Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Sunday 11 March 2007

KHALWAT ADALAH MAKSIAT ZAHIR

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya tertarik untuk memberi respon terhadap tulisan Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis dalam artikelnya bertajuk ‘Cegah maksiat zahir’ dalam Utusan Malaysia, hari Jumaat bertarikh 16 Februari 2007.

Saya secara umumnya bersetuju terhadap kebanyakan penghujahan yang dinyatakan oleh beliau. Cuma saya melihat ada tiga isu yang perlu dibezakan. Pertamanya, kesalahan zina sememangnya dipandang berat oleh Syariat Islam. Walaupun begitu, ulama-ulama Syariah secara umumnya berpegang bahawa kesalahan tidak boleh melalui kaedah tajassus. Bahkan sekiranya terdapat keraguan terhadap cara pembuktian, hukuman boleh diketepikan melalui kaedah ‘udru`u al-hudud bi syubuhat’ (ketepikan hukum hudud dengan adanya keraguan). Begitulah hebatnya Syariat Islam yang menganggap berat kesalahan zina, namun penghukumannya dilakukan dengan cukup teliti. Asas Syariah dalam mencari kesalahan zina ialah al-musahalah (melihat sebagai tidak berlaku) dan al-dar` (menepisnya) (Lihat Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, 11/342).

Namun ketelitian Syarak pada cara mencari kesalahan zina, bukannya kerana zina adalah dosa manusia dengan tuhannya sebagaimana dinyatakan oleh Dr Asri. Zina bukannya hanya dosa berbentuk individu. Zina adalah satu musibah masyarakat. Individu penzina hilang maruahnya dan ibu bapa robek hatinya dan air mukanya. Bahkan jumhur ulama memandangnya sebagai pembunuhan maknawi. Masyarakat pula berdepan dengan masalah gejala sosial dan kelahiran anak-anak luar nikah. Tidak pernah ada ulama Salaf mahupun Khalaf yang mengatakan zina hanyalah kesalahan individu. Mencegah penzinaan adalah hak masyarakat (al-haq al-‘am). Walaupun begitu, taubat adalah tetap terbuka bersesuaian dengan keyakinan kita Allah SWT itu maha pengampun dan penyayang (Lihat Abd al-Qadir ‘Audah, 1/474 dan Abu Sunnah, 57).

Isu kedua ialah Dr Asri mengemukakan kisah Sayyidina Umar RA yang memanjat rumah sebagaimana dalam kitab Imam Ghazali, Ihya` Ulumiddin. Nukilan tersebut bersumberkan penerangan Imam Ghazali mengenai syarat ketiga untuk rukun kedua al-Hisbah iaitu ‘Hendaklah kemungkaran berbentuk zahir tanpa tajassus’. Saya berbesar hati kerana beliau masih menggunakan nukilan Imam Ghazali sebagai rujukan utama persoalan ini kerana adanya desas-desus beliau agak kurang mahu menggunakan hujah imam besar ini.

Walaupun begitu, saya melihat beliau sepatutnya menyatakan juga syarat pertama dalam rukun hisbah tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ghazali dalam mukasurat sebelumnya iaitu: Syarat pertama untuk Hisbah ialah perbuatan tersebut mungkar (maksiat). Imam Ghazali mengatakan: Tidaklah Hisbah itu khusus untuk dosa-dosa besar, bahkan mendedahkan aurat di tempat mandian umum, berkhalwat (bersendirian) dengan wanita bukan mahram, dan berterusan memandang wanita yang bukan mahram, semuanya adalah dari dosa-dosa kecil, dan wajib melarangnya’ (Lihat al-Ihya`, 3/27).

Beliau juga sepatutnya menukilkan kata-kata Imam Ghazali secara penuh: ‘Maka ketahuilah, sesungguhnya sesiapa yang menutup pintunya, dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasukinya tanpa izin hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut, seumpama bunyi-bunyian serunai dan ghazal (seumpama gitar), sekiranya didengar melepasi dinding rumahnya. Sesiapa yang mendengar muzik tersebut (dari luar rumah), hendaklah dia memasukinya dan membinasakan alat hiburan tersebut’ (Lihat Kitab al-Ihya`, 3/28).

Kata-kata Imam Ghazali jelas menunjukkan bahawa sekiranya maksiat dalam rumah didengari dari luar, maka penguatkuasa boleh memasuki rumah tersebut. Dalam konteks masyarakat kita pada hari ini, apabila seorang staf hotel melihat seorang lelaki membawa pasangan bukan mahram memasuki bilik hotel, maka tanggungjawabnya membuat laporan sebagai melaksanakan tuntutan mencegah kemungkaran. Pegawai tersebut bukan mengintip, sebaliknya melaporkan perbuatan maksiat zahir iaitu pasangan bukan mahram menyewa dan memasuki bilik hotel (berkhalwat).

Demikian juga, sekiranya seorang bomoh dilaporkan melakukan perubatan dengan cara meraba pesakit contohnya, menjadi tanggungjawab penguatkuasa melakukan intipan dan melakukan tangkapan. Pada saya, kalau permasalahan ini dikemukakan kepada ulama Salaf dan Khalaf, pasti tiada siapa yang menolaknya. Berapa ramai masyarakat tertipu dengan bomoh-bomoh yang mengambil kesempatan!

Isu ketiga, saya tidak tahu atas asas apa Dr Asri berpegang: ‘Pihak pencegahan tidak boleh menggalakkan suasana suka mengadu keaiban sesama Muslim secara langsung atau tidak tanpa kesedaran sendiri melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Munkar. Pemberian sagu hati kepada pemberi maklumat dalam maksiat peribadi ini hendaklah dihentikan’.

Kata Imam al-Nawawi berkaitan menutup aib (sitr al-‘aib): ‘Menutub aib (hadis yang menyuruh menutup aib) ialah menutup aib orang yang berkedudukan dan seumpamanya yang tidak dikenali sebagai pembuat kemusnahan dan kemungkaran. Manakala yang dikenali pembuat kemungkaran, maka sunat tidak ditutup aibnya, bahkan dilaporkan kesalahannya kepada pemerintah sekiranya perbuatan melapor tidak memudaratkan pelapor, semuanya ini pada penyembunyian maksiat samada berlaku dan telah selesai berlaku. Manakala maksiat yang dia melihatnya (sedang berlaku), dan dia berinteraksi dengannya, maka wajib bersegera membantah kemungkaran tersebut, dan mencegahnya bagi sesiapa yang mampu mencegahnya. Tidak boleh dia melambatkan (cegah kemungkaran). Sekiranya tidak mampu mencegah, wajib melaporkan kepada pemerintah sekiranya laporannya tidak membawa keburukan kepada pelapor’ (Lihat Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, 16/104).

Oleh itu melaporkan perbuatan maksiat yang zahir di depan mata kita (contohnya melapor pasangan bukan mahram memasuki rumah) adalah termasuk mencegah kemungkaran. Kemungkarannya adalah berkhalwat tetapi bukan atas kesalahan zina. Kita tidak mempunyai kemampuan mengetahui samada pelapor berkenaan mempunyai kesedaran atau tidak, kerana kesedaran dan iman adalah persoalan hati. Benarkah pembayaran upah tidak digalakkan untuk mencegah kemungkaran? Kalau benar ia merupakan satu kesalahan, kenapa pemerintahan Islam lampau membahagikan pegawai penguat kuasa kepada muhtasib (berupah) dan mutawwi’ (sukarela)? Justeru, isu upah bukan isu yang besar dalam pencegahan kemungkaran.

Akhirnya, isu khalwat bukannya kerana seseorang itu konservatif atau liberal tetapi isu melaksanakan tuntutan al-Quran dan hadith. Saya tidak menafikan adanya kesilapan dalam operasi pencegahan apabila pintu-pintu bilik hotel diketuk secara rambang. Kesilapan sebegini wajib diperbetulkan supaya segala salah tanggap akan hilang. Namun, kesilapan tersebut bukan satu sebab untuk menghalang operasi pencegahan khalwat berdasarkan laporan masyarakat awam.

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment