Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Friday 11 December 2009

ULASAN TERHADAP JAWAPAN INSTITUT AL QAYYIM TERHADAP ARTIKEL YAYASAN SOFA

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya mendapat kiriman jawapan Institut Al Qayyim terhadap artikel Yayasan Sofa. Saya siarkan di sini untuk penelitian pembaca. Saya masukkan komen saya pada artikel tersebut (berwarna) dalam keadaan saya belum membaca kesahan teks rujukan asalnya berbahasa Arab. Saya memberi komen bukan mewakili Yayasan Sofa, sebaliknya dari pengamatan saya semata-mata. Selamat membaca dengan hati yang terbuka.


Jawapan Institut Al Qayyim Terhadap Artikel Yayasan Sofa

Tulisan ini merupakan jawapan kepada artikel yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 29/11/09 oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa, Negeri Sembilan bertajuk: Tauhid tiga serangkai disyariatkan di dalam Islam?. Setelah membaca dan memahami artikel tersebut, disimpulkan ia berlegar kepada satu persoalan utama iaitulah dakwaan kononnya pembahagian tauhid kepada tiga bahagian: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. dan pembahagian ini tidak dikenali di zaman awal Islam. Benarkan dakwaan ini?

Bagi sesiapa yang mempelajari akidah yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh, pasti akan memperakui sesungguhnya dakwaan ini amat jauh untuk dinilai sebagai suatu hasil penyelidikan ilmiah. Sebaliknya ia lebih kepada bukti kedangkalan dan kecetekan ilmu yang berpunca dari amalan taklid membuta tuli. Lebih malang kedangkalan ini disertai keegoan yang parah sehingga berani mencabar sesiapa yang dapat membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada sebelum kurun ke tujuh hijrah lagi.

(Komen Dr Asmadi: Datangkan hujah dulu sebelum membuat tuduhan orang lain dangkal, cetek dan taklid membabi buta. Ini merupakan metode 'memaki' yang tidak baik bagi suatu bicara ilmu)

Alangkah baik jika sebelum mencabar sesiapa, Panel Penyelidik Yayasan Sofa bertindak rajin sedikit, dengan membelek kitab-kitab tafsir yang mu’tabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang ditulis sebelum kelahiran Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Cukup sekadar dengan Tafsir al-Imam al-Tobari (meninggal 310H). Pasti dengan merujuk kepada kitab tafsir ini sahaja akan terjawab segala kekaburan dan tidak tahu. Tetapi sayang Panel Penyelidik Yayasan Sofa tidak melakukan perkara ini melainkan bertaklid kepada beberapa penulis sahaja. Untuk itu tulisan ini ditulis, supaya ia dapat mengambil tempat seperti seorang yang celik membimbing seorang buta menyeberangi jalan, agar selamat sampai ke seberang sana.

Maka tulisan ini memberi tumpuan dalam membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada di zaman awal umat Islam sebelum Ibn Taimiyyah R.H. Bahkan telah dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir beberapa riwayat daripada para sahabat Nabi S.A.W., para Tabi’ien dan para Atba’ al-Tabi’ien umat Islam.

Tujuan Pembahagian Ilmu Islam
Pembahagian mana-mana bidang ilmu Islam adalah suatu yang diterima di sisi para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, bahkan diterima oleh orang-orang yang berakal sejak zaman berzaman. Ia bertujuan memudahkan proses pembelajaran dan kefahaman terhadap nas-nas (teks) syarak, demikian juga agar gambaran umum terhasil sebelum sesuatu bidang dipelajari. Contoh mudah dalam hal ini, al-Imam al-Syafie telah menyusun ilmu Usul di dalam ilmu Fiqh Islami. Hasilnya pembahagian ini diterima oleh para ulama selepas beliau.

(Komen Dr Asmadi: Alhamdulillah Usul Fiqh diiktiraf semula sebagai satu cara pentafsiran teks al-Quran dan sunnah. Justeru, pentafsiran al-Quran dan sunnah tanpa ilmu Usul Fiqh adalah pentafsiran mengikut akal masing-masing. Seseorang itu bukan mujtahid sekiranya tidak belajar dan menguasai Usul Fiqh).

Kaedah pembelajaran yang tersusun dengan pembahagiannya tidak pernah terdapat di zaman Nabi S.A.W., bahkan pembahagian ilmu kepada ilmu aqidah, fiqh dan akhlak juga tidak terdapat di zaman Nabi S.A.W., sama halnya dengan penyusunan ilmu Mustalah al-Hadith, Ulum al-Tafsir, Usul al-Fiqh dan semua bidang ilmu syariah tidak pernah disusun, dibahagi dan diasingkan mengikut pembahagian-pembahagian seperti yang ada pada hari ini. Tidak pula bermakna ilmu-ilmu ini merupakan rekaan, bid’ah dan tokok-tambah dalam agama. Sebaliknya ia hanyalah kaedah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman. Lalu tidak berlebihan jika dikatakan teramat jahil orang yang mendakwa pembahagian-pembahagian ilmu ini sebagai bid’ah. Kerana itu masyhur satu kaedah di sisi ulama usul yang disebut sebagai la masyahah fi al-Istilah yang bermaksud tiada pertikaian terhadap pengistilahan jika kandungan atau maksudnya benar.

(Komen Dr Asmadi: Pembahagian ilmu-ilmu ini adalah bidaah sebab ia adalah sesuatu yang baru. Setiap yang baru itu bidaah (Kull muhdasatin bid'ah). Satu perkara bidaah dalam mempelajari ilmu Islam. Walaupun begitu ia adalah bidaah yang mahmudah (terpuji), yang sepakat ulama membenarkan untuk memudahkan pengajian Syariah. Saya agak hairan kenapa dinafikan ianya bidaah (sesuatu yang baru)dengan mengklasifikasikannya bukan bidaah? Kenapa pula dikatakan seorang itu amat jahil apabila dikatakan penyusunan ilmu-ilmu ini bidaah? Atas dasar itulah ulama membahagikan bidaah kepada bidaah yang keji dan bidaah yang terpuji. Jahilkah Imam al-Izz bila beliau memasukkan penyusunan ilmu tersebut  kepada ilmu fiqh, tauhid, ilmu hadis sebagai bidaah hasanah (bidaah terpuji).


Bahkan pembahagian Imam al-Izz bin Abdul Salam amat sesuai dengan pemahaman bidaah. Penyusunan ilmu sedemikian beliau kelaskan dalam bidaah yang wajib. Pembinaan binaan atas kubur, beliau katakan sebagai bidaah yang haram (tetapi tidak menyesatkan). Senang untuk masyarakat faham. Manakala, bidaah dalam aqidah, baru beliau sesatkan.


Lihat kitab ulama Imam al-Izz bin Abd al-Salam iaitu Qawaid al-Ahkam).


Pembahagian tauhid di kalangan generasi awal umat islam


Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. bukanlah individu pertama yang bertanggungjawab mereka-reka pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Sebaliknya pembahagian ini telah wujud lebih awal lagi. Perkara ini dapat ditelaah dari kitab-kitab karangan ulama yang awal. Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke tujuh hanya berperanan menghidupkan semula penekanan kepada tiga usur penting di dalam tauhid. Di bawah ini disenaraikan beberapa bukti yang menunjukkan pembahagian tauhid telah ada sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah R.H. lagi:

Pertama: Al-Imam Abu Abdillah, Ubaidullah ibn Muhammad ibn Battah al-‘Ukbariy (meninggal tahun 387H) berkata: “…dan demikian itu, bahawa asas keimanan kepada Allah yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadapNya adalah tiga perkara (bahagian). Pertama: Keyakinan seorang hamba terhadap rabbaniyyah (Rububiyyah) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta. Kedua: keyakinan seorang hamba terhadap wahdaniyyah (keesaan) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan musyrik, yang mengakui adanya pencipta (Allah), tetapi mereka mensyirikanNya dengan yang lain di dalam ibadah. Ketiga: Keyakinan seorang hamba terhadap Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang layak bagiNya seperti al-‘Ilmu (maha mengetahui), al-Qudrah (Maha berkuasa), al-Hikmah (maha bijaksana) dan semua sifat yang Dia (Allah) telah sifatkan diriNya di dalam kitabNya … (oleh itu) kita akan dapati Allah ta’ala telah mengarahkan hamba-hambanya dengan menyeru mereka untuk beri’tiqad kepada setiap dari tiga pembahagian ini dan beriman dengannya.” (al-Ibanah ‘an Syariah al-Firqah al-Najiah wa Mujabanah al-Firaq al-Mazmumah, Oleh Ibn Battah, hal. 693-694).

(Komen Dr Asmadi: Jawapan ini nampak canggih tetapi tidak jujur. Terpaksa memasukkan perkataan 'rububiah' dalam kurungan untuk buktikan Ibn Battah sokong Ibn Taimiyyah. Cuba pembaca buang perkataan dalam kurungan tersebut dan baca: Pertama: Rabbaniah, kedua: Wahdaniyyah, ketiga: Sifat-sifat Allah SWT.


Pertama Rabaniyyah Allah. Saya kena periksa teks bahasa Arab kitab ini, sebab terjemahan mengelirukan iaitu "agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta". Golongan Ta'til sebenarnya mengatakan adanya tuhan tetapi menafikan Sifat-sifat Allah SWT! Ini membuktikan mempelajari Rabbaniyah yang dimaksudkan ialah meyakini Allah SWT mempunyai segala sifat-sifat ketuhanan (rangkuman rububiah dan uluhiah sekaligus).


Pada pandangan Ahlussunnah, rububuyah dan uluhiyah adalah tidak terpisah (saling melazimi) dan ia termasuk pandangan Ibn Battah, bahkan perkataan 'ilah' merangkumi rububiyah dan uluhiyyah. Sebagai contoh, ayat 24, Surah al-Nazi'at, bermaksud: "(Firaun berkata) Aku tuhanmu (Rabb) yang maha tinggi". Istilah Rabb yang didakwa oleh firaun meliputi pengakuannya ketuhanannya (rububiah) dan juga uluhiah (layak disembah). Demikian juga perjanjian ruh dengan Allah SWT dalam Surah al-A'raf, ayat 172 bermaksud: "Bukankan aku Rabbmu (tuhanmu), Ruh berkata: Benar, kami bersaksi". Ruh bersaksi Allah tuhannya dalam bentuk rububiah dan uluhiyahnya secara serentak. Ruh bukan hanya bersaksi atau bertauhid rububiyyah sahaja! 


Kedua Wahdaniyyah Allah SWT (Ke-Esaan Allah). Setelah meyakini Allah SWT mempunyai sifat-sifat kesempurnaan kekuasaan dalam 'rabbaniyah' tadi (rububiyyah dan uluhiyyah), maka tidak boleh pula mensyirikkan Allah.


dan Ketiga: Keyakinan pada sifat-sifat yang layak untuk Allah SWT. Jadi, mempelajari sifat-sifat Allah SWT (inilah hujah sifat 20!) termasuk dalam akidah Ahlusunnah Wal jamaah. Masalahnya, bila kami gunakan kata-kata Ibn Battah ini untuk menunjukkan golongan Salaf juga bersetuju mengkaji sifat-sifat Allah SWT, golongan ini menolak pula hujah ini!


Jadi, kata-kata Ibn Battah ini bukannya menyokong pembahagian tauhid Ibn Taimiyyah).


Perkataan Ibn Battah ini amat jelas menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga telah wujud dan diketahui oleh para ulama yang hidup sekitar dua ratus tahun sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah. Bahkan perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan di sini bahawa perbezaan di antara tauhid rububiyyah dan uluhiyyah telah disebut juga oleh para sahabat Nabi S.A.W. antara mereka:

(Komen Dr. Asmadi: Penjelasan Ibn Battah berbeza dengan Ibn Taymiyyah. Saya belum sempat periksa pandangannya mengenai pengesaan Allah SWT dari tempat dan masa. Bila saya dapat buku tu nanti, saya akan perkemaskan komen saya. Nanti saya buktikan pandangannya tentang Tauhid Sifat bila saya mendapat buku ini).

Kedua: Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106).

Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang menciptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah (iman kepada rububiyyah Allah), sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah (syirik dalam uluhiyyah Allah).”

(Komen Dr Asmadi: Sekali lagi, penjawab terpaksa memasukkan dalam kurungan perkataan 'rububiah' dan 'uluhiah' bagi membawa kefahaman pembaca kepada kefahamannya. Saya syorkan pembaca membaca terjemahan ini sekali lagi tanpa perkataan dalam kurungan.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106).


Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang menciptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah, sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah.”


Nilai sendiri, adakah ada tauhid rububiah dan tauhid uluhiah? Sedangkan ayat Surah Yusof itu jelas mengatakan mereka sebenarnya tidak beriman. Adakah Ikrimah RA kemudian mengatakan: 'Orang-orang Musyrik hanya beriman dengan tauhid rububiah?

Ketiga: Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “diantara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah (dalam uluhiyyahNya).”

(Komen Dr Asmadi: Baca terjemahan ayat ini tanpa perkataan dalam kurungan:


Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “di antara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah.”


Buat penilaian sendiri. Ada ke Ibn Abbas sebut tauhid uluhiyyah?.

Keempat: Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya (rububiyyah), sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah (uluhiyyah).”

(Komen Dr Asmadi: Baca sekali lagi tanpa ada tambahan dalam kurungan:


Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya, sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah.”


Buat penilaian sendiri. Ada ke Qatadah sebut tauhid uluhiyyah?.

Kelima: Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan (rububiyyah) mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah (uluhiyyah) kepada selain Allah.” (Lihat tafsir al-Imam Ibn Jarir al-Tobari (meninggal 310H), surah Yusuf ayat 106)

(Komen Dr Asmadi: Baca sekali lagi tanpa ada tambahan dalam kurungan:


Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah kepada selain Allah.”


Buat penilaian sendiri. Ada ke Mujahid sebut tauhid uluhiyyah? Jadi bukanlah Imam Ibn Jarir al-Tobari mengatakan demikian, cuma beliau menukilkan pandangan sahabat yang bukan juga mengatakan secara jelas 'orang-orang musyrik adalah ahli tauhid rububiah, sebaliknya musyrik dalam golongan orang-orang yang tak beriman).

Dirasakan bukti-bukti ini sahaja sudah cukup menunjukkan pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan asma’ wa sifat bukan dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. Sebaliknya ia telah diketahui di kalangan umat Islam yang awal bahkan di sisi para sahabat Nabi S.A.W.. Sebagai tambahan di bawah ini disebut beberapa rujukan lain dari para ulama secara ringkas:

1. Kitab al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih yang meninggal pada tahun 395 Hijrah. (Jilid 1: halaman 61-116, jilid 2: halaman 14-208, jilid 3: halaman 7 hingga penghujung kitab )

2. Lihat juga perkataan al-Imam al-Qadhi Abi Yusuf Ya’qub ibn Ibrahim ibn Habib al-Kufi, murid dan sahabat kepada al-Imam Abu Hanifah (pemuka Mazhab Hanafi). Beliau meninggal pada tahun 182 Hijrah. Perkataannya telah dinukilkan oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih (meninggal tahun 395H) di dalam kitabnya al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud, jilid 3: halaman 304-306.

3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”

(Komen Dr Asmadi: Kena semak keseluruhan kitab-kitab ini adakah mentafsirkan sebagaimana Tauhid 3 serangkai ibn Taimiyyah. Mengikut maklumat sahabat saya yang biasa membelek kitab Imam Abu Hanifah: Fiqh al-Absat (sahabat ini sedang menyelia tesis PhD pelajarnya yg menggunakan kitab ini), kitab ini menjadi asas kepada aliran Maturidi oleh Imam Abu Mansur al-Maturidi kerana beliau seorang yang bermazhab Hanafi. Kalau betul maklumat ini nanti (saya minta beliau menyemak), sekali lagi pembaca tertipu dengan nama-nama kitab ulama Salaf yang dikatakan seolah-olah menyokong Ibn Taimiyyah).

Agama melarang taklid buta

Al-Quran dan al-Sunnah melarang kita tertaklid membuta tuli kepada sesiapapun melainkan kepada Nabi S.A.W., samada Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja, pandangan mereka perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, diambil apa yang bertepatan dengan dua rujukan ini dan ditinggalkan yang lainnya. Untuk mengenal pasti pendapat yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, pemahaman para sahabat dan para ulama generasi awal islam perlu dirujuk. Maka individu-individu yang memakai gelaran agama seperti ustaz, panel penyelidik dan seumpamanya perlulah merajinkan diri mengkaji dan memahami setiap persoalan yang hendak dibicarakan, sebelum berani membuat sesuatu kesimpulan. Sikap malas dan ‘taklid buta’ perlu dijauhi, jika tidak, ada baiknya kita mendiamkan diri sahaja, agar kebodohan dan malas diri sendiri tidak diketahui ramai dan menyusahkan orang lain.

(Komen Dr Asmadi: Betul, tidak boleh taklid buta pada persoalan akidah. Sebab itu saya mengharap, ada hadis-hadis yang jelas berkaitan dengan pembahagian ini dan keyakinan-keyakinan di dalamnya. Contohnya ada dalil jelas yang mengatakan orang-orang musyrik beriman dengan 'iman rububiah' tetapi tidak beriman dengan iman 'uluhiah'. Malangnya, tidak ada pun dalil yang benar-benar menyebut perkara itu secara jelas. Orang-orang awam yang tidak mampu membaca kitab-kitab Arab tersebut akan mudah tertipu dengan hujah-hujah tersebut. 


Kalau mengikut metode pandangan ini, persoalan berzikir, berdoa berkumpulan adalah bidaah yang sesat sebab tiada dalil 'sahih' dan qat'ie mengenainya walaupun al-Quran dan sunnah sarat dengan saranan suruh berdoa dan berzikir. Bagaimana pula boleh diterima penghuraian akidah 3 serangkai itu, tanpa dalil-dalil sahih dari al-sunnah sendiri? Celarukan dan tidak adil cara berfikir sedemikian? Hujah- hujah yang digunakan di atas pun, bukannya menyokong pandangan Ibn Taimiyyah!


Saya semakin yakin yang orang-orang yang bertaklid dengan Sheikh Ibn Taimiyyah tidak mempunyai dalil-dalil dari al-Quran dan hadis. Mereka terpaksa mengulang-ulang hujah Ibn Taimiyyah dan memasukkan perkataan 'rububiah' dan 'uluhiah' dalam kata-kata ulama silam!


Wallahu a'lam. Semoga kita baca ulasan ini dengan fikiran yang terbuka. Saya tidak mahu menuduh dangkal, cetek dan seumpamanya. Cuma saya masih tertunggu-tunggu hujah 'sahih' dan nyata dari al-Quran dan al-Sunnah.

Artikel asal boleh didapati di http://al-fikrah.net/News/article/sid=850.html

4 comments:

  1. Salam..

    Saya setuju, kenapa dalam persoalan fekah, ruang ijtihad dinafikan dgn ungkpan "bid'ah" dan "khurafat" cth dlm kes selawat syifa dan pndapat imam nawawi ttg sof kanak2 lelaki di belakang..

    sebaliknya dlm soal akidah, dletakkan nama atau dipecahkan tauhid, tiada dalil khusus digunakan, sedangkan dalam ibadah mereka hanya mengiktiraf dalil khusus dgn ungkapan "Nabi tak buat", "tiada dalil", "kalau baik, kenapa Nabi tak buat"...

    jadi,dgn 'meminjam' hujah dan idea mereka,saya ingin bertanya "kalau pecahan itu baik,kenapa Nabi tak pecahkan sebegitu pun".."cuba tunjukkan dalil khusus kerana ini soal akidah, lebih2 lagi lah perlukan dalil jelas".

    NAMUN, PENDIRIAN SAYA:

    1. pengajian sifat 20 dan pengajian 3tauhid adalah ijtihad sistem yg dirangka untuk memahami akidah Islam.

    2. pengajian sifat 20 diijtihadkan oleh Imam Asy'ari dan Maturidi, manakala 3tauhid pula oleh sheikh IbnTaimiyyah

    3. Kedua-dua ijtihad dibenarkan kerana ia lebih kepada cabang2 dlm pengajian akidah selagi tidak melanggar usul akidah seperti rukun iman dan Allah itu Maha Esa dll (mungkin kekawan boleh tambah).

    4. Cuma jgn guna sistem tersebut utk mengkafirkan orang lain, seperti yg disebut Dr Asmadi ttg kes org mempelajari 3tauhid tapi tidak mengkafirkan ttg soal tabarruk, tawassul dll.. Jika sebaliknya, maka perlu dielakkan.

    5. Saya lebih menyukai sistem sifat 20 kerana ia diijtihadkan pd abad ketiga (termasuk 3kurun terbaik selepas Nabi), diakui sebilangan besar ulama di setiap abad seterusnya dan diakui oleh senarai ulama yg panjang setiap bidang ilmu seperti yg dinakalkan oleh Imam al-Subki dalam Tabaqat al-Syafi'iyyah.

    6. Saya menghormati pandangan Sheikh IbnTaimyyah ttg 3tauhid,namun jika berlaku kes pengamal 3tauhid ini mengkafirkan tabarruk,tawassul dll ini maka saya tidak setuju,namun sy tetap tidak mengkafirkan Ibn Taimiyyah.

    7. saya tertarik dgn kajian Sheikh Fuad kamaludin almaliki,ahli majlis fatwa negeri 9 yg senaraikan senarai panjang para ulama yg menegur 3tauhid ini, ini menguatkan lagi pilihan saya terhadap ijtihad sifat 20 dalam memahami Akidah Islam.

    jadi, barangkali Dr Asmadi sendiri dan kekawan yg arif boleh bantu jika ada kesilapan ttg pendirian saya ini. Saya rasa ini lebih adil. WAllahua'lam

    ReplyDelete
  2. Us Asmadi Mohamed Naim12 December 2009 at 23:34

    Salam kembali,

    Ya betul, sehingga kini saya 'reserve' pada menghukumkan Imam Ibn Taimiyyah. Demikian juga pada Tauhid 3. Ya, ramai sahabat-sahabat saya yg mempelajari tauhid 3 dan mengajarnya, tetapi mereka tidak ekstrim. nabi Adam tidak disyirikkannya, dan tidak disesatkan/dikafirkan org2 yg bertawassul.

    Cuma, bila mengaitkan Tauhid 3 dengan kata-kata ulama Salaf melalui hujah yg dibuat-buat, saya tak setuju. Ini satu penghujahan yg tidak amanah.

    Kita kena akui sahaja, tidak ada ulama Salaf yg berpandangan demikian, sebaliknya diijtihadkan oleh Ibn Taimiyyah.

    Sesetengah orang mengatakan penuyusunan Sifat 13 (oleh Imam Abu Hassan al-Asy'ari) dan tambahan 7 (oleh Imam al-Maturidi) sebagai ijtihad mereka.

    Sebenarnya, dalam akidah tiada mujtahid. Kalau boleh pun dalam ruang yg terlalu sempit. Cthnya, sifat-sifat yg disusun tersebut, sebenarnya ada dalam al-Quran dan sunnah. Cuma dikhususkan 20 tersebut dari banyaknya sifat-sifat Allah SWT, kerana sifat-sifat lain kembali kepada sifat yang 20 ini. Bayk contoh2 ayat Quran yg mencabar hujah akal, contohnya satu ayat yg mencabar ttg kejadian alam, Allah SWT berfirman: Adakah dijadikan dari tanpa apa-apa, atau kamu yang menciptakannya? Oleh itu, sebarang penggunaan hujah akal, boleh dibuat tetapi mestilah tidak bertentangan dengan nas-nas nyata al-Quran.

    Demikian juga persoalan takwil pada ayat-ayat mutasyabihat, Ibn Taimiyyah mengatakan 'takwil' menyalahi amalan Salaf. Namun setelah diselidiki, di kalangan Sahabat dan imam-imam cthnya Imam Ahmad pun ada mentakwil ayat-ayat mutasyabihat. Justeru, mereka mengambil jalan tengah iaitu mentakwilkan (tanpa berlebih-lebihan) utk mengelakkan masyarakat awam menvisualkan Allah SWT. Saya akan kemukakan nanti bukti ini dalam satu posting pendek nanti, insya allah.

    ReplyDelete
  3. Us Asmadi Mohamed Naim21 December 2009 at 17:58

    Salam semua,

    Saya mendapat jawapan seorang Sahabat berkaitan penulisan Imam Abu Hanifah yang digunakan oleh al Qayyim net. Berikut jawapannya:

    Merujuk kepada makalah jawapan al-Qayyimnet ke atas makalah Yasasan Sofa, dan ulasan Dr Asmadi, berikut dikemukakan beberapa fakta berkenaan:

    "Teks dari jawapan al-Qayyimnet: 3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”

    Komen seorang Sahabat yang mengkaji kitab ini:

    "Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun."

    Ia adalah tepat sebagaimana teks asal yang ana ada. Dalam penulisan beliau, Abu Hanifah juga banyak membincangkan tentang Sifat-sifat Allah.

    Dalam Fiqh Absat itu, beliau memang sebut "Rububiyyah wa Uluhiyyah" sebagaimana teks di atas, dalam naskhah lain kitab Fiqh Absat disebut "li anna al-asfal laysa min wasf al-rububiyyah wa al-uluhiyyah fi shay'.."

    Setakat yang ana faham dan baca dalam beberapa karya Abu Hanifah, ana belum pernah jumpa pembahagian tawhid terpisah sebagaimana dalam tradisi pengajaran Wahabi tu. Begitu juga dengan beberapa sharah kepada Fiqh Akbar ana tak jumpa pembahagian sebegitu. Teks yang ana kemukakan dahulu merujuk kepada sifat Uluhiyyah dan Rububiyyah Allah (wasf al-uluhiyyah wa al-rububiyyah) yang mana dengan sifat tersebut menjelaskan tentangnya dan menggambarkan ketinggian martabatnya. Sebab itu, tidak layak manusia mengatakan Allah itu diseru dari bawah (asfal) atau mengatakan Allah itu dibawah. Hal ini sesuai sebagaimana hadis Nabi yang mana Baginda mengiktiraf seorang hamba yang menjawab pertanyaan "Di mana Allah", beliau mengisyaratkan di langit. Wa Allah a'lam. Sekian, wassalam

    Moga ini boleh memperjelaskan beberapa fakta berkenaan pemikiran sebenar Abu Hanifah dalam isu tauhid ini.

    ReplyDelete
  4. Afwan ya Akhi...Ana minta izin untuk copy paste article ini ke blog ana...agar teman-teman sunni dari Jawa bisa gampang aksesnya...syukran katsiran...

    ReplyDelete