Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Sunday 24 November 2013

BILA MUFTI KEDAH BERSUARA MENGENAI SYIAH DAN WAHHABI....

Assalamu alaikum warahmatullah,

Para pembaca budiman,

Saya menyedari beberapa laman sosial kecoh apabila Sahibus Samahah Mufti Kedah mula bersuara. Sememangnya para mufti perlu dan wajib bersuara apabila berdepan dengan ajaran-ajaran sesat dan para pendokongnya khususnya Syiah dan Wahhabi. Pernyataan siapa yang mendokong aliran ini, amat dialu-alukan dan wajib dipertahankan.

Aliran Wahhabi, cenderong menggunakan 'zahir nas' dalam mentafsirkan ayat-ayat Sifat yang berkait dengan anggota. Lantas mereka mentafsirkan tangan, kaki, mata dan lain-lain sebagai Allah juga beranggota tetapi tak sama dengan makhluk. Walhal, anggota-anggota malaikat, syaitan dan lain-lain pun berbeza antara satu sama lain. Jadi, apa bezanya Allah SWT dengan makhluk yang ghaib lainnya kalau mahu dinisbahkan beranggota? Tafsiran mereka ini tidak disokongpun oleh hadis-hadis Nabi SAW mahupun athar para sahabat. Bahkan tidak disebut dalam mana-mana tafsir muktabar. Mereka cuba melencongkan maknanya untuk menipu penyokong-penyokong mereka.

Kita bersetuju jika mereka menterjemahkan: 'Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka', iaitu menterjemahkan ayat secara lengkap. Tetapi kita tidak bersetuju bila mereka membuat kesimpulan (Allah bertangan). Sebetulnya, sebagai Ahlussunnah, kita lalukan makna ayat sedemikian dengan lengkap tanpa membuat perincian sebagaimana amalan para sahabat. Inilah sikap tafwidh yang ada pada para sahabat dan ulama salafussoleh. Boleh baca isu ini dalam artikel saya disini (klik).

Dan kita juga bersetuju untuk ditakwilkan secara ringkas, sebagaimana sabit dilakukan oleh para sahabat sebagaimana athar riwayat al-Zahabi dan al-Baihaqi. al-Zahabi Rahimahullah adalah anak murid Ibn Taymiyyah tetapi dia tidak menelusuri kecenderungan tajsim yang ada pada gurunya.

Inilah fahaman Ahlussunnah wal Jamaah yang dipegang oleh majoriti ulama zaman berzaman daripada Mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad dan anak-anak murid mereka.

Lantas ditanya, bila pula Imam-imam empat tersebut belajar sifat 20. Ni lagi satu soalan yang saya kira ''tidak cerdik dan menghina''. Cuba baca penerangan sifat 20 itu, semuanya diambil daripada ayat-ayat Quran yang menunjukkan sifat 20 itu. Kalau ada penambahanpun, perbahasan disudut akal yang dibahaskan secara mantiq. Kalau tidak bersetujupun perbahasan tersebut, masih perlu kepada mempelajari sifat-sifat Allah SWT. Dimudahkan oleh Imam Abu Hasan al-Asy'ari kepada 13 sifat (semua sifat-sifat Allah yang lain kembali kepada 13 sifat ini), dan disempurnakan oleh Imam Abu Mansur al-Maturidi dengan penambahan tujuh sifat lagi.

Perlu diingat, ulama Hadith, Imam Ibn al-Jauzi (bukan Ibn Qayyim al-Jauziah) mengatakan sebahagian daripada Ahlu hadith daripada Mazhab Hanbali merupakan pendokong aliran Mujassimah (mentashbihkan Allah dengan makhluk). Beliau bangkit membantah golongan ini.

Bahaya aliran Wahhabi ialah mereka berpakaian dengan pakaian Ahlussunnah iaitu mengajak berpegang kepada Al-Quran dan al-Sunnah. Soalnya, al-Quran dan Sunnah itu ditafsirkan dengan tafsiran siapa? Tafsiran mereka? Guna tafsiran Dr. MAZA, Dr Juanda  atau Fathul Bari (bukan kitab Fathul Bari). Kalau mahu menggunakan Kitab-kitab Arab, adakah memadai dengan Kitab Ibn Taymiyyah (kurun ke 8 Hijrah, bukan seorang Salaf), Ibn Qayyim (anak murid Ibn Taymiyyah), Albani (telah meninggal dan seorang yang berada di zaman ini). Tidak zalimkah kita meletakkan Islam pada pentafsiran mereka sahaja? Slogan menyuruh mengikut al-Quran dan Sunnah mereka sebenarnya lebih kepada 'IKUT LAH AKU'.

Kita Ahlusunnah wal Jamaah, sentiasa berada dalam kelompok pertengahan. Kita mengelak mengkafirkan, menyesatkan dan memurtadkan seseorang. Sebaik mungkin kita cuba menarik sahabat-sahabat kita ke dalam Ahlussunnah.

Masalah kedua kita ialah Syiah. Sebenarnya lebih mudah kita menangani mereka ini kerana mereka bukan berpakaian Ahlussunnah. Cuma, pegangan 'taqiyyah' atau 'sifat kemunafikan' yang ada pada mereka meyukarkan kita menyedari kehadiran mereka. Dari sudut aqidah, berbanding Wahhabi, Aqidah Syiah mereka jauh menyeleweng, bahkan sesetengah kelompok mereka dikafirkan oleh majoriti ulama.

Inilah cabaran umat Islam masa kini. Ramai yang suka belajar dari media sosial. Ramai yang hanya mengikut tokoh-tokoh agama selebriti. Wallahu a'lam, semoga umat ini sentiasa dijaga akidahnya dengan akidah Ahlussunnah wal Jamaah.

Allah al-Musta'an.