di atas untuk mendengar wacana saya dalam Wacana Muafakat mengenai Najdiyyun di Masjid Wilayah Persekutuan.

Saturday, 26 November 2011

Hudud: Pakatan akui enakmen syariah Kelantan, Terengganu

Saya bukan orang politik, tetapi pemerhati politik.

Melihat kepada berita dari Harakahdaily 26 November 2011, sefaham saya, SUDAH TIADA HARAPAN kepada perlaksanaan hudud di Kelantan dan Terengganu. Mengikut Dato' Takiyuddin, hanya boleh dilaksanakan bila perlembagaan diubah. Katalah, PAKATAN menang pilihanraya, sanggupkan DAP menyokong pindaan perlembagaan untuk membolehkan hudud dilaksanakan di saat-saat mereka tidak pernah berjanji untuk menyokong pindaan perlembagaan.

Pada pengamatan saya, 'tawar-menawar politik' selepas ini lebih berbentuk 'kebajikan dan penolakan terhadap korupsi', bukan lagi berbentuk 'penawaran laksana hudud'. Ini memandangkan PAS juga sudah BERSETUJU ianya tidak boleh dilaksanakan. Perlaksanaan hudud mungkin boleh berlaku sekiranya PAS dan UMNO bersatu, dengan syarat wakil rakyat UMNO bukan dari golongan yang TAKUT kepada hukum syarak.

Sila baca berita terbaharu di bawah atau klik pada tajuk untuk terus membaca dari HARAKAHDAILY.

Abu al-'Izz
Ho Chi Min City

Hudud: Pakatan akui enakmen syariah Kelantan, Terengganu 
Nazri Abdullah & Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Sept: DAP, PKR dan PAS hari ini mengambil pendirian akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui bersama disamping menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, lewat malam tadi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka mengormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan.

Kesemua komponen parti katanya memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat wujud.

"Kita mendengar penjelasan Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili kerajaan Kelantan bahawa perlaksaan hudud di negeri itu hanya boleh dibuat dengan pindaan perlembagaan persekutuan.

"Kita tidak boleh menafikan mana-mana hak PAS, DAP dan PKR untuk mengemukakan pandangan termasuk dalam isu syariah.

"Kita jelas menghormati hak dan aspirasi PAS (mahu laksanakan hudud). Cuma dia terikat dengan apa yang kita sebut dasar bersama, semangat perlembagaan dan Buku Jingga," katanya.

Turut serta pada sidang media itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta 23 ahli mesyuarat yang lain.

Sebelum ini, semua pimpinan Pakatan Rakyat diarah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah mencapai pendirian bersama pada mesyuarat malam ini.

Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 9 malam tadi antara lain bagi mencari pendirian bersama berhubung perbezaan pandangan antara ketiga-tiga parti dalam isu hudud.

"Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik Umno BN untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat," kata Anwar lagi.

Isu hudud telah bergema kembali ekoran cabaran yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Kelantar agar melaksanakan hudud kerana beliau bukan lagi perdana menteri.

Kata Mahathir, pemimpin PAS Kelantan sentiasa menyalahkan beliau apabila tidak melaksanakan undang-undang itu ekoran satu surat amaran yang dikeluarkan semasa beliau menjadi PM lalu.

Mahathir meminta Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz meminta kebenaran dari Datuk Seri Najib untuk berbuat demikian.

Najib pula dalam jawapannya berkata, beliau tidak akan memberikan kebenaran itu walaupun timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata sedia untuk berbuat demikian.

Parti MCA dan Gerakan memberikan amaran kepada Umno, mereka akan keluar dari BN jika membenarkan undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Ekoran itu, DAP juga membuat kenyataan akan keluar Pakatan Rakyat jika pakatan setuju menjadikan agenda hudud sebagai agenda bersama Pakatan.

Ia terus panas apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan kerelaan jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat kerana tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan. Berikut adalah kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diperakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.
Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.
Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.
Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk  pendirian PAS berkenaan hukum syariah.
Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.
Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.
Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai  Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

Tuesday, 15 November 2011

MAJALAH Q&A MULA DITERBITKAN

Alhamdulillah, Galeri Ilmu mengorak langkah baru menerbitkan satu majalah baru dan segar untuk masyarakat umum. Insya Allah, saya turut menyumbang sebagai salah seorang kolumnis dalam majalah tersebut. Semoga medium dakwah di Malaysia lebih banyak dan dapat menghuraikan ilmu Islam secara tepat, Insya Allah. Pada saya, majalah-majalah begini bukan bertujuan untuk bersaing tetapi memberi ruang kepelbagaian kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Saya juga telah dijemput untuk memberi pandangan mengenai sistem pemasaran mereka yang dipegang oleh anak syarikat mereka iaitu Iqramall.com. Sebagai makluman awal, banyak yang kami perbincangkan khususnya isu MLM yang mengandungi gharar dan mendapat hasil tanpa usaha. Kita cuba merangka meminimumkan unsur MLM di dalam sistem pemasaran tersebut. Sekiranya ada, kita cuba pastikan ianya tidak mengandungi unsur MLM yang terlarang. Tujuan kita ialah memberi 'win-win' kepada syarikat dan para pembaca. Sistem ini tidak memerlukan pembaca atau ahli membayar wang pendaftaran dan tidak ada janji-janji kosong perlindingan takaful atau kharat kematian sebab sebarang janji wajib ditunaikan.

Daripada perbincangan, kami memutuskan bahawa kami sebagai penasihat Syariah pemasaran tersebut yang akan dilantik secara rasmi, tidak akan berada di dalam kerangka perniagaan Iqramall dan Galeri Ilmu. Ini untuk memastikan kami bebas memberikan pandangan kami sekiranya ada kesalahan yang berlaku kelak. Insya Allah, integriti , etika dan ketelusan penasihatan Syariah kita akan jaga dalam menjaga sistem pemasaran ini kelak.

Wallahu a'lam.

Tuesday, 18 October 2011

(Telah diupdate 19 Okt 2011) SIRI KE 2: PADA MENERANGKAN PELBAGAI MAZHAB-MAZHAB AL-MUSYABBIHAH

Alhamdulillah, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menyambung perbahasan siri ini. Kelihatan dengan jelas kenapa ulama-ulama menghukumkan sesat waimma kufur kepada golongan di bawah disebabkan mereka berpegang dengan tasybih secara NYATA dan melampau. Golongan pentasybih dan mujassimah zaman sekarang kebanyakkan ada unsur-unsur menjadikan Allah 'beranggota' menyebabkan mereka terkeluar dari golongan ASWJ, namun kegelinciran mereka tidak sampai ke batasan sebagaimana firqah di bawah. Selamat membaca.

Abu al-"izz
Di waktu Subuh, Paris.



SIRI KE 2: PADA MENERANGKAN PELBAGAI MAZHAB-MAZHAB AL-MUSYABBIHAH

Berkata al-Imam Abd al-Qahir bin Tahir al-Baghdadi (wafat 429) Rahimahullah:

Ketahuilah –semoga kamu dibahagiakan Allah- golongan al-musyabbihat (golongan yang men-serupa-kan (menyerupakan) Allah dengan makhluk) terbahagi kepada dua kumpulan:

i. Kumpulan yang men-serupa-kan zat Allah dengan zat selain Allah

ii. Kumpulan yang men-serupa-kan sifat Allah dengan sifat selain Allah

Kumpulan pertama: Kumpulan yang men-serupa-kan zat Allah dengan zat selain Allah

Kelahiran golangan al-tasybih terawal daripada golongan golongan sesat yang melampau ialah:

1. Al-sabaiyyah- mereka menggelarkan Ali sebagai tuhan, dan men-serupa-kannya dengan zat tuhan. Ketika mana Ali membakar suatu kaum, mereka berkata kepadanya: sekarang kami tahu bahawa engkau adalah tuhan,kerana api tidak akan membakar sesuatu kaum kecuali dia adalah tuhan.

2. Al-Bayaniah iaitu pengikut Bayan bin Sam’an yang mendakwa sembahannya ialah insan daripada cahaya dalam bentuk manusia pada anggota-anggotanya. Anggota-anggota ini akan fana (musnah) kecuali wajahnya.

3. Al- Mughiriyyah iaitu pengikut al-Mughirah bin Said al-‘Ijli yang mengatakan sembahannya mempunyai anggota dan anggotanya dalam bentuk huruf-huruf al-hija’ (huruf bahasa Arab).

4. Al-Mansuriyyah ialah pengikut Mansur al-‘Ijli yang menyerupakan dirinya dengan tuhannya, dan dia mendakwa telah naik ke langit, dan mendakwa juga yang tuhannya menggunakan tangannya menjamah kepalanya. Dan tuhan berkata kepadanya: “Wahai anakku, sampaikan daripadaku”.

5. Al-Khitabiyyah yang berkeyakinan ketuhanan para Imam dan dan ketuhanan Abi al-Khttab al-Asadi.


6. Kumpulan yang berpegang dengan ketuhanan Abdullah bin Muawiyah bin Abdullah bin Jaafar.

7. Al-Hululiyyah yang berpegang hulul (bersatu) Allah pada diri para Imam dan menyembah para Imam atas tujuan atau pegangan tersebut.

8. Al-Huliyyah al-Hilmaniyyah yang disandarkan kepada pengasasnya iaitu Abu Hilman al-Dimasyqi yang mendakwa bahawa tuhan bersatu dengan semua bentuk yang cantik, dan dia sujud kepada semua yang cantik.

9. Al-Muqanna’iyyah al-mubidhah di belakang Sungai Jaihun dan dakwaan mereka bahawa al-Muqanna’ ialah tuhan, dan ia berbentuk pada setiap zaman dengan bentuk tertentu.

10. Al-‘Azafirah yang berkata dengan ketuhanan Ibn Abi al-‘Azafir yang dibunuh di Baghdad.

Kumpulan-kumpulan ini yang kami sebut pada fasal ini, semuanya terkeluar dari Agama Islam walaupun mereka ini dinisbahkan kepada Islam secara zahir.

Akan bersambung…. Insya Allah

Abu al-‘Izz
Menjelang Subuh, Paris.