Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Sunday, 4 September 2011

Dr Asmadi komen: "Wahabi: Perkara usul atau furu'?"

Salam Eidul Fitri utk semua, maaf zahir batin. Saya mendapat posting dari sahabat-sahabat maya memohon sesiapa yang sudi mengulas isu ini. Jadi, sempena saya masih cuti beraya, saya mengambil kesempatan untuk mengulas isu ini. Walaupun begitu, baca dulu penulisan di bawah dan komen saya didalamnya. Boleh baca artikel secara terus dari Malaysiakini dengan klik pada tajuk.

Wahabi: Perkara usul atau furu'?


Abdulfatah Haron Ibrahim
Ogos 15, 11

Dalam masa terdekat ini ada dua kali saya terbaca dalam harianSinar mengenai Wahabi: Satu mendesak Kerajaan Malaysia memutuskan bagaimana dengan kedudukan Wahabi; dan satu lagi mendesak agar dialog segera diadakan.
Dr  Asmadi: Saya amat mengesyorkan dialog tertutup diadakan bagi dua golongan iaitu satu mewakili Ahlussunnah wal Jamaah (ASWJ) dan satu lagi golongan yang digelar Wahhabi atau Salafi. Satu dialog tertutup pernah diadakan oleh Jabatan Agama Islam Kelantan pada 2009 untuk menjelaskan kenapa ditolak oleh ulama ASWJ.

Musuh menggelar mereka Wahabi, tetapi mereka sendiri menamakan diri mereka Salafi bermazhab Hanbali pengikut Ahmad ibn Hanbal. Kalau Ahmad ibn Hanbal diterima, tetapi Wahabi dipertikaikan, maka “itulah sejauh-jauh pengetahuan mereka”.
Dr Asmadi: Ini kali pertama Salafi mengaku bermazhab Hanbali, biasanya mereka mengaku tiada mazhab. Dalam kerangka ASWJ, sudah tidak ada masalah pemgamalan 4 mazhab (Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali). Sebab itu di Mesir ada pengajian 4 mazhab. Bahkan pengajian fiqh, pelajar boleh memilih salah satu mazhab pada peringkat thanawi (menengah atas). Masalah pada fahaman Wahhabi ialah, mereka mengaku mereka pengikut salah satu mazhab yang 4, tetapi mereka tidak mengizinkan pengajian 4 mazhab di Masjidil Haram pada waktu sekarang atas keyakinan mereka bahawa mereka sahaja yang benar.

Secara teorinya, ramai pengikut Salafi menjarakkan diri dari menyebut sebagai Wahhabi sebab Muhammad Abdul Wahab muncul di kurun yang lepas, jadi dia bukan Salaf. Mereka mungkin selesa menyandarkan diri mereka kepada Salafi (mengikut Salaf berdasarkan pemahaman Shaykh Ibn Taymiyyah). 

Sebelum apa-apa, saya mohon tentukan lebih dahulu adakah Wahabi itu perkara usul atau furu'?
Perkara usul : umat Islam menerima atau menolaknya dengan ijmak.
Perkara furu' : umat Islam menerima atau menolaknya tidak ijmak.

Dr Asmadi: Pelik sikit penakrifan 'perkara usul' oleh pengarang ini. Sefaham saya, perkara usul ialah perkara yang berkaitan dengan simpulan iman dan perkara-perkara yang maklum dalam agama (al-umur al-ma'lumat min al-din bi al-dharurah). Cukup sepakat ulama ASWJ menolak, maka terkeluarlah seseorang itu dari ASWJ. Perkara furu' ialah selain dari klasifikasi tadi.

Pada pandangan saya, khilaf ASWJ dengan golongan Wahhabi kebanyakannya pada perkara-perkara-perkara furu' (cabang) kecuali pada dua perkara yang boleh merencatkan akidah:
i. Ada yang melampau dalam mengithbatkan (menetapkan) sifat-sifat Allah sehingga termasuk dalam golongan 'mujassimah' (menjisimkan Allah iaitu mentafsirkan Allah berbentuk dan beranggota).
ii. Gejala mengkafirkan dan membid'ahkan umat Islam pada perkara khilaf yang ada asas-asasnya dalam Syarak. Gejala ini amat merbahaya dan tidak wujud dalam kerangka ASWJ beramal dengan 4 mazhab sebelum ini dan dicetuskan oleh fahaman ini.

Pada persoalan pertama, ASWJ meyakini keseluruhan sifat-sifat Allah seperti al-wujud, al-qidam, al-baqa', al-mukhalafatuhu lil hawadith dan lain-lain. Demikian juga nama-nama Allah yang maha baik. Mengenai sifat-sifat yang berbentuk 'anggota' seperti 'yad' dan lain-lain, ulama ASWJ berpegang kepada 'melalukan maknanya sebagaimana ia datang' tanpa berbincang secara mendalam, atau 'mentakwilkan' maknanya secara ringkas bagi memudahkan faham masyarakat awam. Mahasuci Allah SWT dari menyerupai segala sesuatu.

Manakala, bagi sesetengah aliran Salafi, mereka berani membahaskan secara lebih dalam, lantas berkata: "Allah mempunyai dua tangan tetapi tak sama dengan makhluk!". Mereka menetapkan dulu 'beranggota'nya Allah, kemudian menafikan persamaan dengan manusia.

Pendekatan ulama ASWJ berbeza, menafikan terus 'anggota' dari Allah SWT kerana anggota tu sifat bagi makhluk.

Pada persoalan kedua, saya pernah tulis artikel bagaimana pemuka-pemuka fahaman ini mengeluarkan imam-imam dari golongan ASWJ. Mereka mengatakan Imam Ibn Hajar dan Imam Nawawi bukan Ahlusunnah dari sudut aqidah! Subhanallah, dua imam tersebut, ulama-ulama ummmah mengangkatnya sebagai pembela Ahlussunnah tetapi mereka mengatakan bukan dari Ahlussunnah!.

Sebagaimana perkara lain dalam Islam, masalah Wahabi bukan ada sempadan geografi yang boleh ditentukan oleh Kerajaan Malaysia. Islam adalah satu dan sama dalam dua perkara, iaitu usul dan furu'. Dalam usul bersatu dan dalam furu' berbeza.
Perkara usul adalah seperti perkara-perkara yang terkandung dalam Rukun Iman dan Rukun Islam, umat Islam Ahli Sunnah tidak boleh berselisih faham. Sebab itu Agama Qadiani, Baha'i dan Isma'iliyah-Batiniyah umpamanya, semuanya terkeluar dari Islam Ahli Sunnah dengan ijmak.
Perkara furu' pula adalah seperti berkaitan dengan masalah-maslaah yang ditimbulkan dari Akidah di gelar Ilmu Kalam.
Kata Ghazali dalam kitabnya Qawa'id al-'Aqaid:
1. Ada yang mengatakan Ilmu Kalam itu bid'ah atau haram.
2. Ada yang mengatakan wajib dan fardhu.
3. Ada yang megatakan fardhu kifayah; dan
4. Ada yang mengatakan fardhu 'ain.

Di antara yang mengatakan haram itu ialah Imam Syaf'ie, Malik, Ahmad ibn Hanbal, Sufyan dan semua golongan Salaf yang terdiri daripada Ahli Hadis.

Dr Asmadi: Ilmu Kalam pada zaman Imam Malik, Imam Shafie, Imam Ahmad adalah berbeza dengan ilmu kalam pada zaman Imam Ghazali. Imam Ghazali wafat pada kurun ke 6H. Manakala imam-imam tersebut sekitar 300 kurun yang pertama. Saykh Ibnu Taymiyyah juga memperkatakan mengenai ilmu kalam dalam fatwanya tetapi secara ringkas. Justeru, mana boleh menggunakan hukum Imam-imam tersebut untuk memperkatakan ilmu kalam selepasnya. Ilmu kalam telah digunakan oleh ulama Islam untuk mempertahan Islam dari ancaman pemikiran Kristian dan fahaman sesat seperti Muaktazilah dan sebagainya yang menggunakan hujah-hujah akal.

Dari empat pendirian ini, kalau tidak silap, ada golongan di Malaysia yang mengatakan Ilmu Kalam itu wajib dan fardhu 'ain. Pada masa yang sama, mereka kukuh berpegang dengan Mazhab Syaf'ie yang mengatakan Ilmu Kalam itu haram. Saya tidak pernah dengar dalam zaman ini ada di antara orang Islam yang memihak kepada salah satu daripada empat pendirian tersebut dan mengajak berdebat kalau ada orang menyalahi pendiriannya. Inilah yang saya maksudkan “perkara furu'.

Sebelum apa-apa tentukan lebih dahulu dijelaskan adakah Wahabi itu perkara usul atau furu'.
• Pihak yang bersungguh sangat perkara Wahabi, adakah Wahabi itu termasuk perkara yang menyalahi Usul Islami dengan ijmak, bahwa sesiapa yang menganutnya akan terkeluar dari Islam. Jika demikian, tidak perlu didebatkan lagi.
Dr Asmadi: Pada pandangan saya, sahabat-sahabat saya dari golongan ini sebenarnya 'cinta' pada Al-Quran dan al-Sunnah'. Tetapi mereka menyempitkan kefahaman mereka kepada penafsiran dari Imam Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim, Muhammad Abdul Wahhab, Albani dan tokoh-tokoh mereka.

Saya katakan bahawa mereka adalah sahabat-sahabat seIslam saya dan tidak sekali-kali mereka terkeluar dari ajaran Islam. Walaupun begitu beberapa perkara dalam isu mengisbatkan (menetapkan) anggota terhadap Allah SWT perlu dilakukan perbincangan dengan mereka. Kita tidak berbeza pada isu sifat-sifat Allah SWT, tetapi kita berbeza pada mengatakan Allah SWT 'beranggota' atau 'tidak'. Kami mengatakan Allah SWT maha suci dari anggota. Kita juga katakan, jangan disebarluaskan aqidah yang boleh membawa kepada fahaman 'mujassimah' ini. Pihak berkuasa agama perlu membendung aqidah sebegini. 

• Adakah di sana orang yang memandang Wahabi perkara Furu'yang khilafiyah belaka. Jika khilafiyah, maka memang ada perbezaan yang tidak dapat dielakkan.
Dr Asmadi: Memang perbezaan tidak dapat dielakkan. Kerangka ASWJ memang mengiktiraf perbezaan pandangan ini. Sebab itu pengajaran 4 mazhab dibenarkan disebar luas. Masalahnya, bila masuknya fahaman Wahhabi, lantas perbezaan pandangan dikatakan 'sesat' dan sebagainya. Buktinya di tempat mereka, tidak boleh disebarluas amalan 4 mazhab. Masalahnya lagi, mereka hanya melihatkan keterbukaan bila ada tindak balas dari ustaz-ustaz Ahlussunnah 'menyerang balas' keterlanjuran mereka.

Dalam mana-mana mazhab ada mereka yang bersikap keras, ada yang bersikap sederhana dan ada yang bersikap tak kisah.
Sikap sederhana membuahkan perpaduan dan hormat menghormati.
Sikap keras membuahkan perpecahan dan benci membenci.
Adakah sikap itu hasil kajian yang terkini lagi teliti?
Atau datang daripada apa yang diketahui selama ini?
Penulis pernah mengajar di Kolej Islam Petaling Jaya dan di Jabatan Usuluddin & Falsafah, Fakulti Islam, UKM.
Secara khususnya, kita banyak membuang masa mendebatkan soal mazhab bila masuknya aliran Wahhabi & Salafi. Mungkin benar kata-kata seorang pensyarah UIA dari Iraq kepada saya pada satu masa dahulu: "Kamu orang-orang Islam di Malaysia, jumlah kamu hanya sedikit (lebih sikit 50%). Kamu tak mampu berpecah kepada pelbagai aliran. Bila berpecah aliran, biasanya berlaku perpecahan politik. Memang benar apabila ulama kamu menekankan aliran Mazhab Shafie dan ASWJ sbg tunjang masyarakat."

Wallahu taala a'lam. Allahu al-Musta'an.

Abu al-'Izz

15 comments:

  1. Fahaman wahhab terbukti telah berjaya memecahkan perpaduan umat Islam di Malaysia. Ia telah berlaku di Taman Sri Ukay dan Hillview keran Dr Asri dan pemuka wahhabi yang lain. Untuk membenteras fenomena ini agamawan ASWJ dan Jabatan Agama perlu sekat penyebaran dakwah mereka, tutup pusat ilmu mereka seperti Univ Madinah di Shah Alam dsbnya.

    ReplyDelete
  2. Di tempat saya juga sudah berlaku perpecahan, di sini pengaruhnya dibawa oleh seorang Pensyarah "U",K.L yang berasal dari sini dan bekas pelajar pondok Wahhabi di Pakistan. Mereka sekarang berlaku pengasinan jemaah dan b surau bagi solat waktu. Amalan lain juga tidak disertai dan tidak diamalkan lagi oleh golongan ini, umpamanya tahlilan dan yasinan.
    Merujuk kepada artikel diatas mengenai pengakuan golongan Wahhabi adalah dari pengikut Mazhab Hanbali dari(segi Fiqh)rasanya adalah suatu yang tidak benar kerana kumpulan ini anti Mazhab.Soal perselisihan perkara Furu' dalam Fiqh rasanya tidaklah ketara sangat antara Wahhabi dan ASWJ tetapi perselisihan dari segi AQIDAH adalah perkara pokok yang membuatkan ulama' ASWJ menolak Wahhabi.
    Mereka beraqidah Mujassimah dan Musyabbihah. Mereka itsbat ayat2 sifat secara tekstual atau
    dzahiriah dan menolak takwil. Allah menegaskan bahawa " Pada halSebenarnya ayat itu ada takwilnya cuma kita tidak mengetahuinya maka kita serahkan kepada Allah(tafwidh)lihat ayat 7 srt: Ali Imran.
    Orang2 berilmu seperti Sayyidina Ali krmwjh, Ibnu Abbas r.a.(tlh didoakan oleh rasulullah s.a.w memperolehi ilmu takwil), Imam Nalik bin Anas dan kumpulan khalaf(berilmu tinggi)menakwil pengertian (mentafsir) dengan tidak mengubah perkataan dlm skop meninggikan dan mensucikan Allah.
    Aliran pemahamam Tauhid Wahhabi iaitu tauhid 3 bahgian boleh mengelirukan orang awam justru mudah merosakkan aqidah. Mereka menolak fahaman Aqidah Al Asyairah Wal Maturidiyah yang menjadi pegangan semua Mazhab yang 4.
    Klaim mereka sebagai pengikut Mazhab Hanbali sebenarnya untuk mengabui mata umum. Kalau mereka katakan pengikut puak Hanabilah yang Mujassimah dan Musyabihhah yang bermazhab Hanbali dari segi Fiqhnya mungkin.Ikutan mereka pada golongan hanabilah tadi pada tauhid saja pada fiqh tidak pula mengikut Hanbali, mereka merujuk kepada kitab Sayyid Sabiq dari segi Fiqh dan juga merujuk kepad Sh. Soleh Utsaimin dan Sh.Al Baz bin Baz. Nyatanya golongan Wahhabi ini mengelirukan, menyesatkan dan memecahkan umat Islam di Malaysia.
    Dalam kumpulan Wahhabi sendiri terdapat banyak pula pecahan qabilahnya dan masing2 mengkafirkan antara satu sama lain. Si Rasul Dahri Wahhabi Singapura saling menyanggah dengan Dr.MAZA sebagi contoh. Begitu juga yang di Indonesia dan seluruh dunia. Semua tak sependapat maknanya torik mereka itu tiada keabsahan sebab itu berlaku perpecahan dan penyanggahan antara satu sama lain.
    JAUHILAH DIRI DARI GOLONGAN INI. JAUHILAH DIRI DAN KELUARGA KITA DARI WAHHABI.

    ReplyDelete
  3. (i. Ada yang melampau dalam mengithbatkan (menetapkan) sifat-sifat Allah sehingga termasuk dalam golongan 'mujassimah' (menjisimkan Allah iaitu mentafsirkan Allah berbentuk dan beranggota).<---adakah ada wahabi yang tidak melampau yang tidak menjisimkan Allah? sedangkan apa yg kita ketahui bahawa seseorang itu dinamakan wahabi kerana dia menjisimkan Allah. Kalau menjisimkan Allah termasuk dalam perkara usul... maka secara automatik wahabi terkeluar daripada Islam... tidak kira dia masih solat atau tidak...pakai kopiah atau tidak... bukankah begitu??
    (Saya katakan bahawa mereka adalah sahabat-sahabat seIslam saya dan tidak sekali-kali mereka terkeluar dari ajaran Islam.)

    ReplyDelete
  4. Us Asmadi Mohamed Naim22 September 2011 at 23:06

    Sdr,

    Dalam isu Wahhabi, saya tidak bercdg menjadikannya isu kafir mengkafir. Firqah mujassimah yang dikafirkan oleh ulama, kalau kita selidiki ialah satu pandangan yg terlalu nyata menjisimkan Allah. Manakala tafsiran Wahhabi, tidak sampai ke tahap itu, tetapi juga 'tergelincir' dari fahaman ulamak ASWJ. Sebagaimana sy katakan, mereka berani mengithbatkan Allah bertangan atau ada dua tangan, tapi mereka mengatakan berbeza dari makhluk.

    Dalam soal ini, saya lebih mengambil pendekatan ulama yang menyalahkan pandangan tersebut, ttp tidak sampai ke tahap kufur. Sebagaimana Syiah (yg tidak melampau), mereka terkeluar dari ASWJ, tetapi tidak mengeluarkan mereka dari ahl al-Islam (al-millah).

    Wallahu ta'ala a'lam.

    ReplyDelete
  5. ada ulama' yg mengkafirkan org yg berfahaman semacam ibnu taimiyyah...

    ReplyDelete
  6. Us Asmadi Mohamed Naim23 September 2011 at 11:13

    Sdr,

    Mmg ada. Bahkan ada jg di kalangan mereka yg mengkafirkan kita, kerana 'mentakwil' secara ringkas 'anggota' yg disebut dlm al-Quran dan sunnah. Akhirnya, berakhir dgn kafir mengkafir. Saya lebih memilih pendekatan ulama yg berhati-hati, iaitu menentang penafsiran sebegitu ttp tidak mengkafirkan mereka.

    ReplyDelete
  7. Firqah mujassimah yang dikafirkan oleh ulama, kalau kita selidiki ialah satu pandangan yg terlalu nyata menjisimkan Allah. <--- sy xpaham maksud ini. Apakah yang dimaksudkan pandangan yang terlalu nyata menjisimkan Allah? Pada pentafsiran DR, adakah kalau kita kata "Allah ada tangan" itu dikatakan terlalu nyata menjisimkan Allah? Atau kita kata, "Allah mempunyai tangan tapi tidak sama dengan tangan makhluk" adakah ini maksud tidak terlalu nyata menjisimkan Allah??
    Imam Syafii berkata: al-Mujassim kafir.<--- mungkin ini yang terlalu nyata???
    atau kata-kata Imam Ahmad yang dinaqalkan oleh as-Subuki: Sesiapa yang mengatakan Allah berjisim tetapi tidak seperti jisim yang lain, dia telah kafir.<--- atau ini yang dikatakan tidak terlalu nyata menjisimkan Allah.

    ReplyDelete
  8. Sdr Anonymous,
    Tulis nama samarn supaya senang sy bezakan dr anonymous yg lain. Kata-kata Imam-imam tu masih tidak mentakyinkan org-org tertentu. Mereka menggunakan istilah 'sesiapa'.

    Pada gol td, bila mereka mengithbatkan Allah 'beranggota', kita masih boleh mentakwilkan fahaman mereka iaitu seolah-olah anggota itu bukan anggota atau jisim, kita serahkan pada Allah swt. Gol ini berbeza dgn golongn mujassimah yg disyarahkan oleh Imam al-baghdadi,yg mana penyifatan mereka terhadp Allah, nyata menjismkan allah.

    Dlm masa yg sama, mereka menyamakan kita dgn jahmiyyah yg mengingkari sifat al-rahman dan mentakwil sehingga menafikan sifat. Kita katakan kita bukan jahmiyyah, kerana kita tidak menafikan sifat, tetapi kita nafikan 'jisim', anggota Allah swt dan kita serahkan maknanya kepada Allah swt.

    Saya tertarik dgn naqal-naqal dr Imam syafie & imam subki td. Bantu sy dgn berikan nama kita & ms sbb sy sedang menghimpunkan hujah-hujah ini. hantar terus emel sy pun takpe.

    Wallahu taala a'lam.

    ReplyDelete
  9. Pada gol td, bila mereka mengithbatkan Allah 'beranggota', kita masih boleh mentakwilkan fahaman mereka iaitu seolah-olah anggota itu bukan anggota atau jisim, kita serahkan pada Allah swt.<---kalau kita boleh mentakwilkan lagi fahaman mereka.. itu sudah fahaman kaum salafi... bukan wahabi...
    dalam manahil al-Irfan mensyarahkan 3 kumpulan dalam bab ayat mutasyabihah...tidak ada kelompok keempat...Salafi: Mereka mensucikan Allah daripada sifat yang zahir yang mana ia adalah mustahil bagi Allah. Salafi sebahagian daripada ASWJ. Wahabi: Menjisimkan Allah tetapi tidak sama dengan makhluk.
    kata-kata imam Ahmad = dalam kitab Tasynif al-Masami'bi Jam'i al-Jawami' li Tajiddin as-Subuki - penulis az-Zarkasyi

    Ramai ulama yang mengatakan: Sesiapa yang mengatakan Allah berjisim/beranggota tetapi tidak sama dengan jisim/anggota makhluk, maka dia telah kufur.

    ReplyDelete
  10. Gol ini berbeza dgn golongn mujassimah yg disyarahkan oleh Imam al-baghdadi,yg mana penyifatan mereka terhadp Allah, nyata menjisimkan allah.<---Yang ni pun sy xpaham....bagaimana Imam al-Baghdadi menyifatkan mereka terhadap Allah dengan nyata menjisimkan Allah??
    Adakah dengan mengatakan Allah beranggota.. itu sudah nyata menjisimkan Allah atau masih boleh ditakwil?

    ReplyDelete
  11. setelah baca penjelasan komen dr tentang mujassimah, saya tidak paham dengan nyata atau tidak nyata mujassimah...mintak dr tolong bagi contoh bagaimana yg nyata dan bagaimana nyata..mengapa ia nyata dan mengapa ia tak nyata..pening2..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yg tbaik adalah saudara menghadap guru yg alim utk dpt pjelasan. sbb asas pnyampaian ilmu adalah menghadap guru & bbincang. mudah2an saudara lebih jelas & faham. hakikat ilmu pd manusia yg bnama guru sedangkan internet hanya transfer maklumat..

      Delete
  12. saya selalu berdebat dgn syiah, namun, keadaan menjadi sukar kerana syiah mengatakan bahawa mengapa ahlus sunnah tidak mahu agesif menetang wahabi seperti mana menentang syiah, kerana akidah menjisimkan Allah adalah lebih buruk kata syiah..keadaan ini akan memerangkap ahlus sunnah yg mahu berbaik2 dgn wahabi..percayalah..

    ReplyDelete
  13. Salam.
    Pendapat saya, Syiah & Wahhabi ialah sama² duri dalam daging kepada umat Islam.Wahhabi lani kelihatan agresif mengambil peluang dari kekalutan politik negara untuk menyorok ke"Wahhabi"an mereka & mengalih isu Wahhabi kepada Syiah yang dilihat semacam nak membiak di Malaysia.Kedua²nya perlu dibanteras.

    ReplyDelete
  14. Mohon al-Fadhil Dr. senantiasa tegaskan bahawa takwil yg dibuat oleh pendukung ASWJ adalah mengembalikannya kepada nas2 muhkam dan memelihara tanzih itu sendiri.

    aliran wahabi ni jahil membezakan kalam yg dibangunkan ASWJ dgn kalam muktazilah.

    ReplyDelete