Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Thursday 15 March 2007

ULAMA LEBIH BERINOVATIF

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Mempertikaikan peranan ulama mungkin dianggap kontemporari oleh sesetengah orang. Ia berpunca daripada kejahilan terhadap peranan yang telah dimainkan oleh ulama dalam pembangunan negara. Tanggapan tersebut mungkin juga terbit dari orang yang merasakan sudah banyak menyumbang dan merasakan pihak lain tidak menyumbang. Atau mereka merasakan ulama golongan kolot dan jumud. Walhal sebahagian masyarakat atau sebahagian besar ulama dan tokoh ilmuan Islam, sebenarnya sudah terlalu banyak memberi sumbangan untuk kesejahteraan rakyat sama ada secara sedar ataupun tidak.

Ulama Islam samada lulusan sekolah pondok atau universiti-universiti, dewasa ini menyumbang dalam pelbagai bentuk mengikut kepakaran dan pengkhususan masing-masing. Bagi sesiapa yang mendekati golongan ulama dan orang-orang agama tanpa ada rasa sinis akan melihat fenomena ini.

Sebagai bukti yang mudah untuk dibuktikan, sistem kewangan dan perbankan Islam dipacu oleh sumbangan ulama dan tokoh akademik Islam. Apabila kerajaan membuka ruang terhadap perbankan Islam pada tahun 1983 dengan penubuhan bank Islam yang pertama, ulama-ulama menyahut seruan tersebut. Langkah tersebut diperderaskan lagi oleh kerajaan dengan penubuhan kaunter-kaunter perbankan Islam di bank-bank konvensional. Proses tersebut telah mendorong setiap bank menyediakan ruang untuk ulama dan tokoh-tokoh syariah memberikan sumbangan.

Ulama-ulama yang membina sistem perbankan Islam tersebut, sebahagian besarnya memulakan pendidikan di pondok-pondok dan kemudian menamatkan pengajian di universiti-universiti, banyak berjasa memulakan idea mencetuskan system perbankan Islam dari tiada. Pada waktu itu, mereka mungkin tiada Ph.D agama atau ijazah sarjana, namun mereka gigih mencetuskan inovasi melahirkan system perbankan yang baru berjalan seiring arus perbankan konvensional walaupun masyarakat memandang sinis terhadap usaha mereka.

Bank Negara Malaysia mengambil langkah yang amat proaktif apabila mensyaratkan seorang ulama atau tokoh akademik syariah hanya boleh menjadi penasihat syariah untuk satu bank sahaja. Langkah ini membawa kepada meramaikan ulama-ulama Syariah berinovasi dalam system kewangan nasional dan global. Demikian juga penubuhan Pusat Antarabangsa Untuk Pendidikan Dalam Kewangan Islam (INCEIF) memercu kelahiran lebih ramai ulama dan profesional untuk pembangunan negara. Dana Penyelidikan Syariah oleh Bank Negara sebanyak RM200 juta juga merupakan satu bidang yang diiktiraf oleh kerajaan terhadap sumbangan ulama terhadap sistem kewangan Islam, yang dahulunya dipelopori oleh ulama-ulama yang asalnya lulusan pondok yang kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat universiti yang rasmi.

Pada tahun 2006 sahaja, perkembangan pesat perbankan dan kewangan Islam dapat dirasai oleh masyarakat secara keseluruhannya. Penubuhan Unit Pasaran modal Islam di bawah Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada akhir 1990an, merancakkan lagi usaha tersebut dan membawa kepada kelahiran Pasaran Modal Islam. Ia membuahkan hasil yang mendorong cita-cita kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam serantau. Pada hari ini, kemungkinan ramai golongan masyarakat awam yang sudah tidak memahami instrumen-instrumen kewangan Islam yang amat difahami oleh golongan ulama-ulama Syariah seperti Sikuk Ijarah, Sukuk Mudharabah, Nota Komersial Islam dan sebagainya.

Dalam isu sains dan teknologi, sesiapa yang meneliti sumbangan ulama secara ikhlas boleh merujuk kepada fatwa-fatwa yang sudah dibincangkan oleh ulama-ulama kita melalui laman web Jakim. Ulama-ulama sebenarnya sudah membahaskan isu-isu sains dan teknologi seperti isu bayi tabung uji, isu ibu tumpang (dalam kandungan), isu pengklonan dan isu-isu lain. Merupakan satu fitnah besar yang dilontarkan terhadap ulama apabila mengatakan ulama hanya membelek kitab-kitab kuning kerana mereka lulusan kelas ketiga pada zaman mereka.

Bukanlah suatu reformasi atau isu kontemporari, apabila mengatakan ulama tidak meneliti isu-isu baru. Ulama sebenarnya sudah berubah dan berinovatif, dan akan terus menyumbang ke arah pembangunan negara sekiranya diberi peluang.

Dalam bidang perundangan, ulama-ulama juga memberikan sumbangan yang besar apabila ruang diberikan oleh kerajaan. Nama-nama besar seperti Allahyarham Sheikh Ahmad Ibrahim, walaupun tanpa Ph.D, memberikan impak yang besar dalam perundangan Islam khususnya dalam proses Islamisasi perundangan Islam di Malaysia.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, demikian juga ulama, mereka juga ada mempunyai kelemahan. Namun adakah kita mahu mempraktikkan kata pepatah: ‘Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Jangan kerana kelemahan segenlintir ulama, semua ulama menjadi korban kepada tanggapan negatif. Seharusnya kita perlu lebih cerdik dalam menangani isu ini.

Sebaliknya, lihatlah kepada inovatif ulama-ulama Islam sama ada lulusan pondok atau universiti rasmi. Lihat kepada sistem kewangan dan perbankan Islam. Lihat kepada sistem perundangan yang telah diissilamisasikan. Lihat kepada resolusi fatwa mereka dalam isu-isu sains dan teknologi contohnya bayi tabung uji, ibu tumpang, derma darah, pemindahan organ dan sebagainya.

Dalam konteks kewangan Islam, adalah suatu yang dibanggakan apabila sistem perbankan Islam mengambil lulusan-lulusan agama untuk menjadi eksekutif kewangan di institusi-institusi kewangan.

Ulama sebenarnya akan menyumbang dengan lebih hebat sekiranya mereka diberikan ruang. Dalam keadaan ruang yang sempitpun, mereka mempunyai rasa jihad untuk berjuang bagi mendidik dan menyampaikan ilmu ketengah masyarakat, apatah lagi sekiranya ruang yang luas dihamparkan kepada mereka.

Untuk mengelakkan seseorang mufti, atau ulama mengeluarkan pandangan yanag aneh atau canggung yang boleh mengelirukan masyarakat, ulama-ulama semasa lebih cenderung mengeluarkan ijtihad secara berkumpulan (ijtihad jama’i). Perkara ini pernah ditekankan oleh Sheikh Mustafa al-Zarqa dan al-Imam Abu Zahrah dalam penulisan-penulisan mereka. Apabila adanya keputusan secara berkumpulan, akan lahir saling berbincang, menolak hujah dan mendatangkan kesepakatan di akhirnya nanti. Perkara ini dilaksanakan dengan penuh tertib dan adab-adab ilmu bersesuaian dengan ahli-ahli yang menghadirinya. Kerana kesedaran itulah, lahirnya Akademi Fiqh Antarabangsa OIC, Akademik Fiqh Rabitah, Majlis Fatwa Kebangsaan, Majlis Penasihatan Syariah di Bank Negara dan Suruhanjaya sekuriti dan Majlis Penasihatan Syariah di bank-bank.

Ulama-ulama yang baik biasanya bercakap mengikut adab-adab yang tertentu. Mereka tidak memperkatakan mengenai istihsan, istishab dan masalih mursalah di depan masyarakat awam, bukan kerana mereka jahil dengan ilmu-ilmu syariah tersebut, tetapi mereka bercakap ibarat kata pepatah: ‘Bercakaplah dengan manusia mengikut kadar akal mereka’.

Sebaliknya mereka berhujah dengan menggunakan al-Quran, al-sunnah, ijma’, al-qiyas dan sebagainya di dalam perbincangan sesama ulama di samping berhujah menguatkan pandangan masing-masing kerana disitulah ruangnya. Mereka tidak mencari promosi murahan menaikkan imej diri sendiri. Kehidupan mereka merendah diri sehinggakan ada tohmahan yang mereka tidak menyumbang apa-apa walaupun secara hakikatnya, terlalu banyak sumbangan mereka. Ulama yang baik biasanya tidak mengamalkan resmi ‘menang sorak kampung tergadai’ dan mereka sukar dipertunggangkan oleh sesiapapun. Ulama-ulama ini mempunyai prinsip dalam mengeluarkan pandangan mereka sehingga kadang-kadang dianggap anti establishment, konservatif, kolot, jumud oleh orang yang gopoh menghukum mereka.

Kesimpulan dari hujah-hujah tersebut ialah ulama-ulama memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan negara mengikut bidang masing-masing. Sebahagian daripada mereka, memberi sumbangan merangka kewangan Islam negara, sebahagian yang lain merangka sistem perundangan yang diislamisasikan, sebahagian yang lain pula berperanan sebagai pendidik di IPTA, sekolah-sekolah mahupun pondok-pondok. Sebahagiannya pula berperanan sebagai peniaga, tentera dan sebagainya. Semoga kerajaan terus membuka ruang yang besar untuk ulama menyumbang tanpa perlu mengorbankan prinsip dan pengajian mereka. Semoga Allah SWT merahmati ulama dan menjadikan kita pengikut ulama yang soleh dan benar. Wallahu a’lam.


Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti Utara Malaysia. Berkelulusan PhD dan Master (Fiqh & Usul Fiqh) dari UIA dan Sarjana Muda Syariah (Fiqh & Tasyri’) dari University of Jordan.

SUMBER: Utusan Malaysia, 12 Januari 2007

utusan.com.my/utusan/content.aspy=2007&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

No comments:

Post a Comment