Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Thursday 15 March 2007

MEMPERTAHAN KHAZANAH ILMU ISLAM (BH)

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Di akhir-akhir ini, ada dakwaan yang mengatakan khazanah-khazanah Islam silamlah punca kesesatan umat! Banyak bidaah terkandung di dalam khazanah-khazanah tersebut! Islam mundur kerana berpegang kepada khazanah-khazanah ratusan tahun tersebut! Islam perlu di’pakej’kan kembali setelah melalui aliran sesat selama ratusan tahun!

Kalau hujah kemunduran digunakan, penulis merasakan masyarakat Malaysia yang beriltizam dengan al-Quran dan sunnah mengikut penghuraian Mazhab Syafie, dan mengikut aliran akhlak Imam al-Ghazali adalah lebih maju dan bebas dari tekanan ekonomi barat. Kalau dibandingkan dengan negara Arab yang kaya minyak dan mendakwa mengikut sepenuhnya al-Quran dan sunnahpun, kita lebih terkehadapan dari sudut kemajuan dan bebas dari pergantungan ekonomi dengan barat.

Kalau hujah bidaah akidah yang dikaitkan, ulama-ulama dari zaman berzaman sememangnya menolak perbuatan bidaah syirik yang menduakan Allah SWT, memuja kubur, memuja pantai, memuja sheikh dan penambahan dalam perkara-perkara utama dalam agama. Datangkan bukti, ulama mana yang membenarkan perlakuan tersebut?

Namun, kalau kesesatan atau bidaah yang dimaksudkan ialah kerana masyarakat membaca zikir beramai-ramai, berdoa beramai-ramai, baca surah Yasin malam Jumaat, mengadakan tahlil dan maulid, talkin, maka masalah ini adalah masalah cabang (furu’ khilafiyyah) yang tidak pernah selesai zaman berzaman. Adakah kerananya, masyarakat Islam perlu berpecah dengan dilabelkan sesat, masuk neraka, bidaah pada isu yang sekecil itu? Padahal masyarakat Islam berdepan dengan isu yang jauh lebih besar iaitu kemerosotan kebangkitan Islam yang hebat pada pada era 80an dan 90an. Kemerosotan ini membawa kepada merebaknya gejala sosial, anak luar nikah dan fenomena murtad.

Mempakej Islam dalam bentuk baru menjadi laungan sesetengah pihak di atas alasan Islam yang sebenar diselewengkan oleh ulama-ulama selama ratusan tahun! Semoga Allah SWT mengampunkan mereka yang membuat tuduhan umum tersebut kepada ulama-ulama Islam silam. Adakah Islam bentuk baru ialah Islam barat yang orang-orang Islamnya minoriti? Islam yang tidak dibezakan lagi perkara tetap (thawabit) dan perkara yang boleh berubah (mutaghayyirat). Kalau boleh, Islam mahu diubah sebagaimana Kristian telah melalui perubahan.

Atau adakah Islam cara yang dipraktiskan oleh sebahagian Negara Arab yang membidaahkan dan menyesatkan perkara-perkara cabang yang penulis perkatakan tadi. Kalau pakej ini yang dimaksudkan, masyarakat sebenarnya dimasukkan dalam satu pertelingkahan yang cukup merbahaya yang telah berlaku sejak ratusan tahun. Banyak masa perlu dikorbankan untuk berhadapan dengan isu sesat menyesat pada persoalan zikir, doa, tahlil, maulid dan sebagainya ini.

Secara faktanya, generasi para sahabat RA merupakan golongan yang paling berautoriti dan lebih memahami pentafsiran al-Quran dan penghuraian al-hadith. Fakta ini dipegang kukuh oleh ulama di atas sifat generasi para sahabat pernah hidup dalam zaman kenabian. Ulama Tabi’in (selepas sahabat) merupakan rujukan tradisi keilmuan Islam berikutnya yang dipegang oleh ulama dalam mempertahankan keaslian pentafsiran al-Quran dan penghujahan al-hadith dari dipengaruhi oleh unsur-unsur luaran. Pada waktu itu, lahir fuqaha` al-tabi`in iaitu Said bin al-Musayyib di Iraq, ‘Alqamah dan Ibrahim Nakha’i di Iraq dan ramai lagi. Ulama-ulama Tabi’in berhujah bersandarkan al-Quran, al-hadith dan fatwa-fatwa sahabat.

Setelah itu lahirlah zaman tabi’ al-tabi’in (pengikut tabi’in) yang merupakan zaman Imam-Imam mazhab yang berusaha memastikan keaslian pentafsiran al-Quran dan penghuraian al-hadith. Imam Abu Hanifah contohnya, menentukan penghuraian hukum dengan berpandukan al-Quran, al-sunnah, fatwa sahabat yang disepakati antara mereka, atau memilih yang terbaik pada pandangan yang tidak disepakati, beliau tidak menggunakan pandangan Tabi’in kerana mereka seumpamanya, penggunaan qiyas dan istihsan mengikut metodnya yang nyata. Demikian juga, Imam Malik RA menghurai al-Quran dan al-sunnah dengan penghuraiannya yang amat jelas dalam kitab-kitabnya. Demikian pegangannya yang kuat terhadap penghujahan yang tidak bertentangan dengan amalan penduduk Madinah.

Antaranya lagi, Imam Syafie RA yang meneruskan tradisi tersebut mempertahankan tradisi keilmuan Islam untuk memastikan keaslian pentafsiran al-Quran dan penghuraian sunnah. Imam Syafie mendapati bahawa di depannya khazanah ilmu Islam yang hebat. Beliau mempunyai ilmu fiqh Madinah, kerana perguruannya dengan Imam Malik RA. Beliau juga mempunyai ilmu fiqh Iraq, kerana perguruannya dengan Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani dan fiqh Mekah kerana beliau tinggal di sana. Beliau menyedari terdapat perdebatan antara pengikut fiqh Mekah, fiqh Madinah dan fiqh Iraq. Menyedari hakikat tersebut, beliau menulis kitabnya al-Risalah, sebagai satu metod kepada penghuraian al-Quran dan sunnah sebagai jawapan kepada perdebatan di antara mazhab fiqh-fiqh tersebut.

Tradisi ilmu Islam ini berterusan kepada ulama-ulama selepas zaman Imam-Imam mazhab. Mereka memperjelaskan dan menghuraikan lagi kaedah atau metod yang telah digariskan oleh imam-imam mereka dalam mentafsirkan hukum-hukum dari al-Quran dan sunnah. Mereka berijtihad kerana pintu ijtihad sentiasa terbuka. Ada yang mengatakan pintu ijtihad tertutup, bukan kerana ia tertutup, tetapi kerana lahir ramainya golongan jahil yang berijtihad melencong dari gagasan yang dibawa oleh al-Quran dan al-sunnah.

Inilah khazanah ilmu Islam yang berharga, terbina lebih dari 1400 tahun. Kalau agama-agama lain, tidak diketahui asal-usul khazanah ilmunya, namun Islam kaya dengan khazanah ilmu yang amat dipercayai, tersusun dan bernilai. Khazanah-khazanah ini sebenarnya satu kesinambungan jaminan Allah SWT bahawa al-Quran dan ajarannya akan terjaga dan umatnya tidak sesat sehingga kiamat.

Masyarakat Islam perlu mempertahankan dan menghargai khazanah-khazanah ilmu Islam. Cukuplah Tartar yang menghumban banyak khazanah ilmu Islam ke dalam Sungai Furat dan Dajlah. Bak kata pepatah, tidak kenal maka tidak cinta. Gagasan mengenepikan khazanah ilmu-ilmu Islam biasanya datang dari mereka yang tidak pernah mendalami khazanah-khazanah tersebut. Tidak pernah ada gesaan dari ulama-ulama terkenal seperti Sheikh al-Buti, al-Qardawi, al-Zuhayli, al-Jaburi, al-Asyqar dan lain-lain supaya diketepikan khazanah-khazanah berharga tersebut.

Tradisi ilmu ulama ialah berpegang kepada al-Quran dan sunnah. Sekiranya sesuatu isu tidak diperkatakan oleh al-Quran dan sunnah secara langsung, mereka merujuk kepada fatwa sahabat. Sekiranya tiada, mereka akan melihat hukum-hukum yang dikeluarkan oleh para ulama dan penghujahan-penghujahan dalam kitab-kitab mereka. Inilah tradisi ilmu ulama. Tanpa tradisi ini, seseorang sebenarnya mentafsirkan al-Quran dan sunnah mengikut akal masing-masing dan berdasarkan kefahaman dangkal setiap individu serta boleh membawa kesesatan sebagaimana wujudnya firqah-firqah sesat terdahulu yang mentafsirkan al-Quran dan sunnah di luar konteksnya yang sebenar. Wallahu a’lam.

Dr Asmadi Mohamed Naim ialah Pensyarah Kanan Perbakan dan Kewangan Islam, merangkap Timabalan Dekan Akademik, Fakulti Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia


Sumber: Berita Harian, 24 Februari 2007

www.bharian.com.my/Saturday/Agama/20070224000220/Article/index_html - 49k -

No comments:

Post a Comment