Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Wednesday 4 April 2007

PERBANKAN ISLAM PERLU LEBIH BERTOLAK ANSUR

Oleh Asmadi Mohamed Naim

PERKEMBANGAN perbankan Islam menjadi semakin rancak di Malaysia. Berdasarkan laporan Berita Harian, 24 Mac lalu, Bank Negara Malaysia meluluskan penubuhan syarikat penuh perbankan Islam kepada Maybank Berhad.

Ini bermakna kaunter perbankan Islam di Maybank akan berdiri sebagai satu anak syarikat Maybank yang mempunyai satu entiti berasingan daripada Maybank yang ada pada waktu ini.

Menurut laporan itu lagi, Bahagian Perbankan Islam Maybank mempunyai pemilikan aset berasaskan syariah bernilai AS$6.4 bilion, menjadikan ‘Maybank Islamic’ sebagai penyedia perkhidmatan perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik.

Pertumbuhan industri perbankan Islam semakin rancak dengan beberapa bank luar negara seperti Citibank dan HSBC Bank dilihat sentiasa memperkemaskan produk perbankan Islam mereka.

Perkembangan pesat perbankan Islam di Malaysia dilihat pemerhati dan pengamal perbankan Islam dari pelbagai sudut. Antaranya, ia melambangkan keterbukaan masyarakat Malaysia menjadikan perbankan Islam mudah diterima.

Kedua, cuaca pelaburan yang memberangsangkan di Malaysia meyakinkan pelabur untuk melabur di negara ini. Faktor ini disokong rasa tidak yakin pelabur Asia Barat terhadap pelaburan di Barat lantaran fenomena mengaitkan Islam dengan keganasan.

Walaupun begitu, penulis berasakan perbankan Islam perlu menyelesaikan segera beberapa isu yang masih menyelubungi sistem itu. Ungkapan seperti ‘perbankan Islam salinan kepada sistem konvensional’ masih kedengaran di kalangan pendukung atau pelanggan setia perbankan Islam.

Contoh, kontrak BBA terus menjadi kontroversi kepada perbankan Islam. Ia kerap dilihat sebagai satu ciplakan kepada sistem riba dalam perbankan konvensional. Ramai berasakan kontrak BBA satu kontrak yang lemah menurut perundangan Islam.

Sebenarnya BBA singkatan kepada al-Bai' bi Thaman Ajil iaitu jual dengan pembayaran balik secara tangguh. Pihak penjual biasanya memperoleh keuntungan melalui harga tangguh berkenaan (modal campur keuntungan).

Sebagai contoh, pihak bank membeli barang daripada pembekal dengan harga modal secara tunai. Selepas itu, bank menjual kepada pihak pengguna dengan harga tangguh tertentu (modal + untung) untuk satu tempoh masa tertentu contohnya enam bulan.Perbankan Islam di seluruh dunia menerima konsep ini. Kebanyakan ulama menerima konsep BBA dan murabahah termasuk ulama di Asia Barat. Kontrak ini adalah kontrak antara tiga pihak iaitu pembekal, bank dan pengguna akhir.

Walaupun begitu, BBA yang diamalkan di Malaysia bercampur dengan unsur lain menyebabkannya dipertikai perbankan Islam di Asia Barat. Antara unsur dimaksudkan ialah unsur bai' al-'inah dan menjual sesuatu yang belum wujud (bai' al-ma'dum).

Pembiayaan peribadi

Kontrak ini terjadi apabila seseorang (contohnya si B) yang inginkan wang tunai mengunjungi sebuah perbankan Islam. Bank A menjual sebahagian asetnya kepada pelanggan B dengan harga RM10,000 secara tangguh atau hutang untuk tempoh lapan tahun contohnya.

Selepas itu, Bank A akan membeli semula aset berkenaan dengan harga RM6,000 secara tunai. Dengan itu, pelanggan B perlu membayar lebihan RM4,000 dalam tempoh itu.

Sebenarnya kontrak di atas mengandungi dua kontrak. Pertama, Bank A menjual aset kepada pelanggan B. Kedua, pelanggan B menjual balik aset itu kepada bank A. Tujuan pelanggan B ialah mendapatkan wang tunai dan bukannya aset bank. Inilah konsep yang dipakai untuk pembiayaan peribadi.

Pembiayaan rumah sedang dibina

Perkara lain yang dipertikaikan ialah konsep BBA dalam pembiayaan perumahan yang sedang dalam pembinaan. Kebanyakan konsep dilaksana ialah pihak bank membeli hak ke atas rumah sedang dibina daripada pihak pemaju.

Selepas itu bank menjadikan ‘rumah yang sedang dibina’ sebagai satu sekuriti yang kemudian diiktiraf sebagai aset terasing bernilai dan kemudian dijual kepada pelanggan dengan harga tangguh (modal + untung) menggunakan konsep BBA tanpa menghiraukan rumah itu terbengkalai atau lambat pembinaannya. Segala risiko pembinaan dipikul sepenuhnya oleh pelanggan.

Konsep ini menimbulkan kontroversi besar di kalangan ulama Islam. Pertama, adakah sekuriti itu haq maliy yang terasing daripada aset sebenar? Haq maliy di dalam Islam sebenarnya terikat secara terus dengan aset yang wujud.

Dalam kes di atas, aset sebenarnya belum wujud (masih dalam pembinaan). Atas dasar itu, kebanyakan ulama khususnya di Asia Barat berpegang bahawa haq maliy pada rumah berkenaan berbentuk al-dayn (hutang).

Berdiri di atas pandangan boleh menjual dayn mustaqir (hutang yang diyakini boleh bayar), bank tidak boleh menjual hutang dengan harga lebih tinggi atau lebih rendah. Sebarang perubahan pada harga membawa kepada mengambil riba.

Pembiayaan rumah siap
Kedua ialah tiada bukti diiktiraf perundangan Malaysia yang menunjukkan bank membeli rumah siap sebelum menjualnya kepada pelanggan. Kebanyakan bank hanya menyediakan dokumen menunjukkan pemilikan mereka terhadap rumah itu.

Kes mahkamah yang lampau membuktikan bagaimana mahkamah di Malaysia tidak melihat adanya transaksi pindah milik rumah daripada kontraktor kepada bank. Hasilnya, segala transaksi bank dilihat sebagai memberikan pinjaman wang kepada pelanggan dengan kadar bunga tertentu.

Penulis tidak berhasrat mempertikai keputusan dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah bank atau Majlis Penasihat Syariah Bank Negara. Namun, liberalisasi perbankan Islam di Malaysia diharap menjadi lonjakan kepada satu arus baru perbankan Islam.

Ada bank yang mula melakukan anjakan dengan menawarkan produk berbentuk perkongsian risiko berpandukan konsep ‘al-ghunm bi al-ghurm’ iaitu ‘perolehan melalui risiko’. Penawaran konsep yang mempunyai hujah lebih kuat) seperti musyarakah mutanaqisah bagi pembiayaan perumahan, diharap dapat menceriakan pelanggan setia perbankan Islam.

Mengikut konsep ini, sesebuah bank Islam dan pelanggan akan berkongsi membina rumah. Rumah itu disewakan dan keuntungan daripada sewa dibahagikan antara bank dan pelanggan bergantung kepada jumlah modal masing-masing.

Pada masa sama, pelanggan boleh membeli bahagian bank sedikit demi sedikit untuk membolehkan mereka menguasai keseluruhan rumah itu.

Kesimpulannya, liberalisasi dan pertambahan jumlah perbankan Islam di Malaysia seharusnya dilihat dan dianalisis secara teliti.

Kemasukan perbankan Islam dari Asia Barat sebenarnya suatu interpretasi ketidakupayaan prinsip perbankan Islam versi Malaysia diyakini sepenuhnya pelabur syariah tegar dari Asia Barat.

Lantaran itu, Bank Negara Malaysia meneruskan langkah bijak dengan menawarkan dan meluluskan bank Islam Asia Barat untuk beroperasi dan memilih prinsip syariah yang diyakini mereka.Secara tidak langsung, bank Asia Barat akan membawa masuk pelaburan dari sana.

Operasi bank Asia Barat diharapkan membawa arus perubahan kepada prinsip perbankan yang sedang digunakan.

Pelanggan mengharapkan perbankan Islam yang benar-benar mengutamakan ‘kesahan’ kontrak menurut syariah. Mereka juga mengharapkan konsep kerjasama, tolak ansur dan risiko menjadi asas kuat perbankan Islam berbanding perbankan konvensional.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perbankan dan Kewangan Islam, merangkap Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia.

INTI PATI:

Beberapa bank luar negara dilihat sentiasa bersaing bagi memperkemaskan produk perbankan Islam menunjukkan pertumbuhan industri perbankan Islam semakin rancak.
Tindakan Barat mengaitkan Islam dengan keganasan menyebabkan kebanyakan pelabur Asia Barat beralih kepada Malaysia.

Perbankan Islam perlu menyelesaikan beberapa perkara seperti anggapan ‘perbankan Islam salinan kepada sistem konvensional’.
Kemasukan perbankan Islam dari Asia Barat membayangkan ketidakupayaan prinsip perbankan Islam versi Malaysia diyakini sepenuhnya pelabur syariah terutama dari Asia Barat.

Pelanggan perbankan islam mengharapkan sistem yang benar-benar mengutamakan ‘kesahan’ kontrak menurut syariah. Mereka juga mengharapkan konsep kerjasama dan sistem yang lebih bertolak ansur berbanding perbankan konvensionaL.
Sumber: Berita Harian, 3 April 2007, Selasa, mukasurat 10. Lihat: http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Agama/20070402234758/Article/

No comments:

Post a Comment