Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Thursday 12 July 2007

EJEN TAKAFUL KENA ADA ILMU PERJELAS PRODUK

Source : Berita Harian On-Line
Wednesday, June 20, 2007
By : Dr Asmadi Mohamed Naim

PERKEMBANGAN pesat sistem kewangan Islam menyaksikan pergerakan pantas industri takaful negara. Sehingga kini ada tujuh syarikat takaful dilesenkan Bank Negara iaitu Syarikat Takaful Malaysia Bhd, Takaful Nasional Sdn Berhad, Takaful Ikhlas Sdn Bhd, Mayban Takaful Bhd, Prudential BSN Takaful Bhd, Commerce Takaful Bhd dan HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Sdn Bhd.

Berdasarkan laporan akhbar pada 25 Mei lalu, Commerce Takaful meyakini kemampuannya mengutip premium takaful RM1 bilion sepanjang tahun ini. Keyakinan ini berasaskan pertumbuhan minat masyarakat awam terhadap sistem takaful.

Kewujudan banyak syarikat takaful adalah perkembangan sihat terhadap industri ini. Setiap syarikat pasti berusaha memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan syarikat menjadi pilihan pelanggan.

Apabila memperkatakan mengenai penggunaan ejen dalam sistem takaful, secara umumnya, penggunaan ejen dibenarkan berdasarkan prinsip al-wakalah. Ejen atau wakil adalah seseorang yang diwakilkan untuk bertindak bagi pihak orang lain. Kontrak wakil boleh berlaku dalam bentuk tabarru' (wakil secara sukarela) atau berbayar (wakil yang mendapat upah).

Dalam keadaan biasa, sebenarnya masyarakat kita banyak terbabit dengan kontrak wakalah secara sukarela. Apabila rakan kita mahu ke kedai contohnya, secara spontan kita meminta dia membelikan sesuatu barang untuk kita tanpa kita memberikannya sebarang upah.

Begitu pun, timbul beberapa isu yang mempertikaikan peranan ejen takaful. Sebahagian isu ini sebenarnya diselesaikan majlis penasihat syariah syarikat takaful.

Pertama, siapa yang membayar upah kepada ejen ini, walhal tidak dinyatakan dalam kontrak antara peserta dan syarikat yang menjelaskan ejen dibayar peserta. Isu ia selesai apabila diputuskan bahawa bayaran upah ejen adalah daripada perbelanjaan mengurus syarikat takaful.

Kedua, timbul pula isu berkaitan penubuhan syarikat takaful berasal dari syarikat konvensional yang bertransaksi dengan riba. Justeru, ejen juga mendapat hasil daripada syarikat yang pernah terbabit dengan riba.

Demikian juga, pelaburan peserta turut sedikit sebanyak dikaitkan dengan riba kerana asal syarikat ini terbabit dengan riba. Tanpa bermaksud mengeluarkan sebarang fatwa, tetapi sebagai sebahagian perbahasan awal, penulis mendapati ada tiga isu yang perlu diasingkan berkaitan masalah ini iaitu:

l Syarikat takaful asalnya syarikat konvensional.

Allah SWT menjelaskan mengenai golongan yang berhenti memakan riba dalam surah al-Baqarah, ayat 279 yang bermaksud: “Dan sekiranya kamu bertaubat, maka untukmu modal asal kamu, dan kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi.”

Sekiranya dikiaskan kepada syarikat yang pernah memakan riba, mereka boleh menggunakan jumlah modal asal syarikat mereka untuk membina syarikat takaful. Contohnya, jika satu syarikat bernilai RM100 juta, pada awalnya ia dimulakan dengan modal asal syarikat RM20 juta, maka syarikat ini boleh menggunakan jumlah RM20 juta untuk membina syarikat takaful. Justeru, tiada keraguan timbul terhadap hasil upah ejen dan pembabitan orang ramai dengan syarikat ini.

l Upah ejen takaful

Bagaimana pula jika pemilik syarikat ini tidak menggunakan kaedah di atas, iaitu mereka meletakkan modal melebihi modal asal. Pada pandangan saya, hasil diperoleh pemilik syarikat takaful sebenarnya masih mengembangkan sebahagian wang asalnya bersumberkan perkara haram. Justeru, pemilik syarikat itu masih berhadapan sebahagian keuntungan daripada sumber wang haram.

Dalam keadaan ini, timbul persoalan adakah halal upah yang diterima oleh ejen dalam syarikat ini? Penulis berpandangan ia halal kerana peranan ejen ialah memasarkan produk patuh syariah. Mereka mendapat komisen daripada produk patuh syariah yang mereka jual. Justeru, mereka berkhidmat melakukan perkara halal, maka upahnya juga adalah halal.

l Pelaburan peserta takaful

Keterangan di atas juga menjelaskan bahawa dana penyertaan yang terkumpul dilaburkan dalam pelaburan patuh syariah. Olej itu, hasil keuntungan diperoleh peserta adalah bersumberkan kepada sumber halal.

l Ejen perlu berilmu dan telus

Masyarakat masih mempunyai persepsi kurang baik terhadap ejen takaful dan syarikat takaful. Ungkapan negatif kedengaran seperti 'syarikat takaful susah bayar bila nak buat tuntutan', 'janji nak lindung kos perubatan, tetapi apabila masuk wad, yang dibayar hanya RM100 sehari, kos perubatan tidak dibayar dan sebagainya.

Sesetengah ejen lagi masih menggunakan pendekatan insurans konvensional dalam pemasaran mereka. Mereka hanya menumpukan penerangan berkaitan perlindungan atau manfaat takaful yang akan diperoleh seperti ejen insurans menerangkan perlindungan insurans.

Bagaimanapun, alasan yang boleh diberi, ejen takaful sebenarnya perlu menambah ilmu mereka berkaitan ‘kesahan’ kontrak menurut Islam. Kontrak takaful bukan kontrak tabarru' (kebajikan) semata-mata.

Sebaliknya ia mempunyai unsur kontrak 'mudharabah' (usaha sama perniagaan). Oleh itu, caruman takaful bukan caruman tabarru' semata-mata bahkan ia modal pelaburan.

Teori kontrak dalam Islam menuntut supaya dijelaskan kandungan kontrak (muqtada al-'aqd). Kesilapan ejen menjelaskan kontrak dengan teliti menyebabkan berlakunya ketidakjelasan dalam kontrak.

Sebagai contoh, produk takaful keluarga yang mempunyai unsur pelaburan. Sesetengah tidak telus dan tidak menjelaskan sama ada secara lisan mahupun bertulis jumlah peratusan dimasukkan ke akaun peserta untuk dilaburkan, dan peratusan akaun khas peserta (AKP) untuk tabarru' bagi membayar tuntutan.

Peratusan untuk kedua-dua akaun ini biasanya berbeza pada enam tahun terawal dengan tahun selepasnya. Penjelasan ini membolehkan peserta mengetahui hanya lima peratus carumannya dalam enam tahun pertama yang masuk ke dalam akaun peserta (untuk simpanan dan dilaburkan).

Dengan itu, setiap pelanggan boleh memikirkan risiko penarikan diri sebelum tempoh matang itu (enam tahun) iaitu kehilangan hampir keseluruhan wang yang sudah dibayar.

Akhirnya, kita mengharapkan syarikat takaful semakin mendapat tempat di hati masyarakat sebagai alternatif kepada sistem konvensional yang ada hari ini.

Namun, cita-cita ini sukar dicapai sekiranya ejen dan syarikat takaful tidak berusaha memberikan penjelasan lebih teliti berkaitan produk mereka. Penelitian dan ilmu menjelaskan perkara ini adalah amat penting bagi mengelak sebarang pertikaian dan syarikat takaful dipandang serong masyarakat, sekali gus membantut cita-cita murni kita memartabat sistem kewangan Islam dalam masyarakat majmuk kita.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Perbankan dan Kewangan Islam, merangkap Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM).