Selamat membaca atau klik pada tajuk untuk membaca terus dari Utusan Malaysia, 4 Januari 2010. Komen saya di akhir artikel ini.
Benarkah musyrikin boleh bertauhid rububiyyah?
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
BERTEMU kembali di ruangan Relung Cahaya pada tahun baru 1431 Hijrah. Semoga penghijrahan kita kali ini lebih bermakna dan turut melonjakkan kita dalam perjalanan kita menuju kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Kembali kepada tajuk tauhid yang sedang kita bicarakan. Setelah kita meneliti beberapa dalil dan jawapan yang menunjukkan kepincangan dan kebatilan tauhid tiga serangkai, ada baiknya kita juga memerhatikan sebahagian dalil yang digunapakai oleh pengikut tauhid ini bagi menegakkan pendapat mereka yang kabur.
Kami telah menerima maklum balas daripada mereka yang berpegang dengan tauhid ini dan mereka telah menyatakan dalil-dalil mereka. Namun, di sini kami hanya akan mengutarakan sebahagiannya sahaja dan jawapan bagi hujah mereka tersebut. Manakala sebahagiannya lagi, kami akan susuli pada ruangan dan kesempatan yang lain, insya-Allah.
Sebelum memanjangkan kalam, kami ingin menyuarakan biarlah perbicaraan kita ini difokuskan kepada tajuk yang dibincangkan, bukannya mencemuh pihak yang tidak sependapat dengan kita. Andai kita merasa kita lebih bijak dan lebih mengetahui, sepatutnya kitalah juga yang lebih bijak dan mengetahui tentang adab-adab berbicara dan berdebat. Bukanlah tujuan kami mengetengahkan tajuk ini untuk menyentuh sensitiviti sesiapa, mencari ruang permusuhan atau mengkafir dan menyesatkan sesiapa. Tetapi tujuan kami hanya untuk melihat kebenaran itu tertegak dan kebatilan itu terpadam.
Berbalik kepada tajuk yang kita bicarakan, kami ingin menegaskan bahawa antara perkara utama yang menyebabkan kami menolak pembahagian tauhid ini ialah pembahagian tauhid ini telah mengkategorikan orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid dengan tauhid rububiyyah, bukannya sifat rububiyyah atau uluhiyyah bagi Allah.
Mereka yang berpegang dengan tauhid ini berpegang dengan firman Allah SWT dalam surah al Zumar ayat 38: Dan demi sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab, "Allah."
Mereka juga berpegang dengan firman Allah SWT: Tanyakanlah lagi, "Siapakah tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh dan tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?" Mereka akan menjawab, "(Semuanya) kepunyaan Allah." Katakanlah, "Mengapakah kamu tidak mahu bertaqwa? (al-Mukminun: 86 dan 87)
Ayat-ayat lain yang serupa dengan ayat ini banyak terdapat di dalam al-Quran.
Kami menyatakan bahawa hujah ini terlalu lemah. Ini kerana orang-orang musyrik hanya mengaku dengan lidah mereka kewujudan Allah ketika mana mereka berada dalam keadaan terdesak setelah dikemukakan hujah-hujah kepada mereka. Sedangkan hati-hati mereka menolak dengan apa yang mereka ungkapkan dan mengingkarinya. Allah SWT telah menjelaskan hakikat mereka melalui firman-Nya: Mereka menjadikan kamu senang hati dengan mulut mereka, sedangkan hati mereka menolaknya. (al-Taubah: 8)
Berikrar
Berikrar dengan lidah semata-mata tanpa ditasdiqkan (dibenarkan) dengan hati, tidak ada nilainya dan tidak dikira pengakuannya itu di sisi syariat Allah.
Untuk lebih jelas lagi, perhatikanlah sambungan ayat daripada surah al-Zumar di atas yang bermaksud: Katakanlah (kepada mereka wahai Muhammad): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah selain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri. (al-Zumar: 38)
Ayat ini jelas menunjukkan pembohongan dan kepura-puraan perkataan mereka. Mereka ini tetap juga menyandarkan kemudharatan dan manfaat kepada selain Allah. Mereka sebenarnya jahil tentang Allah dan mendahulukan tuhan-tuhan mereka daripada Allah, hatta dalam sekecil-kecil perkara.
Sekiranya jawapan ini belum cukup untuk memuaskan hati pengikut tauhid tiga ini, marilah kita perhatikanlah semula perkataan orang musyrik kepada Nabi Hud AS: Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)
Bagaimanakah pengikut tauhid tiga boleh mengatakan orang musyrik mempercayai bahawa hanya Allah yang berkuasa dalam urusan mentadbir, memberikan manfaat dan mudharat sehingga mereka layak dikatakan mempunyai tauhid rububiyyah? Padahal mereka mempercayai bahawa berhala-berhala mereka mampu mendatangkan mudharat dan manfaat?
Seterusnya, perhatikanlah pula ayat 136 dari surah al-An'aam ini: Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: "Ini untuk Allah - menurut anggapan mereka - dan ini untuk berhala-berhala kami." Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.
Jika orang musyrikin mentauhidkan Allah dari sudut rububiyyah kenapakah mereka telah mendahulukan berhala-berhala mereka daripada Allah daripada sekecil-kecil dan serendah-rendah perkara.
Allah telah berfirman dalam menjelaskan kepercayaaan mereka terhadap berhala-berhala mereka: Dan Kami tidak melihat berserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat itu). (al-An'aam : 94)
Perhatikanlah betul-betul ayat-ayat ini, kemudian apakah pendapat kalian terhadap kebenaran tauhid uluhiyyah dan rububiyyah ini yang mengatakan bahawa orang musyrikin dan Muslimin adalah sama dan hanya berbeza pada tauhid uluhiyyah?
Dalil yang lebih menjelaskan lagi perkara ini ialah firman Allah: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. (al-An'aam: 108)
Adakah selepas memerhatikan ayat-ayat Allah ini, kita masih melihat bahawa pengakuan orang musyrikin sebagaimana dalam surah al Zumar ayat 38 di atas dan ayat yang seumpama dengannya diungkapkan dengan jujur dan ikhlas? Adakah kita masih mahu mengatakan bahawa mereka bertauhid dengan tauhid rububiyyah?
Sesungguhnya kami dan ulama Ahli Sunnah sememangnya tidak pernah menolak penyusunan dan pembahagian ilmu yang banyak dilakukan dalam ilmu-ilmu Islam kerana kebaikannya kepada umat Islam. Tetapi kami tidak boleh menerima pembahagian tauhid ini yang implikasinya sangat memudharatkan umat Islam iaitu membuka pintu kepada mengkafirkan ahli Kiblat. Terlajak sampan boleh berundur, terlajak kata binasa.
Satu penghujahan yang bernas dari Yayasan Sofa. Alhamdulillah, Yayasan Sofa tidak terikut-ikut rentak pihak yang menjawab yang menggunakan tuduhan 'kolot', 'jumud', 'menegakkan batil' di awal-awal penghujahan. Adab wacana ilmu ialah masing-masing mengemukakan hujah, dan di akhirnya serahkan kepada pembaca menilai siapa yang berpegang pada al-Quran dan al-Sunnah, atau siapa yang sebenarnya bertaqlid terus pada seorang ulama pada persoalan akidah.
Saya menjangkakan, pihak yang menjawab akan membawakan hujah-hujah berbentuk 'sekunder' iaitu 'si polan kata begitu' dan 'si polan kata begini' utuk menolak hujah Yayasan Sofa, atau mengulang-ulang ayat yang telah dijawab tersebut. Kaedah demikian adalah tidak lain melainkan 'ain al-taqlid' (taqlid le tu) pada persoalan aqidah.
Ulasan oleh lecturer KUIS terhadap artikel di atas:
ReplyDeleteWacana Ilmuan:
Sebenarnya saya muatkan artikel di atas untuk memberikan contoh bagi artikel yang tidak ilmiah. Ada beberapa sebab yang dapat dilihat menunjukkan artikel diatas tidak ilmiah:
1-Tidak berdasarkan kaedah pengistinbatan yang betul.
Dengan hanya mendakwa konsep itu tidak ada dalam alquran dan sunnah, konsep itu terus didakwa tidak tepat, sedangkan tidak semua perkara yang berbentuk ijtihadi mesti ada dalam quran dan sunnah secara terperinci.
Konsep yang dianggap betul dan memenuhi tuntutan Islam ialah konsep 20, sedangkan konsep sifat 20 juga tidak disebut secara tepat dalam alquran dan sunnah. Bila ada orang yang bertentangan dengan pendapat kita maka kita akan kata ianya tidak ada dalam sunnah, sedangkan pendapat kita sediripun tidak ada dalam nas secara jelas. Tindakan sedemikian perlu kita jauhi kerana lebih bersifat provokasi sahaja.
2-Menyorok pendapat yang menyokong
Salah satu ciri artikel yang tidak baik ialah bila penulis hanya menyebut pandangan ulamak yang menyokong pendapat penulis, mencari-cari pula pandangan tokoh yang menghentam pihak yang ditolak pendapatnya.
Apabila tidak ada langsung pandangan ulamak yang menyokong pihak yang ditolak maka pembaca menyangka perkara itu menjadi kesepakatan para ulamak. Sebaiknya penulis perlu menyebut bahawa ada ulamak yang tidak menyokong beliau. Contohnya dalam artikel diatas, penulis sepatutnya memberitahu bahawa ulamak tersohor masakini Dr Yusuf Qardawi menerima konsep Tauhid yang dirumuskan oleh Ibnu Taimiah. Kalaupun tidak mahu menyebut barisan ulamak lain cukuplah sekadar menyebut beberapa tokoh sahaja.
3-Menjadikan perkara khilafiah sebagai qatiyah
Antara ciri artikel tidak ilmiah ialah bila penulis membesarkan masaalah khilafiah sehingga mencapai tahap qatie. Dengan itu perbincangan akan tertumpu pada mencari manakah kumpulan yang betul dan mana pula yang sesat walaupun pada hakikatnya perbincangan tertupu pada mana yang lebih tepat.
Mudah-mudahan sedikit komen saya pada artikel diatas akan memberi panduan kepada penulis untuk membaiki mutu tulisan masing-masing.
Terima kasih Sdr Anonymous kerana kirim ulasan ini. Mungkin sdr ingin lihat komen saya.
ReplyDeleteKomen saya terhdp ulasan lecturer KIAS tadi iaitu:
"1-Tidak berdasarkan kaedah pengistinbatan yang betul.
Dengan hanya mendakwa konsep itu tidak ada dalam alquran dan sunnah, konsep itu terus didakwa tidak tepat, sedangkan tidak semua perkara yang berbentuk ijtihadi mesti ada dalam quran dan sunnah secara terperinci".
Komen Dr Asmadi: Konsep aqidah mesti tepat dgn al-Quran & sunnah. Yayasn Sofa mendtgkn hujah bahawa konsep ini x betul dgn Quran & sunnah.
Kata-katanya: "Konsep yang dianggap betul dan memenuhi tuntutan Islam ialah konsep 20, sedangkan konsep sifat 20 juga tidak disebut secara tepat dalam alquran dan sunnah. Bila ada orang yang bertentangan dengan pendapat kita maka kita akan kata ianya tidak ada dalam sunnah, sedangkan pendapat kita sediripun tidak ada dalam nas secara jelas. Tindakan sedemikian perlu kita jauhi kerana lebih bersifat provokasi sahaja."
Komen Dr Asmadi: Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, bukan 20 sahaja. Ijtihad hanya datang dalam bentuk mengembalikan keseluruhan sifat-sifat Allah SWT yang maha sempurna itu kepada 20 sifat utama. Penyusunan itu pula tidak menafikan nas-nas lain berkaitan sifat-sifat Allah. Penyusunan berlaku di akhir kurun ke 3, masih dlm golongan salaf dan diiktiraf oleh ulama sezaman.
Kala ulasan itu lagi:
"2-Menyorok pendapat yang menyokong
Salah satu ciri artikel yang tidak baik ialah bila penulis hanya menyebut pandangan ulamak yang menyokong pendapat penulis, mencari-cari pula pandangan tokoh yang menghentam pihak yang ditolak pendapatnya."
Komen Dr Asmadi: Cara biasa bila kita tak boleh datangkan hujah. Sebenarnya artikel Yayasan Sofa adalah artikel bersiri. Sebelumnya telah dibentangkan dalil-dalil pendokong tauhid 3. Sebaliknya pendokong sepatutnya datangkan pula hujah menolak hujan Yayasan Sofa, barulah ilmiah namanya.
Komen lecturer KUIS tersebut:
ReplyDelete"3-Menjadikan perkara khilafiah sebagai qatiyah
Antara ciri artikel tidak ilmiah ialah bila penulis membesarkan masaalah khilafiah sehingga mencapai tahap qatie. Dengan itu perbincangan akan tertumpu pada mencari manakah kumpulan yang betul dan mana pula yang sesat walaupun pada hakikatnya perbincangan tertupu pada mana yang lebih tepat.
Mudah-mudahan sedikit komen saya pada artikel diatas akan memberi panduan kepada penulis untuk membaiki mutu tulisan masing-masing."
Komen Dr Asmadi: Ya, saya bersetuju perkara khilafiyyah, tak boleh dijadikan qat'ie. Sebab tu, soal-soal khilaf dalam ibadah jangan disesatkan samada soal tawassul, ziarah kubur, zikir dan lain-lain.
Tapi, mengatakan orang-orang kafir bertauhid, adalah bertentangan dgn nas-nas qat'ie yang menyebut mereka sebenarnya syirik pada rububiyyah dan uluhiyah secara serentak.
Secara keseluruhannya, saya mengharapkan hujah dari al-Quran dan sunnah dari golongan pendokong tauhid 3, sbb di kalangan mereka, beriya-iya benar nakkan dalil qat'ie/hadis sahih pada perkara ibadah. Malangnya, dalam isu tauhid yg menentukan Islam & kufur, mereka hanya memadai taqlid pada ulama yang menyusunnya, walau bertentangan dengan al-Quran dan sunnah. Pada waktu inilah mereka menggunakan hujah-hujah taqlid, al-Qardhawi, WAMY dan sebagainya!
Allah al-Musta'an.