Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Tuesday, 22 December 2009

GOLONGAN AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH

Alhamdulillah, artikel ini akhirnya diterbitkan oleh Utusan Malaysia, 23 Disember 2009. Sila klik pada tajuk sekiranya saudara ingin membaca terus dari Utusan Malaysia dengan tajuk: 'Golongan Ahlussunnah menurut Imam al-Baghdadi'. Selamat membaca.

Golongan Ahlusunnah wal Jamaah

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah wal Jamaah (ASWJ) oleh Dr MAZA pada pertengahan November 2009 lepas dalam Utusan Malaysia. Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya al-Farq Baina al-Firaq. Namun malangnya perkataan 'al-turuq al-sifatiah' atau 'jalan-jalan sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara perkara yang penting bagi menentukan samada tauhid yang mensyarahkan sifat-sifat adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama. Pada saya, ada sedikit masalah 'amanah ilmu' bila dia tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi bila mensyarahkan pengertian ASWJ (atau mungkin dia tidak sengaja). Penulis juga tidak memperjelaskan penerangan Imam al-Baghdadi (selepas memetik definisi Imam itu) berkaitan dengan definisi tersebut.

Demikian juga, ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan aliran pemikiran tauhid di Nusantara yang merujuk bahawa aliran yang mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun seribu Hijrah melalui Imam Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin. Penulis tidak merujuk kemunculan metode tersebut kepada penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324H) yang muncul pada akhir kurun ke 3 Hijrah (atau mungkin dia juga tidak sengaja).


Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakan Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas. Bagi pembaca-pembaca yang berupaya membaca bahasa Arab, boleh merujuk terus kepada kitab Imam ini. Imam al-Baghdadi Rahimahullah menyatakan (hal.19):

"Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Abu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fekah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis dari mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan pencipta, keesaan sifat-sifatNya, keadilanNya, hikmahNya, dan nama-namaNya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud, dan pada perkara usuluddin."


Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan LAPAN (8) golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):

Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman siksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas dari fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT)), dan bebas dari bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.

Golongan kedua ialah imam-imam fiqh samada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadith. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas dari fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah).

Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa dari ahli bidaah dan hawa nafsu.

Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadith dan sunnnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab 'al-jarh wa al-ta'dil' (kredibiliti seorang rawi), dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa dari ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.

Golongan ke empat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala` (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu samada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu dari bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij. Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia dari golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.

Golongan ke lima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran, dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.

Golongan ke enam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka redha dengan hidup yang ringkas, mereka mengatahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik perisapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan 'pentasybihan' (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakkal kepadanya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.

Golongan ke tujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka, dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.

Golongan ke lapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.

Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi (wafat429H). Rupanya ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengekslusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talqin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya. Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19):

"Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan pencipta dan qidamNya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihatNya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitabNya dan rasulNya, dan mengikut segala syariat islam, dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh Al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh Al-Quran, serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan".


Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah lantaran perkara-perkara tersebut. Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. Wallahu a'lam.

15 comments:

  1. SALAM DR,
    -SAYA SERING JUGA MBACA BLOG DR KERANA SAYA MASUKKANNYA KE MY BLOG LIST.
    -SAYA SYORKAN SUPAYA DR MBERI ULASAN YG BERTERUSAN TERHADAP PENULISAN DR MAZA SEKIRANYA TERDAPAT FAKTA YG MENGELIRUKAN ATAU WAJAR DIPERBETULKAN.
    -SAYA BUKANLAH PEMINAT RUANGAN DR MAZA DI UTUSAN, TETAPI SAYA SERING MEMBACANYA WALAUPUN ISI DAN FOKUSNYA DARI AWAL2 LAGI HAMPIR SERUPA (SERUPA TAPI TAK SAMA).
    -SELAIN DRPD UTUSAN, SAYA JUGA MBACA RUANGAN2 LAIN.
    -UNTUK PENGETAHUAN DR, SAYA SUDAH BIASA TERDEDAH DENGAN ALIRAN PEMIKIRANNYA SEJAK ZAMAN IJAZAH SARJANA MUDA SAYA (2000-2004) KERANA SAYA SERINGKALI MENDENGAR KULIYYAH2 BELIAU SEHINGGALAH WAKTU IJAZAH SARJANA (2005-2008).
    -SEMOGA DENGAN PENULISAN DR DI DADA AKHBAR DAPAT MMBERI KESIMBANGAN TERHADAP PENULISAN DR MAZA BUKAN DARI PERSPEKTIF BELIAU.

    IKHLAS,
    EZ-ZUMAR BLOGSPOT, UIAM.

    ReplyDelete
  2. Us. Asmadi Mohamed Naim25 December 2009 at 22:33

    Salam kembali ez-zumar,

    Saya bukan peminat ruangannya. Jd sdr boleh tolong ingatkan saya sekiranya ada perkara yang ketara 'salah fakta' atau 'fakta dikelirukan' atau sebagainya.

    Sy sebenarnya, pd mulanya tak minat pun nak bicara isu-isu ini. Namun, bila sy terpaksa berdepan dgn banyak persoalan masyarakat & kekeliruan mereka, entah mcm mana Allah SWT bukakn hati saya utk 'masuk campur' dalam soal ini.

    Moga kita sentiasa dibimbing oleh Allah SWT, dan diberi syafaat & barakah Junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    Abu al-'Izz

    ReplyDelete
  3. Salam

    Ust Asmadi

    Diharapkan ustaz dapat tampil dimedia masa seperti Di TV atau radio untuk beri pandangan yang bernas dan sesuatu yang munkin tidak mengelirukan org awam terutama amalan ibadah yang dimalkan dinusantara ini yg jelas tidak bidaah dan mempunyai dalil yg kukuh. Saya melihat ramai anak muda telah keliru dgn definasi hanya mengambil amalan alquran dan sunnah.

    Triple i

    ReplyDelete
  4. Salam triple i,

    Usaha utk beri penerangan perlu kpd usaha semua. Perlu kpd kerjasama semua pihak dan elakkn soal emosi dalam persoalan ini. Kita berdepan dgn hujah, jd kita kena lawan hujah secara berhemah. Kalu dulu Imam al-Baghdadi digunakan sbg rujukn oleh 'orang yg mendakwa sbg salaf', selepas penerangan ini, mereka mgkin dah tak guna dah nama al-Baghdadi.

    Lepas tu, mereka juga guna Ibn Battah, insya allah bila dpt kitab ulama tersebut, saya akan bentangkan pula penulisan sebenar Ibn Battah, bg mengelakkan org2 ini gunakan nama Ibn Battah dan tafsirkan ikut cara mereka.Saya melihat banyak kata-kata ulama silam telah diselewengkan dari kandungannya yg sebenar dan dipetik di luar konteks. Yang menjadi mangsa ialah org2 awam yg mudah taksub pd satu-satu pandangan.

    Alhamdulillah, ramai ustaz-ustaz dah mula sedar dan bangkit memahamkn masyarakat dlm soal ini. Saudara dan rakan-rakan yg ingin mencari kebenaran, kena bekerjasama dalam soal ini.

    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  5. Salam Dr Asmadi,

    Saya disyorkan merujuk kpd article Dr yg disiarkan dlm Utusan Malaysia tentang Ahlusunnah wal Jamaah.

    Pada mula hidup saya, saya tidak lansung mempertikaikan malah mengikut dgn taat ajaran agama yg diajar olih ibubapa dan uztaz2 hingga saya mengerjakan haji pada 1992. Ketika itu saya mula berfikir bila melihat berbagai2 cara amalan ibadah yang berlaku di tanah suci. Soalannya kenapa kita sebagai orang Islam yang telah melafazkan dua kalimah syahadah ( Allah yang Esa dan nabi Mohamad rasul yng satu ) melakukan berbagai2 cara amalan ibadah saperti solat misalnya. Perkara saperti bacaan qunut dlam solat subuh, batal wudu' kerana tersentuh isteri dll. Kami di nasihatkan olih uztaz tabung Haji kita masih perlu baca qunut ( amaln mazhab Shafie') tapi pendekkan, tukar mazhab supaya tak batal wudu' ketika sentuh isteri.

    Kenapa kita tak ikut satu cara saja? Allah, Rasullah, Quran, Islam kan satu? 10 tahun saya mencari jawapan yg benar iaitu pesanan nabi SAW " aku tinggalkan 2 perkara, Quran & sunnah ku, jika kalian rujuk kpd kedua2nya, kalian tidak akan sesat"

    Inilah yg menjadi penggangan saya ketika melakukan ibadah yang ada dalilnya dari Quran atau hadith. Saya sukar utk menerima pendapat2 manusia sungguh pun dia seorang ulama'kalau tidak bersandarkan ilmu quran & hadith.

    Ingat sentiasa bertanya diri saya " umur berapa tinggal berapa? Bila mati ada syurga ada neraka". Olih itu saya dalam umur 60an ini terpaksa mencari jalan yang benar/haq sebagai "short-cut to heaven".

    Dr di kalangan ahli2 ilmuan bolehlah mengkaji dengan menganalisa kitab ilmuan dulu tapi saya yang kerdil ini ingin menyatakan bahawa takut " too much analysis lead to paralysis "

    Wallahu a'lam

    ReplyDelete
  6. Us Asmadi Mohamed Naim30 December 2009 at 19:55

    Salam kembali Sdr Bothman

    Terima kasih kerana sudi mengemukakan luahan rasa yg berlaku kpd saudara secara realiti.

    Dari cerita sdr, kelihatannya saudara telah berubah dari meyakini 'haq itu berbilang' kepada 'haq itu hanya satu'.

    Secara logiknya, kalau yg haq itu satu, alangkah baiknya. Saya jg bersetuju atas logik tersebut. Namun secara realitinya sejak dari zaman Rasulullah SAW, menunjukkan yg 'haq' itu berbilang.

    Cthnya, Rasulullah mengarahkan satu rombongan sahabat pergi berdepan dengan Bani Quraizah, lantas berkata: Jgn kamu solat Asar, kecuali di Bani Quraizah. Sebahagian sahabat berhenti solat di tengah jalan, sbb Maghrib hampir masuk. Manakala sebahagian yg lain, menunggu hingga sampai di tempat Bani Quraizah dan menunaikn solat Asar pd waktu sudah masuk Maghrib kerana patuh kpd arahan Nabi. Kedua-duanya tidak ditegur oleh Nabi SAW.

    Alangkah baiknya kalau generasi para sahabat hanya ada satu pandangan pd persoalan itu! Tp tidak berlaku.

    Saya menjangkakan sdr berlatar belakgkn Sains. Sy jg pernah berada dalam aliran Sains. Sememgnya bagi ilmu sains & maths, 1 + 1 = 2. Tak jd 3 atau 4. Tp tidak begitu bg ilmu kemanusiaan.

    Keduanya, Para sahabat pun berbeza pandangan, dan kesemuanya berpandukan nas mengikut kefahaman masing2. Dikalangan mereka bukan semuanya ulama, ada yg bertaqlid dgn sahabat yang lain, sbb itu, kita gelarkan sebahagian daripd mereka sbg fuqaha al-sahabat. Sbb itu, ulama hadis jg membezakn antara hadis yg diriwayatkan oleh sahabat yg faqih, dgn yg tidak faqih. Sbb sememgnya ada sahabat yg tidak atau kurang faqih.

    Kerana ingin berpegang kpd dua rujukan utamalah itulah, ulama menyusun kaedah keluarkn hukum dari dua sumber ini melalui ilmu usul al-fiqh. Utk mengelak dari mentafsirkn berdasarkan akal masing-masing.

    ketiganya, Sy bersetuju kalau sdr mahu berpegang pd al-Quran & hadis secara terus. Tapi pastikn sdr boleh faham ayat2 al-Quran secara terus. Kenapa? Sbb saya takut sdr tersesat oleh terjemahan/tafsiran yg mengelirukn.

    Sdr jg boleh terus berpegang pd hadis, tp pastikn sdr boleh terus memastikn kesahan & kekuatan hujahnya, sbb org yg mensahkan hadis belum tentu benar dalam pengesahannya. Kalau dia menyeleweng, sdr akan terseleweng sebagai tafsiran pandangan Imam al-Baghdadi ini yg telah diselewengkan.

    Oleh itu bila sdr tanya saya bagaimana sy mengelak dari terseleweng, saya katakan: Saya melihat kepada tafsiran 300 ratus tahun zaman awal Islam. Iaitu zaman Salaf. Saya tidak melihat kecacatan kpd mazhab-mazhab yg muncul pd zaman ini. Mereka berjaya berasimilasi antara mazhab secara baik antara Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali. Rantaian sanad empat mazhab inipun tidak pernah terputus. Tidak timbul sesat menyesat di kalangan mereka bak kata Imam al-Baghdadi di atas. Kalu mereka berpegang pd 'haq itu satu pun', mereka masih mengatakan itu ijtihad saya.

    Benarkah akan 'paralyse' bila' too much analysis', sy tak tahu ini kata-kata siapa kecuali kata-kata yg bertujuan utk merendahkan martabat ilmu supaya kita tidak koreksi kefahaman ulama-ulama Silam, walhal di sana ada jaminan kebenaran. Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  7. Us. Asmadi Mohamed Naim30 December 2009 at 23:10

    Salam Pakcik Bothman,

    Saya baru perasan tuan sebutkn umur tuan 60an. Sebaya dengan bapa saya. Maaf kerana menggunakan istilah 'saudara', sebaiknya istilah 'Pakcik'. Tidak disengajakan.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  8. Assalam'kom, Dr Asmadi,

    terima kasih kerana memberi maklum balas kepada pendapat saya.

    1. Saya memang seorang pelajar aliran sain, bukan saja saya tahu 1+1=2 malah saya bolih tunjuk secara logic 1=0. Itu tak jadi isu sangat. Saya tidak bermaksud haq itu berbilang atau satu. Apa yang saya maklsudkan ialah sumber perkara yang haq itu adalah dari Quran & Hadith. Yang haq itu adalah ciptaan Allah dan yang disampaikan olih Nabi SAW tanpa kurang atau tokok tambah. Ulama juga perlu bersandarkan hujahnya dari sumber yg sama, Quran & hadith, bukan pendapat sendiri atau merujuk kepada karangan ulama2 yg lain. Pada saya, selain dari yg haq ( yg dimaksudkan ), akan menimbulkan was-was kebenarannya, ibarat saya bolih membuktikan dengan hujah2 tertentu yg 1=0 dan ini sudah tentu menimbulkan banyak pertanyaan dari pihak umum.

    Olih itu saya senantiasa berpengang kepada prinsip " Jangan dengar SIAPA yg berkata tapi APA yg dikatakan".

    Cerita yg Dr huraikan adalah berlaku ketika hayat Nabi SAW, dimana nabi SAW bolih memberitahu yg haq setelah dapat wahyu dari Allah yg Maha Mengetahui. Masalah yg kita hadapi sekarang ialah perkara2 yg timbul selepas wafatnya Nabi SAW. Siapa yg terbaik yg bolih menetukan sesuatu yg haq jika tidak merujuk kpd Quran & hadith, sebagaimana yg dipesan olih Nabi SAW.

    Jadi tidak hairanlah pd masa kini berlaku banyak perbalahan antara umat Islam. Masing2 sudah tentu mengatakan yg merekalah yg benar, atas hujah2 mereka. Merekalah yg SATU ( yg diterima )dan 72 gulungan lain ditolak.

    ... bersambung..

    ReplyDelete
  9. al-salam'kom kembali Pakcil Bothman,

    Alhamdulillah, betul tekaan sy. Cuma dlm peringkat umur yg senior, tuan jg dah menuntut/membaca ilmu agama dlm keadaan yg agak mendalam. Tuan telah melihat kepentingan merujuk pd al-Quran & sunnah.

    Sy dah bg conth khilaf pd zaman Nabi. Sememangnya kita tahu kedua-duanya haq, sbb Nabi SAW masih ada pd waktu itu. Apakan daya, Tuan tolak sbb tuan kata itu di zaman nabi.

    Tetapi Tuan kena reconsider pandangn tuan tu, bahawa kita sememangnya kena berdalilkan dgn peristiwa dizaman Nabi. Peristiwa tu adalah dalil yg menunjukkan sahabat juga khilaf, dan boleh berlaku dua yg haq (pada perkara amalan). Aqidah hanya satu.

    Tambahan lg, byk peristiwa lain, sahabat berbeza pandangan. Takde pun depa sesat-menyesat sesama mereka pd khilaf tersebut. Dan tafsiran sahabatlah yg kita pegang dlm konteks ahlu sunnah wal jamaah, di bawah istilah 'jamaah' itu.

    Persoalan utamanya yg sy ingin tekankan: Dah ada tuduhan bahawa ulama hanya keluar pandangan tanpa 'nas'! Jawapn saya: Inilah cercaan yg paling pedih (sedih hati saya sbb saya pernah mengalirkn airmata bila membaca penghujahan mereka beserta nas, hebatnya mereka) yang saya dengar terhadap ulama yg menjadi bualan mulut orang ramai termasuk Pakcik Bothman. Saya tak salahkan pakcik.

    Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad, bahkan anak-anak murid mereka, semuanya keluarkan pandangan berdasarkan nas. Kalau kita mampu baca tulisan mereka secara terus, kita akan dapati mereka mengemukakan hujah dgn berlandaskan nas.

    Cuma, utk memudahkan masyarakat memahami, didatangkn ringkasan penulisan mereka (oleh anak murid mereka) tanpa nas utk memudahkan masyarakat awam. Mustahil semua masyarakt awam kena tahu semua dalil.

    Sy belajar fiqh perbandingan di Jordan, prof-prof saya membentangkan dalil setiap mazhab tersebut secara jujur dan mengatakan ini nas-nas setiap mereka. Amanahnya prof-prof tersebut. Akhirnya, mereka katakan yg mereka cenderung pandangan ini tanpa meyesatkan pandangan pihak yg berlawanan. Bila sy balik ke Malaysia, lain jdnya melihat masyarakat awam yang baru belajar agama sesat-menyesat pd perkara ini.

    Kenapa Imam Abu Hanifah berbeza dalam mentafsirkn al-Quran(guna aqal), dan mengenakan syarat yg ketat dlm menggunakan hadis.

    Jwpnnya ialah dalil umum al-Quran pdnya adalah qat'ie (absolute) sbb diriwayatkan secara 'mutawatir'. Kalau mahu dikhususkan dalil itu, kena ada juga hadith bertaraf 'mutawatir', tidak cukup hadis sahih (yg juga dlm kelompok hadis ahad). Tambahan pula, pd zamannya byk pereka-pereka hadis. Jd, beliau tidak gunakan hadis kalau tidak dpt dipastikan kesahihannya.

    Sebaliknya, sekiranya dalil al-Quran itu bersifat khusus, ia bertaraf 'zanni', maka baru hadis-hadis bertaraf sahih & hassan (yg juga bertaraf 'zanni'), boleh diguna pakai.

    Berbeza dgn Imam Shafie, dalil al-Quran yang umum adalah bertaraf 'zanni', maka hadis-hadis sahih & hasan, boleh digunakan sbg hujjah. Manakala, dalil al-Quran yg khusus, adalah bertaraf 'qat'ie', perlu juga 'sunnah' sahih dan maksudnya juga 'qat'ie' tentang perkara tersebut.

    Saya ada bentangkn dlm posting lepas, metod Imam Shafie dlm blog saya ini, Pakcik boleh baca.

    ...bersambung di bawah...

    ReplyDelete
  10. Kenapa imam-imam itu menggariskan metod tersebut yg kita panggil sebagai usul al-fiqh? Tujuannya adalh untuk terus berpegang kepada al-Quran dan sunnah mengikut penafsirannya yang sebenar, penafsiran berdasarkan zaman sahabat dan al-tabi'in. Metod itulah yg diikut oleh ulama yang terkemudian.

    Kemudian, muncul org zaman skrg yg menolak metod tersebut dgn seruan, kita kembali pd Quran & sunnah dan tafsir secara bebas secara terus. Saya katakan pd org-org ini: Boleh, tapi sdr kena ingat, 'itu bukan metod yg digariskan oleh ulama salaf'. Jadi di situ tiada jaminan kebenaran.

    Saya takut, mereka akan lebih menggunakan akal. Bila ada yg tak sesuai dgn akal mereka, mereka akan dhaifkan hadis, atau kritik 'matan'nya. Sebb itu kita dengar, ada yng 'kotradik' dalm memberi hukum pada hadis, bila sokong hujah dia, dia kata sahih, dan ditempat lain, bila tak sokong hujah dia, dia kata dhaif. Ini sudah berlaku. Yg tertipu, adlah msyarakt awam, atau mereka yg 'rasa' dah tahu tentg dalil, tapi ditipu pd penggunaannya.

    Pada saya, tiada jalan singkat utk menjadi 'alim' atau ber'ilmu'. Tiada juga jalan singkat untuk mentafsir al-Quran dan sunnah. Begitu juga, tiada jalan singkat 'utk masuk Syurga Allah'.

    Yang penting teruslah mempelajari ilmu-ilmu Allah, dan 'beramallah secara ikhlas' dan jauhilah segala kemungkaran pada diri, isteri dan para zuriat kita yg kita ditugaskan mendidik mereka. Insya Allah Taala, kita akan dimasukkan ke Syurga Allah SWT dengan 'rahmat dan maghfirahnya', dan dengan syafaat Nabi besar Muhammad SAW.

    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  11. Assalam'kom,dr Asmadi,

    Sambung komen kpd part 11

    Siapa itu Alu al Sunnah Wal jemaah? Pada saya mereka adalah dari gulungan sesiapa saja yang beramal dengan bersandarkan Quran hadith dan bukan exclusive kepada yang 4 sahaja yang juga mengelirukan misalan:

    1) Kalau sudah ada hadith yg soheh yg mengatakan bahawa sentuh antara suami isteritidak batal wudu'. Kenapa pengikut Shafie kata batal tapi hambali kata tidak? Bila ditanya utk mendapat kepastian, hujah yg diberi ialah ini perkara furuh ( ranting ). sebagai jalan penyelesaian, kita di nasihatkan niat tukar mazhab kita mengambil wudu' di Mekah seolah2 amalan yg jelas bolih ditukar macam tukar baju. Yg anih pula ada mengatakan Shafie berpendapat demikian kerana ia termuda dari Imam2 yg tiga, kemungkinan senang naik syahwat jika tersentuh isteri.

    2. Lafaz niat ( yakni membaca usalli ) - saya tak jumpa lagi nas yg mengatakan ianya dilakukan olih nabi SAW. tapi dalam Mustika hadith yg menjadi rujukan masyarakat di Malaysia bahawa adalah pendapat sebahagian ulama mengatakn lafaz niat itu sunat. Bila ditanya perlukah membaca lafaz niat itu. Jawapan yg bissa diberi ialah menpastikan khusu'. Tak hairanlah kadangkala terdapat lafaz dilakukan berulang2 kali macam tak masuk gear dan sudah pasti mengganggu jemaah bersebelahan.

    Wallahualam

    ReplyDelete
  12. sambungan part 3

    Assalam'kom, Dr Asmadi,

    Saya tak mengatakan kajian2 tersebut tak bolih diterima pakai atau sebagainya tapi terdapat pihak tertentu terutama pengikut mazhab Shafie di Malaysia misalnya, menuduh sesiapa yg mengamalkan sesuatu yg jelas ada dalil sohehnya tak bolih diterima semata2 kerana berbeza daripada amalan mereka. Yg lantang diperkatakan olih pihak yg bertanggungjawab ialah ini akan memecah-belahkan umat Islam di Malaysia ini kerana mengamalkan sesuatu yg berlainan dari amalan arus perdana?

    Saya setuju dengan pendapat Dr yg mengingatkan supaya sesiapa yg bergantung/merujuk kepada tafsiran Quran & hadith perlu pastikan yg ianya tidak diputar belitkan. Sudah pasti saya mengalakkan semua yg ingin mencari ilmu yg haq wajib mengaji Quran & hadith. Kita mesti ada quran dan sekurang2nya 6 kitabulsita sungguh pun saya dipahamkan ada sejumlah 49 kitab hadith utk rujukan. Kita mengaji dari guru2 ( bukan seorang ) yg sudah diitirafkan keupayaannya ( dan mereka biasanya tidak meminta bayaran kerana sedar bahawa adalah hukumnya wajib orang yg berilmu menyampaikan ilmunya itu) dan mengaji mesti terus menerus hingga ajal mati masing2. Ini perlu kerana berdasarkan dalil "jangan kamu mengamalkan sesuatu yg kamu tiada ilmunya". Cara wajib ialh secara manqul ( berguru ). berasnat ( berterusan dari nabi SAW ) & mutasir ( yg haq/asal). Apa yg biasa berlaku dalam masyarakat kita sekarang ialah banyak menghadiri ceramah2 agama di mesjid atau surau. Ramai yg datang mendengar kadang kala olih kerana popularity sesaorang penceramahnya. Balik dari ceramah habis cerita.

    Masa pengalaman saya "mencari" melalui mengaji, banyak pertanyaan/kemusykilan saya terjawab dengan sendirinya. Lagi mengaji, masyaallah, terasa masih banyak kejahilan kita.

    Memang benarlah tiada jalan pintas untuk ke syurga Allah. Kata kata "short-cut to heaven" dari saya itu hanya memberi peringatan kepada saya yg jalan terdekat ialah a straight line bukan pendek. Lagi pun kita sentiasa setiap Solat memohon /doa supaya Allah tunjukkan kita jalan yg lurus melalui ayat Al-fatiha. Kushu dalam solat bukan hanya dalam pergerakannya dan bacaannya sahaja tapi termasuk dalam penghayatan ayat yg dibaca.

    Sesiapa yg berminat utk tahu lebih lanjut cuba layari yayasan-ilmu.blogspot.com

    Semuga Allah memberi hidayah kepada kita semua yg sentiasa mencari ilmu Allah. Ameen

    ReplyDelete
  13. Sambungan part 4 ( akhir )

    Assalam'kom, Dr Asmadi,

    Saya berterima kasih kpd Dr kerana memberi komen balas yg bolih menambah ilmu pengetahuan saya utk memahami perkara yg lebih mendalam. Maaf, saya tidak pernah berniat utk merendah2kan ahli Ilmuan saperti Dr yg membuat kajian yg mendalam, atas dasar Islam menggalakkan umatnya mencari ilmu hingga ke negeri cina, bukan gitu? Saya syukuri yg Dr telah dikurniakan nekmat kelebihan tinggi tahap pemikiran yg tak semua mendapatnya melainkan dengan kurnia Allah SWT jua. Yg saya sarankan mungkin "nasihat" dari saya yg kerdil ini, ialah supaya jgn terlampau dalam mengkaji hingga terlupa pula bahawa yg Allah sukat di akhirat nanti ialh AMALANnya bukan ilmunya. Sebab dalam usaha saya "mencari" saya berjumpa ramai yg nampak memang hebat jika berhujah dlm perkara agama tapi saya terpaksa menolaknya kerana banyak "penyelewengan" dari kebenaran yg terdapat dalam Quran & hadith. Ingat! jangan dengar SIAPA yg berkata tapi dengar kpd apa yg diKATA. Insyaallah, kita akan mendapat perlindungan dari Allah.

    Saya ini bolihlah dikatakan baru mengaji tapi sebab "umur berape tinggal berapa" saya perlu mengambil satu strategi dengan menumpukan perhatian kpd perkara asas saperti bab solat yg menjadi tiang agama. ( pada saya Solat itu adalah sebagai satu critical subject, mesti lulus kalau tidak kita gagal dalam pepereksaan sungguh pun subjects lain dapat A )Saya nak pastikan solat saya betul dan akan diterima Allah dan sentiasa berdoa supaya Allah memberi hidayah kpd saya dan ahli2 keluarga saya untuk masuk syurga Allah dan jauh dari nerakanya Allah.

    Sebagai orang yg beriman, saya juga perlu menunaikan perentah Allah supaya sentiasa menasihati pada kebenaran dengan penuh kesabaran, ( amal makruf, nahi munkar ).

    Insyaallah.

    ReplyDelete
  14. Us. Asmadi Mohamed Naim2 January 2010 at 00:04

    al-Salam' kom kembali Pakcik Bothman,

    Saya tak bermaksud utk terus berbahas soal furu' apabila nak bincang pasal ASWJ.

    Sy sedih ada lagi kata-kata 'memperkecilkan imam Shafie':
    "Yg anih pula ada mengatakan Shafie berpendapat demikian kerana ia termuda dari Imam2 yg tiga, kemungkinan senang naik syahwat jika tersentuh isteri."

    Ini tak termasuk org yg hanya memanggil 'Pie' pd Imam Shafie Rahimahullah.

    Saya tak salahkan Pak Bothman, tp pakcik dgr dari org lain yang memperkecilkannya.

    Utk soal wuduk, Pakcik kena rujuk ayat surah al-Nisa', ayat 43 mengenai perkara yg membatalkan wuduk sebab al-Quran adalah rujukan utama.

    Perkataan (laamastum al-nisa') menyentuh wanita. Dalam satu riwayat mutawatir ayat tersebut(juga diterima pakai qiraat tersebut) menyebut (lamastum al-nisa'). Apa beza antara keduanya? Bezanya ialah yg pertama bermaksud: saling bersentuhan, yg kedua: sentuh sahaja dah batal.

    Nak beralih dr nas quran, bukan sesuatu yg mudah bg Imam al-Shafie Rahimahullah. Sebab itu hadis yg menyebut Nabi mengalihkan kaki Aisyah RA ketika nak solat tahajjud, ditafsirkan dengan berlapik. Hujahnya ialah adab tidur suami isteri adalh berselimut, lebih2 lg Timur Tengah sejuk, malamnya suhu melampau. Sy lebih menerima pandangan tersebut. Tengok komen sy pd artikel ijmak. Tak salah juga kalau Pakcik beranggapan kaki Aisyah tak berselimut, yg berselimut badannya sahaja.

    2. Dalilnya usalli ini ialah dalil umum: "Innama al'A'mal bi al-niyyat", setiap perbuatan dgn niat. Bukan Mustika hadith kata sunat lafaz niat, bahkan kitab-kitab ulama Mazhab Shafie. Sunat disini bukan bermaksud 'sunnah Rasulullah. Ia adalah perkara yg digelar 'istahabbahu al-ulama' (ulama mengatakan satu usaha yg berpahala) sebab nak tetapkn hati sebelum solat supaya kita betul2 pasti solat jenis apa.

    Pakcik Bothman adalah org yg dah tenang, tak perlu lafaz, terus angkat takbir sahaja, niat sudah ada. Sepatutnya semua muslim kena begitu. Tp ada orang, kerana sibuknya dia, bila nak angkat takbir, tak teringat ini solat zahor atau Asar. Waktu solat, menjelajah ke seluruh dunia, sedar-sedar salam. Sbb itu, utk khusyukkan solat, ulama suruh kita faham bacaan solat (juga takde arahan khusus suruh kita org ajam faham, tapi (istahabbahu ulama).

    Yg tak masuk gear tu org was-was sbb tak belajar. Kalu dah was2, teruskn je solat, buat apa susah-susah.

    Sy harap Pakcik Bothman tidak berterusn mendatangkn benda furuk sebegini. Semoga kita dirahmati Allah SWT.

    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  15. Us Asmadi Mohamed Naim2 January 2010 at 19:10

    Pakcik Both man,

    Kata2 Pkck:
    "Yg lantang diperkatakan olih pihak yg bertanggungjawab ialah ini akan memecah-belahkan umat Islam di Malaysia ini kerana mengamalkan sesuatu yg berlainan dari amalan arus perdana?"

    Pada saya, memang dah pecah belahpun. Berapa banyak tuduhan sesat dan bid'ah kepada amalan-amalan masyarakat meniti dibibir mereka sekarang ini kerana zikir, qunut, tahlil, maulid dll. Sy yakin Pakcik Bothman lebih tahu.

    So, jd hak pemerintah utk bendung perkara ini. Kita tak mampu utk berpecah dalam keadaan %5% sahaja org Islam.

    Mengenai ilmu dan amal, saya setuju 100% dgn pakcik. Ya kena ilmu dan amal. Sebb itu sy hormati ulama silam. Dlm buku-buku sejarah mereka (org lain tulis), konfim ditulis mereka berilmu dan diiktiraf oleh ulama sezaman dan warak-warak (kaki ibadah). Sebb itu saya amat tersentuh hati bila ada kata-kata: Shafie mudah naik shahwat? Subhannallah.

    Semoga kita tak termasuk dlm golongan org2 yg 'shatmu al-ulama'' mengutuk ulama!Daging ulama sebegini adalah beracun!

    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete