اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان
(رواه أحمد، الرقم: 2228).
Ramadhan semakin dekat. 'Allahumma ballighna Ramadhan'. Ya Allah, jadikanlah kami dapat menyambut Ramadhan. Di ambang Ramadhan ini, kita berdepan dengan Bulan Sya'ban dan Malam Nisfu Sya'ban. Ramai yang sentiasa mencari-mencari kekuatan sempena hari-hari istimewa ini, untuk terus menambahkan amalan, walau mereka menyedari kebaikan dan kesolehan adalah pada setiap waktu dan tempat. Namun, sedikit sebanyak dorongan dari Syarak menguatkan mereka untuk menambah kebaikan dan amalan.
Sekali lagi amalan-amalan begini dipertikai oleh sebahagian orang. Justeru saya mengambil tanggungjawab untuk memperjelaskan asas-asas Syarak mengenai amalan di bulan Sya'ban' ini. Namun, kekadang bebanan tugas seharian tidak memampukan kita membuat kajian terperinci bagi setiap perkara. Di sini saya akan menyalin soal-jawab dari Mufti Iraq (sebelum serangan Amerika) berkaitan dengan Sya'ban, Nisfu Sya'ban, berpuasa dan berqiamullai pada Nisfu Sya'ban. Sumber rujukan saya ialah kitab 'al-Bid'ah fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq' oleh Dr Abdul Malik Abd Rahman al-Sa'di, m.s 144, terjemahan sahabat saya Us Fadli Yusof melalui buku terjemahan yang dihadiahkan kepada saya terbitan Darulnu'man:
Soalan: Adakah berqiamullai (bangun malam) pada Malam Nisfu Sya'ban dan berpuasa pada siang harinya dikira sebagai suatu yang bid'ah atau ia dianjurkan oleh Syarak?
Jawapan:
Melakukan qiamullail pada malam Nisfu Sya'ban adalah satu perkara yang digalakkan oleh Syarak. Terdapat banyak hadith yang sahih yang menyatakan perkara ini. Kami akan menyebut sebahagian daripadanya seperti berikut:
1. Hadith yang diriwayatkan oleh al-Tabrani dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya daripada Mu'az bin Jabal ra. daripada Nabi SAW sabdanya:
'Allah melihat kepada setiap makhluknya pada malam nisfu Sya'ban, lalu Dia mengampuni sekalian makhlukNya melainkan musyrik dan lelaki yang berseteru'.
2. Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Aisyah ra. katanya: 'Aku pernah ditinggalkan Nabi SAW pada suatu malam, lalu aku keluar untuk mencarinya. Pada waktu itu baginda sedang berada di Baqe' dalam keadaan kepala mendongak ke langit, lalu baginda bertanya: 'Wahai 'Aisyah, adakah kamu takut sekiranya Allah memurkai kamu dan juga RasulNya? Aku menjawab: "Itulah yang Aku tidak mahu, tetapi Aku sangka kamu pergi ke rumah isteri-isterimu yang lain." Lalu baginda menjawab: Sesungguhnya Allah turun (menurunkan rahmat) ke langit dunia pada malam Nisfu Sya'ban, lalu dia mengampuni hamba-hambanya lebih ramai daripada bilangan bulu-bulu kambing.......
Ini jelas bahawa pendapat yang mengatakan 'tidak terdapat hadith sahih dalam masalah ini' boleh dipertikaikan kerana seorang yang menghafal hadith tersebut menjadi hujah kepada mereka yang tidak menghafalnya.
Manakala berpuasa pada hari Nisfu Sya'ban, terdapat sebuah hadith yang sanadnya dhaif yang menyatakan mengenai masalah ini, iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Sayyidina Ali ra katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Apabila menjelang malam Nisfu Sya'ban, maka bangunlah menghidupkan malamnya, dan berpuasalah pada siangnya, kerana Allah Taala turun pada malam tersebut menjelangnya gelincir matahari ke langit dunia, lalu Dia menyeru: Tiadakah seorang yang memohon kempunan, nescaya Aku mengampuninya. "Tiadakah seorang yang meminta rezeki, nescaya Aku memberi rezeki kepadanya. Tiadakah seseorang yang sakit, nescaya Aku menyembuhkannya. Sehinggalah terbit fajar.
Tetapi di kalangan perawi hadith itu terdapat seorang yang dikenali dengan Ibn Abi Sabrah' yang dihukumkan oleh Imam Ahmad dan Yahya bin Ma'in sebagai pemalsu hadith. Melainkan matannya menjadi kuat dengan perkara-perkara berikut:
1. melakukan qiamullail memang dinyatakan oleh hadith-hadith sahih sepertimana yang dinyatakan sebelum ini.
2. Manakala berpuasa pula, walaupun sanad hadith tadi terdapat kelemahan tetapi ia dikuatkan dan dikira termasuk di dalam syariat kerana hari Nisfu Sya'ban itu termasuk di antara 'hari-hari putih (ayyam al-baidh- hari-hari yang terdapat bulan padanya) dan tidak seorang pun yang berbeza pendapat berhubung dengan galakan berpuasa pada hari-hari tersebut. Ia juga boleh dianggap sebagai hari-hari dalam bulan Sya'ban yang ternyata melalui hadith anjuran berpuasa pada bulan Sya'ban. Iaitu sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Aisyah ra katanya yang bermaksud:
"Rasulullah SAW apabila berpuasa sehinggakan kami menganggapnya tidak pernah berbuka, dan apabila baginda tidak berpuasa sehingga kami menganggapnya tidak pernah berpuasa. Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa penuh pada sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan Aku tidak melihat baginda lebih banyak berpuasa (daripada bulan-bulan lain selain Ramadhan)melainkan pada bulan Sya'ban."
Dan sebuah hadith lain yang diriwayatkan daripada abi Salamah daripada Aisyah ra bahawa beliau pernah menceritakan : Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa pada sebulan lebih banyak daripada bulan Sya'ban, bahkan baginda pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan tersebut (hadith yang lafaz yang hampir sama diriwayatkan oleh Imam Muslim, no 1957);dan baginda bersabda: "Ambillah daripada amalan kamu mampu melakukannya. Sesungguhnya Allah tidak jemu(untuk memberi pahala) melainkan setelah kamu jemu. Dan solat (solat sunat) yang paling disukai oleh Rasulullah SAW ialah solat yang dilakukan secara berterusan walaupun ia sedikit, dan baginda pabila mengerjakan satu solat sunat, baginda akan melakukan secara berterusan."
Dalam sebuah hadith lain yang daripada Umran ra daripada Rasulullah SAW bahawa baginda pernah bertanya:
هل صمت من سرر شعبان؟
Adakah kamu berbuasa pada permulaan atau penghujung bulan Sya'ban? Umran menjawab: "Tidak, wahai Rasulullah," Sabdanya: "Sekiranya kamu tidak berpuasa, maka berpuasalah selama dua hari." Perkataan (سرر) seperti yang tersebut di dalam hadith di atas adakalanya bermaksud 'awal bulan' atau 'penghujungnya' kerana pada waktu tersebutbulan tidak kelihatan. Tetapi bagi Abu Daud dan lain-lain, ia bermaksud pertengahan bulan kerana (سرر) juga bermaksud 'pusat'. Pusat sesuatu perkara ialah pertengahannya. Ini menguatkan bahawa hari-hari tersebut ialah 'ayyam al-baidh'.
Manakala hadith yang menyatakan larangan melakukan puasa selepas pertengahan Bulan Sya'ban iaitu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah yang bernaksud:
"Apabila pertengahan bulan Sya'ban, janganlah kamu berpuasa".
Hadith ini diriwayatkan oleh sebilangan penyusun kitab-kitab hadith dan diperakui kesahihannya oleh Ibn Hibban dan lain-lain. Tetapi hadith ini boleh dijawab berhubung dengan hukum-hukum seperti berikut:
1. apabila disebut Nisfu Sya'ban, ia bererti hari ke lima belas dan masih dikira termasuk dalam pertengahan yang pertama dalam bulan Sya'ban. Sedangkan pertengahan yang kedua bermula pada hari ke enam belas.
2. Hadith ini bercanggah dengan hadith-hadith lain yang sahih yang menggalakkan berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya'ban.
3. Hadith ini dihukum sebagai hadith yang dhaif oleh Imam Ahmad dan Ibn Ma'in, malah mereka mengnganggapnya 'hadith mungkar'. Selain mereka berdua, hadith tersebut dianggap dhaif oleh al-Baihaqi dan al-Thahawi dan mereka lebih mengutamakan hadith yang menyatakan keharusan daripada hadith larangan. Ibn Rejab juga mendhaifkan hadith yang menyatakan larangan tadi.
4. Seandainya hadith tersebut memang sahih, ia boleh ditujukan bagi mereka yang lemah iaitu sekiranya mereka berpuasa pada pertengahan bulan Sya'ban akan menyebabkan mereka tidak mampu untuk meneruskan puasa pada bulan Ramadhan. Atau ditujukan kepada mereka yang tidak berpuasa sebelum pertengahan bulan, kemudian mereka sengaja hendak berpuasa selepas pertengahan bulan (Rujukan: Fath al-Bari:4/129, 231; Sunan Ibn Majah:1/444).
Tamat nukilan dari pandangan Sheikh Dr Abd malik al-Sa'di.
Semoga penerangan ini meyakinkan kita untuk menambahkan amalan kita di bulan Sya'ban ini.
Wallahu a'lam
Al-Haqir ilallah,
Asmadi Mn.
No comments:
Post a Comment