Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Monday 30 December 2013

Debat Ilmiah antara Wahhabi dan Ahlussunnah




Para pembaca yang budiman,

Satu debat yang menarik antara dua aliran, berlangsung di Indonesia. Selamat menonton

Sunday 8 December 2013

ULAMA MEKAH IKTIRAF AMALAN MAZHAB SHAFIE- ISLAM TERZAHIR DI MALAYSIA

Assalamu alaikum warahmatullah
 
Saya membaca dengan penuh minat interview ini di Utusan Malaysia 8 Disember 2013. Paling ketara mereka berdua bersikap matang dan terbuka. Mengakui mereka mengikuti Mazhab Hanbali dan kita di Malaysia mengikuti Mazhab Syafie. Semuanya sunni (lihat bergaris dalam artikel di bawah). Ini bertentangan dengan pendekatan puak-puak tertentu menyesatkan beberapa fatwa Imam Syafie seperti qunut, zikir dan lain-lain. Bahkan mereka mempertahankan mazhab yang empat dan pengikut mereka adalah Sunni. Kalau beginilah pendekatannya, maka kita tidak berdepan dengan masalah perpecahan disebabkan perkara remeh temeh. Bahkan mereka melarang kita berpecah pada persoalan furuk (cabang).
 
Mereka mengikut Manhaj Salaf, Salaf yang sebenar adalah bebas daripada tajsim dan tashbih. Justeru, pembaca perlu berhati-hati kepada aliran tajsim dan tashbih (iaitu aliran yang mendakwa Allah serupa dengan manusia dengan mengatakan Allah beranggota, tetapi anggota tak sama dengan manusia!).
 
Selamat membaca artikel di bawah dan boleh baca teris dari Utusan Malaysia dengan klik pada tajuk.
 
Abu al-'Izz al-Sunni
 
 

Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang berakhir semalam cukup istimewa apabila turut dihadiri Imam Masjidil Haram atau dikenali dengan Imam Haramain iaitu Sheikh Dr. Khalid Ali Al-Ghamidi.

Sepanjang hampir seminggu berada di Malaysia, Sheikh Khalid serta rombongannya berpeluang melihat secara umum pelaksanaan syariat Islam di negara ini selain bertemu beberapa pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau turut diberi penghormatan menjadi imam dan khatib Jumaat di surau ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena perhimpunan itu.

Sebelum berangkat pulang ke Arab Saudi petang semalam, Sheikh Khalid bersama Profesor Akidah di Universiti Ummul Qura, Mekah, Lutfullah Khaujah meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu media tempatan untuk berkongsi pandangannya khususnya mengenai Islam di negara ini.

Berikut sedutan sidang akhbar beliau yang turut dihadiri wartawan Mingguan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD.

Wartawan Mingguan Malaysia, Saifulizam Mohamad (kiri) dalam satu pertemuan Imam Besar Masjidil Haram Mekah Sheikh Dr. Khalid Ali (dua dari kanan) sambil di perhatikan oleh Kaunselor Islam di Kedutaan Arab Saudi di Malaysia Dr. Abdul Rahman M. Albellaihi (dua dari kiri), Prof. Aqidah Universiti Umul Qura Mekah Prof. Lutfullah Khaujah (tiga dari kiri) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, semalam.

APA pandangan Sheikh terhadap usaha kerajaan memasukkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Perlembagaan Malaysia?

SHEIKH KHALID: Saya memuji tindakan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) serta semua kepimpinan kerajaan terhadap usaha itu. Ini merupakan tindakan sangat besar terutama sumbangan terhadap Islam. Ini adalah pertolongan daripada Allah SWT keatas mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini juga hidayah dan petunjuk daripada Allah kepada Presiden dan pucuk pimpinan parti secara khususnya dan negara secara umumnya. Dalam hadis yang panjang, Rasulullah SAW bersabda, "umat akan berpecah kepada 73 kelompok. Kesemuanya di dalam neraka kecuali satu sahaja. Rasulullah menyebut al-jamaah. Siapa jamaah ini? Rasulullah merujuk kepada 'apa yang aku dan para sahabatku berpijak dan berdiri di atasnya hari ini'. Ini juga merujuk kepada salafatul ummah iaitu generasi para sahabat diikuti tabiin dan tabiin-tabiin. Sudah tentu tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan ini akan memberi kesan yang sangat baik dalam konteks Malaysia dalam usaha menyelamatkan negara ini daripada ajaran-ajaran yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan moga-moga apa yang dilakukan ini dapat juga dilaksanakan di negara-negara lain.

LUFTULLAH: Dari segi istilah sunah itu bermaksud perbuatan, perkataan dan pengakuan Rasulullah SAW. Sesuatu yang datang daripada perbuatan, perkataan dan pengakuan Rasulullah maka itu adalah agama. Perkataan al-Jamaah pula merujuk kepada kumpulan yang mengikut sunah Rasulullah. Kumpulan yang mengikut sunah Rasulullah, pertama merujuk kepada kesemua sahabat nabi. Ringkasnya, al-Jamaah itu merujuk kepada perpaduan yang terbina atas asas sunah Rasulullah.

Adakah Perlembagaan Arab Saudi turut dimasukkan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah?

 SHEIKH KHALID: Di Arab Saudi perkara itu termaktub. Di dalamnya ditulis atas asas manhaj salafussaleh. Salaf itu merujuk kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Walau bagaimanapun, situasi di negara kami berbeza dengan Malaysia. Arab Saudi merupakan tempat turunnya wahyu. Gerakan permulaan penubuhan negara kami adalah berasaskan al-Quran dan sunah. Ini berbeza dengan Malaysia dan negara-negara lain. Di negara-negara lain kemungkinan akan berlaku kekeliruan. Oleh itu, perlu ada satu usaha untuk menghilangkan kekeliruan tersebut antaranya dengan memasukkan perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Perlembagaan.

Pandangan Sheikh terhadap cara Islam dilaksanakan di Malaysia?

SHEIKH KHALID: Secara umumnya Islam itu terzahir dalam konteks Malaysia. Saya hargai kepimpinan negara ini dalam usaha mempertingkatkan lagi pelaksanaan syariat Islam negara ini secara berperingkat-peringkat. Segala sesuatu itu hendaklah dibuat secara berperingkat. Ini harapan saya.

Adakah tidak cukup pelaksanaan Islam sekiranya tidak dilaksanakan hukum hudud?

SHEIKH KHALID: Dalam tempoh 13 tahun di Mekah terdapat banyak perkara yang Rasulullah tidak sampaikan. Rasulullah tawaf di sekeliling Kaabah dalam keadaan Kaabah itu di sekelilingnya ada 360 berhala. Namun adakah ini bererti Nabi ketika itu tidak melaksanakan Islam, jawapannya tidak. Rasulullah melaksanakan syariat Islam secara berperingkat. Maka, kesannya itu lebih besar sehingga melahirkan insan-insan sempurna seperti para sahabat.

LUFTULLAH: Kita perlu sedar pada hari ini manusia jauh daripada agama. Apabila manusia jauh daripada agama, cara untuk kita memperbetulkan keadaan adalah dengan kembali seperti mana zaman Rasulullah ketika manusia jauh daripada agama. Syariat pada masa itu turun kepada Rasulullah secara berperingkat. Sebagai contoh pengharaman arak. Pengharaman itu berlaku secara berperingkat-peringkat. Pertama dikatakan arak ini ada kesan baik dan kesan buruk. Kemudian dikatakan orang yang minum arak tidak boleh bersolat dan akhirnya arak itu diharamkan sepenuhnya. Amalan agama perlu kepada peringkat demi peringkat.

Jika datang secara keras, datang secara kasar dan paksaan, tidak mustahil manusia akan meninggalkan agama kerana berasa berat dengan apa yang berlaku ke atas dirinya. Daripada kita tinggalkan semua, lebih baik ambil sedikit demi sedikit. Laksanakan secara berperingkat. Mudah-mudahan atau lama-kelamaan Islam akan dapat diamalkan secara keseluruhan. Islam itu bukan agama yang datang dalam bentuk paksaan dan kekasaran tetapi Islam itu datang memberikan penjelasan, mengajar, mendidik masyarakat dan rakyat.

 Apakah nasihat Sheikh kepada pemimpin dan rakyat negara ini?

SHEIKH KHALID: Bertakwalah kepada Allah. Pemerintah hendaklah sentiasa melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada rakyat dan ummah. Sentiasalah berusaha untuk memperkasakan kedudukan Islam di dalam negara. Realisasikanlah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam konteks Malaysia. Pemimpin juga sudah tentu perlukan kepada kekuatan untuk menyempurnakan syariat Islam, insya-Allah secara keseluruhan pada satu hari nanti. Namun tidak dinafikan, mana mungkin kita boleh menemui manusia yang sempurna. Sudah tentu ada kelemahan dan kekurangan. Walau apa pun saya menghargai usaha-usaha kebaikan dilakukan oleh pemerintah pada hari ini.

Kepada rakyat, bertakwalah kepada Allah. Bantulah pemerintah dalam usaha-usaha kebaikan dan usaha-usaha memartabatkan Islam. Jangan sama sekali keluar daripada pemerintah iaitu menentang pemerintah dalam hal-hal kebajikan dan hal-hal pensyariatan Islam. Hendaklah bersama-sama dengan pemerintah dalam hal-hal tersebut. Realitinya kecenderungan rakyat Malaysia terhadap agama itu tinggi. Maka, perlu ada keseimbangan antara pemerintah dan rakyat. Jika pemerintah cenderung kepada agama sudah pasti rakyat juga akan cenderung kepada agama. Rakyat perlu menyokong pemerintah dalam pelaksanaan Islam dalam konteks Malaysia.

Semoga Allah memberkati rakyat Malaysia. Saya juga kagum dengan rakyat Malaysia dari segi sensitiviti dan kefahaman. Kerajaan Malaysia yang ada pada hari ini juga sensitif dengan isu-isu semasa yang berlaku dan sangat berusaha untuk memahami apa yang berlaku dalam konteks negara. Sedarlah, musuh-musuh Islam sentiasa mencari ruang untuk memecah-belahkan umat Islam secara khususnya. Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat tanpa mengira perbezaan atau kepentingan politik, apabila tiba isu untuk kita mendepani musuh-musuh Islam, perlu ada kesepakatan antara rakyat dan pemerintah. Kita perlu bersatu menghadapi mereka. Musuh-musuh Islam sentiasa mencari lompong serta ruang untuk memecah-belahkan golongan muslimin dan membawa penyelewengan kepada agama Islam.

Apa pandangan Sheikh mengenai fahaman Wahabi serta dakwaan solat Jumaat yang diimamkan oleh Sheikh semalam tidak sah?

SHEIKH KHALID: Sesungguhnya tiada istilah Wahabi dalam Islam. Ini satu pengistilahan yang disalahgunakan. Jika kita merujuk kembali di Arab Saudi, kami mengamalkan mazhab Hambali. Imam Ahmad Hambal merupakan Ahli Sunnah, Imam Shafie juga dalam kalangan Ahli Sunnah, begitu juga imam-imam yang lain.

Tiada satu perkara yang baharu pun sebaliknya kesemuanya berasaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Itu pegangan kerajaan Arab Saudi serta pegangan dan pendirian saya. Adapun Sheikh Muhammad Abdul Wahab yang disandarkan kepada perkataan Wahabi tidak mendatangkan perkara-perkara baharu pun. Sebaliknya apa yang didatangkan berasaskan kepada al-Quran dan sunah. Adapun Wahabi itu merupakan hal yang tidak benar. Solat Jumaat semalam, saya Ahli Sunnah, Perdana Menteri Ahli Sunnah dan kita semua Ahli Sunnah.

LUFULLAH: Umat Islam adalah umat yang satu. Agama kita satu, Nabi (Muhammad) kita satu. Kita semua mengikut jejak semua sahabat Rasulullah. Adapun wujudnya istilah-istilah seperti Wahabi merupakan perkataan baharu yang tidak pernah ada di dalam kamus dan diari. Sebenarnya apa yang berlaku ini merupakan kegembiraan bagi syaitan yang mana syaitan sangat suka kepada perpecahan golongan muslimin. Syaitan inginkan perpecahan. Sesungguhnya tidak dinafikan berlaku kekhilafan dalam masalah-masalah furuk tetapi masih banyak perkara yang boleh kita sepakat khususnya dalam berhadapan golongan yang jelas musuh-musuh Islam. Kita sepatutnya fokus kepada perkara-perkara yang kita sepakat. Bagi perkara-perkara yang khilaf kita berlapang dada dan saling menghormati antara satu sama lain.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20131208/re_10/Islam-terzahir-di-Malaysia#ixzz2msuzZDii  © Utusan Melayu (M) Bhd

 

Saturday 7 December 2013

ARTIKEL AGAMA MENGELIRUKAN PEMBACA: MENYAKINI NAMA DAN SIFAT ALLAH

Assalamu alaikum warahmatullah

Para pembaca budiman,

Sekali lagi pembaca dihidangi dengan artikel yang boleh mengelirukan pandangan pembaca supaya berpegang kepada ‘tashbih’ kepada sifat-sifat Allah SWT yang berbentuk anggota. Namun diterima oleh pihak akhbar. Semoga sahabat-sahabat JAKIM melihat kembali artikel sebegini yang bebas disiarkan di Sinar Harian namun mempunyai penerangan yang mengelirukan akidah umat. Sedikit ulasan saya mengenai artikel ini saya warnakan kuning di bawah ini. Boleh klik ditajuk artikel tersebut untuk kembali ke artikel asal di Sinar Harian.

Wallahu a’lam, semoga umat ini diselamatkan daripada gejala mengatakan “Allah beranggota tetapi tak sama dengan makhluk”! Pengarang yang membawa pemikiran yang menyeleweng sebegini patut DIHARAMKAN menulis mengenai agama di akhbar-akhbar khususnya Sinar Harian. Pemikiran sebegini boleh membawa kepada wujudnya 'firqah musyabbihah zaman ini'.

Allahu al-musta’an

Abu al-‘Izz al-Sunni

 

Oleh: Ustaz Idris Sulaiman

Meyakini nama dan sifat ALLAH Mana mungkin ALL AH sebagai Pencipta alam ini, dan tanpa memiliki sebarang sifat kekurangan, boleh serupa dengan makhluk ciptaanNya, yang memiliki kekurangan dan sentiasa memerlukan Tuhannya? -

PARA Salaf Al-Soleh daripada generasi pertama umat Islam iaitu para sahabat, tabiin dan imam mujtahid telah ijmak (semuanya sepakat) menetapkan semua nama dan sifat-sifat ALLAH yang telah ALLAH tetapkan untuk diriNya atau yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW.

 Nama-nama dan sifat-Sifat ALLAH adalah tauqifiyah; iaitu wajib kita mengambilnya hanya dari al-Quran dan al-Sunnah. Akal tidak boleh berperanan, dan nama-nama sirta sifat-sifat itu tidak boleh ditambah atau dikurangi.

Ini kerana ALLAH adalah ghaib, manusia tidak pernah melihat ALLAH, dan akal tidak berupaya mengetahui apa yang layak bagi ALLAH. Bahkan, memberi nama untuk ALLAH dengan nama yang Dia tidak kehendaki atau mengingkari nama dan sifatNya yang Dia tetapkan untuk diriNya adalah pelanggaran terhadap hak ALLAH.

 Firman ALLAH, “Katakanlah: Tuhanku mengharamkan perbuatan keji, yang zahir mahupun tersembunyi, dosa, kezaliman tanpa alasan yang benar, mensyirikkan ALLAH dengan sesuatu yang Dia tidak menurunkan hujjah untuk itu, dan (mengharamkan) kamu berbicara tentang ALLAH apa yang kamu tidak tahu.” (Al-A’raaf: 33)

 Imam Ibn Al-Qayyim rhm. menjelaskan bahaya membicarakan tentang ALLAH tanpa ilmu (al-Quran dan Sunnah) setelah beliau menjelaskan bentuk-bentuk kesyirikan dan bahayanya.

Beliau berkata, “Berikutnya, perbuatan dosa yang bahayanya besar adalah membicarakan tentang ALLAH tanpa dasar ilmu, baik dalam masalah nama, sifat, dan perbuatanNya, atau menggambarkan sifat ALLAH dengan sifat yang berlawanan dengan sifat disebutkan oleh ALLAH dan RasulNya.

 Ini bertentangan dan berlawanan dengan hikmah ALLAH, dan mencela Rububiyah (ketuhanan) dan kemuliaan sifatNya. Ini lebih jelik dari perbuatan syirik dan lebih besar dosanya di sisi ALLAH, kerana seorang musyrik yang mengakui Rububiyah ALLAH lebih baik daripada orang yang menentang Rububiyah ALLAH yang merupakan sifat sempurna ALLAH.

Para Salaf Al-Soleh telah ijmak memahami nas-nas tentang sifat ALLAH menurut zahirnya sesuai dengan keagunganNya tanpa melakukan tahrif (mengubah maksud), tartil (mengingkari), takyif (menyoal bagaimana) dan tamsil (menyamakan dengan makhluk).

Ulama salaf yang berjalan atas ajaran Rasulullah SAW dan para sahabatnya adalah mereka yang paling layak mendapat jolokan Ahli Sunnah wal Jamaah. Mereka telah sepakat dalam hal ini sebagaimana perkataan Ibnu Abdil Bar.

“Ahli Sunnah wal Jamaah sepakat menerima dan mengakui semua sifat yang ada dalam al-Quran dan Sunnah. Mereka mengimani dan memahami Sifat-Sifat tersebut secara hakikat bukan secara majaz (kiasan).

 Tetapi mereka tidak mevisualkan sifat-sifat tersebut mahupun membatasinya dengan sifat-sifat yang terbatas.” (Fatawa Al-Hamawiyah)

Komen Dr Asmadi: Ini muqaddimah yang cukup bahaya supaya memahami makna sifat dengan makna hakiki. Apa maksudnya makna hakiki? Makna hakiki ialah makna yang difahami secara hakikat sebenar  oleh manusia. Bermakna makna hakiki duduk ialah duduk sebagaimana kita faham untuk makhluk, anggota juga makna hakikinya adalah anggota sebagaimana kita faham untuk makhluk iaitu suatu anggota. Cuma tangan, kaki manusia berbeza dengan tangan, kaki binatang dan syaitan serta malaikat. Bermaksud kita juga wajib memahami persoalan ini secara hakikat sebenar! Persoalan saya:

1.       Di mana pengarang meletakkan Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat ke 7 yang bermaksud: DIA (Allah) yang menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran), padanya ayat-ayat muhkamat dan ianya ummul al-kitab, dan selainnya ayat-ayat mutasyabihat. Sesiapa yang dalam hatinya penyakit, maka dia mengikut apa-apa yang dia tashbihkan (serupakan) kerana mahu mencetuskan fitnah dan mahu juga mentakwilkannya (mentafsirkannya). Tiada sesiapa yang tahu takwilannya (tafsirannya) kecuali Allah SWT.

Ayat dia atas memberi ruang untuk kita tidak detail memperkatakannya dan serahkan kepada Allah. Buat apa dibuka fitnah untuk mentafsirkan ayat-ayat mutasyabih secara hakiki!


2.       Di mana hadith-hadith, kata-kata Sahabat yang menerangkan perkara ini sehingga terpaksa bersandar kepada Ibn Abd al-Bar yang wafat pada tahun 368h (bukan 300 tahun yang terawal)

3.       Lihat kata-kata Imam hadith Ibn Jauzi (w597) berkaitan pandangan pelik Ibn Abd al-Bar yang ditolak oleh Imam Ibn Jauzi (kitab Sayd al-Khatir, hal: 99, cet:2004):

لقد عجبت لرجل أندلسي يقال له: ابن عبد البر، صنف كتاب "التمهيد" فذكر فيه حديث النزول إلى السماء الدنيا، فقال: هذا يدل على أن الله تعالى على العرش، لأنه لولا ذلك، لما كان لقوله: ((ينزل)) معنى، وهذا كلام جاهل بمعرفة الله عزوجل، لأن هذا استسلف من حسه ما يعرفه من نزول الأجسام، فقاس صفة الحق عليه، فأين هؤلاء واتباع الأثر؟ ولقد تكلموا بأقبح ما يتكلم به المأولون، ثم عابوا المتكلمين.

Maknanya: Sesungguhnya aku pelik terhadap lelaki Andalusi ini, digelarkan: Ibn Abd al-Bar, mengarang kitab ‘al-Tamhid’ dan disebutkannya peristiwa ‘Turun ke langit dunia’, maka Dia (Ibn Abd al-Bar) berkata: Ini menunjukkan Allah Taala di atas al-‘Arasy, kerana jika bukan yang demikian nescaya perkataan ‘turun’ tidak memberi apa-apa faedah. (Berkata Imam Ibn Jauzi): Ini adalah perkataan ORANG JAHIL terhadap Allah SWT, kerana dia ini meminjam makna ini daripada pancainderanya apa yang dia faham berkaitan dengan turunnya perkara-perkara berjisim, maka diqiyaskan sifat al-Haq (Allah) ke atasnya, maka dimanakah mereka ini daripada mengikuti al-athar (hadis-hadis dan kata-kata sahabat)?

Jelas, pandangan Ibn Abd al-Bar tidak ada dalil-dalil daripada al-Quran mahupun sunnah! Pembaca akan berterusan tertipu dengan artikel ini! Saya pelik golongan ini, pada perosalan fiqh, mereka keras mahukan hadith-hadith, namun pada persoalan akidah mereka hanya taqlid seseorang tanpa hujah al-Quran mahupun sunnah!

Larangan bertanya kenapa dan bagaimana

Imam Al-Barbahari (wafat 329H) rahimahullah dalam kitab monumental beliau, Syarh Al-Sunnah berkata, “Tidaklah ada yang berkata dalam masalah Sifat ALLAH: bagaimana dan kenapa, kecuali orang yang ragu tentang ALLAH.

Dr Asmadi: Al-Barbahari ialah guru Ibn Battah yang mana Ibn Battah disifatkan sebagai cenderung kepada mentashbihkan Allah dengan makhluk.

Dan al-Quran adalah kalam ALLAH (bicara ALLAH), wahyu dan cahayaNya, bukan makhluk; kerana al-Quran daripada ALLAH dan apa yang daripada ALLAH bukan makhluk. Inilah yang dikatakan oleh Malik bin Anas dan Ahmad bin Hanbal, dan para ulama sebelum mereka dan selepas mereka. Berbantah-bantahan dalam hal ini suatu kekufuran.”

Apa dimaksudkan Imam Al-Barbahari adalah orang bertanya bagaimana sifat ALLAH; bagaimana ALLAH mendengar, bagaimana ALLAH melihat, bagaimana wajah ALLAH, bagaimana Arasy ALLAH, bagaimana ALLAH istimewa, bagaimana kaki ALLAH, bagaimana ALLAH berbicara, dan seterusnya. Dia cuba membayangkan, berbincang dan memperincikan sifat ALLAH.

Komen Dr Asmadi: Setelah pengarang membina asas artikelnya di atas, dia mula mengambarkan Allah secara beranggota di atas keyakinannya mesti memahami maknanya secara hakiki (mengikut makna yang manusia fahami dengan pancaindera “makna hissi” maka diterjemahkan secara berasingan Allah berwajah, kaki Allah?.

Ahlussunnah wal Jamaah juga bersetuju memahami secara hakiki Allah maha melihat, maha mendengar, namun tidak menyerupai manusia yang memerlukan anggota. Namun, memahami secara hakiki makna “alat” untuk mendengar iaitu “telinga” akan membawa makna makhluk! Mahasuci Allah SWT daripada segala sifat menyerupai manusia iaitu beranggota, berjisim, berjirim dan sebagainya yang tidak layak bagi Allah SWT.
 
Orang ini adalah ragu tentang ALLAH, akibatnya dia menolak atau mengubah maksudnya kepada maksud lain yang sesuai dengan akalnya. Ini kerana dia tidak beriman sepenuhnya sifat-sifat ALLAH yang disebut dalam nas, sebab itu dia bertanya dan mempersoalkan.

Akibatnya, timbul syak dalam dirinya, dan imannya terhadap ALLAH menjadi kurang. Tidaklah ALLAH menyebut nama-nama dan sifat-sifatNya melainkan untuk kita memahami dan mengenal ALLAH dengan sebenar-benarnya, bukan sekadar mengenal ALLAH sebagai Tuhan.

Orang yang memikirkan dan memperincikan sifat ALLAH dengan akalnya tanpa beriman dengan zahir nas, dia tidak akan dapat memahami. Ini kerana apa jua yang dia fikir tentang ALLAH, tentu sahaja ALLAH lebih agung dan lebih tinggi dari semua itu. Orang seperti ini akhirnya akan ragu tentang ALLAH.

Ini adalah realiti yang kita lihat di kalangan masyarakat. Apabila seseorang itu tidak beriman sepenuhnya dengan sifat ALLAH, dia menjadi ragu tentang ALLAH, dia berasa imannya belum cukup, dia tidak kenal ALLAH, dia berasa ada kekurangan dalam hatinya.


Dr Asmadi: MasyaalLah, dia mewajibkan umat meyakini dan mentafsirkan sifat-sifat anggota ke atas Allah secara hakiki (secara makna manusia) sekiranya mahu menjadi orang yang benar-benar beriman! Kitab-kitab Tafsir oleh ulama-ulama Muktabar menyanggahi tafsiran ini.

Untuk menyempurnakan kekurangan tersebut, sebab itulah ramai yang pergi kepada tasawuf, tujuannya untuk mengenal ALLAH dan mengisi kekurangan dalam hati. Persoalannya, apakah benar mereka yang mengikuti jalan-jalan tasawuf ini dapat melengkapkan jiwa dan memuaskan hati dengan cara ini?

Jawapannya tentu tidak, kerana hati hanya dapat berasa tenang, dan berasa kelazatan iman dengan beriman kepada ALLAH seperti sepatutnya, iaitu mengimani sepenuhnya nama dan sifat yang ALLAH tetapkan untuk diriNya.

Dr Asmadi: Apa makna tasawuf. Tasawuf ialah merasakan diri sekiranya kita tidak boleh melihat Allah SWT, sebenarnya ALLAH melihat kita. Zikir dan wirid adalah alat dalam mendekatkan diri kepada Allah. Kan al-Quran dan Sunnah pun suruh kita berzikir dan berwirid.
 
Hanya dengan cara itu kita dapat ketenangan, keyakinan, kekuatan. Kita tidak risau, sedih atau takut dengan benda-benda lain atau apa yang berlaku kerana kita ada ALLAH, kita kenal ALLAH berdasarkan petunjuk wahyu, kita yakin, percaya, berharap, dan berserah hanya kepada ALLAH.

Golongan yang cuba mengenal ALLAH dengan cara lain, mereka salah dalam mendiagnos penyakit, maka mereka mengambil rawatan dan ubat yang salah. Akibatnya mereka terus sakit tidak sembuh-sembuh. Bahkan ada yang gila.

Imam Malik pernah ditanya bagaimana ALLAH istimewa berdasarkan firman ALLAH: “Al-Rahman (ALLAH) istimewa di atas Arasy” (Thaha: 5). Dia menundukkan kepala dan berpeluh (kerana marah).

Kemudian dia berkata, “Istimewa itu jelas diketahui, bagaimana Dia beristimewa tidak terjangkau oleh akal. Beriman dengannya adalah wajib. Bertanya bagaimana adalah bidaah.” (Sahih, riwayat Al-Dzahabi, Al-Baihaqi Al-Lalaka-i, dll.)

Komen Dr Asmadi: Salah nukilan kata-kata Imam Malik itu. Kata-kata itu telah diubah! Kata-kata yang sebenar ialah (al-Bayhaqi, al-Asma wa al-sifat (2005), ms411):

الاستواء غير مجهول والكيف غير معقول، والإيمان به واجب، والسؤال عنه بدعة، وما أراك إلا مبتدعا

Bermaksud: al-istiwa bukanlah tidak diketahui, al-kaif (bagaimana) tidak dapat difikirkan oleh aqal, beriman padanya wajib, bertanya mengenainya bid’ah dan tidaklah aku melihat kamu ini seorang pembawa bid’ah.

Imam Malik sebut “al-istiwa bukanlah tidak diketahui” sebab istiwa disebut dalam al-Quran, dan beliau tidak mahu terus mensyarahkan perkataan tersebut.

Tengok pula apa kata Imam Baihaqi (yang menjadi rujukan pengarang artikel ini) berkaitan sesetengah “al-dahk” iaitu senyum ini:

فأما المتقدمون من أصحابنا فإنهم فهموا من هذه الأحاديث ما وقع الترغيب فيه من هذه الأعمال وما وقع الخبر عنه من فضل الله سبحانه، ولم يستقلوا بتفسير الضحك مع اعتقادهم أن الله ليس بذي جوارح ومخارج.


Bermaksud: Manakala ulama-ulama mutaqaddimun (Salaf) mereka memahami hadith-hadith ini (hadith-hadith Allah senyum) sebagai mendorong mereka beramal dan apa-apa berita gembira berkaitan kurniaan Allah SWT. Mereka tidak secara bebas (dan terasing) mentafsirkan perkataan “al-Dahk” (senyum) dengan I’tiqad (keyakinan) tidaklah Allah SWT mempunyai anggota mahupun pancaindera.

Golongan ini akan terus menyebut beberapa nama ulama muktabar, tetapi apabila mensyarahkan akidah, mereka menggunakan rujukan Barbahari, Ibn Battah dan lain-lain yang cenderung tepada tashbih.
 
Haram menyerupakan ALLAH dengan makhluk

Ahli Sunnah wal Jamaah menetapkan sifat yang ALLAH tetapkan untukNya tanpa menyerupakan dengan makhluk. Firman ALLAH SWT, “Tidak ada suatu pun yang serupa denganNYA, dan Dia Maha Mendengar, Maha Melihat” (Al-Syura: 11). Juga firman ALLAH, “Dan tidak ada satu pun yang setara denganNya.” (Al-Ikhlas: 4).

 Sebagai contoh, ALLAH menetapkan bagi diriNya sifat Mendengar dan Melihat. Ahli Sunnah wajib beriman dengan sifat ALLAH tersebut, sama sekali tidak mengingkarinya. Namun sifat ALLAH mendengar dan melihat itu tidak sama dengan sifat makhluk yang mendengar dan melihat.
 
Dr Asmadi: Kita bersetuju mengenai kenyataan ini. Tidak perlu ditakwil ayat-ayat sifat yang bukan mutasyabih.
 
Penglihatan manusia tentu tidak sama dengan penglihatan burung. Kaki manusia tidak sama dengan kaki kerusi. Apabila jelas perbezaan antara sesama makhluk dalam segala keadaan, maka tentu saja perbezaan antara ALLAH dengan makhluk lebih jelas.
 
Komen Dr Asmadi: Ketika menafikan Allah menyerupai makhluk, pengarang membawa Allah juga menyerupai makhluk. Pengarang ini tidak berani mengatakan iktiqadnya “kaki Allah tidak sama dengan kaki makhluk”. Ulama Ahlussunnah membezakan antara Sifat Allah yang maha melihat, dengan perlu kepada “penglihatan”. Allah SWT bersifat melihat tidak serupa manusia yang memerlukan penglihatan iaitu “mata”.  Pengarang cuba membawa makna Allah SWT itu bersifat “Melihat” dengan “penglihatan” iaitu “mata” tetapi mata tu tak sama dengan mata makhluk. Sebenarnya pengarang sudah menyamakan Allah SWT dengan makhluk iaitu Allah beranggota, tetapi anggota tak serupa dengan makhluk!

Mana mungkin ALLAH sebagai Pencipta yang mencipta sekalian alam ini, yang Maha Sempurna dan Maha Agung tanpa memiliki sebarang sifat kekurangan, boleh serupa dengan makhluk yang dicipta olehNya, yang memiliki kekurangan dan sentiasa memerlukan Tuhannya? Jelas bahawa perbuatan menyamakan ALLAH dengan makhluk adalah batil berdasarkan wahyu dan juga akal.

Kita meyakini  kebenaran itu ada pada Salaf. Jika tidak, bererti kita menuduh para salaf kalangan sahabat Nabi SAW dan yang mengikuti mereka dengan baik telah melakukan kebatilan atau kita menganggap mereka jahil terhadap kebenaran, atau mereka tahu kebenaran tetapi sembunyikan.

Jelas ini tidak benar, maka tidak ada jalan lebih selamat kecuali beriman sebagaimana iman dan akidah Salaf Al-Soleh.

Komen Dr Asmadi: Kita bersetuju dengan kesimpulan ini. Tidak boleh menyerupakan Allah SWT dengan makhluk iaitu tidak boleh mengatakan Allah SWT beranggota, kemudian menetapkan pula tidak menyerupai makhluk! Ini suatu pernyataan mengelirukan! Walhal, mengatakan Allah SWT itu beranggota, sudah termasuk menyerupakan Allah SWT dengan makhluk. Demikian juga memberikan makna hakiki kepada ayat-ayat atau hadis tentang “anggota”, sudah termasuk mengatakan Allah beranggota iaitu suatu kategori yang sama dengan makhluk.

Ustaz Idris Sulaiman
 Ahli majlis syura ilmuwan Malaysia (iLMU)
* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.


Harapan saya: JAKIM perlu melihat kembali penerbitan oleh pengarang ini di akhbar-akhbar tempatan khsusnya dalam persoalan akidah. Sila KLIK di sini untuk penjelasan lanjut mengenai isu ini.(
Berita terbaru: link kepada artikel di bawah ini tidak boleh dibuka, sila copy di sini untuk dapatkan hardcopy).