Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Sunday, 27 May 2007

AGEN TAKAFUL PERLU TELUS DAN BERILMU

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Perkembangan pesat system kewangan Islam menyaksikan perkembangan pantas industri takaful Negara. Sehingga kini terdapat 7 syarikat takaful yang dilesenkan oleh Bank Negara iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Takaful Nasional Sdn Berhad, Takaful Ikhlas Sdn Berhad, Mayban Takaful Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Commerce Takaful Berhad dan HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Sdn. Berhad.

Berdasarkan laporan akhbar pada 25 Mei 2007, Commerce Takaful menyakini kemampuannya untuk mengutip premium takaful sejumlah RM1 bilion pada tahun 2007. Keyakinan ini tentunya berasaskan kepada pertumbuhan minat masyarakat awam terhadap system takaful.

Kewujudan banyak syarikat-syarikat takaful merupakan perkembangan yang sihat terhadap industri ini. Setiap syarikat pastinya akan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan syarikat mereka menjadi pilihan masyarakat. Pada masa yang sama, perkembangan ini mendorong para agen mempertingkatkan tahap profesionalisme mereka untuk mengembangkan kerjaya masing-masing.

Apabila memperkatakan mengenai penggunaan agen dalam system takaful, secara umumnya, penggunaan agen dibenarkan berdasarkan prinsip al-wakalah. Agen atau wakil merupakan seseorang yang diwakilkan untuk bertindak bagi pihak orang lain. Kontrak wakil ini boleh berlaku dalam bentuk tabarru' (wakil secara sukarela) atau berbayar (wakil yang mendapat upah).

Dalam situasi biasa, sebenarnya masyarakat kita banyak terlibat dengan kontrak wakalah secara sukarela. Apabila rakan kita mahu ke kedai contohnya, secara spontan kita meminta dia membelikan sesuatu barang untuk kita tanpa kita memberikannya sebarang upah.

Walaupun begitu, timbul beberapa isu yang mempertikaikan peranan agen takaful. Sebahagian isu ini sebenarnya sudah diselesaikan oleh majlis penasihat Syariah syarikat-syarikat takaful.

Pertamanya, siapa yang membayar upah kepada agen tersebut, walhal tidak dinyatakan dalam kontrak antara peserta dan syarikat yang menjelaskan agen dibayar oleh peserta. Isu ini selesai apabila diputuskan bahawa bayaran upah agen adalah dari perbelanjaan mengurus syarikat-syarikat takaful.

Keduanya, timbul pula isu berkaitan dengan penubuhan syarikat-syarikat takaful yang berasal dari syarikat-syarikat konvensional yang bertransaksi dengan riba. Justeru, agen juga mendapat hasil dari syarikat yang pernah terlibat dengan riba. Demikian juga, pelaburan peserta juga sedikit sebanyak dikaitkan dengan riba kerana asal syarikat ini terlibat dengan riba.

Tanpa bermaksud untuk mengeluarkan sebarang fatwa tetapi sebagai sebahagian perbahasan awal, saya melihat terdapat tiga isu yang perlu diasingkan berkaitan masalah ini sebagaimana berikut:

• Syarikat takaful yang asalnya syarikat konvensional.
Apabila dilihat dari panduan yang jelas dari al-Quran, Allah SWT menjelaskan mengenai golongan yang berhenti dari memakan riba dalam surah al-Baqarah, ayat 279 yang bermaksud: Dan sekiranya kamu bertaubat, maka untukmu modal asal kamu, dan kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi.

Sekiranya dikiaskan kepada syarikat-syarikat yang pernah memakan riba, mereka boleh menggunakan jumlah modal asal syarikat mereka untuk membina syarikat takaful. Contohnya, sekiranya satu syarikat yang bernilai RM100 juta, pada awalnya ia dimulakan dengan modal asal syarikat sebanyak RM20 juta. Maka syarikat ini boleh menggunakan jumlah RM20 juta untuk membina syarikat takaful. Justeru, tiada apa-apa keraguan yang timbul terhadap hasil upah agen dan penglibatan orang ramai dengan syarikat ini.

• Upah agen takaful
Namun jika pemilik syarikat ini tidak menggunakan kaedah di atas, iaitu mereka meletakkan modal melebihi modal asal. Pada pandangan saya, hasil yang diperolehi oleh pemilik syarikat takaful sebenarnya masih mengembangkan sebahagian wang asalnya yang bersumberkan perkara haram. Justeru, pemilik syarikat itu masih berhadapan dengan sebahagian keuntungan dari sumber wang haram.

Dalam keadaan ini, timbul persoalan adakah halal upah yang diterima oleh agen dalam syarikat ini? Saya berpandangan ia adalah halal kerana peranan agen ialah memasarkan produk patuh syariah. Mereka mendapat komisen dari produk patuh syariah yang mereka jual. Justeru, mereka berkhidmat melakukan perkara halal maka upahnya juga adalah halal.

• Pelaburan peserta takaful
Keterangan di atas juga menjelaskan bahawa dana penyertaan yang terkumpul dilaburkan dalam pelaburan patuh syariah. Sekiranya demikian keadaannya, maka hasil keuntungan yang diperolehi oleh peserta adalah bersumberkan kepada sumber yang halal.

• Agen perlu berilmu dan telus
Walaupun begitu, masyarakat masih mempunyai persepsi kurang baik terhadap agen takaful dan syarikat takaful. Ungkapan-ungkapan negatif masih kedengaran seperti 'syarikat takaful susah bayar bila nak klaim', 'janji nak lindung kos perubatan, tapi bila masuk wad, yang dibayar hanya RM100 sehari, kos perubatan tidak dibayar!, 'bila saya nak tamatkan perlindungan takaful, saya hanya dapat tak sampaipun 5% dari 2000 yang saya bayar!', 'agen takaful tu tipu' dan sebagainya.
Sesetengah agen lagi masih menggunakan pendekatan insurans konvensional dalam pemasaran mereka. Mereka hanya menumpukan penerangan berkaitan dengan perlindungan takaful yang akan diperolehi sebagaimana agen insurans menerangkan perlidungan insurans.

Walau apapun alasan yang boleh diberi, agen takaful sebenarnya perlu menambah ilmu mereka berkaitan dengan kesahan kontrak menurut Islam. Kontrak takaful bukan kontrak tabarru' (kebajikan) semata-mata. Sebaliknya ia mempunyai unsur kontrak 'mudharabah' (usahasama perniagaan). Oleh itu, caruman takaful bukanlah caruman tabarru' semata-mata bahkan ia juga modal pelaburan.

Teori kontrak dalam Islam menuntut supaya dijelaskan kandungan kontrak (muqtada al-'aqd). Kesilapan agen menjelaskan kontrak dengan teliti akan menyebabkan berlakunya 'jahalah' dalam kontrak. Hasilnya, kontrak takaful yang asalnya halal, menjadi haram kerana dipenuhi dengan unsur jahalah (ketidakjelasan).

Sebagai contoh, produk takaful keluarga yang mempunyai unsur pelaburan. Sesetengah agen atau syarikat takaful tidak telus dan tidak menjelaskan sama ada secara lisan mahupun bertulis jumlah peratusan yang dimasukkan ke akaun peserta (AP) untuk dilaburkan, dan peratusan akaun khas peserta (AKP) untuk tabarru' bagi membayar tuntutan. Peratusan untuk kedua-dua akaun ini biasanya berbeza pada enam tahun terawal dengan tahun-tahun selepasnya. Penjelasan ini membolehkan peserta mengetahui bahawa hanya 5 peratus dari carumannya dalam 6 tahun pertama yang masuk ke dalam akaun peserta (untuk simpanan dan dilaburkan). Dengan itu, setiap pelanggan boleh memikirkan risiko penarikan diri sebelum tempoh matang tersebut (6 tahun) iaitu kehilangan hampir keseluruhan wang yang telah dibayar.

Akhirnya, kita mengharapkan syarikat takaful semakin mendapat tempat di hati masyarakat sebagai alternatif kepada system konvensional yang ada pada hari ini. Namun, cita-cita ini sukar dicapai sekiranya agen-agen dan syarikat-syarikat takaful tidak berusaha memberikan penjelasan yang lebih teliti berkaitan produk-produk mereka. Penelitian dan ilmu menjelaskan perkara-perkara ini adalah amat penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan syarikat takaful dipandang serong oleh masyarakat sekaligus membantutkan cita-cita murni kita memartabat system kewangan Islam dalam masyarakat majmuk kita. Wallahu a'lam.

Dr Asmadi Mohamed Naim ialah Pensyarah Kanan Perbankan dan Kewangan Islam, merangkap Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Kewangan dan Perbankan, UUM

3 comments:

  1. Terima kasih Tuan di atas nasihat dan maklumat yang diberikan semoga menjadi panduan kepada saya untuk berkhidmat sebagai usahawan takaful

    ReplyDelete
  2. salam...sy ingin tau.
    adakah ajen takaful memahami tentang aplikasi syariah di dalam takaful?

    ReplyDelete
  3. Us Asmadi Mohamed Naim19 January 2011 at 13:53

    Salam kembali,

    Ada Ajen yg bertanggungjawab dan memahami aplikasi tersebut. Namun, mmg ada yang masih terkapai-kapai dan berinteraksi sbgmana ajen sistem konveensional.

    ReplyDelete