Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Tuesday 22 December 2009

GOLONGAN AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH

Alhamdulillah, artikel ini akhirnya diterbitkan oleh Utusan Malaysia, 23 Disember 2009. Sila klik pada tajuk sekiranya saudara ingin membaca terus dari Utusan Malaysia dengan tajuk: 'Golongan Ahlussunnah menurut Imam al-Baghdadi'. Selamat membaca.

Golongan Ahlusunnah wal Jamaah

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah wal Jamaah (ASWJ) oleh Dr MAZA pada pertengahan November 2009 lepas dalam Utusan Malaysia. Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya al-Farq Baina al-Firaq. Namun malangnya perkataan 'al-turuq al-sifatiah' atau 'jalan-jalan sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara perkara yang penting bagi menentukan samada tauhid yang mensyarahkan sifat-sifat adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama. Pada saya, ada sedikit masalah 'amanah ilmu' bila dia tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi bila mensyarahkan pengertian ASWJ (atau mungkin dia tidak sengaja). Penulis juga tidak memperjelaskan penerangan Imam al-Baghdadi (selepas memetik definisi Imam itu) berkaitan dengan definisi tersebut.

Demikian juga, ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan aliran pemikiran tauhid di Nusantara yang merujuk bahawa aliran yang mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun seribu Hijrah melalui Imam Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin. Penulis tidak merujuk kemunculan metode tersebut kepada penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324H) yang muncul pada akhir kurun ke 3 Hijrah (atau mungkin dia juga tidak sengaja).


Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakan Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas. Bagi pembaca-pembaca yang berupaya membaca bahasa Arab, boleh merujuk terus kepada kitab Imam ini. Imam al-Baghdadi Rahimahullah menyatakan (hal.19):

"Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Abu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fekah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis dari mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan pencipta, keesaan sifat-sifatNya, keadilanNya, hikmahNya, dan nama-namaNya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud, dan pada perkara usuluddin."


Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan LAPAN (8) golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):

Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman siksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas dari fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT)), dan bebas dari bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.

Golongan kedua ialah imam-imam fiqh samada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadith. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas dari fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah).

Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa dari ahli bidaah dan hawa nafsu.

Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadith dan sunnnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab 'al-jarh wa al-ta'dil' (kredibiliti seorang rawi), dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa dari ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.

Golongan ke empat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala` (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu samada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu dari bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij. Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia dari golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.

Golongan ke lima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran, dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.

Golongan ke enam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka redha dengan hidup yang ringkas, mereka mengatahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik perisapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan 'pentasybihan' (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakkal kepadanya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.

Golongan ke tujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka, dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.

Golongan ke lapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.

Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi (wafat429H). Rupanya ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengekslusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talqin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya. Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19):

"Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan pencipta dan qidamNya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihatNya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitabNya dan rasulNya, dan mengikut segala syariat islam, dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh Al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh Al-Quran, serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan".


Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah lantaran perkara-perkara tersebut. Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. Wallahu a'lam.

Tuesday 15 December 2009

DALIL SANGGAH BEZA TAUHID ULUHIAH DAN RUBUBIAH

Yayasan Sofa mula mengemukakan dalil-dalil kebatilan pembahagian dan pengasingan Tauhid Rububiah dan Tauhid Uluhiah. Sila klik pada tajuk untuk membacanya terus dari Utusan Malaysia, 14 Disember 2009. Selamat membaca dengan hati yang terbuka.


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

MENYAMBUNG persoalan minggu lepas tentang tauhid uluhiah dan rububiah yang dibezakan oleh pereka tauhid ini, adakah terdapat perbezaan di antara kedua-duanya? Maka minggu ini kami memaparkan pula dalil aqal dan naqal yang menafikan sama sekali perbezaan ini.

Kami tegaskan sekali lagi, bahawa dengan membezakan di antara kedua-dua tauhid ini, mereka menganggap orang musyrik sebagai ahli tauhid dengan tauhid rububiah.

Dalam erti kata lain, melalui konsep tauhid rekaan Ibnu Taimiyyah ini, orang musyrik atau orang yang tidak mengucapkan kalimah syahadah dianggap sebagai ahli tauhid atau orang yang mengesakan Allah.

Ini kerana, kononnya mereka percaya dan mengakui bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu dan mentadbir segala urusan alam ini, tetapi mereka tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah kerana menyekutukan Allah dalam sembahannya.

Maknanya juga, dalam satu masa seseorang itu boleh dikira sebagai ahli tauhid dan musyrik. Inilah salah satu kepincangan tauhid ini yang mendapat sanggahan yang hebat daripada ulama Ahli Sunnah.

Sebagai menjelaskan lagi kepincangan dan kebatilan tauhid ini, marilah sama-sama kita merujuk kepada dalil-dalil ulama dari sudut akal dan naqal.

Dari sudut aqal

Sekiranya orang-orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid rububiah (sebagaimana yang mereka percayai), bermakna mereka ini beriktikad dengan iktikad yang jazam (teguh dan tidak berbelah bahagi).

Dengan iktikad ini, sudah pasti mereka tidak akan meragui bahawa Allah itu Esa pada ciptaan, kekuasaan, pentadbiran, takdir dan perbuatan-Nya serta dalam mendatangkan suatu kesan sama ada manfaat atau pun mudarat, yang kesemuanya ini adalah komponen bagi tauhid rububiah.

Jika inilah keadaannya, bolehkah diterima akal, dengan iktikad sedemikian mereka boleh pula mengambil tuhan selain Allah untuk disembah, sedangkan tuhan yang lain itu tidak berkuasa mendatangkan sebarang manfaat atau mudarat kepada mereka?

Orang-orang musyrik pada setiap zaman dan tempat menyembah pelbagai sembahan selain Allah. Mereka mempercayai bahawa sembahan-sembahan mereka itu boleh melakukan sesuatu perbuatan, mendatangkan kesan, manfaat dan mudarat.

Boleh mendekatkan mereka kepada Allah, boleh mendatangkan sesuatu kebaikan bagi setiap orang yang datang meminta pertolongan kepada tuhan-tuhan mereka dan boleh mendatangkan mudarat kepada setiap orang yang berpaling daripadanya.

Semua kepercayaan ini menafikan tauhid rububiah.

Dari sudut naqal

Nas-nas syariat telah menetapkan secara jelas, terang dan qatie (pasti) bahawa orang-orang musyrik pada setiap masa dan tempat tidak akan mampu bertauhid dengan tauhid rububiah semata-mata dan menafikan uluhiah, tetapi mereka semua adalah orang-orang musyrik pada uluhiah dan rububiah sekali gus kerana kedua-duanya adalah perkara yang satu.

Sebagai contoh, kami sebutkan di sini dalil-dalilnya:

1. Firman Allah SWT dalam menceritakan tentang orang-orang musyrik ketika ditanya tentang rahsia sebenar mereka menyembah berhala selain Allah: Tidaklah kami (orang musyrik) menyembah atau memuja mereka (sembahan-sembahan mereka), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Ayat ini jelas menunjukkan, orang-orang kafir beriktikad bahawa patung-patung mereka mempunyai kekuasaan untuk memberikan hidayah kepada mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Maksudnya sembahan mereka itu mampu memberi kesan dengan sendirinya.

Maka di manakah letaknya tauhid mereka bagi tauhid rububiah?!.

2. Nabi Hud a.s ketika berdialog dengan orang musyrikin tentang patung-patung sembahan mereka dan ketika diterangkan kepada mereka bahawa sembahan mereka itu tidak berkuasa untuk mendatangkan sesuatu kepada mereka melainkan Allah, mereka berkata: Kami hanya boleh berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)

Kepercayaan bahawa sembahan-sembahan mereka boleh mendatangkan kesan yang buruk, jelas menunjukkan bahawa orang musyrik mempercayai pada sembahan-sembahan mereka ada kekuasaan yang boleh melakukan sesuatu perbuatan dan mendatangkan kesan mudarat atau manfaat.

Ini menunjukkan bahawa orang musyrikin tidakpun mengesakan Allah pada rububiah tetapi menyekutukan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain pada tauhid uluhiah. Iktikad mereka ini ternyata berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pendokong bidaah pembahagian tauhid.

3. Allah SWT berfirman: Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya (Rabb) kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku (Rabbi) ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Ia (Namrud) menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. (al-Baqarah: 258)

Berdasarkan ayat di atas jelas dapat dilihat, Namrud telah mendakwa dirinya dengan perkara yang berkaitan tentang rububiah seperti mempunyai kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan.

Dia juga mempercayai mempunyai keistimewaan rububiah yang boleh menghidupkan dan mematikan. Kemudian selepas itu, dia berdebat dengan Nabi Ibrahim a.s tentang Rabbnya (tuhan yang menjadikan) dan bukan tentang Ilahnya (tuhan yang disembah) sebagaimana penggunaan istilah dalam ayat tersebut.

Adakah selepas penjelasan ini, masih ada yang mendakwa: Sesungguhnya Namrud adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Ibrahim a.s telah datang kepadanya untuk mengajak kepada tauhid uluhiah sahaja?

4. Allah SWT telah berfirman dalam menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s yang mengajak sahabat-sahabat sepenjaranya kepada akidah tauhid yang suci:

Wahai sahabat sepenjaraku berdua! Memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan (Arbaab - jama' kepada Rabb) yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa? (Yusuf: 39)

Marilah bersama saya memerhatikan perkataan Nabi Yusof a.s ketika mempersoalkan tentang Tuhan yang lebih baik disembah: "Adakah Tuhan-tuhan (Arbab) yang bercerai-berai. Beliau tidak berkata: "Tuhan-tuhan (Aalihah - jamak kepada Ilah)."

Adalah jelas bahawa penghuni penjara menyembah lebih daripada satu Rabb dan lebih daripada satu Ilah.

Adakah masih boleh diterima oleh akal yang sejahtera, jika dikatakan: Orang-orang musyrikin bertauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Yusuf datang kepada mereka dengan membawa tauhid uluhiah sahaja? Maha Suci Allah, ini adalah suatu pembohongan yang besar!.

5. Allah SWT berfirman menceritakan tentang Firaun yang berkata ketika menakut-nakutkan kaumnya agar mereka mentaatinya. Firaun berkata: Akulah tuhan kamu (Rabbukum) yang tertinggi. (al-Naazi'aat: 24)

Demikianlah dakwaan rububiah Firaun bagi dirinya dan dia cuba mengagamakan kaumnya dengan rububiah ini. Maka dari sini, tidakkah ada langsung sebesar zarah perasaan salah bagi mereka yang mendakwa bahawa Firaun dan kaumnya bertauhid dengan tauhid rububiah dan telah datang kepada mereka Musa Kalimullah a.s dengan tauhid uluhiah sahaja?

Di ketika yang lain, Firaun juga mendakwa uluhiah bagi dirinya ketika dia berkata: Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui adanya bagi kamu sebarang tuhan (ilah) selain daripadaku. (al-Qasas: 38)

Ini menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di antara rububiah dan uluhiah. Oleh kerana itu, sesiapa yang mendakwa dirinya dengan rububiah, maka dia telah menjadikan dirinya Ilah (sebagai tuhan yang patut disembah).

Sesiapa yang mendakwa dirinya dengan uluhiah pula, maka dia telah menjadikan dirinya sebagai Rabb (tuhan yang menciptakan, mentadbir dan sebagainya) bagi orang lain.

6. Mayat-mayat yang berada di dalam kubur, masing-masing tidak ditanya tentang uluhiah dan tauhidnya, tetapi malaikat akan bertanya kepadanya: Man Rabbuka? (Siapakah rab (tuhan) kamu?"

Sekiranya tauhid itu seperti yang dipercayai oleh Ibnu Taimiyyah, yang mana semua manusia di sisinya beriktikad dengan tauhid rububiah, kenapakah soalan malaikat ini masih diperlukan dan bermanfaat?

Ini menunjukkan bahawa dakwaan Ibnu Taimiyyah adalah tidak benar dan palsu semata-mata.

Kesimpulannya, orang yang syirik pada uluhiahnya dikira sebagai syirik pada rububiahnya juga. Sesiapa yang syirik pada rububiah maka dia juga adalah syirik pada uluhiah.

Minggu hadapan kami akan mengemukakan dalil-dalil mereka dan jawapan ulama tentang kesamaran dakwaan mereka. Benarlah perumpamaan Quraniy bahawa, sesungguhnya rumah yang paling rapuh ialah rumah labah-labah. (al-Ankabut: 41). Wallahu a'lam.

Monday 14 December 2009

ULASAN TERHADAP ARTIKEL DR MAZA: SALAH GUNA NAMA IJMAK

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya diminta untuk mengulas artikel 'Salah Guna Nama Ijmak' oleh Dr. MAZA dalam Utusan Malaysia, 13 Disember 2009 dalam keadaan saya bukan peminat ruangannya. Di sebabkan tajuknya penting dan dalam bidang saya iaitu ijmak, saya rasa, saya perlu juga memberi komen terhadap tajuk ini. Selamat membaca.



Salah guna nama ijmak

Minda Dr. Maza

Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservatif agama itu sendiri. Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah 'tidak laku' atau menghadapi 'tarikh luput' di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai. Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas. Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan. Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluar serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama. Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini.

[Komen Dr. Asmadi: Cara biasa MAZA dalam mengkritik orang-orang Tareqat dan orang-orang agama. Dikaitkan agama sebagai sumber pendapatan. Sebenarnya, ulama-ulama terkenal di Persidangan Fiqh Antarabangsa pun membenarkan pengambilan upah terhadap urusan mengajar agama. Bahkan bila menjemput mereka membentangkan kertas kerja, kita bayar juga pada mereka saguhati. Tak tahulah pula kalau MAZA mengajar di USM, dulu jadi Mufti di Perlis, bagi ceramah dan menulis dilakukan secara FOC 'free of charge'. Kalau dia juga ambil gaji, jadi apa bezanya. Yang ini gaji tetap, yang itu tidak tetap.


Tidak baik mengkritik orang Tareqat secara umum. Apa yang saya kenali, ramai orang-orang Tareqat jujur orangnya. Khususkan tareqat yang macam mana dikritik].

Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi 'ijmak ulamak'. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama. Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas al-Quran dan Hadis, al-Ijmak. Kesan, membawa kepada kekufuran.

[Komen Dr Asmadi: Orang yang menyanggah MAZA tidak tuduhpun dia kufur. Cuma kata dia bertentangan dengan Ijmak ulama Nusantara].

Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut 'kita tidak boleh berpandukan al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama'. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya "Pendapat ulama-ulama kita la..". Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama. Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijmak atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijmak yang sebenar?

Takrif bagi perkataan al-Ijmak ini di sisi majoriti ulama ialah "Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak". (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr). Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa.

[Komen Dr Asmadi: Kitab Sheikh Wahbah al-Zuhaili itu rujukan kami ketika tahun 1 dan 2 Kuliah Syariah. Ia rujukan sekunder, bukan rujukan utama. Bila tahun 3 dan 4, penulisan guna kitab moden sebagai rujukan tak diberi markah penuh].

kesepakatan

Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman. Maksudnya, para mujtahidin tanpa mengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak. Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.

Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr 'Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah). Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa 'arus perdana' atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.

[Komen Dr Asmadi: Sekiranya MAZA jumpa kitab-kitab usul fiqh silam atau baca kitab-kitab tersebut (sebaiknya mengadap guru), dia akan jumpa dengan istilah Ijmak al-ummah, ijmak ulama ahl al-sunnah, ijmak empat mazhab, ijmak ahl al-Iraq, Ijmak ulama al-Hijaz dan Ijmak ulama al-Madinah lain-lain. Tidak cukup untuk membuat kesimpulan tentang ijmak dengan hanya merujuk kitab-kitab moden. 


Untuk faedah pembaca saya perincikan: Ijmak al-ummah ialah ijmak ulama lapan (8) mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, Zahiri, Syiah Imami, Syiah Zaidi dan Ibadi (berasal dari serpihan Khawarij). Ijmak ahl al-sunnah ialah kesepakatan keseluruhan 4 mazhab dan Zahiri. Ijmak empat mazhab ialah sepakat empat mazhab yang utama tadi. Jadi kekuatan setiap ijmak tadi ialah bergantung kepada sejauh mana penghujahan setiap kumpulan tersebut.


Oleh itu, boleh kita pakai istilah Ijmak ulama Nusantara atau ijmak ulama India. Cuma kekuatan hujjahnya tidak sekuat ijmak mutlak oleh ulama-ulama setiap tempat di dunia ini].

Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya. Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira. Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid. Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut: "Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijmak yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin" (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu'asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).

[Komen Dr Asmadi: Ulama sememangnya sepakat, mazhab orang-orang awam ialah mazhab muftinya. Tidak wajib mengikut mana-mana mazhab. Cuma dalam konteks kita, ramai ustaz-ustaz yakin dengan cara penghujahan Imam Syafie dan anak-anak muridnya. Lantas, ustaz-ustaz pun mengeluarkan pandangan atas pandangan Imam Syafie, maka orang-orang awam pun mengambil pandangan Ustaz tadi yang berpegang dengan mazhab Syafie.


Kata-kata al-Qardhawi: Ini kerana al-Ijmak yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin". Benar, kesepakatan yang diiktibarkan (diambil kira) ialah kesepakatan para Mujtahid.


Tapi kata-kata MAZA: 'kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya'.


Ulama tidak mensyaratkan para mujtahidin mencapai peringkat mujtahid mutlaq (boleh bina Mazhab sendiri) atau mujtahid tarjih, baru boleh diambil kira ijtihadnya. Imam al-Nawawi, mujtahid tetapi tidak keluar dari Mazhab Syafie. Imam Abu Yusof dan Imam Muhammad adalah mujtahid mazhab, namun tidak keluar dari kaedah Mazhab Hanafi. Justeru, kesepakatan para Mufti yang tahu dalil (walau masih bermazhab) masih boleh diambil kira. Sekiranya diberi kebebasan kepada sesiapa tanpa terikat dengan pandangan Majlis Fatwa, boleh menghuru-harakan masyarakat].

Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian. Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak. Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina 'Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu'asir .

[Komen Dr.Asmadi: Ya, bukan senang mendakwa sesuatu itu ijmak. Perlu kepada banyak pemeriksaan. Hukuman sebat untuk peminum arak adalah sesuatu yang ada nasnya. Ulama hanya khilaf pada mengklasifikasikannya hudud atau takzir].

Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja. Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily: "Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijmak (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: "Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! Bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu" (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).

[Komen Dr Asmadi: Ya, saya setuju].

Maka kita anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham. Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!

[Komen Dr Asmadi: Orang-orang agama ada dua golongan iaitu pertama yang merasakan diri bukan mujtahid, dan kedua: yang merasa diri mujtahid. Kalau tuan-puan memang yakin dengan ilmu ustaz-ustaz yang merasa diri mujtahid tu dan ketaqwaannya, silalah ikut mereka. Masalah saya ialah saya tak yakin dengan ilmu dan ketaqwaan ustaz-ustaz yang merasakan diri mujtahid tadi. Sebab itu saya masih mengeluarkan pandangan kebanyakkannya dalam Mazhab Syafie disebabkan keyakinan saya pada ilmu dan ketaqwaan (kewarakan) Imam Syafie dan anak-anak muridnya Rahimahumullah. 


Seorang ulama masih lagi ulama walaupun dia mengikut mazhab. Mereka di atas dari golongan muqallid iaitu digelar 'muhafiz' atau 'muttabi'' (istilah ini ada dalam kitab primer (utama) dan tidak ada dalam kitab moden), iaitu mengikut mazhab dengan juga melihat dalil. Sebagai contoh, batal wudu' apabila menyentuh isteri. Dia menyedari ada hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW menggerakkan kaki Aisyah yang sedang tidur ketika Rasulullah SAW hendak bersolat tahajjud. Dia berpuas hati dengan hujah Mazhab Syafie yang mengatakan Rasulullah SAW memegangnya dalam keadaan berlapik. Kenapa dia berpuas hati dengan demikian? Kerana secara umumnya adab 'tidur bersama isteri' ialah dalam keadaan berselimut. Padanya, mana mungkin Rasulullah SAW dan isteri bertelanjang. Boleh baca nas-nas lain menceritakan adab tidur bersama isteri dan sunnah memakai 'izar' ketika mandi. Apatah lagi, di Timur Tengah, malamnya suhu melampau, bila dibuka selimut kaki, terasa sejuk sampai ke tulang! Cuma bagi sesetengah orang, dia terbayangkan seolah-olah Rasulullah SAW macam dia yang tidur tak berselimut dengan isterinya! Wallahu a'lam.


Selamat menilai artikel ini dan komen-komen saya.


Allahu musta'an.

Abu al-'Izz


Artikel asal di
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

Friday 11 December 2009

ULASAN TERHADAP JAWAPAN INSTITUT AL QAYYIM TERHADAP ARTIKEL YAYASAN SOFA

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya mendapat kiriman jawapan Institut Al Qayyim terhadap artikel Yayasan Sofa. Saya siarkan di sini untuk penelitian pembaca. Saya masukkan komen saya pada artikel tersebut (berwarna) dalam keadaan saya belum membaca kesahan teks rujukan asalnya berbahasa Arab. Saya memberi komen bukan mewakili Yayasan Sofa, sebaliknya dari pengamatan saya semata-mata. Selamat membaca dengan hati yang terbuka.


Jawapan Institut Al Qayyim Terhadap Artikel Yayasan Sofa

Tulisan ini merupakan jawapan kepada artikel yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 29/11/09 oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa, Negeri Sembilan bertajuk: Tauhid tiga serangkai disyariatkan di dalam Islam?. Setelah membaca dan memahami artikel tersebut, disimpulkan ia berlegar kepada satu persoalan utama iaitulah dakwaan kononnya pembahagian tauhid kepada tiga bahagian: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. dan pembahagian ini tidak dikenali di zaman awal Islam. Benarkan dakwaan ini?

Bagi sesiapa yang mempelajari akidah yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh, pasti akan memperakui sesungguhnya dakwaan ini amat jauh untuk dinilai sebagai suatu hasil penyelidikan ilmiah. Sebaliknya ia lebih kepada bukti kedangkalan dan kecetekan ilmu yang berpunca dari amalan taklid membuta tuli. Lebih malang kedangkalan ini disertai keegoan yang parah sehingga berani mencabar sesiapa yang dapat membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada sebelum kurun ke tujuh hijrah lagi.

(Komen Dr Asmadi: Datangkan hujah dulu sebelum membuat tuduhan orang lain dangkal, cetek dan taklid membabi buta. Ini merupakan metode 'memaki' yang tidak baik bagi suatu bicara ilmu)

Alangkah baik jika sebelum mencabar sesiapa, Panel Penyelidik Yayasan Sofa bertindak rajin sedikit, dengan membelek kitab-kitab tafsir yang mu’tabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang ditulis sebelum kelahiran Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Cukup sekadar dengan Tafsir al-Imam al-Tobari (meninggal 310H). Pasti dengan merujuk kepada kitab tafsir ini sahaja akan terjawab segala kekaburan dan tidak tahu. Tetapi sayang Panel Penyelidik Yayasan Sofa tidak melakukan perkara ini melainkan bertaklid kepada beberapa penulis sahaja. Untuk itu tulisan ini ditulis, supaya ia dapat mengambil tempat seperti seorang yang celik membimbing seorang buta menyeberangi jalan, agar selamat sampai ke seberang sana.

Maka tulisan ini memberi tumpuan dalam membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada di zaman awal umat Islam sebelum Ibn Taimiyyah R.H. Bahkan telah dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir beberapa riwayat daripada para sahabat Nabi S.A.W., para Tabi’ien dan para Atba’ al-Tabi’ien umat Islam.

Tujuan Pembahagian Ilmu Islam
Pembahagian mana-mana bidang ilmu Islam adalah suatu yang diterima di sisi para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, bahkan diterima oleh orang-orang yang berakal sejak zaman berzaman. Ia bertujuan memudahkan proses pembelajaran dan kefahaman terhadap nas-nas (teks) syarak, demikian juga agar gambaran umum terhasil sebelum sesuatu bidang dipelajari. Contoh mudah dalam hal ini, al-Imam al-Syafie telah menyusun ilmu Usul di dalam ilmu Fiqh Islami. Hasilnya pembahagian ini diterima oleh para ulama selepas beliau.

(Komen Dr Asmadi: Alhamdulillah Usul Fiqh diiktiraf semula sebagai satu cara pentafsiran teks al-Quran dan sunnah. Justeru, pentafsiran al-Quran dan sunnah tanpa ilmu Usul Fiqh adalah pentafsiran mengikut akal masing-masing. Seseorang itu bukan mujtahid sekiranya tidak belajar dan menguasai Usul Fiqh).

Kaedah pembelajaran yang tersusun dengan pembahagiannya tidak pernah terdapat di zaman Nabi S.A.W., bahkan pembahagian ilmu kepada ilmu aqidah, fiqh dan akhlak juga tidak terdapat di zaman Nabi S.A.W., sama halnya dengan penyusunan ilmu Mustalah al-Hadith, Ulum al-Tafsir, Usul al-Fiqh dan semua bidang ilmu syariah tidak pernah disusun, dibahagi dan diasingkan mengikut pembahagian-pembahagian seperti yang ada pada hari ini. Tidak pula bermakna ilmu-ilmu ini merupakan rekaan, bid’ah dan tokok-tambah dalam agama. Sebaliknya ia hanyalah kaedah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman. Lalu tidak berlebihan jika dikatakan teramat jahil orang yang mendakwa pembahagian-pembahagian ilmu ini sebagai bid’ah. Kerana itu masyhur satu kaedah di sisi ulama usul yang disebut sebagai la masyahah fi al-Istilah yang bermaksud tiada pertikaian terhadap pengistilahan jika kandungan atau maksudnya benar.

(Komen Dr Asmadi: Pembahagian ilmu-ilmu ini adalah bidaah sebab ia adalah sesuatu yang baru. Setiap yang baru itu bidaah (Kull muhdasatin bid'ah). Satu perkara bidaah dalam mempelajari ilmu Islam. Walaupun begitu ia adalah bidaah yang mahmudah (terpuji), yang sepakat ulama membenarkan untuk memudahkan pengajian Syariah. Saya agak hairan kenapa dinafikan ianya bidaah (sesuatu yang baru)dengan mengklasifikasikannya bukan bidaah? Kenapa pula dikatakan seorang itu amat jahil apabila dikatakan penyusunan ilmu-ilmu ini bidaah? Atas dasar itulah ulama membahagikan bidaah kepada bidaah yang keji dan bidaah yang terpuji. Jahilkah Imam al-Izz bila beliau memasukkan penyusunan ilmu tersebut  kepada ilmu fiqh, tauhid, ilmu hadis sebagai bidaah hasanah (bidaah terpuji).


Bahkan pembahagian Imam al-Izz bin Abdul Salam amat sesuai dengan pemahaman bidaah. Penyusunan ilmu sedemikian beliau kelaskan dalam bidaah yang wajib. Pembinaan binaan atas kubur, beliau katakan sebagai bidaah yang haram (tetapi tidak menyesatkan). Senang untuk masyarakat faham. Manakala, bidaah dalam aqidah, baru beliau sesatkan.


Lihat kitab ulama Imam al-Izz bin Abd al-Salam iaitu Qawaid al-Ahkam).


Pembahagian tauhid di kalangan generasi awal umat islam


Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. bukanlah individu pertama yang bertanggungjawab mereka-reka pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Sebaliknya pembahagian ini telah wujud lebih awal lagi. Perkara ini dapat ditelaah dari kitab-kitab karangan ulama yang awal. Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke tujuh hanya berperanan menghidupkan semula penekanan kepada tiga usur penting di dalam tauhid. Di bawah ini disenaraikan beberapa bukti yang menunjukkan pembahagian tauhid telah ada sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah R.H. lagi:

Pertama: Al-Imam Abu Abdillah, Ubaidullah ibn Muhammad ibn Battah al-‘Ukbariy (meninggal tahun 387H) berkata: “…dan demikian itu, bahawa asas keimanan kepada Allah yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadapNya adalah tiga perkara (bahagian). Pertama: Keyakinan seorang hamba terhadap rabbaniyyah (Rububiyyah) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta. Kedua: keyakinan seorang hamba terhadap wahdaniyyah (keesaan) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan musyrik, yang mengakui adanya pencipta (Allah), tetapi mereka mensyirikanNya dengan yang lain di dalam ibadah. Ketiga: Keyakinan seorang hamba terhadap Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang layak bagiNya seperti al-‘Ilmu (maha mengetahui), al-Qudrah (Maha berkuasa), al-Hikmah (maha bijaksana) dan semua sifat yang Dia (Allah) telah sifatkan diriNya di dalam kitabNya … (oleh itu) kita akan dapati Allah ta’ala telah mengarahkan hamba-hambanya dengan menyeru mereka untuk beri’tiqad kepada setiap dari tiga pembahagian ini dan beriman dengannya.” (al-Ibanah ‘an Syariah al-Firqah al-Najiah wa Mujabanah al-Firaq al-Mazmumah, Oleh Ibn Battah, hal. 693-694).

(Komen Dr Asmadi: Jawapan ini nampak canggih tetapi tidak jujur. Terpaksa memasukkan perkataan 'rububiah' dalam kurungan untuk buktikan Ibn Battah sokong Ibn Taimiyyah. Cuba pembaca buang perkataan dalam kurungan tersebut dan baca: Pertama: Rabbaniah, kedua: Wahdaniyyah, ketiga: Sifat-sifat Allah SWT.


Pertama Rabaniyyah Allah. Saya kena periksa teks bahasa Arab kitab ini, sebab terjemahan mengelirukan iaitu "agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta". Golongan Ta'til sebenarnya mengatakan adanya tuhan tetapi menafikan Sifat-sifat Allah SWT! Ini membuktikan mempelajari Rabbaniyah yang dimaksudkan ialah meyakini Allah SWT mempunyai segala sifat-sifat ketuhanan (rangkuman rububiah dan uluhiah sekaligus).


Pada pandangan Ahlussunnah, rububuyah dan uluhiyah adalah tidak terpisah (saling melazimi) dan ia termasuk pandangan Ibn Battah, bahkan perkataan 'ilah' merangkumi rububiyah dan uluhiyyah. Sebagai contoh, ayat 24, Surah al-Nazi'at, bermaksud: "(Firaun berkata) Aku tuhanmu (Rabb) yang maha tinggi". Istilah Rabb yang didakwa oleh firaun meliputi pengakuannya ketuhanannya (rububiah) dan juga uluhiah (layak disembah). Demikian juga perjanjian ruh dengan Allah SWT dalam Surah al-A'raf, ayat 172 bermaksud: "Bukankan aku Rabbmu (tuhanmu), Ruh berkata: Benar, kami bersaksi". Ruh bersaksi Allah tuhannya dalam bentuk rububiah dan uluhiyahnya secara serentak. Ruh bukan hanya bersaksi atau bertauhid rububiyyah sahaja! 


Kedua Wahdaniyyah Allah SWT (Ke-Esaan Allah). Setelah meyakini Allah SWT mempunyai sifat-sifat kesempurnaan kekuasaan dalam 'rabbaniyah' tadi (rububiyyah dan uluhiyyah), maka tidak boleh pula mensyirikkan Allah.


dan Ketiga: Keyakinan pada sifat-sifat yang layak untuk Allah SWT. Jadi, mempelajari sifat-sifat Allah SWT (inilah hujah sifat 20!) termasuk dalam akidah Ahlusunnah Wal jamaah. Masalahnya, bila kami gunakan kata-kata Ibn Battah ini untuk menunjukkan golongan Salaf juga bersetuju mengkaji sifat-sifat Allah SWT, golongan ini menolak pula hujah ini!


Jadi, kata-kata Ibn Battah ini bukannya menyokong pembahagian tauhid Ibn Taimiyyah).


Perkataan Ibn Battah ini amat jelas menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga telah wujud dan diketahui oleh para ulama yang hidup sekitar dua ratus tahun sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah. Bahkan perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan di sini bahawa perbezaan di antara tauhid rububiyyah dan uluhiyyah telah disebut juga oleh para sahabat Nabi S.A.W. antara mereka:

(Komen Dr. Asmadi: Penjelasan Ibn Battah berbeza dengan Ibn Taymiyyah. Saya belum sempat periksa pandangannya mengenai pengesaan Allah SWT dari tempat dan masa. Bila saya dapat buku tu nanti, saya akan perkemaskan komen saya. Nanti saya buktikan pandangannya tentang Tauhid Sifat bila saya mendapat buku ini).

Kedua: Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106).

Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang menciptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah (iman kepada rububiyyah Allah), sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah (syirik dalam uluhiyyah Allah).”

(Komen Dr Asmadi: Sekali lagi, penjawab terpaksa memasukkan dalam kurungan perkataan 'rububiah' dan 'uluhiah' bagi membawa kefahaman pembaca kepada kefahamannya. Saya syorkan pembaca membaca terjemahan ini sekali lagi tanpa perkataan dalam kurungan.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106).


Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang menciptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah, sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah.”


Nilai sendiri, adakah ada tauhid rububiah dan tauhid uluhiah? Sedangkan ayat Surah Yusof itu jelas mengatakan mereka sebenarnya tidak beriman. Adakah Ikrimah RA kemudian mengatakan: 'Orang-orang Musyrik hanya beriman dengan tauhid rububiah?

Ketiga: Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “diantara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah (dalam uluhiyyahNya).”

(Komen Dr Asmadi: Baca terjemahan ayat ini tanpa perkataan dalam kurungan:


Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “di antara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah.”


Buat penilaian sendiri. Ada ke Ibn Abbas sebut tauhid uluhiyyah?.

Keempat: Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya (rububiyyah), sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah (uluhiyyah).”

(Komen Dr Asmadi: Baca sekali lagi tanpa ada tambahan dalam kurungan:


Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya, sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah.”


Buat penilaian sendiri. Ada ke Qatadah sebut tauhid uluhiyyah?.

Kelima: Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan (rububiyyah) mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah (uluhiyyah) kepada selain Allah.” (Lihat tafsir al-Imam Ibn Jarir al-Tobari (meninggal 310H), surah Yusuf ayat 106)

(Komen Dr Asmadi: Baca sekali lagi tanpa ada tambahan dalam kurungan:


Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah kepada selain Allah.”


Buat penilaian sendiri. Ada ke Mujahid sebut tauhid uluhiyyah? Jadi bukanlah Imam Ibn Jarir al-Tobari mengatakan demikian, cuma beliau menukilkan pandangan sahabat yang bukan juga mengatakan secara jelas 'orang-orang musyrik adalah ahli tauhid rububiah, sebaliknya musyrik dalam golongan orang-orang yang tak beriman).

Dirasakan bukti-bukti ini sahaja sudah cukup menunjukkan pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan asma’ wa sifat bukan dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. Sebaliknya ia telah diketahui di kalangan umat Islam yang awal bahkan di sisi para sahabat Nabi S.A.W.. Sebagai tambahan di bawah ini disebut beberapa rujukan lain dari para ulama secara ringkas:

1. Kitab al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih yang meninggal pada tahun 395 Hijrah. (Jilid 1: halaman 61-116, jilid 2: halaman 14-208, jilid 3: halaman 7 hingga penghujung kitab )

2. Lihat juga perkataan al-Imam al-Qadhi Abi Yusuf Ya’qub ibn Ibrahim ibn Habib al-Kufi, murid dan sahabat kepada al-Imam Abu Hanifah (pemuka Mazhab Hanafi). Beliau meninggal pada tahun 182 Hijrah. Perkataannya telah dinukilkan oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih (meninggal tahun 395H) di dalam kitabnya al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud, jilid 3: halaman 304-306.

3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”

(Komen Dr Asmadi: Kena semak keseluruhan kitab-kitab ini adakah mentafsirkan sebagaimana Tauhid 3 serangkai ibn Taimiyyah. Mengikut maklumat sahabat saya yang biasa membelek kitab Imam Abu Hanifah: Fiqh al-Absat (sahabat ini sedang menyelia tesis PhD pelajarnya yg menggunakan kitab ini), kitab ini menjadi asas kepada aliran Maturidi oleh Imam Abu Mansur al-Maturidi kerana beliau seorang yang bermazhab Hanafi. Kalau betul maklumat ini nanti (saya minta beliau menyemak), sekali lagi pembaca tertipu dengan nama-nama kitab ulama Salaf yang dikatakan seolah-olah menyokong Ibn Taimiyyah).

Agama melarang taklid buta

Al-Quran dan al-Sunnah melarang kita tertaklid membuta tuli kepada sesiapapun melainkan kepada Nabi S.A.W., samada Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja, pandangan mereka perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, diambil apa yang bertepatan dengan dua rujukan ini dan ditinggalkan yang lainnya. Untuk mengenal pasti pendapat yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, pemahaman para sahabat dan para ulama generasi awal islam perlu dirujuk. Maka individu-individu yang memakai gelaran agama seperti ustaz, panel penyelidik dan seumpamanya perlulah merajinkan diri mengkaji dan memahami setiap persoalan yang hendak dibicarakan, sebelum berani membuat sesuatu kesimpulan. Sikap malas dan ‘taklid buta’ perlu dijauhi, jika tidak, ada baiknya kita mendiamkan diri sahaja, agar kebodohan dan malas diri sendiri tidak diketahui ramai dan menyusahkan orang lain.

(Komen Dr Asmadi: Betul, tidak boleh taklid buta pada persoalan akidah. Sebab itu saya mengharap, ada hadis-hadis yang jelas berkaitan dengan pembahagian ini dan keyakinan-keyakinan di dalamnya. Contohnya ada dalil jelas yang mengatakan orang-orang musyrik beriman dengan 'iman rububiah' tetapi tidak beriman dengan iman 'uluhiah'. Malangnya, tidak ada pun dalil yang benar-benar menyebut perkara itu secara jelas. Orang-orang awam yang tidak mampu membaca kitab-kitab Arab tersebut akan mudah tertipu dengan hujah-hujah tersebut. 


Kalau mengikut metode pandangan ini, persoalan berzikir, berdoa berkumpulan adalah bidaah yang sesat sebab tiada dalil 'sahih' dan qat'ie mengenainya walaupun al-Quran dan sunnah sarat dengan saranan suruh berdoa dan berzikir. Bagaimana pula boleh diterima penghuraian akidah 3 serangkai itu, tanpa dalil-dalil sahih dari al-sunnah sendiri? Celarukan dan tidak adil cara berfikir sedemikian? Hujah- hujah yang digunakan di atas pun, bukannya menyokong pandangan Ibn Taimiyyah!


Saya semakin yakin yang orang-orang yang bertaklid dengan Sheikh Ibn Taimiyyah tidak mempunyai dalil-dalil dari al-Quran dan hadis. Mereka terpaksa mengulang-ulang hujah Ibn Taimiyyah dan memasukkan perkataan 'rububiah' dan 'uluhiah' dalam kata-kata ulama silam!


Wallahu a'lam. Semoga kita baca ulasan ini dengan fikiran yang terbuka. Saya tidak mahu menuduh dangkal, cetek dan seumpamanya. Cuma saya masih tertunggu-tunggu hujah 'sahih' dan nyata dari al-Quran dan al-Sunnah.

Artikel asal boleh didapati di http://al-fikrah.net/News/article/sid=850.html

Monday 7 December 2009

TAUHID ULUHIAH DAN RUBUBIAH

Satu artikel yang menarik dari Yayasan Sofa diterbitkan oleh Utusan Malaysia, 7 Disember 2009. Komen saya di akhir artikel ini. Boleh juga diklikkan pada tajuk. Selamat membaca.


Tauhid uluhiah dan rububiah


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN.

Syarat sah syahadat kita adalah mengucap dengan lisan, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota.

--------------------------------------------------------------------------------

Menyorot ruangan Relung Cahaya minggu lepas, kita telah pun mempersoalkan dan membincangkan secara ringkas tentang sumber tauhid tiga serangkai ini.

Setelah kita mengetahui dengan jelas bahawa pembahagian tauhid kepada tiga ini tidak mempunyai sumber yang sahih di sisi syarak, maka pada minggu ini kami ingin mengajak pembaca menghalusi lagi penelitian tentang permasalahan ini agar kebenaran akan terserlah dan kebatilan akan terpadam.

Memandangkan pereka tauhid bidaah ini mengklasifikasikan tauhid kepada tiga, maka kami ingin mengemukakan persoalan, apakah terdapat perbezaan di antara tauhid uluhiah dan rububiah?

Sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin berkongsi dengan pembaca tentang jawapan ringkas melalui e-mel yang kami terima daripada seorang pembaca yang pro-tauhid tiga serangkai ini.

Namun, jawapan yang mewakili penghantar tidak menjawab persoalan yang diutarakan pada minggu lepas.

Beliau hanya mengemukakan hujah hasil dari pemikiran Ibnu Taimiyyah seperti yang dapat dilihat di dalam kitab-kitabnya, sedangkan hujah Ibnu Taimiyyah ini telah lama disangkal oleh ulama ahli sunnah.

Perlu kita fahami, tidak semua ilmu yang diformulasikan atau semua hasil istiqra' (telaah) atau pemikiran seseorang itu boleh diterima jika tidak sejajar dengan al-Quran dan sunnah.

Apatah lagi, ilmu yang berkaitan dengan akidah yang mesti dirujuk dengan rapi dan betul kepada sumber yang sahih lagi mutawatir. Jika wujud kepincangan, maka ia tertolak sama sekali.

Kepincangan itu telah pun dibincangkan oleh ulama dan telah pun kami paparkan dan akan kami sebutkan, insya-Allah.

Menurut penghantar e-mel itu lagi, mengingkari tauhid tiga ini bererti tidak bertafaqquh terhadap kitab Allah, tidak mengetahui kedudukan Allah, mengetahui sebahagian dan tidak mengetahui sebahagian yang lainnya.

Dengan spontan benak hati kami bertanya, inikah jawapan yang sepatutnya kami peroleh daripada seseorang yang merasa telah bertafaqquh dengan kitab Allah?


Kami juga agak terkejut dengan kenyataan ini. Jika mereka yang mengingkari tauhid tiga ini dianggap tidak bertafaqquh dengan kitab Allah, bagaimanakah kedudukan ulama dan para sarjana yang telah saya sebutkan pada siri pertama yang mengingkari pembahagian tauhid ini?

Apakah al-Azhar, sebuah universiti yang diiktiraf oleh dunia Islam, mempunyai ulama dan tokoh-tokoh yang lemah kefahamannya tentang kitab Allah? Bagaimana pula dengan Mufti Mesir yang telah menafikan dengan lantang perkara ini di dalam fatwanya?

Apa pun jawapan yang dikemukakan oleh pro tauhid tiga serangkai ini, ia telah kami rujuk di dalam kitab asalnya yang sememangnya tersimpan kemas di perpustakaan kami.

Ramai ulama yang telah menjawabnya, cuma pada keluaran kali ini kami tidak berkesempatan untuk menyertakannya.

Sebaiknya kita tinggalkan dahulu tajuk ini dan kembali kepada persoalan hari ini.

Kenapa soalan ini dikemukakan dan sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin nyatakan di sini bahawa melalui tauhid tiga serangkai ini didapati perekanya, Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya telah menyatakan bahawa:

1. Orang musyrik atau orang yang menyekutukan Allah adalah ahli tauhid (orang yang mengesakan Allah) dengan tauhid rububiah.

2. Tauhid orang musyrik ini samalah dengan tauhid sebahagian orang Islam yang bertawassul, beristighathah dan bertabarruk dengan para nabi dan orang-orang soleh.

Ini bermaksud orang Islam yang bertawassul (memohon kepada Allah melalui perantaraan), beristighathah (menyeru minta tolong) dan bertabarruk (ambil berkat) samalah dengan orang musyrik kerana tidak memiliki tauhid uluhiah kerana dianggap menyembah apa yang ditawassulkan.

Kenyataannya berbunyi: "Tauhid rububiah sahaja tidak menafikan kekufuran seseorang dan tidak mencukupi bagi keimanan/keislaman seseorang". (Risalah Ahli al Suffah H: 34.)

"Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah. Mereka tidak termasuk dari kalangan ahli tauhid uluhiah kerana telah mengambil sembahan-sembahan yang lain untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT".

Mereka juga menyatakan: "Sesungguhnya orang-orang Islam yang bertawassul dan beristighathah dengan para Nabi dan orang-orang soleh serta bertabarruk dengan mereka (para nabi dan orang-orang soleh), adalah kufur. Bahkan, kekufuran mereka lebih dahsyat daripada kekufuran Abu Lahab, Firaun, Haman dan lain-lain". (Fatawa Ibni Taimiyyah 14/380).

Ini adalah antara kenyataan yang tidak ditulis dan tidak ditemui di dalam kebanyakan kitab-kitab berkaitan pembahagian tauhid ini di Malaysia.

Di negara kita, tauhid ini masih berada dalam peringkat pengenalan. Tetapi jika kita merujuk kepada kitab Ibnu Taimiyyah, Muhammad ibn Abdul Wahhab dan pemuka-pemukanya, kenyataan ini banyak ditulis di dalam kitab-kitab mereka. Inilah natijah sebenar yang akan kita dapati dari pembahagian tauhid ini.

Oleh kerana itu, kita dapati di kebanyakan negara timur tengah yang telah lama memakai tauhid ini berlaku pergolakan, perpecahan dan pembunuhan akibat gejala sembarangan mengkafirkan dan menghalalkan darah umat Islam yang dianggap menyanggahi tauhid ini.

Malah, dengan tauhid inilah menyebabkan berlakunya keruntuhan kepada Empayar Uthmaniyyah yang merupakan empayar terbesar Islam suatu ketika dahulu. Insya-Allah, perinciannya akan kami susuli pada keluaran akan datang.

Apa yang pasti, kenyataan Ibnu Taimiyyah ini jelas bertentangan dengan dalil-dalil syarak dan telah diketahui secara dharuri di sisi ulama.

Bagi menjelaskan tentang kesalahan dan kebatilan pendapat mereka ini, maka soalan ini dijawab: Sesungguhnya tidak ada perbezaan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.
Kedua-duanya adalah perkara yang sama dan tidak boleh dipisahkan serta tidak menerima sebarang pembahagian. Allah tidak menerima daripada hamba-hamba-Nya, melainkan akidah tauhid yang tulus dan suci kepada-Nya, Tuhan sekelian alam, yang dilafazkan dengan lidah, diiktikad dengan hati, diamalkan dengan anggota jasad dan dimanifestasikan dengan kalimah (Laa Ilaaha Illallah).

Dengan perkara inilah, semua Nabi dan Rasul diutuskan.

Adakah orang kafir ahli tauhid?

Terhadap pendapat yang menyatakan bahawa orang kafir dan musyrik sejak zaman berzaman adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan para Rasul a.s tidak diutuskan melainkan dengan tauhid uluhiah.

Jawabnya: Hakikatnya, pendapat ini merupakan suatu perkara yang telah menutup pintu kebenaran dan hakikat, menyalahi akal dan syarak dan mendustai penjelasan daripada nas-nas al-Quran dan sunnah.

Perkara ini juga merupakan perkara bidaah yang sesat dan tidak terdapat pada umat salaf yang terawal. Tauhid seperti ini meruntuhkan akidah dan bersifat saling bercanggah.

Dalam satu masa, mereka telah menjadikan sekelompok orang Islam sebagai ahli tauhid dan bukan ahli tauhid. Ini suatu perkara yang pelik.

Sedangkan, realitinya ialah seseorang itu mesti berada di salah satu kedudukan, iaitu sama ada berada dalam kedudukan ahli tauhid atau pun musyrik. Tidak boleh seseorang itu berada di antara dua keadaan (tauhid dan kufur).

Kepercayaan mereka juga tentang ketauhidan orang musyrik dengan tauhid rububiah tidaklah benar. Bahkan dakwaan ini adalah suatu penipuan yang ditolak sama sekali oleh akal dan naqal.

Insya-Allah, kami akan mengemukakan dalil-dalil dari akal dan naqal pada minggu hadapan.

Sesungguhnya perkara yang paling pelik ialah menganggap orang kafir sebagai ahli tauhid dan menganggap orang Islam yang telah mengucapkan kalimah tauhid sebagai bukan ahli tauhid.

Renungilah! Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat 70 tahun. Ibadah Abu Darda' r.a yang paling utama selepas melaksanakan kefarduan ialah bertafakur kerana dengannya dia sampai kepada hakikat suatu perkara dan membezakan di antara yang hak dan batil.

Bahkan, dengannya juga dia dapat menilik kerosakan dan helah nafsu yang halus, tipu daya dunia, dan mengenali helah-helah untuk lebih berwaspada dengannya.

Komen Dr Asmadi:

Sejak dulu saya hairan dengan pandangan yang berpegang dengan Tauhid 3 ini. Kenapa dalam soal akidah, mereka hanya berpegang/bertaklid pada pandangan ulama yang memisahkan makna 'rububiah' dan 'uluhiah'? Sepatutnya mereka bertanya dari ulama rujukan mereka dengan soalan berikut:
1. Apakah dalil dalam Quran dan sunnah yang mengatakan 'rububiah dan uluhiah' itu berbeza?
2. Apakah dalil dalam al-Quran mahupun sunnah yang menunjukkan orang kafir itu masih ahli tauhid rububiah? Atau, bagaimana orang Islam yang bertawassul masih digelar Islam, walhal tiada tauhid uluhiah mengikut kefahaman mereka?
3. Adakah kata-kata ulama Salaf yang memisahkan makna rububiah dan uluhiah?

Sebenarnya, ulama-ulama silam membahaskan 'hadis bidaah' pada perkara akidah. Kita takut pegangan ini juga membawa kepada pembahagian yang bidaah. Sekiranya ada hadis-hadis dhaif sekalipun, tenang sikit hati untuk menerima tauhid ini dalam golongan ASWJ. Tetapi masalahnya, tiada langsung. Ini yang saya maksudkan sebagai 'taklid' dalam artikel yang lepas.

Orang-orang yang berpegang kepada pandangan ini berkata: Ini adalah pembahagian dari al-Quran melalui 'tafaqquh' (pemahaman) pada Quran.

Sekali lagi kita katakan: Bagaimana boleh berpegang atau bertaklid dalam soalan akidah dengan hanya kefahaman ulama yang lahir di akhir kurun ke 7H? Takkan soal sepenting akidah, Rasulullah SAW tak menjelaskan kepada kita secara jelas, kena tunggu ulama kurun ke 8 datang?

Walhal, pada masa yang sama mereka menyesatkan 'amalan cabang' yang ada dalil yang jelas keharusannya iaitu zikir, doa dan lain-lain, cuma dilaksanakan secara berjemaah melalu dalil yang bukan bersifat qat'ie. Di sini, mereka menolak pula hujah ulama mengharuskannya hasil 'tafaqquh' kepada dalil-dalil syarak.

Mereka kata, amal setakat apa yang sunnah sahih perjelaskan. Kenapa pada soal akidah mereka tidak berpegang kepada setakat apa yang al-Quran dan sunnah sahih nyatakan secara jelas? Inilah kecelaruan metod berfikir! Ini apa yang saya tekankan 'metod yang cacar merba'.

Semoga kita dapat merenung sejenak persoalan ini.

Wallahu a'lam

Thursday 3 December 2009

BERBEZA MANHAJ TIDAK SESAT

Saya terjumpa artikel ini dalam Utusan Malaysia, 10/11/2009. Bila membaca artikel ini, mencetuskan idea untuk saya menulis artikel 'Bahaya Taklid Dalam Akidah'. Saya bersetuju dengan sebahagian kandungan penulisan di bawah, dan saya juga tidak bersetuju dengan sebahagian yang lain. Saya membuat komen saya di dalam artikel ini (berwarna). Selamat membaca.


Berbeza manhaj tidak mesti sesat


Apakah manhaj penyampaian tauhid oleh Nabi SAW kepada para sahabat?

NIZAM: Dari sudut sejarah, pendekatan penyampaian akidah tauhid kepada para sahabat pada zaman Rasulullah SAW bersifat mudah dan padat. Maksudnya, menggunakan terus pendekatan al-Quran menerusi wahyu Allah.

Jika ada sebarang pertanyaan yang menuntut penjelasan dari Rasulullah, baginda memberi penerangan terus atau menunggu wahyu Allah. Corak jawapan kepada persoalan tersebut berbeza-beza tahapnya bersesuaian dengan tahap pertanyaan dari siapa dan keadaan semasa.

Penjelasan Nabi SAW dengan bait katanya pula menjadi sunnah ikutan dalam hal berakidah. Oleh sebab itu, pendekatan zaman awal Islam boleh dikatakan sebagai menggunakan pendekatan al-Quran dan al-Sunnah.

Pada zaman ini, masyarakat Islam menerima apa sahaja yang dibawa oleh Rasulullah tanpa banyak soal. Mereka beriman sepenuhnya dengan apa yang diajar kepada mereka oleh Nabi SAW.

Sebagai contoh, lihatlah sahaja bagaimana peribadi Saidina Abu Bakar yang membenarkan apa yang diceritakan kepadanya tentang peristiwa ghaib Israk dan Mikraj tanpa banyak soal tentang kebenarannya.

Asalkan khabar berita yang dibawa kepadanya datang dari Nabi Muhammad SAW, beliau akan membenarkannya. Oleh sebab itulah, beliau diberi gelaran al-Siddiq yang bererti yang membenarkan. (Muhammad Mutawalla al-Sya'rawi , 1981:110)

(Komen Dr Asmadi: Saya setuju dengan pandangan penulis ini)

Adakah ini bermakna, suasana perbahasan ketika itu tenang daripada polemik?

NIZAM: Ringkasnya, suasana perbahasan pada zaman Rasulullah amat tenang daripada pertelingkahan pendapat khususnya dalam masalah akidah. Mereka menolak perdebatan dan perbahasan panjang tentang persoalan Ilahiyyat.

Rasulullah adalah sumber rujukan utama. Mereka juga menerima agama daripada riwayat yang benar dan athar yang diriwayatkan dari dalil orang adil dan thiqah (dipercayai) sehingga sampai kepada Rasulullah.

Mereka memahami apa yang diterangkan oleh Rasulullah dan memilih untuk berdiam diri dari berdebat tentang sifat-sifat Allah. Mereka juga tidak pernah membeza-bezakan sifat-sifat tersebut menjadi sifat zat dan sifat fi'l, melainkan mereka menetapkan sifat-sifat azali bagi Allah.

Mereka juga memutlakkan makna yang telah dimutlakkan Allah sendiri bagi diri-Nya, seperti wajah, tangan dan sebagainya dengan menafikan kesamaan sifat itu dengan makhluk. Mereka menetapkannya tanpa tasybih dan mensucikannya tanpa ta'til.

Mereka bersepakat mengakui sifat-sifat Allah sebagaimana diajar dan tidak ada yang pernah mengambil cara-cara ilmu Kalam dan juga falsafah. (Abu al-Hasan 'Ali bin Isma'il al-Asy'ari, 1999:8 & 9)

(Komen Dr Asmadi: Olahan ayat itu, saya ubah sikit. Para salaf beriman dengan ayat-ayat tersebut tanpa mentashbihkan dengan makhluk, dan mensucikannya tanpa ta'til. Ya, keyakinan inilah yang paling selamat).

Apakah pula pendekatan mengajar tauhid selepas wafatnya Nabi SAW?

NIZAM: Setelah wafatnya Rasulullah khususnya pada era tiga kurun awal hijrah, pendekatan yang digunakan masih bersesuaian dengan kaedah yang ditinggalkan oleh baginda.

Kaedah pengajaran ini lebih dikenali dengan kaedah salaf, iaitu kaedah yang digunapakai oleh golongan terkemudian dalam mengajar tauhid kepada masyarakat. Istilah salaf ini mula masyhur ketika mana berlaku persaingan pemikiran dan perdebatan aliran-aliran ilmu kalam dalam soal usuluddin atau dasar-dasar agama berhubung dengan persoalan akidah.

Ramai dalam kalangan mereka cuba mengaku diri sebagai golongan salaf dan cuba mempertahankan Islam dari serangan pemikiran ahli bidaah. (Muhammad bin Aman al-Jami', 1991:57)

Pada zaman kemudiannya, ketika mana unsur falsafah dan ilmu kalam meresap masuk dalam ilmu tauhid, pendekatan pengajaran tauhid turut menggunakan kaedah falsafah dan ilmu kalam khusus dalam menjawab penyelewengan yang timbul dalam aspek akidah.

Pada masa yang sama, golongan salaf terutamanya ahli hadis membuat bantahan terhadap kaedah yang diguna pakai oleh ahli Ilmu Kalam. Mereka berpendapat, al-Quran dan al-Sunnah sudah memadai dalam mencari jawapan terhadap persoalan akidah dan tidak perlu kepada dalil akal atau menggunakan kaedah falsafah.

Para sahabat dan tabien menutup rapat pintu ta'wil dalam soal Ilahiyyat misalnya ta'wilan dan tafsiran yang membawa kekeliruan dan salah faham tidak mendapat tempat di sisi mereka. Soalan yang berbentuk bagaimana dan kenapa adalah perkara yang dijauhi dan dianggap suatu perkara bidaah dalam hal Ilahiyyat. ('Irfan Abd al-Hamid, 1967:126)

Kemudiannya, bangkit Ibn Taimiyyah (m.728H) yang merumuskan pendekatan Tauhid Tiga Serangkai iaitu rumusan tauhid berdasarkan kepada Tauhid Rububiah, Uluhiah dan Asma' wa Sifat yang berteraskan fahaman kaedah salaf.

(Komen Dr Asmadi: Saya tidak tahu samada penulis sengaja menyembunyikan fakta, atau terlepas pandang. Penulis tidak mengemukakan konflik Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324) dengan Muktazilah. Imam Abu Hassan al-Asy'ari menyusun sifat-sifat Allah kepada 13 sifat utama (ummahat al-sifat) dan al-Maturidi (wafat 330) menambah 7 lagi sifat. Maka jadilah 20 ummahat al-sifat membicarakan keesaan Allah SWT. Sebab itu aliran Sifat 20 digelar Asyairah dan Maturidiah kerana dinisbahkan kepada huraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi).


Antara imam-imam yang mengikut jejak ini ialah Imam Abu Bakar al-Qaffal (wafat365H), Imam Abu Ishaq al-Asfaraini (wafat411H)., Imam al-Hafiz al-Baihaqi (wafat458), Imam Haramain al-Juwaini (wafat460H), Imam al-Qasim al-Qusyairi (wafat465H), Imam al-Baqilani (wafat403H), Imam al-Ghazali (wafat505H), Imam Fakhrurazi (wafat 606H) dan Imam Izzuddin bin Abd Salam (wafat660H). (Lihat Kiyai Sirajuddin Abbas (2008). Aqidah ahlussunnah wal Jamaah, h21-23.


Penulis seolah-olah cuba membuktikan bahawa Sifat 20 datang pada kurun yang terakhir (selepas Tauhid 3 serangkai) Pada saya, ini adalah penyelewengan fakta) Lihat jawapannya selepas ini).

Bila pula munculnya tauhid berasaskan Sifat 20?

NIZAM: Pada zaman mutakhir, tatkala umat Islam diserang pemikiran akidahnya dan bercampur baur pemahaman akidahnya dengan unsur falsafah yang menyesatkan, muncul Muhammad Yusuf al-Sanusi (w.896H / 1490M) dengan pendekatan baru iaitu pendekatan Sifat 20 dalam kitabnya yang masyhur iaitu Umm al-Barahin.

Pendekatan ini tersebar luas sehingga ke nusantara Asia Tenggara termasuk Malaysia. Pendekatan sifat 20 ini dalam memahami akidah kemudiannya dikembangkan dalam bentuk terjemahan oleh ulama nusantara dalam kitab-kitab jawi atau juga dikenali sebagai kitab-kitab kuning.

Pada tahun 1757M. iaitu pada abad ke 18M. misalnya, Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin telah menterjemah serta mengubah suai kitab al-Sanusi yang bertajuk Umm al-Barahin yang membincangkan persoalan berkaitan dengan ajaran Sifat 20. Kitab tersebut kemudiannya dinamakan Bidayah al-Hidayah. (Kamarul Bakri bin Abd. Aziz, 1999:80 & 81)
Selepas itu beberapa kitab berkenaan dengan ilmu tauhid yang berasaskan kitab Umm al-Barahin ini telah dikarang. Di antaranya ialah Zuhrah al-Murid fi Bayan Kalimah al-Tauhid oleh Abdul Samad Palembani pada tahun 1764M di Mekah.

Pada masa itu juga, Nawawi Bentani yang berada di Mekah telah menyusun sebuah kitab syarah kepada Umm al-Barahin yang bertajuk Zari'at al-Yaqin. (C. Snouck Hurgronje, 1970: 271)

Pada abad ini juga Tok Syihabuddin dari Palembang turut mengembangkan ajaran Sifat 20 melalui kitabnya Aqidah al-Bayan. (Kamarul Bakri Abd. Aziz, op. cit.)

Pendek kata, aliran akidah yang berkembang di nusantara adalah berasaskan fahaman al-Asya'irah terutamanya berkenaan sifat 20 menurut huraian al-Sanusi dalam kitabnya Umm al-Barahin.

Kebiasaannya, para ulama kitab Jawi akan mengupas tentang sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah. Mereka membahagikan sifat wajib kepada 20 dengan pembahagian kepada empat kategori iaitu nafsiah, salbiah, ma'ani dan ma'nawiyyah berserta huraiannya. (Ibid.)

Ringkasnya, di sepanjang sejarah perkembangan akidah Islam dari sudut pendekatan pengajarannya, terdapat pelbagai kaedah yang diformulasikan oleh para sarjana Muslim yang diaplikasikan dalam masyarakat Islam pada zaman-zamannya.

Secara ringkas, terdapat tiga pendekatan yang menonjol iaitu pendekatan al-Quran dan al-Sunnah, pendekatan lanjutan dengan nama pendekatan Tauhid Tiga Serangkai dan pendekatan lanjutan rumusan berasaskan Sifat 20 atau Doktrin Sifat 20.

(Komen Dr Asmadi: Ini sebenarnya perkembangan Sifat 20 di alam Melayu, bukannya perkembangan Sifat 20 di alam ulama berbangsa Arab)

Malangnya perbezaan pendekatan itu mendorong sebahagian kita melabel manhaj yang lain sesat? Bolehkah?

NIZAM: Ketiga-tiga cara penyampaian akidah tauhid di atas sama ada melalui pendekatan al-Quran dan al-Sunnah, pendekatan Tauhid Tiga Serangkai dan Sifat 20 merupakan cara atau manhaj yang digunapakai dalam sejarah perkembangan ilmu penyampaian akidah tauhid.
Kesemua cara tersebut bermatlamat hendak mengenalkan Allah kepada masyarakat. Oleh itu, membuat tuduhan bahawa pendekatan sesetengah pihak sesat dan bidaah adalah tidak wajar. Isunya di sini adalah apa yang digunakan itu adalah satu bentuk pendekatan.

Matlamatnya tetap sama untuk menyeru manusia beriman kepada Allah. Berbalah dalam isu pendekatan hanya merumitkan keadaan dan menyebabkan masyarakat keliru dengan pegangan pendekatan yang digunakan.

Ahli Sunnah wa al-Jamaah bukan sahaja melarang kita membudayakan isu kafir mengkafir bahkan tidak menggalakkan kita sesat menyesatkan antara saudara seagama tanpa asas yang kukuh.

Malah kedua-dua tindakan itu hampir sama. Begitu juga, seandai sesetengah pihak menuduh Ibn Taimiyyah sesat dalam kaedahnya, maka banyak yang perlu disemak dalam kurikulum pendidikan negara di peringkat sekolah menengah dan universiti.

Begitu juga andainya pihak yang lain pula menuduh Sifat 20 itu sebagai bidaah, maka banyak pula kitab-kitab ulama nusantara yang masyhur di sisi orang Melayu wajib ditinggalkan.

Berbalah dan berselisih dalam hal pendekatan pengajaran ini haruslah dielakkan demi keharmonian masyarakat awam dalam memahami akidah Islam yang sebenar.

Komen Dr Asmadi: Saya bersetuju bahawa kita tidak seharusnya sesat-menyesat apabila berbeza manhaj. Ini saya tekankan dalam posting saya yang lepas. Sememangnya saya 'reserve' pandangan saya pada persoalan Tauhid 3 serangkai.
 
Namun perbezaan manhaj seharus tidak menjurus kepada perkara-perkara berikut:
1. Menjisimkan atau menvisualkan Allah SWT.
2. Beriman bahawa penyembah berhala 'beriman dengan tauhid rububiah' sebab tidak ada dalil yang sahih mengenainya. Al-Quran jelas menjelaskan mereka tidak beriman.
3. Tidak mensyirikkan Nabi Adam AS dan menerima kenabiannya sebagaimana kefahaman ASWJ.
4. Tidak menyesatkan atau mengkafirkan pada perkara khilaf dalam perkara cabang (fiqh) termasuk qunut, talkin, tawassul dan lain-lain.
 
Kalau sekiranya berbeza Manhaj termasuk isu Tauhid 3 serangkai tidak boleh dibidaahkan (walau takde hujah dalam al-Quran dan hadith utk persoalan Aqidah), persoalan furu' fiqh seperti qunut, talkin dll, seharusnya tidak dijadikan titik perpecahan.
 
Pada saya, sikap sesat-menyesat dan bidaah membidaah bukan sikap orang-orang yang belajar Sifat 20 dan yang bermazhab, sebaliknya lahir dari rakan-rakan kita yang belajar Tauhid 3 serangkai dan yang tidak bermazhab atau yang bermazhab dengan ustaz-ustaz tertentu. Saya secara peribadi terpaksa berdepan dengan banyak persoalan masyarakat bila amalan seharian mereka telah dituduh sesat. Cuma dalam keadaan sekarang, ia seolah-olah diterbalikkan.
 
Wallahu a'lam. Pembaca berhak memberikan pandangan masing-masing, cuma saya harapkan berilah secara rasional dan bukan dengan emosi.
 
Semoga Allah SWT memberikan kehalusan budi kepada kita.

Monday 30 November 2009

ILMU HADITH BELUM CUKUP TANPA FIQH

Saya membaca satu artikel dalam Harakahdaily. Amat menarik kerana pengarang menjelaskan bahawa meriwayatkan hadith belum cukup untuk menjadi mujtahid. Atas dasar itu, Imam-imam hadith ramai merujuk pentafsiran pada imam-imam mujtahid. Bila membicarakan taraf hadith, mereka merujuk kepada Imam-imam hadith. Sila klik pada tajuk untuk mencapai artikel tersebut. Selamat membaca.

Saturday 28 November 2009

MENCARI KEBENARAN BERAGAMA

Satu artikel di Utusan Malaysia, 28 November 2009 yang ditulis Mantan Presiden ABIM. Sila klik pada tajuk untuk membaca artikel tersebut terus dari Utusan Malaysia.

Thursday 26 November 2009

BERADAB DALAM BERBEZA PENDAPAT

Satu artikel yang memperkatakan fenomena yang melanda masyarakat Islam kini. Artikel ini disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 26 November 2009. Sila klik pada tajuk di atas ini. Atau baca di bawah ini. Selamat membaca.


Beradab dalam berbeza pendapat


Oleh NIK ROSKIMAN ABDUL SAMAD

KITA harus menerima hakikat bahawa walaupun agama Islam itu satu, namun tafsiran terhadap Islam itu berbeza-beza. Pemahaman dan seterusnya penafsiran terhadap sumber-sumber Islam yang asal iaitu al-Quran dan al-Sunnah adalah tidak sama di kalangan para imam dan ulama mujtahid. Kerana itulah ia membawa kepada wujudnya pelbagai aliran atau disebut juga mazhab dalam dunia Islam sejak awal lagi.

Bahkan perbezaan kefahaman ini wujud sejak di zaman para sahabat Rasulullah SAW lagi. Kekalutan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah apabila munculnya sekelompok 'agamawan reformis' atau digelar juga 'progresif' yang mendakwa bahawa pendapat mereka sahajalah yang betul lalu mereka ini ingin melakukan apa yang disebut 'pembaikan' (islah) atau pembaharuan (tajdid) dalam masyarakat.

Pembaharuan ini ingin dilakukan atas pelbagai nama dan platform sama ada 'minda tajdid', atau mengemudi 'bahtera itu dan ini' dengan pelbagai slogan pula seperti 'kembali kepada al-Quran dan Sunnah', atau 'mengikut amalan generasi Salaf' dan seumpamanya.

Apa yang ingin digambarkan oleh kelompok 'mujaddid palsu' ini ialah selama ini amalan masyarakat kita kononnya tidak mengikut al-Quran dan Sunnah; nenek moyang dan ibu bapa kita tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya; masyarakat kita banyak melakukan amalan bidaah sesat, bahkan turut mempertikaikan mengikut mazhab kerana katanya di zaman Nabi SAW dulu tiada mazhab lalu kenapa kita harus mengikut mazhab hari ini.

Tiada salah untuk melakukan pembaharuan malah ia dituntut apabila masyarakat menjadi semakin jauh dari amalan murni Islam yang sebenar lalu mencampur-adukkan dengan amalan khurafat dan bidaah sesat. Bahkan ada hadis dari Abu Hurayrah r.a., yang menyebut bahawa Allah akan membangkitkan setiap seratus tahun untuk ummah ini orang yang memperbaharui agamanya. (Sunan Abu Dawud)

Namun apa yang mengecewakan ialah apabila golongan-golongan ini bukannya 'memperbaharui' agama daripada perkara-perkara khurafat dan bidaah sesat, sebaliknya membongkar perkara-perkara khilafiyyah yang telah disepakati para ulama silam sejak ratusan tahun lalu untuk bersetuju berbeza pendapat (agree to disagree).

Kesan pembongkaran itu hanyalah menimbulkan keresahan dan keraguan di kalangan masyarakat sehingga membawa kepada perpecahan sesama sendiri.

Perkara-perkara khilafiyyah yang wujud dalam amalan mazhab-mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah seperti membaca qunut Subuh, keadaan jari telunjuk ketika tasyahhud perlu digerakkan atau tidak, berdoa beramai-ramai selepas sembahyang, dan seumpamanya tidak mungkin dapat diselesaikan hari ini jika dahulu pun tidak mampu diselesaikan oleh alim-ulama yang ratusan kali ganda lebih hebat daripada ulama-ulama hari ini dan lebih dekat dengan Rasulullah SAW dan generasi Salaf.

Menyedari hakikat bahawa perbezaan pendapat para ulama itu tidak dapat dielakkan khususnya dalam hal-hal ranting yang terperinci dalam ibadat, maka para ulama usul telah merumuskan bahawa "kebenaran dalam perkara ranting (furuk) itu berbilang-bilang." Ia suatu hakikat bahawa kebenaran dalam perkara bersifat 'cabang-cabang' Islam ini tidak mampu untuk diseragamkan menjadi satu walaupun ribuan ulama telah mencubanya sejak sekian lama.

Lalu selama kita mengikuti pandangan majoriti ulama (al-sawad al-a'zam) iaitu para imam mazhab empat dari kalangan Ahlul Sunnah wal Jamaah, maka insya-Allah kita berada di atas landasan dan jalan yang benar.

Renunglah nasihat para ulama silam dalam mengambil sikap beradab apabila menangani perbezaan pendapat dengan menekuni karya-karya mereka yang banyak berhubung dengan adabul ikhtilaf (Adab Berbeza Pendapat). Imam al-Shatibi r.a. sendiri sebagai contoh menulis: Sesungguhnya perbezaan pendapat yang terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku adalah dalam masalah-masalah ijtihadiyyah. Pertama kali ia berlaku pada zaman Khulafa' al-Rasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan sehingga zaman para tabi'en dan mereka tidak saling mencela di antara satu sama lain. (al-I'tisom 2/191)

Selain tidak beradab dalam menangani perbezaan pendapat, golongan reformis agama ini juga mendakwa bahawa Islam yang sebenar ialah dengan mengikut al-Quran dan al-Sunnah dan bukannya mengikut mazhab.

Bunyinya menarik dan benar tetapi sebenarnya penuh dengan kebatilan dan kepalsuan seperti mana yang sering diungkapkan "kalimatul haq yuridu biha al-batil".

Mereka secara tidak langsung menyeru masyarakat menjadi 'bebas mazhab' (al-la madhabiyyah) suatu aliran yang dianggap 'bidaah' paling bahaya yang menentang syariat Islam seperti mana ungkapan Sheikh Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam kitabnya al-la Madhhabiyya Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu al-Shari'at al-Islamiyyah (Bebas Mazhab Bid'ah Paling Bahaya Menyalahi Syariat Islam).

Bahkan Imam Ibn Rajab al-Hanbali (meninggal dunia 795H/1393M) telah lama menentang aliran ini menerusi kitabnya Radd 'ala man Ittaba'a Ghayr al-Madhahib al-Arba'ah (Sanggahan Terhadap Mereka Yang Tidak Mengikut Mazhab Empat).

Kita perlu faham bahawa apabila disebut 'mengikut mazhab' bukanlah bermakna taksub kepada pandangan akali para Imam-Imam mazhab, kerana pandangan mereka itu juga sebenarnya didasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan mazhab itu sendiri bukanlah pandangan sosok tubuh seorang individu atau Imam mazhab semata-mata.

Mengikut mazhab Shafie bukan bermaksud mengikut pandangan Imam Shafie seorang diri sahaja, tetapi ia melibatkan sekumpulan para alima ulama yang mengikut kaedah mengistinbatkan hukum berdasarkan kaedah dan kriteria Imam Shafie.

Adalah tidak benar seperti apa yang cuba dimomokkan oleh kelompok agamawan reformis ini bahawa mengikut mazhab itu seolah-olahnya tidak mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Terlalu dangkal jika kita berfikiran begitu dan terlalu hina kita meletakkan taraf keilmuan para imam-imam kita dan ulama mazhab yang menghabiskan usia menjadi penyuluh kegelapan umat dengan menelaah al-Quran, al-Hadis dan kitab-kitab saban waktu tanpa jemu.

Hidup mereka dipenuhi dengan ilmu dan pengajian sehingga ada ulama silam yang walaupun ketika sedang makan masih tetap menelaah kitab-kitab, sedangkan hidup kita penuh dengan bersenang-lenang dan berseronok-seronok.

Adalah amat mengecewakan apabila kita dapati ungkapan-ungkapan menghina para ulama silam dan dilontarkan bersahaja tanpa rasa bersalah bahkan dengan cukup biadab sekali sama ada dalam tulisan di dada-dada akhbar mahupun pada ceramah-ceramah.

Ini bukanlah bermaksud mengatakan bahawa para ulama itu maksum dan tidak melakukan kesalahan, tetapi pendekatan menghina itu tidak sewajarnya dilakukan apatah lagi oleh golongan agamawan sendiri.

Kesimpulannya, kelemahan para ulama bukanlah untuk didedahkan kepada masyarakat umum apatah lagi untuk dijadikan bahan ditertawakan kerana tiada sekelumit manfaat pun yang diperolehi dengan pendedahan sebegitu melainkan 'mengajar' masyarakat bersikap biadap terhadap para ulama silam.

Kita harus ingat bahawa kita juga ulama dan apabila kita 'mengajar' masyarakat awam biadap terhadap para alim-ulama silam dan tidak menghormati mereka, kita jangan terkejut jika masyarakat juga akan bersikap biadap terhadap kita selaku ulama suatu hari kelak'.

Penulis ialah Felo Pusat Perundingan dan Latihan, Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Wednesday 25 November 2009

BAHAYA TAKLID DALAM TAUHID

Artikel terbaharu saya yang disiarkan oleh Utusan Malaysia, 25 November 2009. Sila klik pada tajuk di atas. Saya linkkan tajuk di atas dengan artikel saya di Utusan Malaysia. Atau baca artikel ini di bawah. Selamat membaca.


BAHAYA TAKLID DALAM TAUHID

Oleh DR. ASMADI MOHAMED NAIM

APABILA ditanya dari mana nas al-Quran dan sunnah yang menyebut pembahagian yang jelas bagi tauhid tiga serangkai iaitu tauhid uluhiah, tauhid rububiah dan tauhid asma' wa sifat, pendokongnya yang mengaku berpegang dengan al-Quran dan sunnah pun, teragak-agak mendatangkan hujah.

Lantas mendatangkan hujah-hujah berbentuk taklid iaitu WAMY, ulama-ulama lain dan silibus-silibus beberapa buah universiti yang menyokong. Itu sebenarnya taklid.

Kadang-kadang didatangkan nukilan al-Baghdadi dalam al-Farq Baina al-Firaq berkaitan dengan tafsiran perkataan 'ahlussunnah' sebab mahu bergantung dengan ulama silam Ahlussunnah, namun ditiadakan syarahan bahawa Imam al-Baghdadi sebenarnya mensyarahkan tauhid Sifat di dalam kitab tersebut apabila beliau mensyarahkan firqah najiah (firqah yang selamat). Bahkan perkataan 'tauhid-tauhid sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara sifat-sifat 20.

Lihat bagaimana Imam al-Baghdadi mensyarahkan pandangan Ahlussunnah dalam mentauhidkan sifat Allah SWT: "Mereka ijmak bahawa tempat tidak meliputiNya (Allah SWT tidak bertempat) dan masa tidak mengikatnya, berbeza dengan firqah al-Hasyamiah dan al-Karamiah, yang mengatakan Allah memegang arasynya". (Lihat Al-Baghdadi, al-Farq Baina al-Firaq, hal.256).

Dalam isu tauhid, amat merbahaya kita bertaklid. Sepatutnya didatangkan nas-nas yang jelas berkaitan pembahagian tiga serangkai tersebut bersesuaian sekiranya kita bersarjanakan al-Quran dan sunnah.

Kalau berdoa selepas solat secara berjemaah yang tidak ditunjuk oleh hadis secara jelas pun dituduh bidaah dan sesat oleh sesetengah orang (walau berdoa disuruh dalam al-Quran dan sunnah), apatah lagi isu pokok dan besar seperti tauhid.

Apabila ditanya, mana dalil al-Quran dan sunnah apabila anda mengatakan penyembah berhala bertauhid dengan tauhid rububiah (tanpa tauhid uluhiyah)? Lantas akan dinyatakan kata-kata si polan dan polan mengatakan perkara ini dan di sokong pula dengan ulama-ulama ini dan ini.

Persoalan saya: Kenapa tidak ada sepatah pun ayat al-Quran dan hadis atau kata-kata ulama-ulama Salafussoleh (tiga kurun pertama) mengenai perkara ini?

Memang benar ada ayat yang bermaksud: Dan jika engkau bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab: Allah; jadi bagaimana mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah SWT). (al-Zukhruf: 87).

Dalil ini digunakan untuk menunjuk- kan orang-orang Musyrik (penyembah berhala) beriman dengan iman rububiah. (Mohd. Naim Yasin, hal.11).

Namun kenapa tidak dicantumkan dengan ayat selepasnya?: Dan (Allah mengetahui) ucapannya (Muhammad): Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman. (al-Zukhruf: 88).

Tidak pula al-Quran mahupun sunnah menyebut orang-orang Musyrik beriman dengan tauhid rububiah sahaja! Ini persoalan akidah, sepatutnya ada nasnya secara jelas.

Sebaliknya al-Quran mengatakan dengan jelas bahawa mereka bukan orang yang beriman. Bagaimana kita boleh mengubahnya mengatakan mereka beriman dengan tauhid rububiah? Mana dalilnya sebab ini persoalan akidah?

Ini adalah taklid. Kenapa kita membenarkan taklid dalam soalan akidah sebegini? Kita amat tidak adil apabila membenarkan taklid pada persoalan akidah sebegini.

Lantas kemungkinan saya pula ditanya: Apa dalil kamu dari al-Quran dan sunnah yang menyebabkan kamu mengkhususkan Sifat 20 untuk Allah SWT?

Maka saya berkata: "Bahawasanya Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, dan maha suci dari segala kekurangan. Sesungguhnya ketuhanannya melazimkan kesempurnaan mutlak secara khusus untuk ZatNya.

"Kemudian, kami memilih sifat-sifat terpenting daripada sifat-sifatNya yang maha sempurna dan kami menjelaskannya secara terperinci perkara-perkara dan keyakinan-keyakinan yang berkaitan dengannya (Lihat al-Buti, 1992, Kubra al-Yaqiniyat al-Kauniyyah, h108).

Adalah satu fitnah sekiranya kami dikatakan menghadkan sifat Allah SWT kepada 20 sahaja!

Saya mungkin ditanya lagi: Mana dalilnya dari al-Quran dan sunnah? Saya akan mengatakan bahawa semua sifat dua puluh itu ada dalilnya di dalam al-Quran dan sunnah. Kalau mahu diperincikan, boleh dilihat dalam semua buku yang mensyarahkan Sifat 20.

Saya ditanya lagi: Bukankan Sifat 20 itu susunan Muktazilah? Saya berkata: Sekiranya saudara membaca sejarah Islam silam, saudara akan memahami bahawa pada zaman Khalifah Abbasiah iaitu Ma'mun bin Harun ar Rasyid (198H-218H), al-M'tashim (218H-227H) dan al-Watsiq (227H-232H) adalah khalifah-khalifah penganut fahaman Muktazilah atau sekurang-kurangnya penyokong-penyokong yang utama dari golongan Muktazilah.

Dalam sejarah Islam, dinyatakan terjadinya apa yang dinamakan 'fitnah al-Quran itu makhluk' yang mengorbankan beribu-ribu ulama yang tidak sefaham dengan kaum Muktazilah.

Pada masa itu, Imam Abu Hassan al-Asy'ari muda remaja, dan belajar kepada seorang Sheikh Muktazilah, iaitu Muhammad Abdul Wahab al-Jabai (wafat 303H).

Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat 324H) melihat terdapat kesalahan besar kaum Muktazilah yang bertentangan dengan iktiqad (keyakinan) Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda, dan banyak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah. Lantas beliau tampil meninggalkan fahaman Muktazilah dan menongkah hujah-hujah kaum Muktazilah.

Kefahaman masyarakat

Bermula dari itulah, Imam Abu Hassan al-Asy'ari melawan kaum Muktazilah dengan lidah dan tulisannya. Justeru, susunan tauhidnya bermula setelah dia berjuang menentang Muktazilah dan mengembalikan kefahaman masyarakat kepada al-Quran dan sunnah.

Di atas jalannya, ulama silam menelusuri, antaranya ialah Imam Abu Bakar al-Qaffal (wafat 365H), Imam Abu Ishaq al-Asfaraini (wafat 411H)., Imam al-Hafiz al-Baihaqi (wafat 458), Imam Haramain al-Juwaini (wafat 460H), Imam al-Qasim al-Qusyairi (wafat 465H), Imam al-Baqilani (wafat 403H), Imam al-Ghazali (wafat 505H), Imam Fakhrurazi (wafat 606H) dan Imam Izzuddin bin Abd Salam (wafat 660H). (Lihat Kiyai Sirajuddin Abbas (2008). Aqidah ahlussunnah wal Jamaah, h21-23).

Tidak pernah wujud pertelingkahan antara penghuraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari dan Imam al-Maturidi dengan pengikut-pengikut mazhab fiqh yang empat.

Kemudian saya mungkin diperlekeh kerana pengajian sifat 20 ini bentuknya kaku, lantas contoh sindirannya ialah: "Wujud maksud ada, lawannya tiada.... akhirnya semuanya tiada".

Saya katakan sememangnya cara perbahasan Sifat 20 kena diperbaharui dan diringkaskan.

Dalil-dalil al-Quran berkaitan sifat tersebut perlu lebih dipertekankan berbanding dengan dalil-dalil akal yang rumit-rumit yang mungkin zaman kita tidak memerlukannya.

Pada saya, mungkin penulisan seorang ulama Indonesia Kiai Sirajuddin Abbas bertajuk: Aqidah Ahlussunnah wal Jamaah, boleh digunakan untuk memudahkan kefahaman pembaca. Buku ini masih banyak dijual di toko-toko buku di Wisma Yakin, Kuala Lumpur.

Saya kemudian ditanya berkaitan dengan sahabat-sahabat saya yang mungkin belajar dan mengajar tauhid tiga serangkai ini?

Saya katakan pengalaman saya mendengar pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat saya yang mengajar tauhid pecah tiga ini, ada di kalangan mereka tidak ekstrem, tidak sampai mengkafirkan/mensyirikkan golongan yang tidak sependapat.

Contohnya bila memperkatakan tawassul dan menziarahi kubur, ada di kalangan mereka menerimanya tanpa mengkafirkannya atau menyesatkannya.

Demikian juga persoalan penafsiran ayat-ayat sifat, ada yang tidak menerima/ tidak taklid bulat-bulat kenyataan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, dan lebih kepada menyerahkan kepada Allah SWT. Mereka lebih suka merujuk terus ke Ibn Taymiyyah berbanding Sheikh Abd Wahhab.

Di kalangan mereka (mengikut cerita adik saya ketika dia belajar di Universiti Yarmuk, Jordan), pensyarah Aqidahnya mengatakan: Kamu orang-orang Malaysia, ramai mengikut Ahlu sunnah aliran Asyairah.

Namun, tauhid yang diajarkan ini mengikut susunan Ibn Taymiyah kerana menjadi silibus Universiti ini (pada masa itu). Terserah kepada kamu mengikut keyakinan Asyairah itu (tanpa beliau menyesatkannya).

Mereka menyedari ramai ulama silam (sama ada muhadithin, fuqaha' atau mufassirin) dari kurun ke tiga Hijrah berpegang kepada huraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat 324H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333H).

Walaupun begitu, ada yang amat ekstrem dalam pegangannya sehinggakan menyesatkan imam-imam terdahulu yang berada dalam lingkungan ratusan tahun.

Semoga pembaca membuat pertimbangan dan terbuka berkaitan isu ini. Pada saya berpegang pada tauhid susunan dan huraian orang yang dekat dengan Rasulullah SAW (al-'ali) lebih selamat dari berpegang kepada tauhid orang terkemudian dan sekarang yang kelihatan cacar marba metodenya dan bertaklid dengan orang-orang baru (al-nazil).

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesesatan dan menganugerahkan kita jalan yang lurus.