Oleh Dr Asmadi Mohamed Naim
SETIAP individu mempunyai pandangan dan kefahaman tersendiri terhadap Islam. Ada kalanya pandangan individu hampir sama dengan orang lain. Kerap juga pandangan berbeza. Beruntunglah individu yang mempunyai keyakinan dan pandangan mengenai Islam, bertepatan dengan apa yang didatangkan Allah SWT dan Rasul-Nya.
Dalam konteks masyarakat kita hari ini, penulis melihat persoalan Islam kerap menjadi perbahasan umum, sama ada oleh pihak yang ada autoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mufti, kadi mahupun ahli akademik agama atau pendukung institusi pondok yang banyak berjasa.
Pada masa sama, ada juga golongan masyarakat umum berasakan mereka juga layak untuk mewacanakan Islam. Keghairahan masyarakat umum membincangkan inti pati Islam, apabila dilihat dari satu sudut, memberi impak positif kepada perkembangan ilmu Islam. Islam menjadi tarikan semua pihak.
Lantas semua orang ingin membicarakannya.Namun dari satu sudut lain, memberi impak negatif apabila Islam diperkatakan dan dibahaskan tanpa merujuk kepada sumber sebenar iaitu al-Quran dan sunnah berdasarkan tafsiran yang muktabar.
Selain itu, ada pula sesetengah golongan membawa budaya mencela dalam mengeluarkan pandangan. Ada terlalu taksub kepada pandangannya sehinggakan melabelkan pandangan lain sebagai pandangan sempit, jumud dan sebagainya.
Hasilnya, pihak berlawanan melabelkan pula label yang sama iaitu jumud, sempit, bangga diri dan sebagainya terhadap pihak memulakan tradisi melabel. Berapa ramai orang yang menuduh orang lain berfikiran sempit dan taksub, sebenarnya penuduh juga bersifat dengan berfikiran sempit dan taksub apabila menolak kebiasaan berbeza pandangan yang menjadi lumrah kehidupan manusia.
Fenomena mencela ini menjadi lebih kronik apabila wujudnya budaya melabel yang lebih dahsyat. Timbulnya ucapan seperti puak ini fundamentalis, tradisionalis dan konservatif. Hasilnya, perdebatan yang sepatutnya difokuskan kepada inti pati perdebatan, menjadi medan label melabel dengan pelbagai gelaran.
Berkaitan hina menghina, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujarat, ayat 11 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memperkecilkan-kecilkan kaum lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diejek tersebut) lebih baik daripada mereka (yang mengejek). Dan jangan pula wanita mengejek wanita lain, kerana boleh jadi mereka (yang diejek) adalah lebih baik daripada mereka (yang mengejek). Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk selepas iman. Sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.”
Imam al-Qurtubi RA menghuraikan ayat di atas dengan mengungkap tradisi ulama Salaf yang berlebih-lebih menjauhi perbuatan label-melabel. Ia seperti kata Ibn Mas'ud: "Bala (diturunkan) adalah berdasarkan kata-kata, sekiranya aku mengejek-ngejek anjing, aku takut aku berubah menjadi anjing!"
Imam al-Qurtubi menyebut lagi: 'Amr bin Syarahbil berkata: "Sekiranya aku melihat seorang lelaki menyusukan kambing, dan aku mentertawakannya, aku takut melakukan perbuatan sepertinya" (Lihat al-Jami' Li Ahkam al-Quran, 8/294).
Pada pandangan penulis, adalah sesuatu yang mengecewakan sekiranya label-melabel berlaku di kalangan orang yang dilihat sebagai cendekiawan Islam oleh masyarakat umum. Amat malang lagi apabila melihat golongan ini terbabas daripada wacana ilmu kepada wacana label-melabel dan hina menghina. Ungkapan seperti: "Ini pandangan konservatif dan ini tradisionalis" atau "ini adalah fundamentalis" adalah ungkapan yang lebih kepada mencela daripada berhujah secara ilmiah.
Rasulullah SAW bersabda mengenai fenomena label melabel dan hina menghina ini iaitu al-Mustaban ma qala, fa 'ala al-badi` ma lam ya'tadi al-mazlum, bermaksud: "Dua yang mencela terhadap apa yang diperkatakan, dan terhadap orang yang mula mencela (dosa cela mencela) selagi orang yang dizalimi (iaitu yang dicela) tidak melampaui batas" (Riwayat Muslim, no 2587).
Imam Nawawi menghuraikan hadis di atas: Sesungguhnya dosa cela-mencela antara kedua-duanya dipikul orang yang memulakan celaan, kecuali sekiranya orang dicela melampaui batas dalam celaannya.
Label melabel bukan tradisi ulama Salaf dan Khalaf, lebih-lebih lagi sekiranya berbeza pandangan kepada persoalan ranting. Mereka mengutamakan inti pati perbahasan berbanding dengan label melabel.
Sebagai contohnya, bagaimana Imam Nawawi RA membahaskan isu memberi salam kepada bukan Islam, Imam Nawawi memperkatakannya dengan cukup tertib: "Mazhab kami, diharamkan menegur mereka (bukan Islam) dengan salam (memberi salam), dan wajib menjawab salam mereka (bukan Islam) dengan berkata: "Waalaikum', atau 'alaikum' saja".
Beliau berkata lagi: "Dalil kami ketika al-ibtida` (tidak memberi salam kepada bukan Islam ketika berjumpa) ialah sabda Rasulullah SAW: "Jangan kamu memberi salam kepada Yahudi dan Nasrani". Dan ketika membalas salam mereka, Rasulullah SAW bersabda: "Katakan, waalaikum".
Sementara, pandangan yang bertentangan (boleh memberi salam kepada bukan Islam) berpegang kepada dalil umum arahan menyebarkan salam. Namun hujah ini ditolak dengan baik oleh Imam Nawawi Rahimahullah: "Ia (boleh memberi salam kepada bukan Islam) adalah hujah yang batil, kerana ia adalah ‘am makhsus’ (perkara umum yang mempunyai khusus) dengan adanya hadis: "
Jangan kamu mulakan dengan memberi salam terhadap Yahudi dan Nasrani".Penghujahan Imam Nawawi terus kepada inti pati dan kandungan perbincangan. Beliau tidak bergerak ke arah mengutuk atau memaki peribadi empunya pandangan yang berbeza, lebih-lebih lagi dalam persoalan ranting atau cabang.
Perkara yang dikemukakan ialah mengemukakan hujah, membahaskannya dan menolak penghujahan pihak bertentangan. Inilah tradisi penghujahan ulama yang harmoni dan penuh dengan suasana ilmiah.
Pada saya, wacana ilmu Islam sememangnya mempunyai bahasa cukup indah ketika mengungkapkan etika berbeza pendapat (adab al-khilaf). Apabila ulama silam membahaskan sesuatu isu, kita dapat rasakan kehebatan setiap seorang daripada mereka berhujah melalui mutiara ilmu yang diperdebatkan. Inilah wacana ilmu Islam sebenar. Wacana ilmu Islam semasa perlu dikembalikan ke landasan sebenar.Adalah diharapkan keghairahan memberikan pandangan tidak membawa kepada lahirnya bibit perpecahan dan ditertawakan mereka yang sememangnya mempunyai persepsi negatif terhadap Islam dan penganutnya.
Dr Asmadi ialah Pensyarah Kanan Kewangan dan Perbankan Islam, merangkap Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM)
Sumber Berita Harian 9 Mac 2007
http://websekolah.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Agama/20070308224319/Article/
No comments:
Post a Comment