Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Saturday, 16 August 2008

USAH DISEKULARKAN KEWANGAN ISLAM

Oleh:
Dr Asmadi Mohamed Naim

Kenyataan Pengerusi Badan Penasihat Shariah bagi Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) iaitu Sheikh Muhammad Taqi Uthmani bahawa 85% daripada penebitan Sukuk adalah tidak patuh Shariah (berdasarkan standard AAOIFI) adalah dianggap keras oleh sesetengah pengamal industri kewangan Islam (Lihat Islamic Finance News pada 8 Januari 2008). Mereka melihatnya sebagai satu kenyataan yang memberi impak negatif kepada perkembangan system kewangan Islam. Impak ini dirasakan akan lebih memberi kesan di sebelah Kumpulan Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council).

Antara pandangan dari antara pengurusan tertinggi sebuah bank Islam yang mengulas kritikan AAOIFI tersebut ialah: “Perbankan dan kewangan Islam adalah aktiviti komersial, dalam lingkungan Muamalat iaitu sebahagian dari Shariah (hubungan manusia dengan manusia). Dia bukannya dalam bentuk agama. Ianya bukan aqidah yang menyuluh persoalan hubungan manusia atau kewajipan manusia terhadap Tuhan. Dalam meregulasikan industri perbankan dan kewangan islam, para pengamal undang-undang perbankan Islam sepatutnya menguruskan transaksi muamalat, atau transaksi komersial sebenar. Adalah bertentangan dengan undang-undang Shariah untuk melaksanakan perbankan Islam dan kewangan Islam ke atas setiap orang mengikut perspektif tauhid, justeru pengamal undang-undang kewangan Islam adalah benar apabila mereka mengatakan mereka boleh atau tidak boleh mengeluarkan peratuan sedemikian.” (lihat Islamic Finance News pada 23 Mei 2008, ms. 21).

Dalam menghayati reaksi pengamal perbankan Islam di atas, saya membaca berulang-ulang kali ayat-ayat yang dituturkan dalam wawancara bertulis di atas, bagi mengelak dari menganalisisnya diluar dari konteks ayat. Namun saya melihatnya dari beberapa sudut iaitu:
i. Penasihat-penasihat Shariah di AAOIFI melaksanakan dengan tegas dan bebas dalam analisis mereka terhadap produk-produk Shariah walaupun mereka menyedari suatu yang negatif mungkin akan menimpa industri ini. Bahkan mereka juga mungkin berdepan komen negatif yang terbit dari pengamal industri kewangan Islam.
ii. Ulama-ulama tersebut yang menganggotai AAOIFI yang merupakan sebuah badan bebas antarabangsa lebih melihat kepada kepentingan memurnikan kewangan Islam dari elemen-elemen yang kemungkinan sukar diubah sekiranya dibiarkan terus bertapak dalam system kewangan Islam.

Dari sudut saya sebagai pelajar Shariah, saya merasakan terdapat beberapa bahaya kepada pengamal perbankan Islam apabila berdepan dengan isu-isu Shariah, antaranya:
i. Untuk memudahkan pembelajaran Islam sebagai agama yang mudah dipelajari dan diamalkan, para guru akan memecahkan ilmu-ilmu Islam kepada tiga bahagian iaitu aqidah (kepercayaan), fiqh (amalan lahiriah) dan akhlak atau tasauf. Secara praktiknya ketiga-tiga bahagian itu sebenarnya tidak terpisah dari sudut pengamalan. Bahagian-bahagian itu berbeza tetapi tidak berasingan. Unsur-unsur tersebut merupakan elemen yang berangkai. Mana mungkin urusan muamalat dipisahkan dari aqidah. Aqidahlah yang membezakan seseorang yang bermuamalah dengan tepat menurut syarak dan mendapat pahala, berbanding dengan seorang yang tidak beriman tidak mendapat pahala walaupun mengamalkan muamalah yang tepat mengikut syarak. Atas dasar tersebut, seorang mufti dalam urusan muamalat pun mesti seorang yang beriman kepada Allah SWT dan amanah dengan ilmu dan amalannya. Seorang kafir yang mempunyai PhD aqidah, hadis atau fiqh, tidak akan diterima fatwanya dalam urusan muamalat tersebut.

Oleh itu, apabila penasihat-penasihat Shariah AAOIFI melihat ada kecacatan terhadap sebahagian transaksi Sukuk atau produk kewangan semasa, mereka melihatnya dalam konteks lahiriahnya (ada unsur-unsur syubhah) dan ruh Islamnya, bersesuaian dengan peranan mereka sebagai pendukung dan benteng kepada agama yang suci ini.

Begitu juga ungkapan bahawa perkara-perkara muamalat adalah isu khilafiah merupakan ungkapan biasa dalam perbahasan kewangan Islam. Demikian juga, penolakan sebahagian prinsip Shariah lantaran mazhab yang berbeza juga merupakan perkara lumrah. Namun, ungkapan memisahkan aqidah dari urusan muamalat merupakan suatu ungkapan yang merbahaya kepada perkembangan kewangan Islam. Memisahkan unsur-unsur aqidah daripada kewangan Islam sebenarnya menjuruskan kewangan Islam kepada suatu bentuk kewangan Islam yang ‘sekular’ walaupun istilah sekular menjurus kepada memisahkan agama dari kehidupan.

ii. Keduanya ialah, para penasihat Shariah kebiasaannya menggunakan pelbagai mazhab dalam fatwa-fatwa mereka berkaitan dengan kewangan Islam. Kerap kali, amalan sebegini dilihat sebagai memilih sesuatu antara A hingga Z. Tugas penasihat-penasihat Shariah dilihat memilih antara pandangan-pandangan yang dirasakan sesuai. Lantas timbul anggapan sebahagian pengamal perbankan Islam bahkan sebahagian penasihat Shariah bahawa kita bebas mazhab!

Kalau demikian pegangan penasihat-penasihat Shariah, memang sepatutnya dibentak oleh para penasihat Shariah AAOIFI. Bukan semudah itu memilih pandangan-pandangan yang ada dalam Islam sekiranya mahu bergelar ‘penasihat Shariah’. Kebiasaannya, penasihat-penasihat Shariah termasuk di negara kita membicarakan pandangan-pandangan mazhab dengan penuh kesedaran bahawa perbezaan tersebut berpunca dari wujudnya perbezaan method pengeluaran hukum yang berpandukan al-Quran dan hadith. Metod inilah yang membawa kepada perbezaan pandangan tersebut. Justeru, mereka bukan secara mudah mengenepikan pandangan yang kuat kerana mahu memberi laluan kepada pandangan yang mudah kecuali sekiranya tiada jalan keluar tertentu untuk tempoh masa yang tertentu.

Dengan itu, adalah diharapkan supaya sesuatu isu dalam system kewangan Islam hendaklah dikendalikan dengan teliti. Para pengamal perbankan seharusnya berfikiran lebih terbuka berdepan dengan kritikan-kritikan masyarakat, apatah lagi sekiranya kritikan tersebut terbit dari penasihat-penasihat Shariah mahupun ulama secara umum. Pada masa yang sama, pandangan badan-badan bebas seharusnya lebih digalakkan ke arah lebih memurnikan system kewangan Islam supaya semakin menjurus ke arah ‘ruh shariah’ iaitu suatu kesinambungan dari ‘patuh shariah’. Wallahu a’lam.

Dr. Asmadi Mohamed Naim ialah Pensyarah Kanan Kewangan dan Perbankan Islam, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia dan Konsultan Shariah di salah sebuah perbankan Islam tempatan.

3 comments:

  1. Minta Dr konen sedikit tentang produk Al-Bai Bithaman Ajil tidak
    lagi sah. Menurut satu laporan, mahkamah telah memutuskan bahawa produk tersebut tidak mengikut Akta Perbankan Islam 1984.

    Maknanya sesiapa yang buat loan rumah di bawah produk perbankan ini,terbatal kontraknya!

    Menurut laporan tersebut :
    *Dalam kes terbaru mengenai kontrak pembiayaan al-Bai Bitahaman Ajil (BBA), mahkamah membuat penghakiman luar jangkaan dalam sejarah perbankan Islam diMalaysia – bahawa kontrak mengikut BBA untuk membiayai pembelian rumah adalah terbatal.
    Sekurang-kurangnya di Malaysia, keputusan itu bermakna kontrak BBA kini menjadi dokumen yang boleh dibatalkan manakala bank-bank Islam hanya boleh memungut jumlah pokok pembiayaan yang dibuat mengikut kontrak BBA yang dikeluarkannya. Selain itu, ia juga bermakna, semua keuntungan yang tersirat di dalam kontrak BBA adalah terhapus.

    Untuk makluman DR saya ada mengikuti kuliah Ustaz Zahariddin di Annur Bangi, dulu dia ada menerangkan bahawa masalah khilaf menyebabkan perbankkan islam dimalaysia tidak diiktiraf oleh sesetengah negara arab, tetapi kini masalahnya ia tak diiktiraf pula di tanah air sendiri....minta komen, kerana ustaz zaharuddin kini di UK.

    Jazakallah

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Tuan.
    Saya rasa saya ada hantar sedikit komen, atau lebih kepada request, untuk Tuan beri komen tentang Al-Bai Bithaman Ajil tidaklagi sah. Menurut laporan berkenaan, mahkamah telah memutuskan bahawa produk tersebut tidak mengikut Akta Perbankan Islam 1984.

    Tapi nampaknya komen saya tu hilang tah kemana...minta tolong Dr. ulaskan tentang ini.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam,

    Isu berkaitan penghakiman oleh Hakim Wahab patail memerlukan perbahasan yang panjang lebar bersesuaian dengan penghakimannya pun panjang lebar.

    Pada hemat saya, ada beberapa perkara yang perlu dilihat:
    i. Hakim tidak pula mengganggap BBA tak sah, namun lebih kepada ketiadaan 'novation agreement' sebagai bukti boleh berlakunya Property Purchase agreement (PPA).

    ii. Hakim mempertikaikan kesahan kontrak kedua iaitu Property Sale Agreement (PSA) kerana mengganggap PPA tidak berlaku.

    Namun, kalau mengikut ulasannya sepanjang penghakiman bertulis tersebut, kelihatan BBA sudah tidak diiktiraf. Tapi penekanannya pula pada novation agreement menunjukkan BBA boleh dipakai sekiranya ada novation tersebut.

    Perkara ini menimbulkan kegusaran rakan-rakan bahagian undang-undang. Lebih-lebih lagi kalau prinsip 'Allah omniscient' sebagai asas (sebagaimana dalam penghakiman), penggunaan novation sekalipun, menunjukkan sebenarnya bank membeli daripada pelanggan , sememangnya untuk menjual balik kepada pelanggan.

    Secara keseluruhan komen Hakim Wahab Patail, saya tidak bersetuju dengan beberapa komennya:
    i. Sesuatu yang ada khilaf adalah bukan tergolong dalam agama, justeru terkeluar dari IBA. Pada saya, ini sesuatu yang menunjukkan kurangnya kefahaman mengenai Islam. Berapa banyak isu-isu khilaf dalam Islam dikira sebagai agama dan boleh diamalkan. Berapa banyak sangat isu yang tiada khilaf dalam hukum-hukum amali?

    ii. Pandangan mazhab tertentu tidak wajib diikuti oleh pengikut mazhab lain. Pandangan ini benar secara umumnya, tetapi apabila diamalkan untuk hukum qada' (penghakiman), mazhab majoriti mesti digunapakai. Contohnya orang-orang Shafi'i juga wajib mematuhi peraturan mazhab hanafi di bumi kerajaan Uthmaniah. Sekiranya konsep 'common law' dipakai, customary practice dalam bermazhab di Malaysia adalah dalam mazhab Shafi'i. Hakim sepatutnya merujuk hukum tersebut.

    Kita tunggu keputusan mahkamah rayuan di sampig kita mengharapkan masyarakat perbankan islam keluar dari kepompong dan kerangka perbankan konvensional.

    Wallahu a'lam.

    Dr Asmadi

    ReplyDelete