Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Sunday 11 March 2007

JAWAPAN "SANGGAHAN TERHADAP BERZIKIR BERAMAI-RAMAI TAK SALAH"

Oleh:Dr Asmadi Mohamed Naim

Penulisan ini adalah jawapan kepada sanggahan beremosi seorang akademia, Prof Madya Dr Ahmad Farouk Musa dari Muslim Professionals Forum [MPF] dalam penulisannya: 'Sanggahan Terhadap "Berzikir Beramai-ramai Tak Salah" dalam Majalah Intelek, bulan Februari 2007 dan website YAPIS(Saya sudah menghantar jawapan ke Majalah Intelek, namun jawapan saya tidak diterbitkan walaupun mengikut janji telefon pengarangnya bersedia memberi ruang. Saya nyatakan, sekiranya tidak disiarkan, saya hanya membuang masa menyediakan jawapan. Walaupun begitu, semoga penyiaran dalam blog ini menjawab segalanya).

Pertamanya marilah kita hayati Firman Allah SWT yang bermaksud: "Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan kepada mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah?" [42:21]

Sabda Rasullullah SAW: "Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah Khulafa' al-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah sesat"

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari satu 'bidaah baru yang keji' iaitu mensyariatkan amalan membidaahkan dan menyesatkan ulama dan masyarakat pada perkara khilafiyah (perkara furu' khususnya ibadat). Pegangan ini terhasil kerana terlalu taksub yang melulu pada satu-satu pandangan.

Sanggahan tersebut terhadap artikel penulis dalam Berita Harian yang disiarkan pada 6 Disember 2006 iaitu bertajuk: 'Berzikir beramai-ramai tak salah' adalah sambungan dari artikel 5 Disember 2006 yang sepatutnya bertajuk: 'Zikir Selepas Solat Secara Berjemaah Bukan Bidaah'.
Terdapat beberapa tuduhan yang dilemparkan oleh Prof. Madya Dr Ahmad Farouk Musa terhadap penulisan penulis. Justeru itu, menjadi tanggungjawab penulis menjawab tuduhan tersebut bagi mengelakkan salah faham di kalangan masyarakat. Semoga Allah SWT mengizinkan penulis menjawab dengan tertib dan jauh dari emosi. Disebabkan sanggahan tersebut agak berselerak isinya dan untuk mengelakkan penulis dituduh menukar fakta, maka penulis lebih cenderung menulis kembali tuduhan yang dilemparkan.

Tuduhan Pertama: Melakukan Jenayah Ilmiah"
Penulis telah dengan sengaja melakukan jenayah ilmiah, dengan melupakan perbicaraan upacara berdo'a setiap habis solat yang mengiringi zikir tersebut. Sedangkan perbuatan tersebut dilakukan secara beriringan. Tujuannya tidak lain melainkan untuk menyembunyikan as-Sunnah yang sebenarnya."

Jawapan Pertama: Penyanggah tidak mempunyai ilmu fiqh perbandingan.
Kepada sesiapa yang biasa dengan perbahasan fiqh muqaran (fiqh perbandingan), cara yang biasa digunakan ulama silam dan sekarang ialah pertamanya menentukan isu-isu yang mahu diperdebatkan. Sesiapa yang tidak tahu, biasanya tiada pada mereka ilmu fiqh muqaran ini. Jadi, jangan dicelarukan.
Justeru, pada pandangan penulis, penyanggah tidak ada pengalaman dalam fiqh perbandingan. Setelah penulis menyelidik, rupanya beliau hanya seorang tabib dan sepatutnya meneruskan keprofesoran dalam bidang perubatan dan bukannya berubah menjadi profesor menyesatkan masyarakat pada perkara khilaf! Justeru, fiqh perbandingan bukan 'mainan'nya!
Dalam artikel penulis, penulis mengkhususkan perdebatan kepada isu zikir selepas solat secara berjemaah. Tiada sepatahpun penulis mengheret perbincangan kepada isu berdoa selepas solat bersesuaian dengan ruangan yang terhad di dalam akhbar dan itupun disunting dan diubah tajuknya.

Di mana jenayah ilmiah yang diperkatakan? Apakah mahu menjelaskan satu isu tertentu dituduh sebagai jenayah ilmiah? Kalau pada pandangan Dr Farouk, berdoa selepas solat secara berjemaah itu bidaah yang sesat, jangan diheret isu berzikir secara berjemaah selepas solat! Manakala pada pandangan penulis, isu berdoa itu akan diperkatakan di ruangan yang lain. Kita tangani isu-isu satu persatu.

Tuduhan kedua: Menyembunyikan al-Sunnah
Di zaman siber ini, manusia tidak dapat bersembunyi disebalik jubah atau serban, celak atau janggut, mahupun ijazah Azhar atau Jordan, kerana setiap rujukan yang dikemukakan boleh diperiksa kesohihannya. Penulis beranggapan bahawa sekiranya beliau dapat mendatangkan hadith Ibnu Abbas tersebut, maka tiada yang akan mempersoalkan tentang upacara berdo'a beramai-ramai dan menganggap bahawa perbuatan tersebut juga sebahagian daripada as-Sunnah.

Jawapan Kedua: Penyanggah Tidak Profesional, Tidak akademik dan Amat Beremosi.
Ini adalah tuduhan yang amat tidak profesional dan amat beremosi yang kedua oleh Dr Ahmad Farouk Musa terhadap penulis iaitu seolah-olah penulis menyembunyikan sunnah. Tidak semena-mena penulis dituduh dengan tuduhan menyembunyikan sunnah kerana penulis tidak menyebut isu berdoa secara berjemaah. Walhal, artikel penulis dengan jelas mengatakan, isu yang ingin diperbahaskan ialah isu berzikir secara berjemaah selepas solat! Oleh itu, sanggahan Dr Ahmad Farouk terhala kepada perkara yang lain dari apa yang penulis katakan iaitu isu doa.
Percanggahan ini mungkin terbit dari emosi yang membara! Bagi orang-orang awam yang membacanya, merasakan sanggahan sudah penuh dengan hujah walhal hujahnya menjurus kepada perkara lain.
Yang lebih menakjubkan, dikaitkan segalanya iaitu jubah, serban, celak, sijil Al-Azhar atau Jordan! Sukar dipercayai, cara ini datang dari seorang profesional doktor perubatan dan akademia! (Macam mana boleh mewakili Forum Profesional Muslim? Adakah profesional muslim sekarang boleh menerima serangan peribadi sebegini dan dipimpin oleh seorang yang tidak profesional!). Di kala seorang yang lain, mengatakan dia berkelulusan PhD agama, boleh mengeluarkan sebarang kritikan terhadap ulama, kenapa penulis tidak boleh menggunakan hujah yang sama? Kenapa perlu emosi? Kemukakan saja hujah sebagaimana ulama berhujah!

Walhal, penulis tidak mentarjihkan pandangan penulis pun pada isu zikir. Penulis menekankan bahawa jangan mudah membidaah dan menyesatkan pada persoalan yang kedudukannya mempunyai hujah yang kuat di kalangan ulama yang lain. Demikian juga tradisi ulama Salaf pada persoalan khilafiyyah (termasuk ibadat) bukan dengan menyesatkan satu sama lain. Kalau mahu mentarjih, silakan tetapi bukan dengan cara menyesatkan orang yang tidak bersetuju dengan kita.

Tuduhan ketiga: Zikir Berjemaah Secara Jahar Selepas Solat Menyanggahi Sunnah


Dr Ahmad Farouk mengemukakan hujah Imam Syafie Rahimahullah mengenai Hadith Ibn 'Abbas dengan andaian penulis menyembunyikan sesuatu. Kemudian beliau membuat kesimpulan: Jelaslah sudah bahawa perbuatan berzikir beramai-ramai secara jahar menyanggahi apa yang telah difatwakan oleh Imam asy-Syafie sendiri dan apa yang diwarisi daripada as-sunnah. Mereka memandang sunnah perbuatan yang sedemikian itu sehingga mereka merasakan orang yang meninggalkan perkara tersebut seakan-akan telah meninggalkan sunnah ar-Rasul.

Jawapan ketiga: Zikir Beramai-Ramai Selepas Solat Bukan Bidaah

Tuduhan emosi seterusnya ialah penulis menyembunyikan sesuatu mengenai kata-kata Imam Syafie. Walhal dalam artikel asal penulis, penulis menterjemahkan dari mula 'Bab Kalam al-Imam wa julusihi ba'd al-salam' sehingga pandangan Imam syafie berkaitan imam menguatkan dan kemudiannya mensenyapkan zikir (namun diedit oleh BH atas andaian tidak penting rasanya).

Memang pandangan zikir secara kuat berbeza dengan fatwa Imam Shafi'i. Namun adakah Imam Shafie menghukumkan sesat orang yang berlawanan dengan fatwanya pada persoalan ini! Banyak fatwa-fatwa lain yang tidak dipersetujui oleh ulama lain terhadap fatwa Imam Shafie, contohnya membaca basmalah dengan kuat dalam al-fatihah dan qunut yang Dr Farouk mungkin membidaahkannya dan menyesatkannya. Imam Shafie tidak menghukumkan mereka yang menyanggahinya sebagai sesat! Namun, bila memperkatakan bab zikir secara kuat, terus dikatakan Imam Shafie menghukumkan sesat sesiapa yang berlawanan dengan fatwanya! Ini hujah orang yang tidak faham perbahasan ulama!

Kekuatiran penulis ialah banyak penulisan menggunakan pandangan imam-imam dalam sesuatu masalah, kemudian dibuat kesimpulan pandangan yang bertentangan adalah bidaah dan sesat seolah-olah imam-imam menyesatkan pandangan orang lain dalam perkara khilafiyah! Ini adalah satu fitnah terhadap imam-imam! Orang yang tidak mempunyai latar belakang pengajian agama yang mendalam, pasti terus mempercayai pembohong dan pembohongan sebegini!

Sebenarnya, sesiapa yang biasa mendalami perbahasan ulama-ulama silam, pasti mendapati dalam perbahasan imam-imam dan murid-murid mereka, masing-masing berhujah menguatkan hujah masing-masing. Di akhirnya dinyatakan atau dikuatkan pandangan sendiri.
Namun, tidak ada perkataan atau ayat yang digunakan selepasnya, yang mengatakan sesiapa yang bertentangan dengannya adalah sesat, masuk neraka!

Di manakah kata-kata Imam Syafie bahawa sesiapa yang tidak mengambil kata-katanya merupakan seorang pembuat bidaah dan sesat (Termasuk isu qunut, bacaan basmalah dan lain-lain!)? Fahami kata-kata ulama secara mendalam dan jangan dibuat mafhum mukhalafah (kefahaman disebaliknya) dari kata-katanya! Riwayah dan dirayah dalam fiqh juga perlu untuk memahami perkataan fuqaha`. Sekiranya bahasa Arab semata-mata boleh menyebabkan seseorang memahami perkataan fuqaha`, nescaya semua orang Arab sudah menjadi ulama!.

Imam Syafie hanya 'memilih' (akhtaru) dan membezakan (menurut ijtihadnya) amalan-amalan yang beliau yakini sebagai sunnah. Terjemahan Dr Ahmad Farouk salah! Atau mungkin 'copy and paste' dari terjemahan orang lain! Beliau menggunakan terjemahan 'pendapatku'. Terjemahan sebenar ialah 'aku memilih'!

Yang dilakukan oleh Dr Ahmad Farouk sebenarnya ialah 'taqawwul 'ala al-imam' iaitu memperkatakan atau mentakwilkan sesuatu yang imam tidak perkatakan, iaitu seolah-olah Imam Syafie membidaahkan secara keji dan menyesatkan orang yang tidak menerima pandangannya dalam persoalan zikir. Walaupun begitu, Dr Farouk menyangka atau meyakini bahawa fitnah ini perlu, dan boleh dilakukan untuk berkhidmat kepada al-sunnah!

Penggunaan perkataan 'memilih' oleh Imam al-Syafie Rahimahullah terhadap pandangannya ini dilakukan kerana adanya khilaf berkaitan Hadith Ibn 'Abbas yang mana Abu Ma'bad menafikan meriwayatkan kepada 'Amr bin Dinar. Walaupun begitu, Hadith tersebut dinukilkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dalam Sahih mereka walhal kedua imam ini amat ketat syarat periwayatan Hadithnya.

Secara jujur saya nukilkan kata-kata Imam al-Nawawi Rahimahullah berkaitan hadith Ibn Abbas: Ini dalil terhadap apa yang dipegang oleh sebahagian ulama Salaf iaitu disunatkan meninggikan suara dengan zikir al-takbir (Allahu akbar) dan zikir-zikir lain selepas solat fardhu.
Manakala ulama mutaakhirin yang turut menghukumkannya sunnah ialah Ibn Hazam al-Zahiri.
Imam al-Nawawi menambah lagi: "Katanya: (Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Ma'bad kemudian dia menafikannya) pada menjadikannya hujah (dalil) oleh Muslim dengan hadith ini, merupakan bukti bahawa dia (Imam Muslim) berpegang sahihnya hadith (Ibn 'Abbas) ini walaupun dinafikan oleh perawi asalnya, kerana yang merawikannya itu thiqah (diyakini). Ini merupakan mazhab jumhur ulama sama ada ulama hadith, fuqaha` atau ulama usul fiqh". (Tamat nukilan dari kitab Syarh Sahih Muslim: Jilid 4-6, hal. 237).

Maksud yang sama dihuraikan oleh Imam Ibn Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari (Bab al-Zikr Ba'd al-Solah, Jilid 2, hal. 260).

Dengan itu, Imam Nawawi dan Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani membuat kesimpulan bahawa ia merupakan pandangan jumhur ulama Hadith, fuqaha' dan ulama usul bahawa Hadith Ibn 'Abbas adalah sahih walaupun perawi asalnya menafikan meriwayatkannya kerana 'Amr bin Dinar thiqah (boleh dipercayai) dan ia merupakan pegangan sebahagian ulama Salaf menjaharkan (melantangkan suara) zikir secara berjemaah selepas solat. Adalah satu fitnah dan emosi serta tuduhan liar mengatakan penulis menyembunyikan sesuatu! Penulis menjadi amat pelik apabila ada golongan dengan taksub menuduh amalan sebegini sebagai sesat!

Dr Ahmad farouk tidak mengulas pun kata-kata Imam Shafie iaitu:Dan al-Syafie berkata lagi: "Dan mana-mana Imam yang berzikir dengan apa yang aku nyatakan, secara kuat, mahupun senyap, atau selain dari cara keduanya, maka ia adalah baik (hasan). Dan aku memilih untuk Imam dan makmum berzikir kepada Allah selepas selesai solat, kedua-duanya berzikir dengan senyap. Kecuali sekiranya Imam dalam keadaan wajib dipelajari darinya sesuatu (cara bacaan berzikir), maka dia boleh melantangkan zikir sehingga ia melihat sesungguhnya mereka telah mempelajari darinya, kemudian dia berzikir secara senyap". (Tamat petikan dari Kitab al-'Umm: Jilid 1, Hal. 241, 242)

Imam al-Syafie juga menyebut sebagai 'hasan'. Apa makna 'hasan' kalau bukan bererti 'baik'? Mahu ditakwilkan dengan makna apa? Namun, Imam Syafie menekankan juga pandangannya iaitu cara yang beliau katakan adalah lebih tepat (menurut pandangannya). Tetapi penulis tidak bersetuju dengan membidaahkan dan menyesatkan orang yang berzikir secara berjemaah, kerana membidaahkan perkara furu' yang ijtihadi termasuk ibadah (lebih-lebih lagi ada hadith sahih mengenainya), adalah satu bidaah baru tidak dilakukan oleh ulama Salaf dan fuqaha`, lebih-lebih lagi sekiranya ada nas al-Quran dan al-sunnah.

Oleh itu, apabila ulama Salaf mengatakan sesuatu amalan sebagai bidaah, mereka mengkelaskannya kepada dua bahagian, pertama amalan yang mempunyai sanad. Kedua, amalan baik yang tidak mempunyai sanad (bidaah/ muhdath) atau penambahan menurut bahasa) tetapi masih belum terkeluar dari al-Quran, al-sunnah dan kaedah Syarak.
Membezakan amalan baik dengan amalan sunnah dibuat supaya, tidak berlakunya perbuatan menyandarkan amalan baik (hasan) yang dilakukan, sebagai amalan yang pernah Rasulullah SAW lakukan, kerana terdapat larangan yang jelas melarang menyandarkan sesuatu perkataan atau perbuatan kepada Rasulullah SAW kecuali jika benar daripadanya. Imam Nawawi menyebut sesuatu amalan baik sebagai bidaah (tambahan) kerana mahu membezakan amalan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW, dengan yang tidak dilakukan oleh baginda termasukkan isu berdoa beramai-ramai.

Sekiranya terkeluar dari kaedah Syarak, mereka akan secara nyata samada memakruhkannya, mengharamkannya mahupun menyesatkannya.

Perhatikan kata-kata Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah berkaitan zikir secara berjemaah selepas solat:Waminhu taqriruhum 'ala raf'i al-saut bil zikr ba'da al-salam, bihaithu kana man huwa kharij al-masjid ya'rifu inqidha` al-solah bizalik, wala yunkiruhu 'alaihim.Bermaksud: Dan antaranya ialah iqrar (pengesahan) Nabi SAW terhadap mereka (sahabah), terhadap meninggikan suara dengan zikir selepas salam, yang mana sesiapa berada di luar masjid mengetahui tamatnya solat dengannya (zikir tersebut) dan (Nabi SAW) tidak menegahnya ke atas mereka (I'lam al-Muwaqqi'in, Juz. 2, Hal. 389).

Takwilan apa lagi terhadap kata-kata Ibn Qayyim ini? Kecuali kalau saudara Farouk menolak kata-kata Ibn Qayyim dengan mengatakan Ibn Qayyim tersilap!

Tuduhan keempat: Zikir Beramai-Ramai Bidaah Yang Sesat.
Selanjutnya al-Baihaqi dan selainnya berhujah untuk mengisrarkan (mensenyapkan) zikir sesudah solat dengan hadith Abu Musa al-Asya'ari ujarnya: " Kami telah menyertai Nabi di dalam satu perjalanan. Kami apabila turun ke suatu lembah, kami bertahlil dan bertakbir sehingga bergema suara kami. Maka Nabi bersabda: Wahai manusia, berlemah-lembutlah kamu terhadap dirimu, kerana kamu bukan menyeru kepada Dia yang pekak dan bukan pula menyeru kepada Dia yang jauh, tetapi Dia yang senantiasa dekat dengan dirimu"

Jawapan keempat: Zikir Beramai-Ramai Bukan Bidaah.
Benarkah al-Baihaqi berhujah? Atau al-Baihaqi meriwayatkan hadith-hadith tersebut? Sememangnya ulama-ulama hadith meriwayatkan hadith-hadith sama ada berzikir secara senyap atau jahar (kuat). Semak balik kitab Imam al-Baihaqi dan jangan memperkatakan sesuatu yang Imam tidak perkatakan. Elakkan memfitnah ulama! Cuma bila ditulis al-Baihaqi berhujah, orang-orang awam akan yakin bahawa al-Baihaqipun berpegang pada pandangan ini iaitu menyesatkan orang yang berzikir kuat!

Ulama yang membenarkan berzikir beramai-ramai berhujah dengan banyak hujah-hujah yang menyokong boleh berzikir beramai-ramai iaitu:
1. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 191 yang bermaksud: Mereka -mereka yang menyebut nama Allah secara berdiri, duduk dan berbaring....Ayat ini adalah umum yang nyata yang tidak boleh dikecualikan darinya kecuali adanya nas yang lain atas jalan pengecualian dan takhsis.
2. Ulama juga berhujah dengan banyak Hadith-hadith sahih yang banyak, antaranya:
i. Hadith Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud: Sesiapa yang menyebutku dalam satu kumpulan (al-mala`), Aku akan menyebutnya di dalam satu kumpulan yang lebih baik darinya. (Syarah Sahih Muslim, Jilid 17, hal.182).
Berkata Imam al-Suyuti RA: Zikir dalam al-mala` (berkumpulan), tidak boleh berlaku kecuali secara kuat (jahar). (al-Hawi li al-Fatawa, Jilid 1, hal. 389).
ii. Hadith riwayat Muslim dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Taala mempunyai Malaikat yang berjalan-jalan di atas muka bumi mencari majlis-majlis zikr, maka sekira dijumpai satu majlis, pada majlis zikir, mereka duduk bersama-sama mereka (ahli zikr), membentangkan sayap-sayap mereka (malaikat memanggil sesama mereka untuk turut serta) sehingga penuh antara mereka (ahli zikr) dan langit dunia. Apabila mereka (ahli zikr) bersurai, meraka yakni malaikat naik ke langit. Berkata: Allah SWT bertanya malaikat dan Dia sebenarnya mengetahui perihal mereka: Dari mana kamu datang? Para malaikat berkata: Kami datang dari tempat hamba-hamba Mu di bumi. Mereka bertasbih kepada Mu (yusabbihunaka), mereka , bertakbir kepada Mu (yukabbirunaka), bertahlil kepada Mu (yuhallilunaka), mereka memuji Mu (yahmadunaka), mereka memohon dari Mu. Berkata Allah SWT: Apa yang mereka pohon? Para Malaikat berkata: Mereka memohon syurga Mu. Berkata: Adakah mereka melihat syurga Ku? Malaikat berkata: Tidak wahai Tuhanku! Berkata (Allah SWT): Bagaimana agaknya sekiranya mereka melihatnya? Malaikat berkata: mereka akan memohon keamanan? Berkata (Allah SWT): Memihon keamanan dari apa? Berkata malaikat: Dari neraka Mu wahai Tuhan. Berkata (Allah SWT): Adakah mereka nampak Neraka Ku? Para malaikat berkata: Tidak. Berkata Allah SWT: Bagaimana agaknya kalau mereka dapat melihat neraka Ku? Para malaikat berkata: Mereka akan beristigfar memohon keampunan Mu. Berkata: Berkata Allah SWT: Sesungguhnya Aku telah ampunkan dosa mereka, Aku kurniakan apa yang mereka minta, aku melindungi mereka dari perlindungan yang mereka minta. Berkata (Abu Hurairah): Berkata malaikat: Wahai tuhan, di kalangan mereka adaseorang hamba yang banyak dosa. Dia melalui kawasan itu, dan duduk bersama-sama mereka. Berkata: Berkata Allah SWT: Untuknya Aku ampunkan, merekalah kaum yang tidak menjadi celaka disebabkan adanya orang (pembuat maksiat) yang menyertai mereka.
Hadith sahih tersebut dengan jelas menyebut majlis zikr. Perkataan yusabbihunaka (bertasbih), yukabbirunaka (bertakbir), yuhallilunaka (bertahlil) dan yahmadunaka (memujimu). Adakan saudara mahu mentakwilkan majlis tersebut dengan makna lain, membaca al-Quran barangkali!
Kalau sudah jelas ada majlis zikir, bagaimana boleh berkumpul serentak dan berzikir secara serentak? Pasti ada yang mengaturnya dan mengetuainya. Justeru, majlis zikir yang dipimpin oleh ketua, bukanlah suatu bidaah berdasarkan hadith-hadith di atas.
Lihat komen Imam Nawawi RA berkaitan Hadith di atas: Pada Hadith ini mengenai kelebihan berzikir, kelebihan majlis zikir dan kelebihan berada bersama-sama ahli zikr, walaupun tidak berzikir bersama mereka, dan kelebihan berada bersama orang-orang soleh dan keberkatan mereka. (Syarah Sahih Muslim, Jilid 17, hal.184, 185).
Manakala hadith yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi RA, juga diriwayatkan oleh Imam Muslim. Sekiranya Dr Farouk seorang tabib yang mampu membaca kitab Arab, dan tidak gopoh menghukum, sila semak kitab Syarah Sahih Muslim oleh Imam Nawawi. Jawapannya cukup mudah! Imam Nawawi meletakkan hadith ini di bawah tajuk "Bab Istihbab khafdh al-saut bi al-Zikr illa fi al-Mawadhi' allati warada al-Syar' fiha ka al-talbiyah wa ghairiha" bermaksud: Bab sunat merendahkan suara dengan zikir kecuali pada tempat-tempat yang Syara' mensyariatkannya (dengan kuat) seperti talbiah dan selainnya". (Syarah Sahih Muslim, Jilid 17, hal.184, 185).
Kenapa Imam Nawawi menyimpulkan sebagai sunat merendahkan suara dan bukan wajib? Jawapannya ialah suruhan yang pada asalnya berbentuk wajib, tetapi sekiranya ada 'qarinah' yakni dalil-dalil lain yang seumpamanya (dari al-Quran dan hadith) yang menunjukkan sebaliknya, maka suruhan tadi bukan berbentuk 'al-hatmi' atau putus, maka kedudukannya adalah sunat sahaja. Ulama mengeluarkan hukum, bukan berpandu satu hadith, tetapi himpunan ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith. Sesiapa yang memahami Usul Fiqh, khususnya buku al-Risalah oleh Imam al-Shafie akan memahami persoalan ini. Manusia selalunya menjadi musuh terhadap apa yang ia jahil!
Sesetengah ulama lain pula mengatakan bahawa hadith di atas adalah larangan terhadap zikir yang dibuat ketika dalam pemusafiran.
Tuduhan Kelima: Mengadakan bidaah.
Dr Ahmad Farouk menuduh lagi: Apa yang lebih jelek ialah mereka mengadakan suatu bid'ah yang tidak dikenali di zaman Rasulullah dan para sahabatnya iaitu berterus-terusan berdo'a beramai-ramai sesudah solat. Manakah nas daripada as-sunnah yang dapat menjadi dalil bagi perbuatan yang sedemikian ini? Bukankah perbuatan berzikir dan berdoa beramai-ramai sesudah solat ini dilakukan serentak? Mengapakan perbincangan tentang perkara ini sengaja dilupakan? Adakah kerana tidak ada satu nas pun daripada as-sunnah yang boleh di kemukakan untuk menjadi dalil, lantas merasa cukup untuk membawa nas yang mengizinkan menjaharkan zikir dengan harapan manusia akan terpedaya dan menganggap perbuatan ini juga sebahagian daripada as-sunnah?
Jawapan Kelima: Tuduhan pada perkara lain dan penyanggah bercelaru.
Sekali lagi Dr Ahmad Farouk beremosi dan bercelaru dalam sanggahannya. Dikaitkan pula dengan isu berdoa. Kalau mahu menyanggah, sanggahlah pada topik perbincangan! Topik penulis ialah Berzikir Beramai-ramai Secara Berjemaah Selepas Solat. Nasnya penulis telah kemukakan. Topik penulis bukannya isu doa berjemaah!! Tidak ada satupun tulisan penulis menyebut tentang doa.
Dr Ahmad Faraouk kemudiannya berterusan menyatakan kata-kata ulama berkaitan berdoa secara berjemaah iaitu di luar topik perbincangan penulis. Tunggulah artikel penulis berkaitan berdoa secara berjemaah dan kemudian sanggahlah.
KESIMPULAN:

Penyanggah gopoh, amat beremosi dan tidak akademik. Semoga Allah SWT membuka pintu hatinya untuk melihat kebenaran yang ada pada para ulama dalam memastikan keaslian pentafsiran al-Quran dan sunnah. Penulis mempunyai banyak hujah-hujah lagi yang mahu dikemukakan. Cuma disebabkan ruangan yang sempit, maka memadailah setakat ini.
Penghujahan dalam perkara ini tidak sekali-kali meningkat kepada perkara qat'ie (yakin seratus peratus) samada pandangan yang membenarkan atau menolak. Kedua-duanya mengandungi pentafsiran yang boleh diterima. Cuma yang pasti ialah, ulama Salaf tidak menyesatkan perbezaan pandangan pada permasalahan ini dan permasalahan furu' (cabang) yang lain. Setiap mereka mengemukakan hujah untuk menguatkan hujah masing-masing. Walaupun begitu mereka tidak melakukan 'celaan' (tha'an). Sebaliknya bidaah membidaah merupakan aliran orang-orang terkemudian. Penyebabnya ialah terlalu taksub dengan sesuatu pandangan.
Adalah menjadi hak orang-orang yang 'berasa' layak untuk mentarjih (memilih dan menguatkan pandangannya), mentarjihkan sesuatu pandangan tetapi bukan dengan cara menyesatkan golongan yang tidak bersetuju dengan tarjihnya. Menyesatkan seseorang kerana tidak bersetuju dengan pandangan kita adalah kemuncak ketaksuban.
Ulama-ulama Salaf dengan jelas menggelarkan seseorang sebagai mubtadi', rafidhah dan sesat pada perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah.
Penekanan penulis kepada permasalahan zikir bukan bererti penulis menyokong perkara bidaah terutamanya dalam perkara-perkara yang berkaitan akidah dan perkara-perkara al-umur al-ma'lumah fi al-din bi al-dharurah (perkara-perkara utama dalam agama).
Jangan disalahkan amalan masyarakat awam yang berpegang kepada ijtihad ulama yang juga mempunyai nas. Syariat tidak mewajibkan mereka berhujah sebagaimana ulama berhujah! Perkara yang masyhur di kalangan ulama Salaf, mazhab awam ialah mazhab muftinya.
Sanggahan yang dikemukakan kebanyakkannya menyalahgunakan tafsiran ulama tentang sesuatu isu. Sanggahan penuh emosi, dendam kesumat dan jauh dari metod keilmuan Islam kerana terlalu taksub dengan sesuatu pandangan dan mensyariatkan syariat baru iaitu membidaahkan dan menyesatkan umat Islam pada perkara furu' yang khilafiyah.
Akhirnya, marilah sama-sama kita menyemarakkan bumi Allah SWT ini dengan ajaran al-Quran dan al-sunnah yang sebenar dan menjauhi perkara bidaah yang keji. Semoga semua masyarakat semakin cermat dalam isu bidaah dan tidak taksub dengan sesuatu pandangan. Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang lemah itu dari diri saya sendiri.
Wallahu a'lam.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete