Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Friday 17 May 2013

ISLAM MENANG ATAU ISLAM SERI?

Para pembaca budiman,

Saya masih lagi membuat analisis kedudukan politik di Malaysia. Secara khusus saya membuat analisis mengenai Tahaluf PAS melalui PR, dan Tahaluf UMNO melalui BN.

Tahaluf UMNO memperuntukkan kepimpinan dan ketuanan atau 'siyadah' (secara kontrak sosialnya) kepada Melayu Islam. Justeru, Islam di sini masih MENANG walaupun belum mampu jadi juara kerana banyak sebab. Antaranya pemimpinnya berdepan dengan pelbagai persepsi buruk masyarakat dan kurang cita-cita untuk mengislamisasikan semuanya.

Tahaluf PAS pula memperuntukkan semua parti adalah sama rata, tanpa ketuanan atau siyadah. Jumlah kerusi parti yang dimenangi akan menentukan kekuatan setiap parti. Terasa bahaya tahaluf ini kerana meletakkan Islam dan Parti Islam berkedudukan SERI  dengan agama-agama dan parti-parti lain. Namun, yang menjadi serba salah, Parti Islam berada dalam pakatan ini.

Kita sebenarnya dalam persimpangan, adakah memilih Tahaluf UMNO yang menjadikan Islam MENANG tetapi tidak berhasrat menjadikan Islam sebagai JUARA, atau memilih PAS yang menjadikan Islam SERI, tetapi berhasrat menjadikan Islam sebagai Juara.

Pada saya, sekiranya Tahaluf BN mahu memperkukuhkan tahaluf mereka, ubahlah sikap dengan 'memperlihatkan' dan 'perlu dilihat' mendahulukan rakyat. Mereka wajib menjauhi segala fitnah, kronisme, korupsi, salah guna kuasa dan lain-lain. Mereka harus cuba bergerak dan bertindak untuk menjadikan Islam sebagai juara tanpa menggugat keharmonian kaum dan agama lain. Mereka sudah mempunyai asas yang kukuh ke arah itu.

Manakala bagi PR yang diletakkan banyak harapan untuk menggantikan BN, PR perlu menyelesaikan 'kelonggaran MOU' mereka. Soal pokoknya ialah masyarakat sudah kurang mempercayai barisan BN, bukan bermakna masyarakat menolak konsep 'siyadah' atau ketuanan kepada Islam atau Melayu Islam. Tahaluf ini sudah sampai masa membuat keputusan 'mendokong Islam' sebagai asas atau menyatakan terus terang kepada penolakan Islam sebagai asas. Pada saya, sepatutnya PR mengekalkan status quo yang ada terhadap masyarakat Melayu Islam, tetapi diubah pendokongnya kepada pendokong daripada PR bagi membuktikan mereka tidak akan membuat perkara-perkara buruk yang telah dipersepsikan menjadi pakaian pendokong BN. Setidaknya, ini mengelakkan kegusaran masyarakat Melayu terhadap kelonggaran MOU ini. Walaupun mereka amat menyayangi PAS, tetapi mereka juga meragui keupayaan PAS melayani bahtera PR dengan MOU yang penuh 'GHARAR' ini. Saya mendoakan mereka dapat menyelesaikan MOU ini dengan segera

Atau langkah alternatifnya, kenapa tidak diusahakan penyatuan orang-orang Melayu melalui PAS dan UMNO beserta denagan parti lain yang sudah menerima UMNO. Mungkin boleh diusahakan syarat-syaratnya bukan sebagaiman syarat-syarat ketika PAS pernah diketepikan oleh UMNO ketika mana UMNO kuat. Apa salahnya meletakkan syarat kepimpinan Negara kepada PAS apabila berlakunya penyatuan UMNO-PAS. Kalau ia berlaku, Islam sentiasa dalam keadaan MENANG walaupun belum mampu menjadi JUARA.

Wallahu a'lam. Allah al-musta'an.

Tuesday 7 May 2013

SELANGOR ADALAH MEDAN UJI PR MENJUNGJUNG SYARIAH TERMASUK HUDUD

Para pembaca yang budiman,

Senario politik kita menjadi semakin menarik setelah PRU13. Saya amat tertarik dengan negeri Selangor apabila kebanyakkan kerusi disapu bersih oleh Pakatan Rakyat (PR). Pada pandangan saya, Selangor adalah 'template' kepada wajah Malaysia kerana merangkumi semua kaum. Kompesisi kaum, walau tidak membayangkan Malaysia, namun ia adalah dekat utk membayangkan 'Malaysia baru' yang diimpikan oleh PR. Saya memerhati dengan minat sejauhmana keupayaan PAS berdakwah dengan teman-temannya untuk melaksanakan hukum-hukum Syariah (sekadar dibenarkan Undang-undang negeri). Atau hanya sekadar memberikan PAS kebebasan membuat ceramah-ceramah politik sahaja atau solat berjemaah beramai-ramai sahaja? Inikah menegakkan Syariah yang dimaksudkan?Ini juga satu cabaran buat PAS mendaulatkan Syariah Islam dalam kerangka MOU PR yang longgar dalam memperkatakan menegakkan Syariah Islam.

Dengan mandat dua pertiga, akan terserlahkah Selangor sebagai negeri Melayu yang memartabatkan Islam berbanding negeri-negeri BN? Bolehkan PAS membuktikan perkara ini? Menarik untuk diperhatikan.

Abu al-'Izz

Monday 6 May 2013

POST PRU- KEPIMPINAN ADALAH AMANAH

Assalamu alaikum warahmatullah

Sidang pembaca sekalian,

Alhamdulillah, PRU di Malaysia telah berlangsung dan tamat. Maka tamatlah khabar-khabar angin. Keputusan juga telah diperolehi.

Kepada BN yang telah menang, khususnya Parti Umno, amanah besar di tangan anda untuk memartabatkan agama Islam. Semoga anda mengotakan tanggungjawab ini yang sememangnya ada dalam definisi orang Melayu iaitu beragama Islam dan mengamalkan budaya Islam dan ada dalam Perlembangaan UMNO untuk menjaga kesucian Islam. Keputusan PRU ini menunjukkan orang-orang Melayu Islam masih sayangkan anda dan meletakkan di bahu anda untuk tegakkan martabat Islam. Walau anda tidak boleh atau belum ada kekuatan melaksanakan hudud, anda masih mempunyai banyak ruang untuk melaksanakan hukum hakam Syariah yang lain iaitu menegakkan akidah Islam, kewangan Islam, pendidikan Islam, dan lain-lain. Janganlah kesenangan dunia mengabui mata anda untuk menyumbang kepada memartabatkan agama Islam dan hukum hakamnya.

Kepada PR yang kalah, anda telah berjaya mendatangkan resah kepada BN. Beberapa hak rakyat telah diperolehi dan berjaya diperolehi hasil daripada tekanan pihak anda. Walaupun begitu, keputusan ini menunjukkan PAS bukanlah pihak yang mendapat keuntungan daripada tahaluf siyasi ini. Pada banyak kawasan ketika undi Melayu terpecah dua, kelihatan  undi non Muslim tidak pergi kepada PAS. Ini menunjukkan masyarakat non-Muslim khususnya masyarakat Cina tidak secara penuh berubah kepada PAS. Sebaliknya DAP mendapat keuntungan apabila penyokong Melayu Pas dan PKR tekad memangkah DAP.

Secara kesimpulannya, BN tidak boleh berpuas hati. Proses pembersihan mesti terus dilaksanakan untuk membetulkan keangkuhan silam. Manakala bagi PAS, tahaluf siyasi tidak memberi makna yang besar berbanding bergerak secara sendirian. bahkan PAS dilihat gagal menangani beberapa isu besar seperti isu kalimah Allah, Pluralisme dan Palestin apabila gagal menunjukkan ketegasan sebagaimana mereka tegas apabila UMNO membuat kesilapan.

Akhirnya, saya berharap semua pihak berlapang dada dengan keputusan PRU ini. Jika ada sebarang bantahan, lakukanlah menurut lunas undang-undang. Wallahu a'lam.

Saturday 4 May 2013

SELAMAT MENGUNDI

Para pembaca yang budiman,

Apapun keputusan PRU nanti, semoga negara kita aman sentosa. Saya yakin rakyat Malaysia sudah matang berpolitik.

Kepada semua pengundi, buatlah keputusan terbaik untuk kebaikan Islam dan umatnya. Ya Allah! Sejahteralah negara kami di bawah lindungan-Mu.