Selamat Datang ke Weblog Dr Asmadi Mohamed Naim 'Nazil al-Qadah'

أهلا وسهلا ومرحبا بكم إلى موقع إلكتروني للدكتور أسمادي محمد نعيم نزيل القدح باللغة الماليزية



Tuesday, 5 January 2010

PENGGUNAAN NAMA ALLAH: ANTARA CELARU DAN KELIRU

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Hari ini saya meninjau-ninjau laporan akhbar berkaitan penggunaan kalimah Allah SWT oleh Gereja Kristian. Saya melihat pandangan penulis-penulis Muslim yang menyokong dan yang membantah.


Di kalangan masyarakat, saya yakin ramai yang celaru dalam polemik keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penulisan mereka. Kecelaruan timbul disebabkan beberapa perkara,

i. pertamanya terdapat ayat-ayat suci al-Quran menggunakan istilah tersebut di dalam wacananya dengan Yahudi, Kristian dan penyembah berhala, atau pengkhabarannya kepada umat Islam mengenai agama-agama tersebut.
ii. Keduanya, terdapat golongan agama dan ‘bukan golongan agama’ yang menyokong kebenaran tersebut di atas alasan orang-orang Kristian dan Yahudi Arab menggunakan istilah tersebut.
iii. Ketiganya, melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ akan menyebabkan ‘susah’ proses mengislamkan orang-orang bukan Islam.


Berbalik kepada sebab pertama iaitu terdapat ayat-ayat suci al-Quran yang menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam wacananya dengan golongan ‘kuffar’, atau pengkhabarannya kepada kita mengenai mereka. Al-Quran diwahyukan antaranya untuk menjelaskan mengenai ketuhanan dan keesaan Allah SWT yang menjadikan alam ini, yang menguasai alam ini, mempunyai segala sifat kesempurnaan dan tidak bersifat dengan sifat kemanusiaan seperti beranak dan diperanakkan.


Dalam membincangkan keesaan Allah itulah, adalah menjadi uslub yang paling baik, al-Quran berdepan dengan golongan kuffar dengan menjelaskan Allahlah tuhan mereka yang sebenar walaupun mereka tidak beriman; atau mereka mungkin percaya beserta kesyirikan mereka mengenai adanya tuhan-tuhan yang lain beserta Allah SWT (Syirik pada rububiyyah Allah SWT).


Akhirnya, nama Allah yang datang ke Tanah Melayu telah berjaya disucikan daripada kesyirikan. Tersebar luas kalimah Allah Yang Maha Suci Di Tanah Melayu sebagai tuhan yang tidak beranak dan tidak diperanakkan. Malangnya sekarang, kerana lemahnya kita, kita kembali ke zaman awal Islam, kalimah Allah SWT perlu disucikan kembali sebagaimana di peringkat awalnya. Kita tidak pula periksa, adakah dalam kitab-kitab mereka iaitu ‘Injil’ dan ‘Taurat’ versi sekarang mempunyai kalimah ‘Allah’. Sebaliknya kita menggunakan al-Quran, untuk menjustifikasikan dakwaan mereka bahawa mereka boleh menggunakan kalimah ‘Allah’! Walhal, khitab Allah datang dalam bentuk mahu mensucikan Allah dari apa yang mereka sifatkan.


Keduanya, terdapat golongan agama dan bukan agama di kalangan orang Islam yang berhujah, kalimah Allah sememangnya telah digunakan oleh Kristian Arab atau Yahudi Arab. Saya tidak berkesempatan melihat kitab-kitab mereka dalam bahasa Arab. Walaupun begitu, ia berbeza dengan Kristian di Tanah Melayu. Bible yang diterjemahkan bukannya ada menyebut kalimah ‘Allah’. Jadi, atas hak apa mahu dikotorkan semula nama Allah yang datang dalam bentuk murni dan suci di Tanah Melayu ini dan merubah nama tersebut kepada nama yang penuh kesyirikan. Dan penyokong-penyokongnya seolah-olah menyokong supaya diubah pengertian suci ini kepada pengertian Syirik!


Ketiganya, sebahagian orang Islam berandaian pengkhususan nama Allah untuk orang-orang Islam menyebabkan mereka orang-orang bukan Islam sukar memeluk agama Islam sebagaimana kata-kata ‘Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu’ menyebabkan sukar orang bukan Islam memeluk agama Islam. Saya katakan: Melayu itu Islam perlu dikekalkan, tetapi Islam tidak semestinya Melayu sepatutnya menjadi slogan.
Berbalik pengkhususan Allah kepada orang Islam menyebabkan sukar berdakwah dengan orang-orang bukan Islam, saya tertanya-tanya dari mana dapatnya kesimpulan ini. Adakah ada kajian (research) mendalam? Sebaliknya bukti nyata dan bukti hidup, penggunaan kalimah ‘Allah’ di Indonesia menyebabkan kecelaruan yang amat besar. Demikian juga, penggunaan kalimah ‘Allah’ untuk orang-orang Kristian di Sabah dan Sarawak, tidak membantu pertambahan ‘umat Islam’, sebaliknya masyarakat Islam di sana terpaksa mewarisi budaya sahabat-sahabat kita di Tanah Seberang. Ramai sahabat-sahabat dari Indonesia menasihati kita supaya jangan jadi seperti mereka.


Apabila saya membuat penilaian pada persoalan ini, saya melihat di sinilah bahaya pembahagian Tauhid 3 iaitu yang mengasingkan Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah. Seolah-olah hendak mengiyakan bahawa orang-orang musyrik bertauhid dengan tauhid rububiyyah iaitu kepada Allah SWT.


Jadi, orang yang berpegang pada tauhid ini akan berkata “biarkanlah mereka menggunakan kalimah Allah” sebab merekapun bertauhid dengan tauhid rububiyyah! Walhal orang-orang musyrik ini sebenarnya tidak bertauhid (tidak mengatakan esa) sebaliknya menganggap adanya tuhan-tuhan lain iaitu tuhan anak dan lain-lain, atau adanya dewa-dewa lain yang memberi bekas mendatangkan rezeki dan sebagainya. Sekaligus mereka mensyirikkan Allah dalam ketuhanan dan penyembahannya. Ayat-ayat yang disebut yang mengatakan orang-orang Musyrik mengatakan Allah sebagai yang menjadikan mereka, al-Quran menggunakan perkataan ‘mereka pasti berkata’, al-Quran tidak mengatakan ‘mereka pasti beriman’!.


Beberapa mudharat ke atas umat Islam daripada penggunaan kalimah Allah bagi agama Kristian:
i. Kalimah Allah akan didefinisikan dengan pelbagai makna antaranya konsep triniti tersebut dalam kamus-kamus bahasa Melayu yang akan datang. Kamus-kamus antarabangsa juga akan mengubah definisi iaitu kalimah Allah diguna oleh orang-orang Kristian Arab, dan Yahudi Arab zaman dahulu, dan orang-orang Kristian Indonesia dan Malaysia secara meluas!
ii. Umat Islam kena lebih berhati apabila membaca atau 'searching' melalui internet. Kewujudan kalimah Allah dalam artikel berbahasa Melayu, tidak semestinya membicarakan Allah Yang Maha Suci.
iii. Akan ada mereka yang mendekati orang-orang Islam khususnya remaja atas nama 'Allah', tapi membawa kefahaman yang 'tidak suci'.
iv. Akan ada lagu yang bersifat ketuhanan, tetapi yang dimaksudkan ialah konsep Triniti.
v. Masyarakat yang akan  dicelarukan atau tercelaru sehinggakan merasakan agama-agama tersebut hanya satu perbezaan mazhab semata-mata.


Polemik ini saya jangka akan berterusan di kalangan umat Islam sendiri antara yang menyokong dan membantah penggunaan ini. Di sinilah, kita mengharapkan Raja-Raja Melayu dan pemerintah membuat keputusan yang bijak untuk menyelesaikan ‘ketidaksepakatan’ umat Islam pada perkara ini, dan mengembalikan kesucian kalimah Allah kepada kesuciannya yang hakiki.


Semoga Allah SWT melindungi generasi kini dari pepecahan dan cabaran yang mahu merosakkan akidah, Shariat dan akhlak mereka. Allahu musta’an.

6 comments:

  1. Saya telahpun membuat komentar saya dalam blog saya: yayasan-ilmu.blogspot.com. hakikatnya adalah 'Allah (a.w)' adalah khusus kepada Tuhan yg Bersifat Esa kepada orang yg menrima Islam. kalau mana-mana golongan tak terima Islam, maka mereka tidak akui keEsaan Allah, maka mereka tidak layak dan tidak berhak guna 'Allah' sebagai merujuk kepada tuhan mereka.Orang seperti padri yg meminta diberi kebenaran dan hakimyg memberi kelulusan itu jelas tidak bertuhankan Tuhan yg Esa. Mereka tidak ada locus standi dalam ugama untuk memohon dan memberi. Mereka itu, dalam keadaan ugama dan masyarakat majmuk di Malaysia ini, kerana mencetuskan pergeseran perkauman dan keugamaan yg amat bahaya, layak ditahan di bawah ISA.

    ReplyDelete
  2. Sdr Sufi Sintok, sy tak publish komen sdr sebab ada perkataan 'B' utk pihak tertentu. Mohon, resend & ubah sikit perkataan tu. Nanti saya publish.

    ReplyDelete
  3. salam Dr, tidak mengapa Dr tidak siarkan kerana ia sesuai untuk mereka yang terlalu bersandiwara dengan politik. Saya tidak dapat berkompromi untuk tidak menggunakan perkataan tersebut kerana saya benar2 mempertahankan nama Allah. Jika dalam isu lain sy sendiri tidak tergamak untuk menggunakan perkataan tersebut.

    Tapi dlm isu penggunaan nama Allah, saya fikir kita perlu tegas-setegasnya dengan kumpulan orang Islam yang cuba menjadi penyokong gereja. Tidak kira pas,pkr atau umno. Cuma setakat ini tak ada lagi individu umno yg jadi penyokong gereja untuk isu ini.

    Yang sokong gereja adalah yang selalu duk pakai serban jubah, melaung kalimah besar Allahu Akbar merata tempat.....kerana apa...hanya kerana ingin mendapat sedikit perhatian politik...

    politik punya pasal nama Tuhan dipertaruhkan...

    ReplyDelete
  4. Buat bertenang.Jangan tergopoh gapah. Jangan ikut perasaan. Nanti timbul penyesalan.

    ReplyDelete
  5. alhamdulillah..
    penulisan ini membantu menjelaskan lagi maksud sebenar mentauhidkan ALLAH s.w.t.

    ReplyDelete
  6. dr asmadi...byk sgt yang pandai ilmu agama....nk dpt sokong undi....apa saja boleh.....
    x caya?? tanya nik aziz, khalid samad etc..
    alyssa@jitra

    ReplyDelete