Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Saturday 26 November 2011

Hudud: Pakatan akui enakmen syariah Kelantan, Terengganu

Saya bukan orang politik, tetapi pemerhati politik.

Melihat kepada berita dari Harakahdaily 26 November 2011, sefaham saya, SUDAH TIADA HARAPAN kepada perlaksanaan hudud di Kelantan dan Terengganu. Mengikut Dato' Takiyuddin, hanya boleh dilaksanakan bila perlembagaan diubah. Katalah, PAKATAN menang pilihanraya, sanggupkan DAP menyokong pindaan perlembagaan untuk membolehkan hudud dilaksanakan di saat-saat mereka tidak pernah berjanji untuk menyokong pindaan perlembagaan.

Pada pengamatan saya, 'tawar-menawar politik' selepas ini lebih berbentuk 'kebajikan dan penolakan terhadap korupsi', bukan lagi berbentuk 'penawaran laksana hudud'. Ini memandangkan PAS juga sudah BERSETUJU ianya tidak boleh dilaksanakan. Perlaksanaan hudud mungkin boleh berlaku sekiranya PAS dan UMNO bersatu, dengan syarat wakil rakyat UMNO bukan dari golongan yang TAKUT kepada hukum syarak.

Sila baca berita terbaharu di bawah atau klik pada tajuk untuk terus membaca dari HARAKAHDAILY.

Abu al-'Izz
Ho Chi Min City

Hudud: Pakatan akui enakmen syariah Kelantan, Terengganu 
Nazri Abdullah & Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Sept: DAP, PKR dan PAS hari ini mengambil pendirian akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui bersama disamping menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, lewat malam tadi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka mengormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan.

Kesemua komponen parti katanya memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat wujud.

"Kita mendengar penjelasan Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili kerajaan Kelantan bahawa perlaksaan hudud di negeri itu hanya boleh dibuat dengan pindaan perlembagaan persekutuan.

"Kita tidak boleh menafikan mana-mana hak PAS, DAP dan PKR untuk mengemukakan pandangan termasuk dalam isu syariah.

"Kita jelas menghormati hak dan aspirasi PAS (mahu laksanakan hudud). Cuma dia terikat dengan apa yang kita sebut dasar bersama, semangat perlembagaan dan Buku Jingga," katanya.

Turut serta pada sidang media itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta 23 ahli mesyuarat yang lain.

Sebelum ini, semua pimpinan Pakatan Rakyat diarah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah mencapai pendirian bersama pada mesyuarat malam ini.

Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 9 malam tadi antara lain bagi mencari pendirian bersama berhubung perbezaan pandangan antara ketiga-tiga parti dalam isu hudud.

"Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik Umno BN untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat," kata Anwar lagi.

Isu hudud telah bergema kembali ekoran cabaran yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Kelantar agar melaksanakan hudud kerana beliau bukan lagi perdana menteri.

Kata Mahathir, pemimpin PAS Kelantan sentiasa menyalahkan beliau apabila tidak melaksanakan undang-undang itu ekoran satu surat amaran yang dikeluarkan semasa beliau menjadi PM lalu.

Mahathir meminta Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz meminta kebenaran dari Datuk Seri Najib untuk berbuat demikian.

Najib pula dalam jawapannya berkata, beliau tidak akan memberikan kebenaran itu walaupun timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata sedia untuk berbuat demikian.

Parti MCA dan Gerakan memberikan amaran kepada Umno, mereka akan keluar dari BN jika membenarkan undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Ekoran itu, DAP juga membuat kenyataan akan keluar Pakatan Rakyat jika pakatan setuju menjadikan agenda hudud sebagai agenda bersama Pakatan.

Ia terus panas apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan kerelaan jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat kerana tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan. Berikut adalah kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diperakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.
Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.
Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.
Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk  pendirian PAS berkenaan hukum syariah.
Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.
Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.
Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai  Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

Tuesday 15 November 2011

MAJALAH Q&A MULA DITERBITKAN

Alhamdulillah, Galeri Ilmu mengorak langkah baru menerbitkan satu majalah baru dan segar untuk masyarakat umum. Insya Allah, saya turut menyumbang sebagai salah seorang kolumnis dalam majalah tersebut. Semoga medium dakwah di Malaysia lebih banyak dan dapat menghuraikan ilmu Islam secara tepat, Insya Allah. Pada saya, majalah-majalah begini bukan bertujuan untuk bersaing tetapi memberi ruang kepelbagaian kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Saya juga telah dijemput untuk memberi pandangan mengenai sistem pemasaran mereka yang dipegang oleh anak syarikat mereka iaitu Iqramall.com. Sebagai makluman awal, banyak yang kami perbincangkan khususnya isu MLM yang mengandungi gharar dan mendapat hasil tanpa usaha. Kita cuba merangka meminimumkan unsur MLM di dalam sistem pemasaran tersebut. Sekiranya ada, kita cuba pastikan ianya tidak mengandungi unsur MLM yang terlarang. Tujuan kita ialah memberi 'win-win' kepada syarikat dan para pembaca. Sistem ini tidak memerlukan pembaca atau ahli membayar wang pendaftaran dan tidak ada janji-janji kosong perlindingan takaful atau kharat kematian sebab sebarang janji wajib ditunaikan.

Daripada perbincangan, kami memutuskan bahawa kami sebagai penasihat Syariah pemasaran tersebut yang akan dilantik secara rasmi, tidak akan berada di dalam kerangka perniagaan Iqramall dan Galeri Ilmu. Ini untuk memastikan kami bebas memberikan pandangan kami sekiranya ada kesalahan yang berlaku kelak. Insya Allah, integriti , etika dan ketelusan penasihatan Syariah kita akan jaga dalam menjaga sistem pemasaran ini kelak.

Wallahu a'lam.