Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Tuesday 29 March 2011

Haram judi

Alhamdulillah, Kerajaan Negeri tidak tunduk kepada pelbagai tekanan politik dalam isu judi ini. Semoga masyarakat kita yang Islam mahupun bukan Islam terselamat  dari bencana judi. Umat seharusnya bersatu dalam isu judi walaupun berbeza dari pendekatan dan parti politik.

Abu al-'Izz 


Pas Kelantan kekal haramkan big sweep 

(sumber: Utusan Online)

KOTA BHARU 28 Mac - Kerajaan Pas Kelantan akan terus mengekalkan pengharaman penjualan tiket judi big sweep selepas mendapati tindakan itu tidak bertentangan dengan undang-undang Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Azlan Abdul Halim bersetuju dengan tindakan itu selepas melihat semula pengharaman tersebut dari aspek perundangan.

Beliau berkata, perkara tersebut juga telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini dan mendapati ia selaras dengan Seksyen 9 Akta Kerajaan Tempatan iaitu kerajaan negeri boleh memberikan arahan kepada pihak berkuasa tempatan supaya melaksanakan dasar yang ditetapkan.

"Dalam hal judi, dasar kerajaan negeri tidak membenarkannya sama ada dijual dalam premis atau di luar premis.
"Bagaimanapun, memiliki tiket judi bukan satu kesalahan, oleh itu kita benarkan tiga premis yang diserbu sebelum ini supaya dikompaun dan mereka boleh ambil baik tiket loteri, kalau hendak guna sendiri terpulang, tetapi tidak boleh dijual," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.

Pada 16 Mac lalu Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan Azlan supaya melihat semula pengharaman penjualan judi 'big sweep' kerana ada pihak yang berpendapat ia bertentangan dengan undang-undang Persekutuan.
Arahan tersebut dikeluarkan selepas tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyerbu tiga buah kedai yang menjual tiket loteri 'big sweep' mendapat bantahan MCA dan DAP.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek turut mengarahkan MCA Kelantan supaya membawa perkara itu ke mahkamah.

Nik Abdul Aziz turut mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menjelaskan perkara tersebut.

Takiyuddin berkata, pengharaman itu dikekalkan berdasarkan keadaan persekitaran negeri ini dan tidak membabitkan negeri-negeri lain.