Saya tertarik dengan artikel ini yang terbit pada 15 November 2009 di Berita Harian. Komen saya di akhir penulisan ini. Selamat membaca.
TIADA BAHASA KIASAN DALAM FAHAMAN WAHABI
Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady
Ahli Sunnah dituduh syirik, lakukan bidaah kerana amalan bertentangan Syeikh Muhammad bin 'Abd al-Wahhab.
PENULISAN ini akan mengupas konsep tauhid dalam Wahabi, antaranya seperti yang ada dalam tulisan pengasasnya, Syeikh Muhammad bin 'Abd al-Wahhab.
Pertama ialah huraian mengenai 'Lailahailallah.' Beliau menyatakan seseorang itu selamat harta dan nyawanya, iaitu tidak dibunuh dan hartanya tidak diambil, dengan lima syarat. Syarat pertama ia mengucap syahadah; kedua, tahu ertinya; ketiga mengaku tiada Tuhan melainkan Allah SWT; keempat, menyeru bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah SWT, menyembah-Nya; kelima, tidak kufur kepada Allah SWT.
Tetapi jika syak atau teragak-agak antara percaya dan tidak, maka nyawanya dan hartanya tidak selamat. Kalau mengucap dengan lafaz saja belum selamat nyawa dan hartanya; kalau berlafaz dan tahu maknanya, juga belum selamat; kalau tahu maknanya dan ikrar dengan lidahnya, itupun belum selamat; kalau ikrar dan menyeru kepada Allah SWT itupun belum selamat; harta dan nyawa selamat hanya apabila ia tidak kufur terhadap Allah SWT.
Dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, kalau seseorang mengucap 'Lailahaillallah' maka selamat nyawa dan hartanya; kalau berlaku jihad jika ia mengucap maka tidak dibunuh. Dalam hadis sahih ada sahabat yang membunuh orang yang mengucap syahadah kerana katanya orang itu mengucap kerana takut kepada pedang; ia dimarahi oleh Rasulullah SAW. Dalam Ahli Sunnah orang yang mengucap 'Lailahaillallah' sahlah imannya. Ia dikira Islam. Kalau tersembunyi syak dalam hati selama ia tidak menzahirkannya, ia dikira Islam. Yang tersembunyi terserah kepada Allah SWT. Kita dalam Ahli Sunnah mengikut yang zahirnya. Tidak demikian halnya pada golongan Wahabi seperti yang ada dalam kitab pengasas mereka.
Dalam perkara tauhid juga mereka membuat huraian membahagikan tauhid atau mengesakan Tuhan dengan membahagikannya kepada tiga iaitu tauhid rububiyah, ertinya mentauhidkan Allah, Tuhan yang menjadikan alam, Dia memberi rezeki dan seterusnya, tauhid uluhiyyah, ertinya menyembah-Nya dan taat kepada-Nya; tauhid asma' wassifat ertinya menerima nama dan sifat Tuhan seperti yang ada dalam al-Quran dan Sunnah, termasuk kalau ada ayat menyebut Tuhan ada tangan, maka diterima tanganlah , kalau Tuhan ada jari, maka jarilah, kalau Tuhan ada muka, maka mukalah, kalau betis maka betislah, sebab pada mereka tidak ada majaz atau kiasan pada bahasa. Semuanya hakiki, semuanya bererti mengikut zahir lafaz. Ketiga-tiga tauhid ini terpisah antara satu yang lainnya.
Sebab itu kata mereka, penyembah berhala itu ahli tauhid, tauhid jenis rububiyah, hanya mereka tidak ada tauhid uluhiyyah, itu silapnya. Tauhid rububiyah penyembah berhala itu pula kata mereka lebih ikhlas dan murni daripada tauhid seseorang yang mengucap 'Lailahaillallah.'
Dalam Ahli Sunnah, tidak pernah ada pembahagian kepada tiga yang terpisah; tidak ada dalam al-Quran, hadis, dalam ijmak ulama atau dalam golongan generasi salaf (tiga abad awal Islam). Pembahagian ini muncul pada abad ke-8 Hijrah. Istilah yang digunakan oleh mereka iaitu bidaah muncul pada abad ke-8. Bagaimanapun mereka mengatakan ia aliran salaf padahal ia muncul kemudian?
Dengan tauhid yang dipecah tiga itu, mereka menyatakan bahawa orang yang berdoa di kubur nabi atau orang salih: "Ya Allah dengan kemuliaan dan keberkatan orang salih ini, selamatkanlah hamba dan keluarga hamba daripada bala yang berlaku ini," orang ini dihukum syirik kerana menyembah orang mati, menyeru kepada orang mati. Tidak boleh bertawassul seperti itu kerana syirik dan boleh dibunuh.
Oleh itu seperti disebut dalam kitab mereka, Tarikh Najdin bahawa Syeikh Muhammad Abdul Wahhab menyatakan Muslimin di dunia tenggelam dalam dosa syirik menyembah berhala seperti orang Musyrikin zaman Jahiliah kerana menyembah kubur seperti itu. Hukum itu tidak pernah ada dalam kitab ulama Ahli Sunnah, sebaliknya dalam kitab golongan ini (Wahabi) saja. Jika kita mengikut cara mereka, maka habislah Melayu tenggelam dalam syirik sebab bertawassul padahal dalam Ahli Sunnah ia dibolehkan dan bukan syirik.
Tauhid yang tidak membenarkan takwilan ayat Quran dan sunnah yang menyebut Tuhan dengan sifat makhluk juga berlawanan dengan pegangan Ahli Sunnah. Katakanlah al-Quran menyebut Tuhan ada muka, pada mereka mukalah, kalau disebut Tuhan ada tangan maka tanganlah, kalau disebut Tuhan turun ke langit dunia pada sepertiga akhir malam, maka Tuhan turunlah. Kalau disebut Tuhan istawa atau bersemayam atas Arasy maka Tuhan duduklah di situ mengikut zahir lafaznya.
Dalam Ahli Sunnah, kita serahkan kepada Tuhan hakikat erti ayat itu atau kalau bimbang tersilap faham orang, kita takwilkan mengikut panduan ulama Ahli Sunnah, seperti kalau 'muka' itu maksudnya 'Zat'-Nya, kalau tangan 'Kuasa'-Nya, kalau disebut 'betis' bukan Tuhan ada betis, tetapi itu kiasan mengenai keadaan teramat dahsyat pada hari kiamat, bukannya bila terbuka 'betis Tuhan.'
Dengan itu Wahabi memberi sifat Tuhan seperti sifat makhluk, jadilah ia mujassimah (golongan yang mengajarkan Tuhan bersifat seperti makhluk) seperti mujassimah zaman klasik. Daripada sikap ini timbul fahaman mereka bahawa Tuhan memegang langit dengan tangan kanan-Nya dan memegang bumi dengan tangan kiri-Nya apabila kiamat.
Huraian cara ini juga membawa mereka menyatakan Adam AS dan Hawa AS berlaku 'syirik' terhadap Allah SWT, iaitu apabila Tuhan kurniakan anak kepada mereka. Mereka didakwa 'syirik' kerana taat kepada Iblis dengan memberikan nama anak mereka sebagai Abdul Harith, iaitu hamba Iblis kerana al-Harith itu nama Iblis.
Mengikut Ibn Kathir, riwayat seperti ini mesti ditolak kerana ia daripada ahli kitab yang berlawanan dengan al-Quran dan sunnah, apatah lagi itu berlawanan dengan iktikad Ahli Sunnah mengenai maksumnya Nabi dan Rasul.
Mereka juga menuduh Imam Busiri yang mengarang al-Burdah sebagai syirik sebab ada bait syairnya yang memohon syafaat kepada Nabi SAW. Pada Ahli Sunnah, ini harus dan memang kita memerlukan syafaat Nabi SAW. Inilah beberapa perkara pokok dalam akidah Wahabi yang berlawanan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Wallahu a'lam.
Penulis ialah Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac).
Komen saya:
Saya setuju dengan hujjah Ustaz Uthman al-Muhammady.
Namun, pengalaman saya mendengar pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat saya yang mengajar tauhid (pecah tiga ini, uluhiyyah, rububiyyah & asma' wa sifat), ada dikalangan mereka tidak ekstrem sampai mengkafirkan/mensyirikkan golongan yang tidak sependapat. Contohnya bila memperkatakan tawassul dan menziarahi kubur, ada di kalangan mereka menerimanya tanpa mengkafirkannya atau menyesatkannya. Demikian juga persoalan penafsiran ayat-ayat sifat, ada yang tidak menerima/ tidak taklid bulat-bulat kenyataan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, dan lebih kepada menyerahkan kepada Allah SWT.
Persoalan kenabian Nabi Adam 'Alaihissalam tidak dipertikai oleh mereka. Mereka lebih suka merujuk terus ke Ibn Taymiyyah berbanding Sheikh Abd Wahhab.
Di kalangan mereka (mengikut cerita adik saya ketika dia belajar di Universiti Yarmuk, Jordan), pensyarah Aqidahnya mengatakan: Kamu orang-orang Malaysia, ramai mengikut Ahlu sunnah aliran Asyairah. Tapi tauhid yang diajarkan ini mengikut susunan Ibn Taymiyah kerana menjadi silibus Universiti ini. Terserah kepada kamu mengikut keyakinan Asyairah itu(tanpa beliau menyesatkannya). Mereka menyedari ramai ulama-ulama Silam (samada muhadithin, fuqaha' atau mufassirin) dari kurun ke 3 Hijrah berpegang kepada huraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari (w324H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (333H).
Ketika kami di Universiti Jordan, ada pensyarah mengajar Sifat 20, dan ada yang mengajar tauhid 3 tersebut. Kitab yang digunakan untuk mensyarahkan sifat 20 ialah kitab Risalah Tauhid karangan Sheikh Muhammad Abduh.
Wallahu a'lam.
WEBLOG INI MENGEMUKAKAN ISU-ISU YANG BERKAITAN DENGAN MASYARAKAT ISLAM. SEMOGA CETUSAN IDEA PENULIS DAN SISIPAN DARI ARTIKEL TERPILIH MEMBERI MANFAAT UNTUK PEMBACA...SELAMAT MEMBACA.... Susunan Akhukum fillah: Dr. Asmadi Mohamed Naim (إعداد د. أسمادي محمد نعيم)
Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'
أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية
salam.
ReplyDeletepertama kali saya dengar sheikh muhammad abduh mengajar sifat 20 dalam kitabnya.
apakah intipati syarah dalam kitab Risalah Tauhid itu, Dr?
adakah muhammad abduh mengkritiknya, ataukah memberi definisi baru, ataukah syarahannya bersamaan dengan yang disyarah di pondok malaysia?
yang kita tahu muhammad abduh begitu menentang taklid buta, maka tentunya beliau tidak taklid buta dalam soal sifat 20. mohon pencerahan.
Salam Mfrstudio,
ReplyDeleteItu juga berlaku pada saya apabila belajar kitab tersebut, yg saya tidak menyangka beliau mensyarahkan sifat 20. Lebih-lebih lagi, ada pro and kontra terhadap Muhammad Abduh. Ini menunjukkan Sifat 20, tidak dianggap oleh beliau sebagai taklid buta, sebaliknya satu pentafsiran aqidah mengikut ahlu sunnah. Saya tak tahu samada kitab ini telah diterjemah, dan kitab tersebut telah hilang dari koleksi saya.
Kerap kali, apabila disebut reformis, dikaitkan dengan gerakan Wahhabi. Tetapi sekiranya diamati, ada perbezaan antara gerakan reformis dicanang oleh Muhammad Abduh & Jamaluddin al-Afghani, dan tajdid yang dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.
Dalam seminar IKIM Ijtihad dan Talfiq, perbezaan tersebut diungkap dengan baik oleh seorang rakan pembentang saya iaitu Dr Ahmad Bazlie Shafie, dari UMT.
Wallahu a'lam.
Boleh tak ustaz bagi di mana2 yang dikatakan Wahabi menyatakan Tuhan itu berjisim. Saya sekadar nak tahu dari sumber asal,Kalau mereka betul2 percaya macam itu, tentulah ada penulisan atau ucapan mereka tu.
ReplyDeleteSdr Anonymous,
ReplyDeleteT.kasih kerana memberi komen terus dalam artikel yg sdr tak berkenan. Senang sy reply.
Berkaitan Tajsim, kiranya sdr boleh baca kitab Arab, buka buku "Majmu'at al-Tauhid karangan Muhammad Abdul Wahhab (MAW)(sy terpaksa bertany kpd org yg dekat dgn Us Uthman utk mengetahui rujukn beliau). Di dalamnya juga ada isu MAW takfirkan sebahagian ulama. Jg ada isu MAW nafikan dan syirikkan Nabi Adam AS.
Lihat juga Tanbihat fi Rad 'ala Man TawwalaalSifat karangan Ibn Baz (Bekas Mufti Saudi).
Sekiranya sdr tak boleh baca kitab Arab, rujuk buku Kiyai Sirajuddin Abbas Rahimahullah, ulama terkenal indonesia dalam bukunya Aqidah Ahlussunnah wal Jamaah.
Assalamualaikum Dr,
ReplyDeleteSoalan saya mudah sahaja. Pendirian Dr Uthman Muhammady, Ustaz Mahfus Muhammad dan juga Yayasan Sofa tentang isu Tauhid Tiga ini adalah jelas melalui tulisan mereka. Tapi ulasan Ustaz di atas nampak macam reserved dan agak berselindung.
Maka, saya pohon Ustaz zmenjelaskan pendirian samada Tauhid Tiga ini sesat atau tidak?
abu ammar
Pahang
Wa'alaikumussalam,
ReplyDeleteBetul kata sdr, saya reserve pandangan saya. Saya tidak mahu menghukum sesat atau sebaliknya. Itulah hikmahnya saya tak menjadi hakim, tak perlu mengeluarkan hukum.
Kalau mengikut pandangan pihak yg mengatakan bidaah bg sesuatu yg tiada hujah, maka pembahagian tauhid 3 ini bidaah. Berdoa lepas solat berjemaah pun dikatakan bidaah yang sesat, walaupun jelas Quran dan sunnah suruh berdoa. Apatah lg soal tauhid 3, yg tiada nas secara jelas, hanya huraian Ibn Taymiyyah & MAW. Tentu ianya lagi bidaah sbb ia soal akidah!
Kalu mengikut pihak yg mengkaji kandungan sesuatu manhaj, selama mana kandungan tauhid itu tak bertentangan dgn ASWJ, maka dia masih selamat. Seseorg itu masih ASWJ sekiranya dia tidak percaya penyembah berhala itu masih beriman dgn tauhid rububiyah/ nabi Adam bukan nabi atau syirik, atau tidak mentashbihkan Allah dengan makhluk.
Pada saya penerangan Us Uthman dan Yayasan Sofa, menjurus kpd yang ekstrem-ekstrem yang menerima bulat-bulat kata-kata MAW dan Ibn Taymiyyah.
Sebaliknya ramai sahabat-sahabat sy tidak ekstrem. Mereka masih menerima tawassul, ziarah kubur, tidak menvisualkan Allah SWT sbb ada hujah lain. Mereka pun tak 'beriman' dgn huraian Ibn Taymiyah yg penyembah berhala masih beriman dgn iman rububiyah. Sebaliknya, mereka ambil pendekatan mengajar tauhid ni sbb ianya mudah, sifat 2o susah utk diajar kecuali bg org yg menguasainya.
Bahkan, ada kitab-kitab jawi sekarang (antaranya Risalah tauhid kerajaa Johor, memasukkan tauhid 3 serangkai, tapi huraiannya berbeza dari yg dihuraikan oleh Ibn Taymiyyah.
Jadi, apa perlu saya memasukkan semuanya dalam satu bakul?
salam dr.
ReplyDeletesaya sebenarnya tidak bersetuju mengenai kata2 dr. yang mengatakan pengajian sifat 20 itu susah untuk diajarkan kecuali bg org2 yg menguasainya, hairan saya dr. berkata demikian, bagaimana harus kita menguasai ilmu sifat 20 dan kemudian baru dibolehkan kita mempelajarinya, seolah2 ilmu sifat 20 itu terlampau complex seakan-akan kata2 dr. itu bermaksud seperti berbelit2 pulak kali ini. (kena menguasai ilmu sifat 20 kemudian baru boleh belajar ilmu sifat 20).
bagi saya pengajian tauhid menggunakan kaedah sifat 20 adalah sangat sistematik dalam mengenali Allah dan membezakanNya dari selainNya, ianya suatu ilmu yang membahaskan mengenai ketuhanan dengan huraian berdasarkan dari al-quran dan sunah dengan kaedah pemahaman logik akal yang mudah yang secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada sesiapa yang mempelajari ilmu sifat 20 ini kepada pengenalan ilmu mantiq dan falsafah.
adakah kata2 dr. bermaksud kita mesti menguasai ilmu mantiq dan falsafah terlebih dahulu baharu lah dibolehkan kita mempelajari ilmu sifat 20?
saya amat tidak bersetuju.
sedangkan dalam pengajian Tauhid 3 bagi saya amatlah mengelirukan bilamana orang2 musyrik boleh dikatakan sebagai bertauhid sedangkan makna tauhid itu sendiri bertujuan untuk menyucikan Allah dan menyatakan tentang ciri2 sesuatu entiti sebagai Tuhan.
tidaklah dinamakan mentauhidkan tuhan sekiranya menyembah pada sesuatu yang bersalahan dengan sifat-sifat ketuhanan.
Salam kembali Sdr theone,
ReplyDeleteTerima kasih atas respon pantas sdr.
Sy rasa sdr merujuk kata-kata sy iaitu
"Sebaliknya, mereka ambil pendekatan mengajar tauhid ni sbb ianya mudah, sifat 2o susah utk diajar kecuali bg org yg menguasainya."
Saya maksudkan, ustaz-ustaz yang hendak mengajar sebenarnya ramai juga yang tidak menguasai Sifat 20. Nak bezakan sifat-sifat Nafsiah, Salbiah. Maani dan Maknawiyah pun susah, lebih-lebih lagi bila masuk bab ta'luq.
Bila seorang ustaz itu menguasai ilmu Sifat 20 ini, memang secara mudah dan sistematik dia dapat menyampaikan kepada anak-anak murid. Dan pendengar juga mudah faham dan tidaklah susah sangat.
Saya bersetuju, sifat 20 membentuk uslub berfikir yang sangat tersusun.
Walaupun begitu, dlm realiti pendidikan tinggi, banyak IPT mengabaikan pembacaan matan Jauharah dll. Hasilnya ramai ustaz-ustaz di luar sana tidak didedahkan dgn ilmu ini secara terperinci.
Hasil pengalaman saya sendiri, kalau tidak kerana pembelajaran Thanawi saya di Pakistan (guna Silibus al-Azhar), saya sendiri tak buka kitab Tuhafat al-Murid Sharh Jauharah al-Tauhid karangan Sheikh al-Bajuri.
Wallahu a'lam.