Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Monday 25 April 2011

Isu video, tuduhan zina dan isu poco-poco

Rimas dibuatnya membaca pelbagai isu-isu yang menyesakkan dada di dada akhbar pada awal tahun ini. Pada mulanya saya bersemangat melihat semangat revolusi Timur Tengah dan bagaimana perubahan berlaku di sana. Saya masih mengharapkan 'sinar bahagia' di Timur Tengah. Pada masa yang sama, timbul kerisauan revolusi itu menjadi 'perang saudara' yang tidak kesudahan. Ditakuti juga berlaku apa yang dikatakan oleh pepatah menjemput penyamun atau perompak untuk menghalau pencuri. Pencuri berjaya dihalau, perompak atau penyamun yang untung!

Pada masa yang sama, berita dalam negara seperti 'video porno' sehinggalah perbahasan samada ia boleh dijadikan bukti untuk jenayah zina memenuhi dada-dada akhbar. Ditambah lagi pula isu 'poco-poco', yang turut mewarnai akhbar-akhbar kita sekitar sebulan dua ini.

Video Porno

Mengenai video porno, saya sempat berbisik kepada rakan-rakan, dalam Islam jenayah zina hanya boleh dibuktikan dengan EMPAT saksi. Tak tahulah kalau ada yang mahu menggunakan pandangan 'syaz' yang mahu membenarkan bukti fizikal sebagaimana jenayah yang lain. Walaupun begitu, ramai ulama pasti bersetuju menggunakan bukti-bukti fizikal (tanpa 4 saksi) untuk jenayah rogol.

Berbalik kepada video porno, untuk lebih selamat, kalau mahu didakwa orang yang terlibat dengan video itu, jangan didakwa atas kesalahan melakukan zina, sebaliknya dakwalah atas perbuatan terlibat dengan 'hubungan lucah secara tidak sah'. Sekaligus, kita boleh mengelak dari persoalan hukum qazf, rentetan tidak mempunyai empat saksi.

Poco-poco

Ada yang berpandangan 'asal hukum tarian adalah harus', maka hukumnya harus kecuali sekiranya ada unsur-unsur yang diharamkan. Maka, hukum tarian poco-poco harus sebab tak pasti ada unsur-unsur Kristian atau penyembahan atau pendewaan di dalamnya.

Benarkah, asal hukum tarian itu harus? Sepatutnya kita perlu melihat apakah secara umumnya tujuan tarian itu dilakukan? Rasanya semua memahami bahawa 'tarian' adalah satu alat yang dibawa oleh barat untuk berhibur dan memenuhi tuntutan dan runtunan nafsu, memenuhi tuntutan gejala hendonisme? Tarian dicipta bukan untuk ditarikan secara 'berjubah' dan secara untuk mendekati Allah! Sebaliknya, tarian dilakukan ke arah untuk berhibur dan jauh dari Allah SWT beserta dengan pemakaian yang mengairahkan.

Kecuali bagi minoriti golongan Sufi yang beramal dengan kaedah ini! Itupun dihukum 'bid'ah bagi ramai orang.

Malangnya, ada ustaz-ustaz memberikan pandangan yang terkeluar dari realiti. maka difatwakan diharuskan 'poco-poco' sekiranya tidak ada unsur yang bertentangan dengan Syariat. Ini adalah FATWA YANG TERKELUAR DARI REALITI! Kita menunggu kelak, dilaksanakan tarian dalam keadaan 'tanpa muzik yang melalaikan', menutup aurat, tidak bercampur lelaki dan wanita', wanita tidak mengolek-golekkan badan di depan lelaki! Apakah perkara ini mampu dilakukan dalam tarian di dalam masyarakat kita pada hari ini? Hakikatnya mereka telah memberikan fatwa HARUS tarian tanpa berpegang kepada realiti bahawa tarian aktiviti penuh dengan kemungkaran!

Wallahu Taala a'lam.

Abu al-Izz.